Saya masih ingat lagi pada tahun 2010, iklan pertama K-On! mula muncul di saluran Animax. Dari iklan tersebut, saya meneka kisah anime ini hanyalah tentang kehidupan 4 (kemudiannya 5 – Azusa) pelajar perempuan berkenaan kelab muzik mereka. Turut disertakan sekali dengan iklan itu ialah peluang untuk memenangi gitar elektrik berjenama Gibson les Paul berwarna hitam putih. Buat mereka yang tak tahu, jenama Gibson bagi gitar adalah seperti BMW bagi kereta. Jenama kelas tinggi.

Sebagaimana budak remaja yang bosan di rumah, saya mengambil keputusan untuk menonton anime berkenaan. Apa yang saya tak tahu waktu tersebut ialah, anime ini akhirnya menjadi ‘game changer’ bagi industri animasi Jepun, dan sampai sekarang pengaruhnya wujud dan menjadi lagenda ikon anime bagi era sekarang.

Anime tersebut, K-On! (dan juga K-On!! bagi musim kedua) mengisahkan tentang kehidupan seharian ahli kelab muzik ringan Sakuragaoka daripada tahun pertama mereka hinggalah ke hari graduasi. Sebagaimana artikel saya berkenaan hasil kerja KyoAni, saya akan sertakan banyak media jenis GIF untuk tunjukkan hasil sinematografinya. Keseluruhan media berdasarkan K-On! adalah hak milik Kyoto Animation, Pony Canyon dan yang terlibat dengannya.

Sebelum kita bermula jauh, saya mahu mendefinisikan genre yang dibawa oleh anime ini, yakni Moe dan Slice of Life. Moe dari sudut takrifan bahasa Jepun bermaksud comel, ‘innocent’ dan ‘adorable’. Slice of Life, atau SoL sebagai singkatan, merujuk kepada trope sastera berkenaan kisah seharian dan selalunya tak mempunyai plot berat. Apabila kita gabungkan kedua jenis trope ini, maka kita akan dapat trope CGDCT. Cute Girls Doing Cute Things.

Gambar: Ahli kelab muzik ringan berserta Azusa (ahli junior) di tengah.

Dari sudut sejarah analisa trope dalam industri animasi Jepun, kita sudah pun mempunyai beberapa contoh terkenal anime yang menggunakan resepi CGDCT. Antara contoh anime-anime berkenaan ialah Azumanga Daioh dan Lucky Star. Namun, resepi ni meledak dahsyat selepas K-On! muncul. Anime-anime yang mempunyai motif sama menjadi popular dan bercambah seperti cendawan. Kita mula mendapat anime seperti Hyouka dan Oregairu (My Teen Romantic Comedy SNAFU) yang menjadi nama besar dalam genre anime SoL.

Juga, tema muzik yang merupakan tulang belakang kepada anime K-On! telah membawa anime bergenre idol seperti iDOLM@STER dan Love Live! dihasilkan pada sekitar tahun yang sama, serta menjadi gergasi industri hiburan Jepun. Macam mana anime yang berdasarkan komik 4 panel berkenaan kisah seharian ahli kelab muzik, yang langsung tak mempunyai plot, dengan penceritaan yang mendatar, boleh menjadi ikon budaya pop anime, membawa industri beratus juta USD kepada Jepun dan cetuskan era anime CGDCT? Jawapannya terletak pada studio animasi K-On! itu sendiri, Kyoto Animation (KyoAni).

Sebelum kita melonjak jauh kepada perihal KyoAni dan K-On!, saya ingin menyentuh sedikit tentang apa yang menyebabkan anime/manga menjadi aset kebudayaan pada masyarakat Jepun. Saya akan sentuh benda ni dengan terperinci pada artikel yang lain tapi buat masa ini, inilah rumusan saya:

1) Ia senang dikenalpasti dan mudah dihadam oleh orang ramai dengan cepat
2) Ia meninggalkan kesan terhadap masyarakat lokal dan global
3) Mempunyai ‘point of culture’ yang bertindak sebagai aset kebudayaan.
Contoh paling mudah yang boleh dilihat ialah anime One Piece.

1) Rata-rata generasi sekarang kenal dan tahu tentangnya.
2) Industri berdasarkan One Piece dianggarkan melebihi beratus-ratus juta USD. Pendapatan bersih per tahun Eichiro Oda, penulis/pelukis One Piece sahaja dah mencapai USD 20-30 juta.
3) One Piece mempunyai muzium dan taman tema yang bertindak sebagai ‘point of culture’.

