Kapten Hassan: Inspirasi Watak Sarjan Hassan P Ramlee

735

Bagi yang pernah menonton filem Sarjan Hassan, pasti sedia maklum ia berkisar tentang perjuangan membebaskan negara dari ancaman penjajahan. Filem yang menampilkan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin dan Allahyarham Salleh Kamil ini menunjukkan perjuangan Sarjan Hassan berjuang membebaskan negara dari ancaman penjajah Jepun. Walaupun kisah ini diadaptasi dari kisah sebenar seorang tokoh hebat bernama Kapten Hassan Othman, ia hanya sekelumit dari kisah sebenarnya yang berjuang menentang ancaman k0mun1s semasa darurat. Rekod peribadi Kapten Hassan ialah menghabiskan nyawa lebih 54 orang pengganas bintang tiga.

Hassan merupakan anak jati Kampung Pantai, Seremban, Negeri Sembilan dan dilahirkan pada 15 Februari 1927. Anak ketiga daripada lima adik-beradik, beliau banyak menuntut ilmu agama daripadanya bapanya yang juga seorang guru agama. Semasa beliau mencecah usia 17 tahun, Kapten Hassan mendirikan rumahtangga dengan kekasih hatinya dari kampung sama, Siti Zabedah Ali.

Namun, kebahagiaan mereka tidak bertahan lama apabila keluarganya dibunuh pengg4n4s k0mun1s. Menurut cucunya, Mohd Ariffin Abd Karim, 40, datuknya itu hanya menjalankan kerja kampung biasa tetapi pada masa sama turut menentang k0mun1s secara senyap-senyap. Tambahnya, “Bagaimanapun, apabila pihak k0mun1s tahu mengenainya, mereka mencari keluarga arwah dan membunuh isterinya yang sarat mengandung, ibu mentua dan anak saudara seterusnya rumah mereka turut dibakar.”

Sementara anaknya, Noor Mazni, 58, menceritakan sebelum menyertai tentera, Kapten Hassan sanggup mengayuh basikal berbatu-batu semata-mata untuk memenuhi dadanya dengan ilmu persilatan. Ilmu ini dipelajari sebagai bekalan dan membolehkannya membalas dendam terhadap pengg4n4s k0mun1s. Tambahnya, bapanya bermula sebagai rekrut pada tahun 1946, bapanya ditugaskan di Batalion Pertama Askar Melayu Sungai Petani setelah tamat latihan di Depoh Port Dickson dan kemudian berpindah di Keroh, Baling, Gerik dan Tapah.

Sebaik menamatkan latihan rekrut pada 10 Jun 1947, beliau menyertai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu dan dilantik menjadi Lans Koperal pada 28 April 1948 sebelum bertukar ke Batalion Keempat rejimen itu pada 1 Disember 1949 dan dinaikkan pangkat kepada Koperal pada 24 Oktober 1950. Kesungguhan beliau yang tinggi dalam menjalankan tugas yang diamanahkannya membolehkan Kapten Hassan dinaikkan pangkat kepada Sarjan mulai 1 September 1952 dan terus mencurahkan bakti kepada Batalion Keempat yang berpangkalan di Mentakab, Pahang.

Kompeninya ditugaskan beroperasi di kawasan Triang, Pahang, bermula pada 16 November 1953 dengan beliau dilantik mengetuai pasukan rondaan mengandungi sembilan anggota selepas menerima arahan daripada Pegawai Memerintah. Satu daripada kisah keberaniannya yang tidak terdapat dalam buku sejarah ialah semasa diarahkan mengetuai pasukannya menyiasat bunyi tembakan yang didengar dari arah barat daya satu kawasan hutan di Triang. Selepas sejam meninggalkan pangkalan, peninjau kumpulan peronda mendengar bunyi pokok ditebang. Ini menyebabkan beliau mengarahkan pasukannya merangkak ke hadapan dalam barisan menghala ke arah bunyi potongan pokok berkenaan.

