Kaedah Berinteraksi Dengan Nas Akhir Zaman

877

Pra-tempah hanya di Shopee

Terdapat beberapa panduan khusus untuk berinteraksi dengan nas akhir zaman. Kaedah berinteraksi dengan nas akhir zaman ini antaranya diperkatakan oleh Dr. Sharaf Mahmud Al-Qudhah (DSMQ), khususnya berkenaan beberapa aspek penting dalam berinteraksi dengan hadis masa hadapan. (Al-Qudhah, 2016)

Begitu juga dengan pandangan penulis Islam seperti Alang Ibn Shukrimun (2018) serta kajian oleh Lukmanul Hakim dan Muhammad Yusram (2019) yang turut menekankan beberapa panduan asas dalam memahami nas agama yang berkait dengan eskatologi.

Panduan-panduan ini berfungsi bagi memastikan supaya penelitian terhadap nas akhir zaman yang dilakukan tidak terpesong daripada manhaj ilmu yang sebenar serta kefahaman yang terhasil daripadanya pula adalah selari dengan tuntutan syarak.(Shukrimun, 2018)

Walaupun kajian mereka lebih menekankan aspek interaksi dengan hadis-hadis akhir zaman, pandangan seperti yang dikemukan oleh DSMQ dan Alang Ibn Shukrimun ini boleh dijadikan juga sebagai panduan umum dalam berinteraksi dengan nas al-Quran yang berkait dengan eskatologi.

i. Memahami nas dengan kaedah yang betul

Antara panduan penting ini adalah membaca nas sama ada daripada al-Quran dan Hadis memerlukan kepada kaedah dan disiplin yang khusus. Pemahaman terhadap nas ini tidak boleh dilakukan secara sembarangan. (Shukrimun, 2018) Nas seperti hadis sebagai contohnya, tidak boleh dibaca secara literal dan difahami melalui terjemahan semata-mata. Ianya juga perlu diteliti dari sudut ilmu bahasa, ilmu mantiq serta segala ilmu alat untuk mendapatkan kefahaman yang tepat terhadap kandungan matannya.

Selain itu, kaedah yang masyhur dalam Ahli Sunnah menyatakan bahawa hukum asal sesuatu nas adalah difahami bersesuaian dengan makna zahirnya. Dengan demikian, dalil yang berkait dengan tanda akhir zaman secara prinsipnya termasuk juga dalam kategori nas yang perlu difahami pada asalnya berdasarkan makna zahirnya. (Luqmanul Hakim, 2019)

ii. Tidak memaksakan penetapan kesesuaian sesebuah tanda kiamat dengan peristiwa semasa yang berlaku

Kesesuaian tanda-tanda kiamat dengan peristiwa yang ada sebenarnya berlaku secara semula jadi, serta tidak ada sifat dipaksakan (takalluf) dalam cubaan untuk menyesuaikan antara keduanya. (Luqmanul Hakim, 2019) Terdapat beberapa contoh untuk pendekatan ini, antaranya adalah tanda-tanda akhir zaman seperti diutusnya Nabi SAW, wafatnya baginda SAW, banyak kekacauan dan fitnah serta merebaknya kebodohan terhadap ilmu agama.

Tanda-tanda akhir zaman yang dinyatakan ini dapat dipadankan dengan zaman tertentu dengan secara semula jadi, malahan sebahagian orang awam juga dapat memahami berkenaan penerapan tanda kiamat ini dengan tempoh tertentu dalam sejarah umat manusia.

iii. Berhati-hati dalam menetapkan kesesuaian nas dengan realiti

Sikap berhati-hati juga perlu ditekankan dalam berinteraksi dengan dalil yang menerangkan peristiwa akhir zaman. Hal ini kerana jika proses berhati-hati tidak diambil berat, implikasi negatif yang ditimbulkan oleh sikap tergesa-gesa dalam menyesuaikan dalil dengan realiti tidaklah kecil. (Luqmanul Hakim, 2019)

Antara pendekatan yang difikirkan relevan untuk memastikan sikap keberhati-hatian ini adalah dengan tidak mengaitkan sesuatu nas akhir zaman dengan mana-mana situasi secara pasti, melainkan terdapat isyarat yang menyatakan dengan jelas berkenaan realiti yang cuba dikaitkan dengan dalil yang dikemukakan.

Pada masa yang sama, penyesuaian antara nas dengan realiti ini juga adalah dengan syarat tidak berlaku perselisihan pandangan dalam kalangan ulama berhubung isyarat yang mengarahkan kepada penyesuaian antara peristiwa yang berlaku dengan nas. (Al-Qudhah, 2016)

iv. Tidak menetapkan secara spesifik tarikh atau waktu terjadinya kiamat

Kaedah ini juga adalah sangat kritikal kerana ia berkait dengan tanda-tanda kiamat yang belum lagi terjadi. Disebabkan itu, pendekatan menetapkan waktu terjadinya tanda kiamat hendaklah dihindari. Menurut Lukamanul Hakim dan Muhammad Yusram (2019), usaha-usaha untuk menentukan waktu turunnya Imam Mahdi telah berlaku sejak zaman dahulu.

Sebagai contohnya, penetapan Imam Al-Barzanjiy yang mengatakan bahawa kemunculan Imam Mahdi akan terjadi pada akhir 100 tahun yang pertama (maksudnya 1100 Hijrah), dan jika tidak terjadi, menurut Imam Al-Barzanjiy kemunculannya tidak akan meleset melebihi akhir 100 tahun yang kedua (iaitu tahun 1200 Hijrah). Namun begitu, seperti yang diketahui usaha-usaha ini akhirnya berakhir dengan kegagalan dan kekecewaan seperti mana persaksian Ibnu Khaldun dalam kitabnya yang berjudul Muqaddimah. (Luqmanul Hakim, hlm. 83)

v. Tidak memastikan kebenaran interpretasi yang dilakukan

Penetapan tanda-tanda kiamat dalam ruang realiti biasanya hanya berdasarkan kepada dugaan (zann) semata-mata. Oleh itu, walaupun kadang-kadang terdapat kemiripan antara dugaan yang dilakukan dengan tanda kiamat yang cuba diinterprestasikan, ia adalah suatu yang tidak beretika untuk mengatakan dengan pasti (confirmed) berkenaan penentuan tanda kiamat yang dilakukan. (Luqmanul Hakim, 2019) Disamping itu, menurut Alang Ibn Shukrimun (2018), berpegang dengan penuh yakin terhadap hadis-hadis yang berstatus zann bukan sahaja boleh boleh mendedahkan seorang kepada kesilapan, malah ia boleh membawa kepada kesesatan, dosa dan bahkan terjerumus ke lembah kekufuran.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.