Gambar: Taman tema One Piece di Jepun.

Dalam kebanyakan kes, kriteria 1 dan 2 mudah dicapai oleh mana-mana anime/manga yang popular. Namun, kriteria 3 hanya dapat dicapai oleh sesetengah anime/manga yang sangat berpengaruh. Kriteria 3 ini penting dalam klasifikasi aset kebudayaan yang saya cerita di sini kerana ia menjadi bahan eksport budaya Jepun kepada dunia global. Untuk mencapai kriteria ketiga ni, anda memerlukan anime bertaraf lagenda budaya pop seperti K-On! dan Evangalion hinggalah ke taraf ‘khazanah negara’ seperti hasil karya Ghibli, Dragonball dan JoJo’s Bizarre Adventure.

Jadi, apa hujah yang membuktikan K-On! ni memenuhi kriteria-kriteria di atas sebagai ikon dan aset kebudayaan Jepun? Di sini disertakan senarai pencapaiannya:

• Pada tahun 2011, siri K-On! menjadi francais TV Jepun pertama yang memegang rekod jualan BDs (Blu Ray discs) sebanyak 500,000+, sekaligus menjadi siri anime dengan jualan BDs terbaik pada waktu itu.

• Album muzik anime ini, K-On! Houkago Tea Time I mencapai jualan CD sebanyak 67,000 salinan, sekaligus mendapat kedudukan pertama dalam Oricon Weekly Chart (Billboard versi Jepun) pada bulan Julai, 2009. Menariknya, album ini ialah album karakter anime pertama yang dapat mencapai tahap ini.

• Album seterusnya, K-On! Houkago Tea Time II memecahkan rekod lama dengan hasil jualan sebanyak 127,000 salinan, dan sekali lagi mendapat kedudukan pertama pada bulan Oktober, 2010.

• Lagu tema pembukanya, ‘Cagayake! Girls’ dan ‘Don’t Say Lazy’ mencapai taraf jualan Platinum (jualan sebanyak 250,000 salinan lagu) dan ‘Utauyo! Miracle’ pula mencapai taraf Gold (100,000 salinan lagu).

• Pada tahun 2009, sekolah yang menjadi sumber inspirasi kepada anime ini diubah menjadi muzium sebagai aset kebudayaan dan sampai sekarang masih lagi menjadi destinasi popular bagi peminat anime. Ingat tak saya cerita tentang kriteria ketiga?

• Pada tahun 2011, akhbar Jepun The Sankei News melaporkan terdapat peningkatan mendadak terhadap jualan gitar elektrik pada waktu tersebut. Akhbar tersebut kemudiannya mengkreditkan peningkatan jualan gitar ini kepada populariti K-On! serta kumpulan idol AKB48.

• Disebabkan sambutan yang tinggi terhadap muzik, sebuah ‘live concert’, K-ON! Live Event ~Come with Me!!~, di mana semua pelakon suara ahli kelab K-On! bermain sebagai ahli kugiran dan bernyanyi sekali telah diadakan.

• Jualan terkumpul produk K-On! pada tahun 2011 disahkan sebanyak USD 192 juta. Ini adalah sebelum filem K-On!! dikeluarkan.

Anime ini juga mendapat pujian daripada pihak pengkritik berdasarkan anugerah yang dimenangi mereka seperti anime terbaik (Tokyo Anime Award, 2010 dan 2011)(Anime Grand Prix,2009), lagu tema terbaik (Animation Kobe, 2009), filem terbaik (Animation Kobe, 2012) serta pelakon suara mereka yang memenangi pelbagai anugerah seperti persembahan muzikal terbaik dan pelakon suara terbaik (Seiyu Awards, 2009 dan 2010). Oh ya, segala jeis maklumat pencapaian yang saya tulis di atas adalah ringkasan daripada pencapaian sepenuhnya.

Menariknya, kebanyakan orang kuat yang terlibat dalam penghasilan anime ini adalah muka-muka baru dan yang kemudiannya menjadi terkenal dan diiktiraf dalam industri anime/manga sebagai bakat-bakat baru. Pelakon suara seperti Toyosaki Aki (Hirasawa Yui) dan Takesatsu Ayana (Nakano Azusa) waktu sekarang adalah antara nama nama terkenal. Nama penggubah lagu K-On!, Tom H@ck juga sekarang dikenali nama besar dalam dunia muzik Jepun.

