Kaitan Kapten Peru Dengan Mumia-Mumia Llullaillaco

0
860
views

Pada tahun 1999, sekumpulan pakar arkeologi diketuai Dr Johan Reinhard menemui tiga mayat kanak-kanak Inca di kawasan pergunungan sempadan Argentina-Chile. Mayat-mayat tersebut masih terpelihara dan tidak dimakan oleh haiwan buas kerana terletak di kawasan sejuk pada ketinggian 6,000 meter atas paras laut selepas dikorbankan lima abad sebelumnya. Anak-Anak Llullaillaco ini merupakan mumia-mumia zaman Inca yang paling baik terpelihara dan dianggap mumia paling terpelihara di dunia menurut Reinhard dan para saintis lain. Siapa sangka hampir 20 tahun selepas itu, mumia-mumia ini memainkan peranan penting mengeluarkan seorang kapten pasukan kebangsaan Peru untuk dapat bermain di Piala Dunia 2018 daripada digantung kerana positif dadah.

Paolo Guerrero bukanlah nama yang terkenal dalam dunia bola sepak sebaris Lionel Messi, Cristiano Ronaldo atau Mohamed Salah. Tetapi bakatnya sebagai penyerang sudah cukup membantunya bermain bersama beberapa pasukan terkenal seperti Bayern Munich dan Hamburg SV (Jerman) serta Flamengo (Brazil). Di peringkat kebangsaan pula, beliau merupakan penjaring terbanyak Peru sepanjang zaman dan membantu Los Incas menduduki tempat ketiga Copa America 2015 serta kelayakan ke Piala Dunia 2018 buat kali pertama sejak edisi 1982.

Figure 1: Paolo Guerrero

Nampak semuanya berjalan lancar bagi Guerrero tetapi semua berubah selepas beliau gagal ujian dadah selepas perlawanan menentang Argentina yang berlangsung pada Oktober 2017. Akibatnya, Guerrero digantung selama sebulan dan tidak dapat membantu La Blanquirroja mengatasi New Zealand dalam perlawanan penentuan play-off, sekaligus berjaya layak ke Piala Dunia 2018. Beliau menyatakan tidak pernah mengambil dadah kokain dan keputusan positif itu berlaku akibat mengambil minuman teh herba yang tercemar. Semasa memberi keterangan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Guerrero yang ketika itu mengalami selsema diberi secawan teh anise dan secawan teh hitam yang dicampur madu dan lemon untuk mengurangkan selsema yang dialami. Ini berkemungkinan teh yang diberi sebenarnya teh koka dan bukannya teh herba seperti yang disangka penyerang dan kapten pasukan kebangsaan Peru itu.

Sebelum para pembaca mempersoal perkara ini, kita kena lihat aspek budaya masyarakat di sebelah sana. Di Peru, daun koka yang menjadi asas kepada kokain selalunya dimakan secara meluas oleh penduduk. Jika mereka tidak mengunyah beberapa keping daun selama beberapa jam, mereka mencampurkannya dengan air panas dan diminum seperti teh atau kopi. Dianggap sebagai perangsang, rasa teh koka ini hampir sama dengan rasa teh atau kopi yang kuat. Dan jika anda berada di kawasan tinggi di atas paras laut, penduduk mengambil ia untuk membantu mengekang mabuk altitud. Bagaimanapun tanpa mengira dari mana ia datang sama ada dalam bentuk teh, daun biasa atau sudah diproses dalam bentuk serbuk putih, ia mengandungi satu elemen sama iaitu metabolite benzoylecgonine. Penemuan elemen ini dalam ujian Guerrero yang membawa kepada penggantungannya selama 12 bulan, sekaligus berkemungkinan terlepas menyertai kejohanan bola sepak terulung itu.

Jadi apa kaitan Anak-Anak Llullaillco ini dengan rayuan Guerrero? Pada Disember tahun lepas, peguam beliau meminta bantuan seorang ahli biokimia terkemuka, LC Cameron dari Federal University of the State of Rio de Janeiro. Dalam keterangannya kepada panel disiplin FIFA, Cameron melihat konsentrasi benzoylecgonine dalam air kencing Guerrero sama dengan seseorang yang minum air teh koka, bukan dari pengambilan kokain. Keterangan beliau turut disokong oleh Charles Stanish, seorang ahli arkeologi dari University of South Florida yang mempunyai kepakaran dalam kebudayaan Inca. Menurut Stanish, koka mempunyai kedudukan istimewa di Peru dan boleh jadi campuran herba yang dimasukkan dalam teh itu dicemari oleh koka dan agak sukar mengetahui percampuran berlaku kerana rasa teh berkenaan hampir sama. Beliau turut mengemukakan bukti kukuh kenyataannya dengan menggunakan keputusan analisis forensik Anak-Anak Llullaillco. Pada tahun 2013, sampel rambut yang diambil dari mumia ini diuji secara forensik oleh pasukan saintis. Hasil ujian mendapati mumia-mumia ini turut mempunyai elemen benzoylecgonine dalam rambut mereka, elemen sama dalam sampel urin Guerrero.

