Kannibalism: Jenayah Perang Jepun WWII

0
2383
views

Jangan terkejut sekiranya kita cuba mengaitkan Jepun dengan jenayah-jenayah perang semasa Perang Dunia Kedua (WWII), pasti ada yang melenting dan menyelar dakwaan tersebut sebagai palsu. Ini kerana tidak seperti Jerman, Jepun masih enggan mengakui penglibatan jenayah mereka, sebaliknya cuba menunjukkan diri mereka sebagai mangsa kekejaman agresif Amerika Syarikat melalui serangan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki tanpa sebarang sebab. Atas sebab itu, apabila ada filem atau siri televisyen yang memaparkan kekejaman mereka, maka siap sedialah mendengar kecaman Tokyo terutama dari golongan pelampau berhaluan kanan. Ini kerana pada mereka, Jepun tidak bersalah. Tetapi apakah Tokyo dapat lari dari jenayah paling kejam dalam WWII iaitu perbuatan kanibalisme?

Dalam satu buku berjudul Flyboys yang ditulis oleh James Bradley menceritakan pengalaman Tentera Marin Amerika Syarikat termasuk bapa penulis semasa kempen di Iwo Jima. Salah satu anekdot ngeri berkenaan Flyboys ialah pengalaman bekas Presiden Amerika Syarikat yang juga veteran perang WWII, George H.W Bush hampir-hampir dipenggal dan dijadikan makanan oleh tentera Jepun semasa di situ. Semasa kempen di Iwo Jima, Bush baru berusia 20 tahun dan sebahagian daripada sembilan juruterbang pesawat yang ditembak jatuh oleh pihak Jepun di Chichijima, sebuah pulau kecil yang terletak 700 batu dari selatan Tokyo. Dalam kalangan juruterbang, hanya beliau saja yang berjaya melepaskan diri dari menjadi tawanan Jepun.

Figure 1: George H.W Bush

Menurut Bradley, baki juruterbang pesawat yang ditahan kemudiannya diseksa dan dibelasah oleh tentera-tentera Jepun sebelum dihukum bunuh. Mereka dihukum bunuh sama ada dipenggal atau ditikam bertubi-tubi dengan bayonet dan buluh runcing. Empat daripada askar-askar ini kemudian dilapah daging mereka oleh pakar-pakar bedah yang bertugas di situ. Dari situ, hati dan daging peha mereka dimasak dan dijadikan hidangan untuk pegawai-pegawai tentera di situ. Bush terselamat dari peristiwa tersebut kerana semasa pesawatnya terhempas, pesawatnya jatuh jauh sedikit dari pulau tersebut dan beliau dapat melarikan diri dengan bot penyelamat. Tentera Jepun yang melihat beliau cuba menangkapnya tetapi terpaksa berundur selepas ditembak bertubi-tubi oleh pesawat-pesawat udara Amerika. Selepas beberapa lama, Bush berjaya diselamatkan oleh krew sebuah kapal selam Amerika yang beroperasi di situ.

Antara keterangan berkenaan jenayah jelik ini ialah keterangan seorang tentera Jepun dalam tribunal jenayah perang Guam bernama Iwakawa. Iwakawa menceritakan dia memaksa salah seorang operator radio bernama Marve Mershon berjalan ke lubang kubur yang baru digali, matanya ditutup dan dipaksa berlutut sebelum dipenggal. Sehari selepas itu, pegawai atasannya bernama Mejar Sueo Matoba merancang memasukkan daging warga Amerika sebagai sebahagian daripada pesta sake bersama pegawai-pegawai lain termasuk pegawai pemerintah pulau tersebut, Jeneral Yoshio Tachibana.

Selain Iwakawa, seorang pembantu pakar bedah yang membantu pakar-pakar bedah menyediakan daging menceritakan seorang doktor bernama Teraki membelah dada mangsa dan mengambil hatinya. Sementara dia mengambil sepotong daging peha seberat enam paun dan berukuran empat inci lebar, satu kaki panjang. Selain Mershon, seorang lagi anggota krew pesawat bernama Floyd Hall turut menerima nasib sama. Laksamana Kimizo Mori yang berkhidmat sebagai pegawai kanan tentera laut di Chichijima menceritakan hati Hall diambil dan dijadikan sebagai hidangan oleh Matoba untuk pestanya. Menurut Mori, hati krew itu dicucuk dengan buluh runcing dan dimasak dengan sos soya dan sayur-sayuran. Matoba berbuat demikian kerana menyifatkan hati manusia mempunyai manfaat perubatan pada perut.

Seorang lagi mangsa jenayah keji ini ialah Jimmy Dye. Sebelum dibunuh, Dye dipaksa bekerja sebagai penterjemah selama beberapa minggu. Selepas itu, beliau dibunuh atas arahan Kapten Shizuo Yoshii supaya hatinya dijadikan sebagai hidangan untuk pegawai-pegawai senior lain. Mangsa keempat, Warren Earl Vaughn turut dibunuh dengan sebahagian daripada mayatnya dijadikan makanan oleh tentera Jepun. Baki empat krew yang ditawan dibunuh di mana salah seorang daripadanya dipukul sehingga mati. Selepas perang, Matoba, Tachibana dan Shizuo ditahan dan dihukum bunuh kerana melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.