Dalam jarak kira-kira 150 meter dari bunyi potongan itu, Hassan menghentikan pergerakan anggota peronda dan memerintahkan seorang pegawai tidak bertauliah dalam platunnya membentuk satu kedudukan serang hendap. Beliau membawa seorang anggota berpangkat prebet mengikuti di sebelah kanan sasaran bagi membuat tinjauan di kawasan berkenaan dan mendapati beberapa pengganas k0mun1s sedang sibuk mendirikan khemah. Ini memberi peluang kepadanya untuk menyerang pasukan tersebut bersama prebet berkenaan dari arah strategik. Serangan mengejut pasti membolehkan pengganas Bintang Tiga itu ditahan atau ditembak mati anggota pasukan lain jika mereka cuba melarikan diri.

Namun, plot rancangan mereka terbongkar apabila kehadiran Hassan bersama prebet berkenaan disedari seorang pengg4n4s yang terus mensasarkan laras senapangnya ke arah mereka. Tetapi beliau lebih pantas melepaskan tembakan yang membunuh pengg4n4s berkenaan.  Seorang lagi pengg4n4s turut menerima nasib sama dengan dua rakan mereka yang menyedari apa yang berlaku cuba melarikan diri. Namun, larian mereka tepat menuju ke arah kedudukan kumpulan serang hendap dan ditembak mati oleh unit peronda beliau.

Peristiwa ini menunjukkan keberanian yang tinggi yang dimiliki Hassan dalam membuat keputusan menyerang perkhemahan pengg4n4s walaupun hanya disertai seorang anggotanya. Kemahiran menggunakan senjata dengan baik dilihat memberi kelebihan kepada beliau tatkala berdepan saat cemas dan kecekapan yang sama ini juga berjaya menyelamatkan nyawa seorang anggotanya yang lain. Selain itu, peristiwa serangan turut menunjukkan permainan muslihat yang bijak dan penguasaan persekitaran yang elok membenarkan pasukan peronda menghapuskan pengg4n4s k0mun1s.

Melihat kepada semua ini, tidak hairanlah mengapa Hassan mendapat banyak pengiktirafan sepanjang berkhidmat dalam bidang ketenteraan. Pada 30 Disember 1953, beliau dianugerahkan pingat Military Medal yang turut disokong oleh pegawai pemerintahnya, Leftenan Kolonel E.A. Hefford. Pengiktirafan itu diterima apabila Ratu Elizabeth II melalui London Gazette menganugerahkan pingat berkenaan kepada Hassan pada 12 Mac 1954. Pingat disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray di King’s House, Kuala Lumpur.

Selain Military Medal, Hassan turut dianugerahkan pingat General Services Medal dan Mention in Despatches oleh Kerajaan British pada tahun 1950 dan 1952 atas keberaniannya berhadapan dengan anggota Bintang Tiga sewaktu menjalankan operasi. Justeru sebagai menghargai kejayaan dan kecemerlangannya itu, Hassan terpilih mengikuti latihan kadet Federation Training Wing di Port Dickson pada 10 Jun 1957 sebelum menerima tauliah sebagai pangkat Leftenan Muda Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu pada 7 Ogos 1957. Selain itu, beliau juga turut dikurniakan gelaran Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Ahli Mangku Negara (AMN).

Menurut Noor Mazni, bapanya juga terbabit dalam tindakan menggagalkan usaha 400 hingga 500 anggota k0mun1s di Water Fall Estate di Rawang, Selangor. Serangan mengejut ini merupakan sebahagian daripada plot k0mun1s yang cuba mensabotaj kemerdekaan negara 10 hari sebelum sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Tambahnya, “Ketika pemimpin negara se­dang sibuk menjalankan persiapan bagi menyambut kemerdekaan, pengganas k0mun1s juga menyusun strategi di kawasan hutan di Rawang untuk menggagalkan rancangan kerajaan ketika itu. Mujur niat mereka dapat dipatahkan.”

Beliau kemudian ditugaskan di Briged Kedua Infantri pada 4 Disember 1959 dan menamatkan perkhidmatan sebagai Penolong Ketua Kompeni di Kompeni Lima Melayu pada 5 Ogos 1962 selepas berkhidmat selama 16 tahun dengan menyandang pangkat terakhir sebagai Kapten. Hasil perkongsian hidup dengan isteri keduanya, Aishah Bujang yang berasal dari Kampung Rasah, pasangan yang berkahwin pada 20 Januari 1952 ini dikurniakan lapan cahaya mata iaitu empat lelaki dan empat perempuan. Pejuang negara ini kembali ke rahmatullah pada 30 April 1991 akibat sakit jantung di Hospital Besar Seremban (sekarang Hospital Tuanku Jaafar) semasa berusia 64 tahun dan dikebumikan di Makam Haji Said, Seremban.

