Moving Forward As One

Kajian Saintis Dapati Jerung Mampu Cipta Persahabatan Dengan Jerung Lain

402

Sebut saja jerung, ramai membayangkan ia sebagai pemangsa marin yang ga.n.as terima kasih kepada filem seperti Jaws dan Deep Blue Sea. Di sebalik semua itu, satu kajian mendedahkan ia bukan pemburu solo seperti disangka ramai pihak. Sebaliknya, ia sebenarnya haiwan yang sosial seperti haiwan-haiwan lain.

Dalam satu kajian tahun 2020 yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the Royal Society B, mereka mendapati jerung-jerung terumbu sentiasa kembali ke komuniti jerung yang sama tahun demi tahun. Berdasarkan kajian yang berlangsung selama empat tahun itu, jerung-jerung berkenaan turut memilih jerung mana sebagai temannya dengan sesetengah ‘persahabatan’ berterusan sepanjang kajian dijalankan.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Selain laporan kajian tersebut, satu lagi laporan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports turut membangkitkan perkara sama. Para penyelidik mendapati jerung-jerung harimau di perairan pantai timur Amerika Syarikat mempunyai hubungan sosial yang rumit. Penulis kajian Danielle Hauslee mendapati hubungan sosial sebegini hanya dapat dilihat dalam sesetengah haiwan mamalia seperti cimpanzi.

Dalam kajian yang dibuat pada 2016, pasukan penyelidik diketuai Hauslee mendapati jerung-jerung yang ditag dengan alat perakam mempunyai ribuan interaksi dengan jerung-jerung lain. Sesetengah interaksi kadang-kadang berlangsung sehingga empat hari. Bagi Jasmin Graham dari Makmal Marin Mote di Sarasota, Florida, ini sudah cukup menghentikan mitos bahawa jerung merupakan pemburu solo. Tambahnya, ini menunjukkan personaliti dan kehidupan sosial mereka sebenarnya lebih mirip kepada manusia daripada apa yang disangka.

Tidak diketahui apa faktor mendorong jerung-jerung ini. Tetapi Chris Lowe dari Makmal Jerung, California State Long Beach percaya ia didorong oleh lambakan makanan dan perubahan iklim. Ini berdasarkan pemerhatian tingkah laku 53 jerung Great White juvenil yang ditag antara perairan San Diego dan Santa Barbara pada 2020.

Hasil pemerhatian mereka mendapati walaupun jerung-jerung ini menjarakkan diri sekitar 30 kaki antara satu sama lain, jerung-jerung ini didorong oleh lambakan ikan pari di kawasan berkenaan. Selain itu, dengan berenang berhampiran kawasan pantai, jerung-jerung muda ini dapat mengelak daripada menjadi mangsa pemangsa lain seperti ikan jerung yang lebih besar.

Laporan kajian-kajian ini bagaimanapun tidak menyatakan sama ada jerung-jerung memburu secara berkumpulan atau tidak. Tetapi dalam sesetengah kes, ada jerung memilih memburu secara berkumpulan seperti jerung lembu. Jerung ini dikatakan berkumpul secara beramai-ramai bila melihat kumpulan ikan yang besar seolah-olah mengepung ikan-ikan ini daripada melarikan diri.

Rajah 1: Jerung-jerung harimau berenang berhampiran kumpulan ikan di kawasan bangkai kapal sekitar North Carolina. Sumber: National Geographic.

Selain faktor lambakan makanan dan kawasan perairan yang lebih panas, jerung-jerung turut berkumpul kerana sukakan arus sesetengah perairan. Dalam satu kajian yang ditulis Penjelajah National Geographic Yannis Papastamatiou baru-baru ini, jerung-jerung terumbu kelabu dilihat meluncur arus ombak. Jerung-jerung ini dilihat meluncur bersama sekaligus memberi peluang kepada mereka menjimatkan tenaga dan tidur seketika. Papastamatiou percaya kajian ini boleh diaplikasikan di perairan-perairan lain dan menjelaskan mengapa jerung-jerung memilih sesetengah perairan.

Faktor personaliti turut menjelaskan bagaimana sesetengah jerung berjaya dan bermandiri di perairan laut yang luas. Misalnya, bagi jerung lemon juvenil, sesetengah mempunyai personaliti unik sekaligus mempengaruhi bagaimana ia berinteraksi dengan jerung-jerung lain. Jerung lemon yang hidup di habitat semulajadinya menunjukkan pelbagai tingkah laku sosial. Ada yang berinteraksi kerap tanpa sebarang sebab tetapi ada juga yang memilih bersendiri.

Rajah 2: Jerung-jerung lemon bersosial tanpa menunjukkan sebab spesifik. Sumber: National Geographic.

Bagi jerung yang suka meneroka kawasan sekitarnya termasuk berenang merentasi jarak yang lebih jauh untuk mencari makanan, ia membuatkan jerung ini lebih cepat membesar dan matang. Tetapi jenis personaliti ini terpaksa membayar harga mahal termasuk peluang kemandirian yang rendah. Ini kerana jerung sebegini mudah menjadi mangsa pemangsa lain termasuk jerung-jerung besar.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Dengan kajian-kajian yang didedahkan di atas, ia mengundang persoalan berapa banyak rahsia jerung yang masih belum diketahui komuniti saintifik. Ini kerana kajian tentang jerung masih lagi baru dan sekitar 20 tahun. Ini berikutan kekurangan dana penyelidikan tentang jerung dan reputasi buruk haiwan itu terima kasih kepada budaya popular seperti Jaws.

RUJUKAN:

Haiken, Melanie. (2021). Sharks form years-long ‘friendships,’ dispelling ‘lone shark’ myth. National Geographic. Diambil dari https://www.nationalgeographic.com/animals/article/sharks-form-years-long-friendships-dispelling-myths

Ruangan komen telah ditutup.