Jika anda rasa ini satu insiden berasingan, anda salah. Satu keterangan ngeri dari seorang pegawai tentera India bernama Jemadar Abdul Latif. Beliau diselamatkan oleh tentera Australia di Teluk Sepik, Papua New Guinea pada tahun 1945. Dalam keterangannya, Jemadar menceritakan ramai rakan tawanannya dibunuh dan dijadikan sebagai makanan oleh tentera Jepun. Selain tawanan perang, penduduk tempatan Papua turut menjadi mangsa kerakusan keji tentera Jepun. Beliau menambah, “Di Kampung Suaid, seorang pegawai perubatan Jepun melawat tawanan-tawanan perang India secara berkala dan setiap kali datang, dia memilih tawanan-tawanan yang sihat. Tawanan-tawanan ini dipaksa meninggalkan kawasan tersebut atas alasan menjalankan tugas tetapi tidak pernah muncul semula.” Keterangan Jemadar ini direkodkan oleh seorang wartawan akhbar The Times yang berpangkalan di Melbourne pada 5 November 1946.

Keterangan Jemadar ini turut disokong oleh Kapten R.U Pirzai dan Subedar Dr Gurcharan Singh. Semasa ditemubual oleh akhbar Australia, The Courier-Mail yang bertarikh 25 Ogos 1945, beliau menceritakan dari 300 tawanan perang India yang dihantar ke Wewak, hanya 50 orang sahaja yang terselamat. Semasa dalam tawanan, seorang doktor Jepun bernama Leftenan Tumisa membentuk satu unit terdiri daripada tiga atau empat orang dan menghantar seorang tawanan ke luar kem atas sebab kerja. Di situlah, tawanan tersebut akan dibunuh dan dagingnya dilapah di mana hati dan daging dari bahagian punggung, peha, kaki dan lengan dipotong dan dimasak. Keterangan mereka disokong oleh kisah-kisah tawanan lain yang menceritkaan kanibalisme di kem mereka. Ini termasuklah John Baptist Crasta yang menjadi tawanan di kem tahanan Rabaul di mana pengalamannya diabadikan dalam sebuah memoir bertajuk Eaten by the Japanese: The Memoir of an Unknown Indian Prisoner of War. Selepas perang berakhir, Crasta menjadi sebahagian daripada panel penyiasat pihak Bersekutu.

Di sebalik bukti berlebihan berkenaan kanibalisme yang berleluasa dalam kalangan tentera Jepun, ramai bersikap skeptik terhadap pendedahan ini dan menganggap ia satu pembohongan. Namun semua itu berubah apabila seorang sejarawan Jepun bernama Toshiyuki Tanaka menjumpai bukti kukuh aktiviti kanibalisme dalam kalangan tentera Jepun semasa WWII. Penemuan tersebut disiarkan dalam akhbar The Japan Times dan menjadi asas kepada bukunya, Hidden Horrors: Japanese War Crimes in World War II. Berdasarkan penemuan Tanaka, terdapat 100 dokumen membabitkan insiden ini termasuk keterangan tentera Australia dan India serta buruh-buruh paksa Asia di Papua New Guinea dan Filipina.

Berdasarkan kajian beliau, Tanaka mendapati sesetengah tentera yang terlibat dengan kegiatan ini melakukannya atas sebab mengelak kebuluran dan ini menjadi asas kepada kesimpulan yang dibuat pihak Bersekutu. Namun beliau mendapati kes-kes tersebut merupakan kes-kes terpencil. Ini kerana dalam banyak kes, kebanyakan tentera Jepun sihat dan kuat serta mereka tidak menghadapi masalah bekalan makanan asas seperti kentang, nasi dan ikan kering. Tanaka turut menafikan kanibalisme berlaku akibat kerosakan moral. Dalam kebanyakan laporan yang ditemui, moral tentera Jepun di barisan hadapan bagus dan kanibalisme ini dilakukan atas arahan komander mereka. Tujuannya ialah untuk memberi keyakinan kepada askar-askar dan menguatkan keazaman mereka. Selain itu, taktik ini digunakan bertujuan mengeratkan ikatan sesama mereka kerana seluruh tentera memutuskan untuk melanggar tabu (kanibalisme) bersama-sama.

SUMBER

  1. McCarthy, Terry. (1992). The Independent. Japanese troops ‘ate flesh of enemies and civilians’. http://www.independent.co.uk/news/world/japanese-troops-ate-flesh-of-enemies-and-civilians-1539816.html
  2. Sharmal, Manimugdha S. (2014). The Times of India. Japanese ate Indian PoWs, used them as live targets in WWII. https://timesofindia.indiatimes.com/india/Japanese-ate-Indian-PoWs-used-them-as-live-targets-in-WWII/articleshow/40017577.cms
  3. Laurence, Charles. (2017). The Telegraph. George HW Bush narrowly escaped comrades’ fate of being killed and eaten by Japanese captors. http://www.telegraph.co.uk/news/2017/02/06/george-hw-bushs-comrades-eaten-japanese-pow-guards/

Previous articleKejelitaan Melayu Perak Pada Pandangan British
Next articleMengenal Pasti Seorang Psikopat Dikalangan Kita
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE