PENGENALAN

Wang Chao, Ma Han, Zhang Long, Zhao Hu! Mulakan sidang mahkamah!” – Hakim Bao

Digambarkan sebagai mempunyai wajah hitam dengan lambing bulan sabit di dahi oleh opera-opera China, pingshu, dan drama bersiri terkenal, Justice Bao, Bao Zheng merupakan seorang tokoh politik dan sejarah yang terkenal dan diangkat menjadi lagenda oleh rakyat-rakyat China.

Membesar di sebagai seorang rakyat biasa kelas pertengahan, kesusahan yang dihadapi oleh orang-orang sekeliling yang dilihat oleh beliau semasa zaman mudanya telah mempengaruhi cara pentadbiran beliau yang sangat adil dan saksama, sehingga beliau digelar Bao Qingtian (包青天) atau ‘Pencerah Langit Bao’.

Bagi lagenda China, wajah hitam Bao Zheng menggambarkan perwatakan beliau yang tegas dan kuat serta boleh dipercayai. Manakala simbol bulan sabit di dahi beliau menggambarkan beliau sebagai seorang yang mempunyai hati yang terang dan suci.

LATAR BELAKANG

Lahir pada 5 Mac 999 di Luzhou, atau nama barunya, Hefei, Wilayah Anhui, Bao Zheng (包拯; Bāo Zhěng) merupakan seorang pegawai kerajaan ketika zaman pemerintahan Maharaja Renzong ketika Dinasti Song. Bapanya, Bao Lingyi (包令仪) merupakan seorang ahli sarjana dan pegawai, manakala datuknya, Bao Shi Tong (包士通) merupakan seorang rakyat biasa.

Meskipun lahir di kalangan rakyat biasa, ibubapanya masih mampu menghantar beliau ke sekolah, namun mereka bukanlah golongan berada, sehingga pernah diceritakan bahawa ibunya pernah mendaki gunung bagi mencari kayu api sebelum melahirkan beliau. Kesukaran hidup yang dihadapi beliau dan penyaksiannya terhadap kehidupan orang-orang sekeliling menyebabkan beliau membenci rasuah dan inginkan keadilan kepada orangnya.

Pada umur 29 tahun, beliau berjaya lulus dalam peperiksaan diraja peringkat tertinggi, sekaligus melayakkan beliau bergelar sebagai Jinshi, atau cendekiawan elit, atau bagi istilah moden, Doktor Falsafah, PhD. Undang-undang kerajaan pada waktu itu mengatakan bahawa orang yang memegang gelaran Jinshi layak memegang jawatan sebagai ketua pegawai sesuatu wilayah, dan Bao Zheng dilantik menjadi majistret.

Namun, oleh kerana berbakti kepada ibu bapa dilihat sebagai suatu sifat yang amat dipandang tinggi ketika itu, beliau terpaksa meletak jawatan tersebut bagi menjaga kedua ibubapanya yang sudah tua dan uzur selama 10 tahun. Hanya selepas ibubapanya m3n1ngg4l dunia, beliau dilantik semula menjadi majistret di wilayah Tianchang ketika beliau berumur 39 tahun.

Semasa tempoh Bao Zheng menjaga ibu-bapanya yang uzur, Liu Yun, merangkap majistret di Daerah Luzhou, mempunyai hubungan yang akrab dengan Bao Zheng. Sifat Liu Yun yang meletakkan taat-setia kepada maharaja dan kecintaannya kepada negara dan rakyat telah banyak mempengaruhi pemikiran dan tindak-tanduk Bao Zheng ketika beliau berkhidmat sebagai pegawai kerajaan 10 tahun kemudian.

Bao Zheng telah memegang jawatan-jawatan tinggi sepanjang tahun-tahun perkhidmatannya kepada Maharaja Renzong,seperti Timbalan Menteri Kewangan, Timbalan Menteri Pertahanan, dan Gabenor ibu kota Kaifeng (开封府).

PERKHIDMATAN BAO SEBAGAI PEGAWAI RASMI

 

Bao Zheng, simbol keadilan dan kesaksamaan. Gambar diambil dari laman theepochtimescom

 

Ketika beliau memegang jawatan sebagai seorang majistret di wilayah Tianchang, di sinilah beliau mula menempa namanya sebagai seorang hakim yang bijaksana. Beliau berjaya menyelesaikan kes bagi mencari dalang di sebalik kes lidah lembu d1p0t0ng, dimana beliau mengarahkan pengadu merangkap tuan punya lembu menyembelih dan menjual daging lembu tersebut bagi mengumpan pelaku tersebut keluar berjumpa Bao Zheng.

Pada tahun 1040, Bao dilantik menjadi ketua pegawai di selatan Duanzhou, sebuah wilayah yang terkenal dengan lesung dakwat yang berkualiti tinggi. Di sana, beliau telah berjaya menyelesaikan sebuah kes yang melibatkan lesung dakwat yang digunakan oleh ketua-ketua pegawai sebelumnya bagi tujuan rasuah. Beliau menghapuskan amalan tersebut dengan mengarahkan pihak pengeluar menghadkan menghadkan pembikinan lesung dakwat sekadar yang diminta sahaja.