Studio KyoAni yang baru nak menapak akhirnya menjadi nama gergasi pasca K-On!. Walau bagaimanapun, semua benda ni tak sah kalau saya tak ceritakan tentang lahirnya pengarah genius bernama Naoko Yamada dan ya, ini adalah karya anime penuh pertama yang diarahnya. Dari sinilah bermulanya cerita bagaimana K-On! boleh menjadi terkenal. Semua ini terjadi disebabkan sentuhan magis Naoko Yamada dan barisan kru KyoAni yang berbakat.

Gambar: Bilik kelab muzik ringan dalam sekolah yang dijadikan muzium K-On!

Seperti yang saya pernah tulis dalam artikel sebelum ini (rujuk https://thepatriots.asia/kyoto-animation-kesan-dasar-sosialisme-terhadap-studio-anime/), KyoAni dikenali sebagai antara studio animasi dengan dasar bekerja yang bagus. Disebabkan dasar-dasarnya, maka barisan pekerjanya dipenuhi dengan orang-orang yang berbakat. Sebagaimana studio animasi lain yang terkenal, KyoAni juga mempunyai ‘signature style’ tersendiri yang menjadikan mereka unik dan berkualiti tinggi. Antara ‘signature style’ tersebut ialah ‘rule of third’ dan ‘art of subtleties’.

Gambar: Teknik Rule of Third dalam anime Violet Evergarden, hasil karya KyoAni. 2/3 daripada gambar ini ialah kawasan bertanah, manakal 1/3 lagi ialah langit. Juga, terdapat garisan lurus yang mencipta horizon di belah belakang tasik yang menjadi sempadan tasik.

Gabungan ini selalunya mewujudkan teknik penceritaan yang realistik dan ‘cinematic’. Pada awalnya, teknik ini tak begitu ketara pada zaman awal KyoAni. Namun, bermula daripada siri Clannad, teknik ni semakin ketara. Kemudiannya, kita mendapat anime seperti Suzumiya Haruhi no Yuutsu, Love, Chunibyo & Other Delusions dan seterusnya. Hal ni sekaligus mewujudkan asas kepada ‘signature style’ Kyoani-esque. Pengarah yang berpengaruh dalam melahirkan Kyoani-esque ini yakni Ishihara Tatsuya, juga merupakan pengarah kepada anime yang saya sebut sebentar tadi, telah mengenal pasti seorang animator berbakat dan kemudiannya menjadikannya sebagai anak didik beliau. Beberapa tahun lepas itu, animator tersebut telah dipilih untuk menjadi pengarah penuh dan karya anime tersebut mengukuhkan 100% teknik Kyoani-esque secara keseluruhannya. Pengarah Naoko Yamada dan K-On!

Dalam satu temubual, Yamada menyebut:

“Saya nak cipta sesuatu di mana mereka ini (merujuk kepada Yui dan rakan-rakannya) rasa seperti manusia. Contohnya, bunyi tapak kaki Yui menghentak lantai, sewaktu dia memakai seluar ‘tights’, atau bunyi mereka bernafas. Ia adalah kerja menjadi obses dalam mewujudkan sensasi realistik.”

“Bahasa, visual dan bunyi…apabila penonton merasai semua ini sekaligus, hati mereka akan tersentuh.”

“Anime ialah kerangka-kerangka berkenaan sesuatu yang manusia cipta untuk berkomunikasi. Proses animasi tersebutlah yang menggerakkan hati manusia. Jangan sesekali kita lupa benda ni dalam mencipta sesuatu.”

Dari sini, Yamada menceritakan tentang teknik ‘art of subtleties’ berkenaan K-On! Dan anime KyoAni lain secara amnya. Namun, Yamada telah membawa teknik ke tahap batasannya. Demi mewujudkan suasana yang lebih realistik, apa yang Yamada perlukan hanyalah bahasa badan. Contoh paling mudah bagi ini ialah dengan perhatikan gif di bawah:


Sekiranya anda perhatikan cara mereka melompat, anda boleh meneka personaliti masing-masing. Mio yang merupakan pelajar contoh di sekolahnya melompat dengan bagus. Azusa yang mengidolakan seniornya, Mio, cuba untuk meniru lompatan beliau tapi gagal. Yui merupakan seorang ‘airhead’ dan juga protagonis utama, maka lompatan dia ialah lompatan terakhir tapi cemerkap.