Jadi, ramai ingin tahu bagaimana filem Sarjan Hassan ini boleh terhasil. Berdasarkan fakta yang dikongsikan rakan penulis yang juga penulis Di Sebalik Tirai Layar, Hidir Ali Razali, nama Hassan digunakan oleh pembikin filem semasa beliau berkhidmat di Port Dickson. Sebagai imbuhan kerana mengizinkan mereka menggunakan namanya, Hassan diberi sedikit imbuhan oleh pihak studio.

Pada awalnya, filem ini yang menggunakan cerita Ralph Modder itu mendapat sentuhan pengarah filem Filipina, Lamberto Avellana. Tetapi selepas tertekan dengan usaha penggambaran filem, baki kerja pengarahan diselesaikan oleh P. Ramlee sambil dibantu oleh H.M Rohaizad dan Kassim Masdor. Ini termasuklah menyelitkan lagu Tunggu Sekejap yang dinyanyikan watak Hassan semasa berada di berek.

Menariknya, ada sesetengah adegan telah diambil dari kisah sebenar beliau seperti kisah penjual sayur bernama Ah Leng yang menjadi penyampai surat antara Hassan dengan keluarganya. Hakikatnya menurut Mohd Ariffin, walaupun watak tersebut memang wujud, penjual sayur itu sebenarnya seorang tali barut Bintang Tiga yang memberi maklumat keluarganya kepada k0mun1s. Begitu juga kesukaran beliau berjumpa keluarganya kerana rumahnya itu dikawal ketat oleh pengg4n4s k0mun1s. Tambahnya, adegan bapa Sarjan Hassan dipukul dan ditahan k0mun1s seperti dipaparkan dalam filem berkenaan juga berdasarkan kisah sebenar.

Yang pasti bagi seorang lagi anaknya, Mohamad Muhsin Hassan, 59, dia amat berbangga dengan perjuangan arwah bapanya dalam menjaga keselamatan negara. Sehinggakan kisah perjuangannya itu dijadikan sebagai filem Melayu terawal bercorak kenegaraan dan ditayangkan di pawagam pada Ogos 1958 iaitu sempena sambutan ulang tahun pertama kemerdekaan Tanah Melayu.

Jika ada yang masih mempersoalkan sama ada watak Hassan ini benar-benar wujud, maka ambillah kata-kata Muhsin ini, “Sarjan Hassan yang digambarkan dalam filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee memang wujud, cuma dia wira tidak didendang.” Kapten Hassan Othman seharusnya diletakkan sebagai wira negara sebaris nama-nama perwira lain termasuk Tok Janggut dan Leftenan Adnan kerana merekalah wira yang menggadaikan nyawa mereka demi kebebasan tanah air yang tercinta.

Kredit Foto: Sejarah.my

RUJUKAN:

1. Ibrahim, Aida Faizlen. (2018). P. Ramlee bayar RM10,000 kepada Sarjan Hassan. Utusan Malaysia. https://www.utusan.com.my/hiburan/selebriti/p-ramlee-bayar-rm10-000-kepada-sarjan-hassan-1.738936

2. Jalil, Mohd Amin. (2016). Sarjan Hassan buru k0mun1s kerana dendam. Malaysia Military Power. https://www.facebook.com/MalaysiaMilitaryPower/posts/kisah-sebenar-sarjan-hassan-angka-tak-rasmi-sarjan-hassan-dah-bertanggungjawab-a/1027447083944974/

3. Zakaria, Mohd Khidir. (2016). Sarjan Hassan wira tak didendang. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/node/165005

4. Che Noh, Norzamira. (2016). Dendam Sarjan Hassan. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/utama/2018/08/371918/dendam-sarjan-hassan

5. Jasbindar, Freddie Aziz . (2019). Kenali Sarjan Hassan Dalam Sejarah Malaysia. Sejarah MY.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.