Berikut merupakan sebuah puisi yang dinukilkan oleh Bao ketika beliau mentadbir Duanzhou:

清心為治本 (qīng xīn wèi zhì běn)
直道是身謀 (zhí dào shì shēn móu)
秀幹終成棟 (xiù gàn zhōng chéng dòng)
精剛不作鉤 (jīng gāng bù zuò gōu)
倉充鼠雀喜 (cāng chōng shǔ què xǐ)
草盡兔狐愁 (cǎo jǐn hú tù chóu)
史冊有遺訓 (shǐ cè yǒu yí xùn)
勿貽來者羞 (wú yí lái zhě xiū)

Terjemahan Inggeris:

The essence of governing is to have a cleansed heart,
The strategy of life is to follow upright ways.
An elegant stem will eventually turn into a pillar,
Refined steel cannot be bent into a hook.
Rats and sparrows overjoy when the granary is full,
Rabbits and foxes worry when the grassland dies.
History books contain teachings by those deceased:
Don’t leave your descendants with only embarrassment!

Terjemahan penulis:

Teras pentadbiran ialah punya hati yang telah disucikan,
Kaedah hidup ialah wajib mengikut jalan yang benar.
Tangkai yang indah mampu menjadi sebuah tonggak,
Keluli tulen tak boleh dibengkok menjadi cangkuk.
Tikus dan burung amat sukacita bila jelapang berisi penuh,
Arnab dan musang berasaa runsing bila rumput di padang mati.
Buku sejarah terkandung ajaran oleh orang terdahulu:
Janganlah kau wariskan penghinaan kepada keturunanmu!

Pada tahun 1044, Bao Zheng berkhidmat sebagai Pegawai Pemeriksa di ibu negara. Sepanjang dua tahun pertama beliau sebagai Pegawai Pemeriksa, beliau telah mengemukakan 13 memorandum berkenaan hal ehwal ketenteraan, percukaian, sistem pemeriksaan, & ketidakjujuran dan ketidakekapan pegawai kerajaan kepada Maharaja Renzong. Pada tahun 1045, Bao dihantar ke kerajaan dinasti Liao sebagai utusan bagi menyelesaikan kes pegawai Liao menuduh dinasti Song mencabul perjanjian damai.

Bao Zheng pernah menyandang beberapa jawatan besar sepanjang tahun-tahun beliau berkhidmat di ibu negara, iaitu Pesuruhjaya Kewangan di Hebei, Timbalan Pengarah Kementerian Pengadilan, Timbalan Pengarah Kementerian Kewangan, dan Pembantu di Akademi Hanlin (直集賢院).

Pada 12 Julai 1050, Bao Zheng, bersama dua orang pegawai pemeriksa mempersoalkan kenaikan pangkat bapa saudara kepada gundik kesayangan Maharaja Renzong, Zhang Yaozuo (張堯佐), daripada jawatan kecil ke pegawai tinggi kerajaan, dengan menghantar memorandum kepada Maharaja. Walaupun memorandum pertama tidak dipedulikan oleh Maharaja, namun Bao tetap tidak berputus asa, dan kemudian menghantar memorandum kedua.

Maharaja kemudian menarik balik jawatan Zhang Yaozuo sebagai Pesuruhjaya Kewangan Negeri (三司使), namun melantik beliau menjadi Pesuruhjaya Petugas Istana, Pesuruhjaya Ketenteraan Huainan, Ketua Tentera Qunmu, dan Pesuruhjaya Istana Jingling. Akhirnya, setelah Bao menghantar memorandum ketiga pada 26 Disember 1050, Zhang Yaozuo disingkirkan dari jawatan Pesuruhjaya Petugas Istana, dan Pesuruhjaya Istana Jingling.

Sebanyak 30 orang pegawai tinggi telah diturunkan pangkat atau dipecat atas sebab rasuah dan kelalaian menjalankan tugas oleh Bao Zheng semasa beliau berkhidmat kepada kerajaan beliau. Pada tahun 1057, Bao Zheng dilantik menjadi majistret di ibu kota Bian, nama lama bagi Kaifeng. Walaupun beliau hanya berkidmat di sana selama setahun, beliau telah membuat pelbagai pembaharuan, seperti membenarkan rakyat mengemukakan aduan terus kepada pentadbir bandar secara lisan tanpa perlu melalui proses pejabat terlebih dahulu.

Pernah diceritakan bahawa pada suatu ketika, Kaifeng dilanda banjir. Hasil siasatan oleh Bao Zheng telah mendedahkan banjir itu disebabkan oleh taman dan astaka yang dibina secara haram oleh keluarga-keluarga yang berpengaruh, dimana ianya menghalang air sungai dari mengalir secara semulajadi. Beliau dengan jayanya menyelesaikan masalah ini dengan memusnahkan taman dan astaka tersebut, dan banjir pun surut dengan sendiri.

Walaupun Bao Zheng memegang jawatan tinggi kerajaan, beliau hidup secara sederhana. Beliau amat tegas dengan ahli keluarganya, dimana anak-anaknya tidak melakukan pembaziran atas pengaruh ajaran beliau. Bao Zheng telah menetapkan bahawa sekiranya anak cucunya melanggar peraturan atau mengamalkan rasuah ketika menjadi pegawai kerajaan, dia dilarang untuk kembali ke kampung halaman atau dikebumikan di tanah perkuburan keluarga. Hasilnya, anak-anak Bao Zheng yang memegang jawatan kerajaan mengikut tunjuk ajar beliau dan diangkat serta dipuji oleh para rakyat marhaen.

DRAMA WUXIA JUSTICE BAO

Bawa tertuduh ke hadapan!” – Hakim Bao

Justice Bao (1993-94) merupakan sebuah drama televisyen dari Taiwan, dan telah ditayangkan buat pertama kali di CTS atau Chinese Televisyen System sejak Februari 1993 hingga Januari 1994. Siri drama ini pernah ditayangkan di Malaysia sekitar tahun 1995 di saluran Metrovision, atau kini dikenali sebagai 8TV.

Watak Bao Zheng telah dibintangi oleh Jin Chao-chun. Pada awalnya, hanya 15 episod dijadualkan, namun atas sebab permintaan ramai dan populariti siri ini, CTS telah mengembangkan siri ini kepada 236 episod. Watak fiksyen Zhan Zhao dan Gongsun Ce, yang masing-masing memegang jawatan sebagai pengawal imperial dan setiausaha Bao Zheng, masing-masing dilakonkan oleh Kenny Ho dan Fan Hung-hsuan.

Terdapat beberapa siri dan versi Justice Bao yang ditayangkan pada tahun-tahun yang berlainan, seperti 1974 hingga 1975, 1994, 1995, 1995 hingga 1996, 2008, dan 2010 hingga 2012, beberapa siri Young Justice Bao pada 1994 dan 2000, serta Justice Bao: The First Year yang telah ditayangkan pada tahun ini. Drama ini juga mempunyai pelbagai versi dub selain versi asal Mandarin, iaitu Kantonis, Tagalog, Thai, Vietnam, serta Khmer.

RUMUSAN

Arca Bao Zheng di Taman Xiqing, Hebei, China. Gambar diambil dari laman peoplepill.com

Sifat Bao Zheng yang sering menegakkan keadilan tanpa diskriminasi ketika riwayat hidup beliau sebagai seorang pegawai kerajaan, negarawan, dan hakim menyebabkan namanya diangkat menjadi sebuah lagenda dan simbol keadilan China.

Beliau bukan saja disukai oleh rakyat marhaen, beliau juga dikagumi oleh Maharaja Renzong atas sifat adilnya yang kuat dan tidak takut terhadap tindakan pihak berpengaruh dan kerabat diraja keatas beliau selaku seorang majistret.

Sesi mahkamah ditangguhkan!” – Hakim Bao

RUJUKAN

1) Ang, J. (2019, Januari 4). Is Justice Bao’s Face Really ‘Black’?. Epoch Times. Singapore Edition. Diambil pada 17 November 2019 dari https://epochtimes.today

2) Wu, D. (2014, Disember 17). Historical Figures: Bao Zheng, Symbol of Justice and Fairness. The Epoch Times. Diambil pada 17 November 2019 dari https://www.theepochtimes.com

3) Jaide, D. (2014, Disember 23). Bao Zheng – The Black Chinese Lord of Justice. Diambil pada 17 November 2019 dari https://www.africaresource.com/rasta/sesostris-the-great-the-egyptian-hercules/bao-zheng-the-black-chinese-lord-of-justice

4) Girap, S. (2018, Oktober 25). Bao Zheng. Diambil pada 17 November 2019 dari https://alchetron.com/Bao-Zheng

5) Qinfa, Y. (n.d.). Bao Zheng. Diambil pada 17 November 2019 dari https://web.archive.org/web/20130515073044/http://chineseculture.about.com/library/weekly/aa110200a.htm

6) How Justice Bao’s Remains Got Scattered Throughout the Country. (2019, Julai 25). Diambil dari https://www.jaynestars.com/news/how-justice-baos-remains-got-scattered-throughout-the-country

7) Bao Zheng. (2017, Mac 1). Diambil dari https://history.followcn.com/2017/03/01/bao-zheng

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

A guy who somehow doesn't really follow latest trends and news, except the important ones. Loves unpopular stuffs, and memes. Graduates of Diploma in Biomedical Electronics Engineering. Nothing to see here.

Comments are closed.