Malaysia merupakan sebuah negara yang masih baru. Dalam tempoh 60 tahun, pentadbiran negara telah berjaya membangunkan sebuah ekonomi yang stabil.

Dan sejak tahun 2018, Malaysia pun mengharungi sebuah peralihan kuasa aman yang perlu dibanggakan. Meskipun lama memegang negara, Barisan Nasional masih melepaskan kuasa dengan rela. Dan kepimpinan Pakatan Harapan pula terguling selepas kemelut politik.

Sekarang ini pula, gabungan parti bernama Perikatan Nasional menghadapi satu lagi kemelut. Spekulasi darurat pun mencanak selepas pertemuan Muhyiddin Yassin dan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah di Kuantan (Alagesh, 2020). Namun, pengumuman daripada YDPA petang tadi memaklumkan tiada keperluan darurat.

Perkataan darurat membangkitkan sebuah persepsi yang menakutkan. Kerana dalam sejarah Malaysia, darurat paling lama dilancarkan ketika kerajaan menangani masalah komunisme.

Namun itu bukan kali terakhir Malaysia mengisytiharkan perintah darurat. Malah Peristiwa 13 Mei pun bukan kali terakhir Malaysia melakukan sedemikian.

Setepatnya Najib Razak ialah pemimpin terakhir untuk mengisytiharkan perintah darurat bagi Ledang dan Muar di Johor oleh kerana jerebu menebal daripada seberang selat.

Angin yang meniup dari Indonesia telah menyebabkan kualiti udara mencecah paras 750 dari segi API (Bernama, 2013).

Semasa Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri pun, kerajaan pernah menggunakan kuasa darurat bagi Port Klang atas faktor sama (API = 500).

Tetapi kali terakhir apabila sebuah negeri di Malaysia benar-benar dalam darurat ialah tahun 1977. Rakyat Kelantan tentu sekali mengingati tahun tersebut, oleh kerana perkembangan politik yang agak panas.

Ketika itu Istana Negara didiami Sultan Yahya Petra dari Kelantan sebagai Yang Di-Pertuan Agong antara 21 September 1975 hingga 29 Mac 1979.

Baginda merupakan sultan pertama yang sempat melihat parti kerajaan negeri Kelantan dalam kerajaan persekutuan.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang dibentuk pada tahun 1951 (sebagai Persatuan Islam Se-Malaysia) telah menyertai Perikatan (kemudiannya Barisan Nasional) antara tahun 1974 hingga 1978, ketika kepimpinan Asri Muda.

Keputusan ini tidak dirai semua dalam kalangan parti.

Bagi Asri, penyatuan kaum Melayu susulan apa yang berlaku pada thaun 1969 perlu diutamakan – dan penyatuan ini hanya boleh dibuat melalui kesatuan politik (Noor, 2014).

Keputusan pilihan raya ketika itu meninggalkan sebuah Dewan Parlimen yang sangat sengit. Parti Perikatan berjaya mengumpulkan 74 kerusi (hanya sebuah kerusi melebihi garisan majoriti).

Jika salah satu parti komponen keluar gabungan, maknanya kerajaan Tunku Abdul Rahman tersembam. Dengan keputusan ini, Tun Abdul Razak kemudian membentuk kerajaan tetapi bersama PAS iaitu dengan 12 kerusi.

Lima tahun kemudian, PAS menambahkan satu kerusi, sekali gus menjadi parti kecil dalam gabungan (UMNO mendapat 62 kerusi). PAS mengekalkan kedudukan di Kelantan (DUN: 22 (PAS) | 13 (UMNO), tetapi penentangan anti-Asri menyebabkan pegangan PAS susut di kubu-kubu Utara.

Dan di Kelantan inilah bermulanya sebuah episod politik yang memisahkan UMNO dan PAS buat 43 tahun.

Oktober 1977 ialah bulan sangat panas. Menteri Besar Mohamed Nasir (PAS) mula berantakan dengan parti sendiri.

Beliau merupakan calon pilihan BN, bukannya kehendak PAS sendiri.

Nasir melancarkan siasatan berkenaan dengan urusan kewangan Asri, yang membalas dengan undi tidak percaya dalam DUN Kelantan (Cheah, 2002).

Ahli-Ahli UMNO dalam kalangan DUN ini pula tidak menyokong, sekali gus meranapkan persepakatan UMNO dan PAS dalam BN.

Perdana Menteri ketika ini ialah Tun Hussein Onn. Menteri Besar Nasir enggan berundur dan memohon pembubaran DUN. Tetapi pemangku Sultan Kelantan pula tidak mengizinkannya.

Jadi Kelantan bertukar kecoh apabila berlaku pula demonstrasi besar. Dan pada 8 November 1977, Sultan Yahya sendiri mengisytiharkan darurat.

Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang diluluskan Dewan Rakyat membenarkan kerajaan persekutuan berkuasa di Kelantan. 12 daripada 14 ahli Dewan Rakyat dalam kalangan PAS menentang akta ini, sekali gus menyebabkan penyingkiran PAS daripada BN (Crouch, 1996).

Kapasiti Nasir sebagai Menteri Besar agak terhad, kerana kuasa eksekutif dipegang Pengarah Kerajaan Negeri dipilih Perdana Menteri.

Kemelut ini diselesaikan melalui pilihan raya umum yang mana PAS hanya mendapat dua kerusi DUN daripada jumlah 36.

UMNO akhirnya membentuk kerajaan negeri dibawah Mohammed Yaacob – dan Nasir menjadi Menteri dalam Pejabat Perdana Menteri.

RUJUKAN:

Alagesh, T.N. (2020, Oktober 23). PM arrives at Kuantan palace for audience with Agong [NSTTV]. New Straits Times.

Bernama. (2013, Jun 23). PM declares haze emergency in Muar and Ledang. The Sun Daily.

Cheah, B.K. (2002, September 30). Malaysia: The Making of a Nation. Institute of Southeast Asian Studies. Halaman 179.

Crouch, H.A. (1996). Government and Society in Malaysia. Cornell University Press. Halaman 106.

Noor, F.A. (2014). The Malaysian Islamic Party 1951-2013: Islamism In a Mottled Nation. Amsterdam University Press. Halaman 82 hingga 84.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.