Peguamnya berhujah bagaimana anak-anak sedemikian boleh terdedah kepada elemen itu lebih-lebih lagi mereka ditinggalkan di atas puncak gunung berapi sebagai korban lima abad lepas sebelum ia dihasilkan buat kali pertama oleh seorang ahli kimia Jerman bernama Albert Niemann pada tahun 1859? Hujah yang diberikan dilihat menyakinkan panel disiplin untuk mengurangkan penggantungan Guerrero dari 12 bulan kepada enam bulan sahaja. Bagi beliau, ia satu kemenangan yang membuka peluang untuknya kembali bersama pasukan kebangsaan dan mengetuai mereka ke Rusia. Bagaimanapun, Agensi Anti-Doping Antarabangsa (WADA) mempunyai pandangan sebaliknya dan memutuskan untuk merayu keputusan FIFA ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). Agensi berkenaan berhujah Guerrero seharusnya dikenakan penggantungan maksimum antara setahun hingga dua tahun kerana itu merupakan hukuman bagi mana-mana atlet yang positif benzoylecgonine. Peguam Guerrero membantah hujah WADA dan meminta CAS membatalkan penggantungan itu terus. Bagaimanapun, keputusan memihak kepada WADA dengan kapten Los Incas itu dikenakan penggantungan selama 14 bulan.

Berita penggantungan Guerrero itu mendorong beberapa kapten pasukan kebangsaan menulis satu surat terbuka kepada FIFA untuk menangguhkan seketika penggantungan itu dan memberi peluang kepada bekas penyerang Corinthians itu beraksi di Rusia. Mereka ialah kapten Perancis merangkap penjaga gol Tottenham Hotspur Hugo Lloris, kapten Australia merangkap pemain tengah bertahan Aston Villa Mile Jedinak dan kapten Denmark merangkap bek tengah Sevilla Simon Kjaer. Dalam surat yang dikeluarkan Persekutuan Antarabangsa Pemain Profesional (FIFPro) itu, mereka merayu FIFA menunjukkan belas kasihan kepada Guerrero dan memberi penyelesaian terbaik bagi membantu penyerang utama Los Incas tu beraksi di Rusia. Malangnya FIFA tidak boleh berbuat apa-apa kerana itu berada di luar bidang kuasa mereka.

Enggan membenarkan mimpinya beraksi di Piala Dunia berkecai, Guerrero memfailkan rayuan di Tribunal Persekutuan Switzerland. Dan seperti biasa, Anak-Anak Llullaillaco menjadi hujah utama peguamnya untuk menyatakan anak guamnya tidak bersalah dan penambahan hukuman WADA itu disifatkan tiada justifikasi. Pada 31 Mei lepas, tribunal bersetuju menangguhkan sementara penggantungan Guerrero bagi memberi peluang kepada mereka meneliti rayuan kapten La Blanquirroja itu. CAS juga tidak membantah keputusan tribunal berkenaan dan ini sekaligus membuka peluang kepada Guerrero kembali beraksi di Rusia. Dan beliau membuat kemunculan pertama bersama pasukan kebangsaan pasca-kes berkenaan sebagai pemain gantian semasa mereka mengatasi Arab Saudi 3-0 dalam satu perlawanan pemanas badan.

Jadi jika anda menyaksikan kelibat Guerrero mengetuai negaranya semasa kempen kumpulan Piala Dunia, ketahuilah beliau seorang pahlawan yang tidak pernah mengalah walaupun diuji dengan satu ujian yang cukup berat. Ironinya, namanya itu sama dengan satu perkataan Portugis iaitu Guerreiro dengan kedua-duanya membawa maksud pahlawan.

SUMBER

  1. BBC. (2018). World Cup 2018: Fifa asked to lift Peru skipper Guerrero’s suspension. https://www.bbc.com/sport/football/44207640
  2. BBC. (2018). World Cup 2018: Peru captain Paolo Guerrero cleared to play despite drug ban. https://www.bbc.com/sport/football/44316806
  3. Jennings, Patrick. (2018). BBC. Cocaine, the captain & the frozen mummies: Paolo Guerrero’s World Cup journey. https://www.bbc.com/sport/football/44415647

Previous articleThomas Andrews: Pembina Kapal Titanic
Next articleViolet Evergarden: Tragedi Greek Moden, Empati Dan Cinta
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE