Tak sah jika sebut Segi Tiga Bermuda, maka bermulalah juga kegilaan geng teori konspirasi bak zombi dalam cerita The Walking Dead. Tak habis-habis jika berlaku saja kemalangan atau kehilangan membabitkan pesawat atau kapal, Segi Tiga Bermuda saja yang dipersalahkan. Tatkala geng teori konspirasi terus meniup trompet teori-teori mereka, mereka terlupa ada satu kapal yang didakwa hilang di kawasan berkenaan 95 tahun lalu sudah berjaya ditemui.

Pada 29 November 1925, kapal SS Cotopaxi seharusnya berlayar dari Charleston, South Carolina menuju ke Havana, Cuba dengan membawa muatan berisi arang batu dan krew seramai 32 orang. Bagaimanapun, kapal itu tidak pernah sampai ke destinasi selepas dilanda ribut semasa berada berhampiran dengan kawasan Segi Tiga Bermuda dua hari selepas berlayar dan hilang terus. Tetapi hampir seabad selepas dilaporkan hilang, ia ditemui oleh sekumpulan penyelidik dan saintis di luar perairan St Augustine, Florida.

Dengan penemuan ini, ia dilihat boleh mematikan terus semua mitos dan teori mengarut berkenaan Segi Tiga Bermuda dan kehilangan kapal atau pesawat yang berlaku di situ. Malah, penemuan SS Cotopaxi ini juga bakal ditonjolkan dalam salah satu episod rancangan saluran Science Channel iaitu Shipwreck Secrets yang mula ditayangkan pada 9 Februari lepas. Menurut salah seorang penyelidik, Michael Barnette, penemuan kapal berkenaan merupakan sesuatu yang mengujakan. Tambah ahli biologi marin dari Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) itu, “Saya sudah melakukan banyak selaman di kawasan kapal karam tetapi penemuan ini yang paling menonjol.”

Tanpa disedari, kapal ini sebenarnya sudah ditemui oleh ramai orang sejak 35 tahun lepas. Tetapi tapak kapal karam ini dikenali dengan nama lain iaitu Bear Wreck. Ramai mengetahui Bear Wreck ialah tapak sebuah kapal karam tetapi pasukan penyelidik dan saintis yang mengkajinya mengalami kesukaran mengenalpasti identiti kapal berkenaan.

Ini kerana menurut Barnette, kapal tersebut tidak mempunyai petunjuk yang boleh membawa kepada pengenalan identiti seperti loceng yang mempunyai nama kapal. Tetapi itu tidak menghalang beliau memikirkan kemungkinan Bear Wreck menyamai semua petunjuk dengan kehilangan Cotopaxi.

Tetapi petunjuk sebenar datang bukan dari Bear Wreck. Sebaliknya, ia datang dalam bentuk rekod bertulis seperti dokumen mahkamah, kertas kerja insurans dan dokumen sejarah yang wujud semasa kapal tersebut karam. Antara maklumat yang wujud ialah koordinat kemungkinan laluan kapal dan penerangan bertulis tentang jentera dan mesin yang digunakan dilihat sama dengan artifak yang dijumpai di Bear Wreck.

Tetapi penemuan terbesar dibuat oleh sejarawan British, Guy Walters. Hasil semakan Walters mendapati SS Cotopaxi ada membuat isyarat meminta pertolongan pada 1 Disember 1925 beberapa puluh batu dari kawasan luar pesisir pantai Florida.

Dari situlah, semua maklumat yang dikumpul mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku terhadap SS Cotopaxi semasa dalam perjalanan ke Havana. Kapal tersebut bukan saja beroperasi dalam keadaan kewangan yang ketat tetapi tidak mempunyai kelengkapan untuk beroperasi dalam cuaca ribut.

Dan berdasarkan pemeriksaan pada bahagian bawah kapal, sebelum ia karam akibat dilanda ribut, bahagian penutup kapal yang diperbuat daripada kayu berada pada tahap yang membimbangkan dan tidak dapat dibaiki. Bila kapal sebegini dilanda ribut di kawasan perairan cetek St Augustine, Barnette merumuskan krew SS Cotopaxi tidak berpeluang langsung untuk menyelamatkan diri. Bagi mengukuhkan lagi penemuan yang dibuat, beliau turut merujuk kepada penyelidik-penyelidik di Muzium Maritim dan Rumah Api St Augustine.

Yang pasti, tenggelamnya SS Cotopaxi langsung tiada kaitan dengan sumpahan Segi Tiga Bermuda di mana sempadannya berhampiran dengan kedudukan Bear Wreck. Sejak bertahun-tahun, geng teori konspirasi sentiasa menjadikan kisah kehilangan kapal ini sebagai bukti bahawa Segi Tiga Bermuda memang berhantu dan bertanggungjawab mencetuskan kemalangan kapal dan pesawat di situ.

Tetapi sejak beberapa tahun ini, kebanyakan kisah yang dibangkitkan berjaya dibuktikan sebaliknya oleh komuniti saintifik termasuk NOAA. Dan memandangkan lautan meliputi 70% permukaan bumi, perkara-perkara yang dikatakan hilang muncul sekali-sekala. Dan jika Cotopaxi boleh dikesan dan dijumpai, tidak mustahil kapal-kapal atau pesawat malang yang hilang boleh ditemui semula.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.