Ritsu ialah suka bermain-main, jadi lompatan dia pun main main. Mugi pula orang kaya elit yang suka pada benda-benda marhaen, jadi cara lompatan dia macam seorang fangirl sebab tengok kawan-kawan dia buat macam ni. Mungkin yang Mugi tu payah nak teka, tapi kebanyakan personaliti mereka semua ni dapat dilihat berdasarkan bahasa badan mereka sahaja.

Oleh sebab itulah, Yamada juga dikenali sebagai ‘method director’. Teknik beliau lebih kepada ketelitian terhadap benda yang nampak remeh, tapi memberi nyawa kepada watak-wataknya seperti GIF di atas. Bagi mereka yang tak tahu, Naoko Yamada ini juga merupakan pengarah kepada filem animasi Koe No Katachi (A Silent Voice).

Pencapaiannya terhadap K-On! hinggalah Koe No Katachi ni secara tak langsung menjadikan namanya sama tinggi dengan Makoto Shinkai (Your Name). Kedua-dua mereka ini dianggap sebagai ‘Miyazaki era sekarang’. Ya, Miyazaki yang dimaksudkan di sini ialah pengarah genius studio Ghibli yang menghasilkan karya seperti The Spirited Away.

Ok, saya sudah selesai bercerita tentang teknik arahan dan penceritaan. Sekarang saya nak masuk tentang karakter dalam anime ini sendiri. Kita mempunyai 5 watak utama yang menjadi teras anime ini yakni Hirasawa Yui (lead singer, lead guitarist), Akiyama Mio (co-singer, bass guitarist), Tainaka Ritsu (drummer) dan Kotobuki Mugi (keyboardian). Tahun seterusnya, mereka memperoleh Nakano Azusa (rhythm guitarist) sebagai ahli terbaru mereka. Namun, protagonis terutama anime ini ialah Hirasawa Yui dan perjalanannya sebagai seorang ahli kelab muzik ringan.

via GIPHY Gambar: Babak Yui pada episod pertama

Pada awalnya, kita dikenalkan Yui sebagai seorang yang cemerkap dan kelihatan agak ‘slow’. Malah, antara sebab utama kenapa dia masuk kelab muzik ringan ini ialah dia ingat main muzik ni setakat main kastanet.

Pada episod seterusnya, kita ditunjukkan bahawa Yui ni bukannya tak bijak, tapi tak fokus dalam melakukan sesuatu. Kita kerap kali ditunjukkan babak yang memaparkan Yui yang selalu hilang fokus seperti bermain dengan kucing walaupun sebelum itu dia tengah berlari ke sekolah kerana lambat. Juga, dia mendapat keputusan peperiksaan yang teruk, tapi mendapat keputusan markah 100% selepas dia mengambil semula peperiksaan tersebut selepas fokus.

Sebelum dia memasuk kelab muzik ringan, Yui langsung tak mempunyai matlamat mahupun fokus dalam kehidupannya. Namun, kehidupannya mula berubah setelah dia mula mempunyai matlamat dan fokus – menjadi gitaris yang bagus. Pada episod pertama musim pertama (K-On!), dia merupakan pelajar baru yang cemerkap, ‘bubbly’ dan tak mempunyai sebarang matlamat. Pada episod pertama musim kedua (K-On!!), kita ditunjukkan babak di mana Yui berjalan terus ke sekolah, mara ke bilik kelab dan berlatih main gitar.

Ini ialah Yui pada zaman senior tahun ketiga. Dia masih lagi merupakan seorang yang cemerkap, tapi sudah mempunyai fokus. Disebabkan ini, musim kedua K-On!! pula memfokuskan terhadap interaksi ahli junior mereka, Azusa dengan seniornya yang bakal bergraduasi.

via GIPHY Gambar: Situasi slapstik biasa oleh Mio dan Ritsu.

Sepanjang anime ini ditayangkan, kita mula melihat sifat dan perwatakan yang ada dalam K-On!. Kita ditunjukkan dengan sifat pemalu Mio sang pelajar contoh dan sifat main main Ritsu. Kemudiannya, kita dipaparkan dengan sifat ingin tahu Mugi terhadap gaya hidup orang biasa serta sifat tsundere Azusa. Menariknya, kesemua watak-watak ini melengkapi antara satu sama lain. Ritsu mahu menghidupkan kelab muzik ringan di sekolah namun selalu tak serious, dan ini menyebabkan dia selalu dimarahi Mio. Mugi yang memasuki kelab muzik ringan sebab melihatkan suasan santai kelab tersebut dan selalu menjadi pembekal makanan kepada mereka semua.

