Ada yang berpendapat demonstrasi Julai 2009 di Ürümqi, Provinsi Xinjiang adalah kali terakhirnya, namun ia adalah terhad kepada masyarakat Uyghur sahaja.

Perbincangan ini membawa kita kembali kepada Mei 1989. Ia bukan sahaja melibatkan umat Islām pelbagai suku kaum seperti Hui, Uyghur, Kazakhs dan Kyrgyz, bahkan demonstrasi ini dibenarkan oleh kerajaan China. Mungkin juga inilah kali terakhir kerajaan membenarkan rakyat Muslimnya berhimpun meluahkan bantahan.

Pada masa itu, umat Islām sedunia dikejutkan dengan fitnah novel The Satanic Verses karangan Salman Rushdie. Hal demikian menyebabkan Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ruhollah Khomeini menerbitkan fatwa menghalalkan darah Salman pada Februari 1989. Negara Muslim lain seperti Pakistan turut mengharamkan novel tersebut.

Perarakan bantahan umat Islām China terhadap buku Xing Fengsu di Dataran Tiananmen.

Di dalam China pula, kerajaan China berdepan dengan isu perhimpunan penuntut kebebasan demokrasi di Dataran Tiananmen oleh aktivis siswa-siswi dan cendiakiawan sejak 15 April 1989. Pada 15-18 Mei 1989 pula, Persidangan Kemuncak China-Soviet bakal berlangsung. Namun sebelum ia berlaku, umat Islām daripada pelbagai kaum telah bangkit atas sebab tersendiri: penghinaan terhadap Islām oleh buku bertajuk Xing Fengsu 性风俗 (Adat Resam Seks).

Perarakan bantahan umat Islām China terhadap buku Xing Fengsu di Dataran Tiananmen.

Kemungkinan maklum balas pantas oleh kerajaan China dalam memberikan kebenaran penuh kepada demonstrasi bantahan buku tersebut disebabkan oleh lawatan rasmi Presiden Iran Sayyid Ali Hosseini Khamenei ke China pada awal Mei 1989. Beliau menegaskan bahawa fatwa hukuman mati kepada Salman Rushdie masih berkuatkuasa.
Berikutan susulan persetujuan kerajaan, kelihatan para polis telahpun menutup sebahagian besar jalan raya utama, mengawal trafik jalan dan mendirikan pagar sementara untuk memberikan laluan kepada para ahli perhimpunan umat Islām.
Ramai hadirin demonstrasi ini terdiri daripada siswa-siswi daripada 10 suku kaum Muslim yang dijemput oleh Persatuan Islām China (中国伊斯兰教协会), sebuah badan pengurusan hal-ehwal Muslim di bawah kerajaan China. Tidak kurang juga mereka disertai oleh orang Han Cina bukan-Muslim yang menyokong bantahan tersebut.

Malah, seorang profesor Hui dari Universiti Minzu turut dibantu ke kawasan perhimpunan dengan sebuah kereta polis. Perhimpunan dirancang bermula dari Universiti Minzu dan berarak hingga ke Pekan Niujie, sebuah kawasan majoriti Muslim di Beijing. Sesampainya Dataran Tiananmen, jemaah telahpun mencecah 3,000 hadirin.

Perhimpunan bantahan di Lanzhou. Panji putih tertulis dalam Bahasa Cina yang bermaksud “Masyarakat Muslim membantah buku Xing Fengsu”.

Dengan memikul panji-panji bertulisankan kalimah Syahadah, mereka melaungkan seruan-seruan seperti “Hormatilah Kebebasan Beragama di China!”, “Hapuskan Salman Rushdie China!”, “Pertahankan Perlembagaan!”, “Pertahankan Dasar-dasar Parti dalam Kaum dan Agama!”, “Kekalkan Perpaduan Kebangsaan!”, “Bantah Penghinaan terhadap Islām!”, “Allāhu Akbar!”, “Haramkan buku Xing Fengsu, Satanic Verses versi China!”. Di barisan hadapan pula, salah seorang menjunjung tinggi sijil kebenaran perhimpunan yang dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Awam (公安局).

Bantahan secara besar-besaran ini merebak ke kawasan majoriti Muslim yang lain di China. Kira-kira seramai 200 ahli demonstrasi berhimpun di Lanzhou pada 12 Mei 1989. 19 Mei kemudian, perhimpunan bantahan di Ürümqi mencecah seramai 2,000 peserta.

Buku Xing Fengsu yang diharamkan. Hatta rekabentuk kulit bukunya sudah jelas menghina Islām.

Kemuncak perhimpunan bantahan, kerajaan China bersetuju mengharamkan penjualan buku Xing Fengsu. Sebanyak 13 juta naskah buku dirampas pihak berkuasa, dengan 95,240 naskah lagi dibakar secara terbuka di sebuah dataran di Lanzhou. Pihak penerbit dipecat dan para penulis buku tersebut diperintahkan membuat permohonan maaf terbuka. Tidak terhenti situ saja, seluruh syarikat penerbitan itu di Shanghai dan Shanxi diarahkan tutup untuk ‘rombakan pengurusan’.

Berbanding perhimpunan Muslim ini, demonstrasi demokrasi Tiananmen lebih mendapat liputan media. Malah, sebahagian besar pendukung anti-komunis masih mengenang tarikh 4 Jun sebagai ulang tahun perjuangan demokrasi China. Perhimpunan Muslim kini bagaikan dilupakan sebagai mukasurat peristiwa lama.
.
[Penafian: Rencana ini hanya untuk berkongsi sejarah dan tidak memihak kepada mana-mana haluan agama mahupun menyeru kepada keganasan.]
.
RUJUKAN:

Dru C. Gladney, Muslim Chinese: Ethnic Nationalism in the People’s Republic, Council of East Asian Studies, Harvard University Press, 1996: 1-7

The New York Times: Muslim Students March in Beijing, May 13, 1989 https://www.nytimes.com/…/muslim-students-march-in…
Dicapai 30 Oktober 2020

The Los Angeles Times, Authors ‘Must Be Jailed’ : China Muslims Protest ‘Sex Habits’ Book, May 12, 1989 https://www.latimes.com/…/la-xpm-1989-05-12-mn-3382…
Dicapai 30 Oktober 2020

UPI, Chinese Moslems protest sexual practices book, May 12, 1989 https://www.upi.com/…/Chinese-Moslems…/8606610948800/
Dicapai 30 Oktober 2020

中国伊斯兰教协会:1989年大事记,2013-08-29
http://www.chinaislam.net.cn/…/dashiji/201308/29-5589.html
Dicapai 30 Oktober 2020

中国的拉什迪事件:《性风俗》事件
https://card.weibo.com/…/m/show/id/2309404354195204496901
Dicapai 30 Oktober 2020


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Semenjak kembali kepada ad-Dīn dan melanjutkan pengajian di Universiti Perguruan Beijing (北京师范大学), kajian Islām di China menjadi penyemarak minatnya terhadap sejarah. Walaupun salasilahnya bersambung daripada Guǎngdōng, China, dirinya lebih giat menyambung titik-titik perpaduan di Nūsantara.

Comments are closed.