Kalau Stress, Menyanyilah…

409

“Di hari raya terkenang daku kepada si dia
Kampungku indah nun jauh di sana ayah serta bondaku
Di tepian mandi danauku hijau yang damai selalu
Nun di sanalah tempatku bertemu aku dan dia”

Nyanyian Jep dalam bilik air itu memecah keheningan pagi Syawal. Tetapi suaranya yang sumbang ditambah pemilihan lagu yang tidak sesuai dengan suasana Aidilfitri yang terkesan dengan Covid-19 mengundang kemarahan kawan serumah, Aidi. Lantas dia berkata, “Aku tahulah kau rindu kampung, Jep oii. Bukan kau saja. Tapi tak payahlah nyanyi, jahanam. Suara kau macam itik serati!”

Komen sebegini bukan asing jika ada yang mahu menyanyi walaupun tahu suara tidak sesedap Datuk Jamal Abdillah atau Misha Omar. Tetapi bagi yang sedang menjalani PKP atau PKPB di seluruh dunia termasuk Malaysia, menyanyi sebenarnya memberi impak positif kepada kesihatan mental individu dan ia sudah dibuktikan secara saintifik menerusi pelbagai kajian.

Pakar neuropsikologi klinikal merangkap Ketua Sekolah Sains Psikologi di Universiti Melbourne, Australia, Sarah Wilson mendapati bahagian-bahagian besar otak akan ‘menyala’ bila seseorang itu menyanyi. Wilson berkata, “Terdapat rangkaian nyanyian dalam otak yang diedarkan secara meluas.”

Apabila seseorang itu bercakap, hemisfera otak yang berkait dengan bahasa akan aktif seperti dijangkakan. Tetapi bila individu itu mula menyanyi, kedua-dua belah bahagian otak akan mula aktif. Tambah Wilson, “Kita dapat melihat pembabitan rangkaian emosi otak.” Bahagian otak yang mengawal pergerakan diperlukan untuk menghasilkan bunyi dan sebutan juga aktif semasa seseorang itu menyanyi.

Aktiviti fizikal yang dilakukan semasa menyanyi seperti kawalan vokal dan mengawal pergerakan badan serta mulut merupakan antara sebab ia dapat merangsang mood manusia. Bagi Baishali Mukherjee, pegawai perhubungan Asia Tenggara untuk Persekutuan Muzik Terapi Sedunia melihat nyanyian sebenarnya satu bentuk senaman aerobik yang boleh melepaskan endorfin, bahan kimia yang memberi perasaan baik kepada otak.

Beliau berkata, “Endorfin banyak berkait dengan perasaan kegembiraan itu sendiri, ia memberi rasa euforia yang dilihat dapat mengurangkan stres. Dalam mana-mana situasi sama ada di bawah tekanan atau diuji dengan penyakit fizikal atau mental, muzik berpotensi memberi kesan kepada tubuh dan minda manusia.”

Paling penting, bila mood manusia berada dalam keadaan baik, ia menguatkan sistem imuniti badan dan menambahbaik corak tidur individu. Dan nyanyian juga sebenarnya membuka kunci kepada pelega tekanan terbaik badan iaitu bernafas.

Semua maklum bila seseorang itu mengalami serangan panik atau masalah sukar bernafas dengan betul, ia mengakibatkan pengurangan karbon dioksida dalam saluran darah di mana ia dilepaskan lebih banyak berbanding apa yang dihasilkan oleh sel. Ketidakseimbangan ini boleh mengakibatkan pelbagai simptom seperti pening dan mudah bimbang.

Tetapi bagi individu yang dapat bernafas lebih dalam, pertukaran oksigen penuh berlaku dalam sel paru-paru sekaligus mengaktifkan sistem saraf simpatetik yang menurunkan kadar degupan jantung dan mengembangkan saluran darah yang membantu menurunkan tekanan darah.

Walaupun teknik pernafasan dalam ini kerap digunakan untuk terapi, ciri neurofisiologinya hanya diketahui baru-baru ini. Dalam satu kajian lain, penyelidik mendapati dengan mengawal kadar pernafasan (teknik penting nyanyian), ia mengaktifkan bahagian-bahagian otak yang berkait dengan emosi, tumpuan dan kesedaran badan.

Tetapi apakah nyanyian memberi kesan sekiranya penyanyi itu bersuara merdu bak buluh perindu atau sumbang mambang? Menurut Wilson, jawapannya ya.

Bagi penyanyi bersuara seperti itik serati, ia hanya mengaktifkan bahagian otak berkait dengan bahasa. Tetapi bagi penyanyi biasa termasuk penyanyi profesional, wujud perbezaan ketara antara rangkaian bahasa dengan rangkaian nyanyian dalam otak. Ini sekaligus menjadikan rangkaian nyanyian otak itu lebih istimewa dan unik.

Tambah Wilson lagi, lebih banyak nyanyian dibuat, ia menjadikan rangkaian nyanyian itu lebih unik sekaligus lebih banyak dopamin dilepaskan menjadikan mood seseorang itu lebih baik.

Namun, apa yang akan terjadi sekiranya manusia menyanyi beramai-ramai seperti dilakukan penduduk Itali semasa pandemik Covid-19 membadai negara itu? Wilson melihat sekiranya itu berlaku, ia mewujudkan rasa empati dan saling keberhubungan antara satu sama lain. Semua ini berlaku berikutan perlepasan satu lagi bahan kimia dalam otak iaitu oksitosin.

Oksitosin selalunya didapati menerusi aktiviti seperti menyusu badan dan persetubuhan. Dan melalui nyanyian juga, ia membolehkan orang ramai berkongsi pelbagai jenis emosi sekaligus memecahkan bentuk hierarki dan menyaksikan suara semua orang sama saja.

Justeru, tidak hairanlah Wilson menyimpulkan nyanyian sebenarnya sebahagian daripada komponen biologi manusia dan percaya ia sebenarnya muncul lebih awal berbanding percakapan. Ini kerana dengan nyanyian, manusia bukan saja belajar menyanyi tetapi juga mempelajari sebab manusia itu unik, bagaimana dan kenapa otak berkembang serta kenapa manusia terus berpegang kepada muzik.

Jadi lain kali kalau mendengar orang menyanyi, biarkan saja. Dia bukan saja menghiburkan diri sendiri tetapi pada masa sama menambahbaik kesihatan mental dirinya walaupun suaranya sumbang bak katak…

RUJUKAN:

Keating, Sarah. (2020). The world’s most accessible stress reliever. BBC. https://www.bbc.com/future/article/20200518-why-singing-can-make-you-feel-better-in-lockdown

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.