Sifat ‘airhead’ Yui selalunya menyebabkan mereka semua lebih anyak meluangkan masa melepak memakan kek berbanding berlatih alat muzik. Azusa yang sememangnya berasal daripada keluarga ahli muzik selalu memarahi mereka kerana tak berlatih dan senang berempati dengan Mio yang juga membawa sentimen yang sama. Bezanya, Mio ni pun senang masuk air dengan Yui, Ritsu dan Mugi.

Juga, kita mempunyai watak cikgu Sawaka, guru contoh dan popular yang bertindak sebagai guru penasihat mereka. Di sebalik persona bagus cikgu Sawako, dia sebenarnya merupakan bekas ahli band death metal bernama Death Devil dan fakta ini digunakan oleh Ritsu untuk mengugut cikgu Sawako supaya menjadi guru penasihat mereka. Menariknya, setiap daripada semua watak-watak dalam K-On! ni mempunyai dinamik yang berlainan terhadap semua karakter.

Gambar: Ahli kelab muzik ringan (selain Azusa) yang lebih banyak bermain-main daripada berlatih.

Kita ambil contoh dalam babak curi strawberi di bawah. Ia adalah fakta bahawa Mio dan Ritsu sentiasa bergaduh kerana perangai Ritsu. Namun, apa yang akan jadi kalau Mugi, pelajar yang dilihat sebagai puteri bangsawan cuba mengusik Mio hanya kerana dia nak dipukul seperti Ritsu sebab dia tengok benda tu macam seronok?

Hasilnya ialah babak ini. Sewaktu mereka dalam sesi melepak harian, Mugi bertindak mencuri strawberi pada kek milik Mio. Sebelum ini, Mio mengatakan dia pernah memukul Ritsu sebab buat benda yang sama. Oleh sebab Mugi ni dilihat sebagai watak puteri yang ‘innocent’, Mio hanya mampu menangis sahaja sebab dia tak boleh nak pukul mahupun marah pada Mugi.

Pada penghujung cerita, Mugi meminta maaf kepada Mio dan menceritakan hasrat untuk dipukul oleh Mio. Mio cuba untuk berbuat demikian, tapi akhirnya memilih untuk memukul Ritsu tanpa sebarang sebab. Seperti yang saya cakap, di mata Mio, Mugi adalah seorang puteri.

via GIPHY. Gambar: Mugi mencuri strawberi dari kek Mio

Hasil dari interaksi dinamik karakter dan teknik penceritaan yang mementingkan realisme, watak-wataknya terasa hidup. Ia melekat pada jiwa anda. Lagi-lagi kalau ceritanya berdasarkan benda benda yang sememangnya berlaku dalam kehidupan seharian. Disebalik zaman di mana industri anime mula merudum disebabkan ketepuan genre, K-On secara tak sengaja cetuskan era anime baru yakni CGDCT. Masyarakat Jepun dan global terjumpa sumber eskapisme terbaru.

Relaks. Janganlah sebab nak lari dari kebingitan dunia kita beralih kepada sumber hiburan dan sastera yang berat. Kadang-kadang, apa yang kita perlukan hanyalah mengambil langkah perlahan dan bergembira dengan setiap benda kecil yang ada pada dunia. Bak kata Yui,

Ya, buatlah benda yang buat anda rasa gembira. Inilah intipati dan ‘charm’ yang ada pada K-On. Tak kisahlah demografik dan umur penontonnya, anime ini selama-lamanya akan memenuhi hati anda dengan perasaan ‘heartwarming’ dan kegembiraan. Semua ini juga takkan terjadi kalau ia tak diolah dengan realistik tapi pada masa yang sama, ringan bak lagu mereka, Fuwa Fuwa Time (Light and Fluffy Time)

Mengakhiri artikel ini, saya sertakan sekali playlist semua lagu K-On! di bawah. Kalau ikut pandangan saya, saya sarankan lagu lagu seperti Cagayake! Girls, No Thank You, Utauyo! Miracle dan Fuwa Fuwa Time.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.

Comments are closed.