Suku Jurchen (juga dikenali sebagai Nuzhen) merupakan sebuah konfederasi suku bukan-China yang menetap di bahagian timur laut China (juga dikenali sebagai Manchuria), yakni di wilayah Liaoning, Jiling dan Heilongjiang moden. Suku ini merupakan sebahagian daripada keluarga penutur bahasa Manchu-Tungu.

Suku Jurchen memberikan pengaruh yang cukup besar dalam sejarah China, memandangkan mereka bertanggungjawab menubuhkan Dinasti Jin yang dianggap sebagai dinasti ‘bangsa gasar’ kedua teragung di utara China. Walaupun wilayah kekuasaan Dinasti Jin tidak merangkumi bahagian selatan China, keturunan langsung mereka, iaitu suku Manchu kemudiannya berjaya menakluki seluruh empayar.

BAHASA JURCHEN

Jika dilihat daripada sudut etnolinguistik, suku Jurchen tergolong dalam keluarga penutur bahasa Manchu-Tungu (juga dikenali sebagai Tungusik), iaitu sub-keluarga terkecil dari tiga buah sub rumpun keluarga bahasa Altaik. Bahasa-bahasa Manchu-Tungu mempunyai kaitan jauh dengan bahasa Turki dan Monggol yang membentuk dua sub-keluarga rumpun bahasa Altaik.

Pada hari ini, terdapat kira-kira 10 hingga 17 buah bahasa Manchu-Tungu dipertuturkan oleh kurang 70 000 orang di dunia. Penutur bahasa ini tidak hanya terhad di timur laut China, yakni di kampung halaman suku Jurchen, akan tetapi ia turut tersebar luas di seluruh Monggolia dan sempadan utara Russia.

Bahasa tertua dalam keluarga bahasa Manchu-Tungu yang diperakui ialah bahasa Jurchen. Namun malangnya, tidak banyak maklumat yang diketahui tentang bahasa ini, memandangkan ia telah pun pupus. Tambahan, tidak banyak tinggalan berbentuk tulisan bahasa Jurchen yang dapat ditemui. Menerusi sejumlah kecil tinggalan yang ditemui dalam bentuk stele di timur laut China dan Korea, ilmuwan memperkirakan bahawa sistem penulisan Jurchen dipinjam daripada sistem penulisan Khitan.

Suku Khitan merupakan suku yang memerintah wilayah utara China sebagai Dinasti Liao, yang kemudiannya digulingkan oleh suku Jurchen. Memandangkan Jurchen menggantikan kekuasaan Khitan di wilayah utara China, maka tidak hairanlah sekiranya mereka turut mengamalkan sistem penulisan mereka.

Peta dinasti Liao yang digulingkan oleh suku Jurchen


Suku Khitan mengubah sistem penulisan mereka untuk lebih memiripi tulisan China, dan hal ini boleh ditemukan pada tulisan Jurchen. Terdapat kemungkinan bahawa Jurchen sama sekali tidak mempunyai sistem penulisan sebelum menjatuhkan Khitan, lantaran selain Jurchen dan Manchu, bahasa-bahasa Manchu-Tungu yang lain tidak mempunyai sebarang tinggalan tulisan.

SEJARAH JURCHEN

Berbanding sejarah bahasa Jurchen dan perkembangannya, maklumat perihal sejarah suku Jurchen adalah lebih jelas. Sebutan pertama tentang suku Jurchen hadir pada kurun ke-10, iaitu apabila Balhae, sebuah kerajaan yang berpangkalan di wilayah Heilongjiang moden, dikuasai oleh Abaoji (dikenali sebagai Maharaja Taizu), seorang pemimpin Khitan dan pengasas Dinasti Liao. Heishui Mohe menyerah-diri kepada Abaoji dan menukarkan nama menjadi Nuzhen.

Menurut historiografi China, Heishui Mohe merupakan keturunan Sushen dan Yilou. Sejarah keduanya ini boleh dijejak kembali pada zaman Dinasti Han. Menurut sumber tradisi, suku Jurchen mengubah nama mereka kepada Nuzhi apabila Yelu Zhongzhen ditabalkan sebagai Maharaja Xingzong pada tahun 1031.

Abaoji menyedari bahawa walaupun Jurchen sudah tunduk kepada pemerintahannya, wujud kemungkinan bahawa suatu hari nanti mereka bangkit menentang Dinasti Liao. Justeru demi mengawal mereka, beliau bertindak memindahkan ribuan orang Jurchen ke wilayah selatan. Orang-orang Jurchen yang telah berintegrasi dengan masyarakat China dan Khitan ini dikenali sebagai ‘Jurchen matang’.

Suku Jurchen yang kekal berada di utara pula dikenali sebagai ‘Jurchen mentah’. Maharaja-maharaja Liao membenarkan ketua-ketua suku Jurchen untuk mentadbir masyarakat mereka sendiri bagi pihak kerajaan. Mereka bahkan dikurniakan gelaran Putera Agung, ataupun Putera.

KLAN WANYAN MEMPERKUAT SUKU-SUKU JURCHEN

Menjelang penghujung kurun ke-10, klan Wanyan muncul sebagai sebuah klan yang menonjol dalam kalangan suku Jurchen. Pada kurun berikutnya, klan Wanyan memperkuat kedudukan mereka, serta menambah baik asas-asas ekonomi dan kesatuan sosial suku-suku Jurchen. Menjelang kurun ke-12, suku Jurchen sudah cukup bersedia untuk menggulingkan pemerintah Khitan dan menubuhkan dinasti mereka yang tersendiri.

Pada tahun 1113, ketua klan Wanyan yang bernama Wanyan Aguda berjaya menyatukan seluruh klan Jurchen. Pada tahun berikutnya, beliau mengisytiharkan p3rang terhadap Dinasti Liao. Pada tahun 1115, Jurchen menjalinkan persekutuan dengan Dinasti Song, yang juga merupakan musuh Dinasti Liao.

Pada tahun yang sama, Wanyan Aguda menabalkan dirinya sebagai maharaja sekaligus menubuhkan Dinasti Jin. P3rang menentang Khitan ini berakhir pada tahun 1125, apabila maharaja terakhir Liao, iaitu Maharaja Tianzuo ditangkap.

Sejurus selepas kejatuhan Dinasti Liao, suku Jurchen membelakangkan persekutuan dengan Song. Mereka melanjutkan kempen ketenteraan ke selatan dan menyerang wilayah-wilayah kekuasaan dinasti tersebut. Pada bulan Disember 1126, pasukan tentera Jurchen sudah pun tiba di pintu gerbang Kaifeng, ibu kota Dinasti Song.

Pada Januari tahun berikutnya, kota tersebut tumbang dan tentera Jurchen menangkap Maharaja Qinzong dan ayahandanya, mantan Maharaja Huizong. Kedua orang kerabat diraja itu dibawa ke tanah air Jurchen sebagai tawanan p3rang. Pun begitu, peristiwa memalukan yang dikenali sebagai Insiden Jingkang ini bukanlah pengakhiran buat Dinasti Song.

Maharaja Huizong dari dinasti Song yang ditangkap oleh suku Jurchen


Ahli istana Song berjaya melarikan diri ke selatan, dan Zhao Gu, adik tiri kepada Maharaja Qinzong lantas ditabalkan sebagai Maharaja Gaozong, yakni maharaja pertama Dinasti Song Selatan. Jurchen dan Song terus melanjutkan permusuhan selama sedekad setengah.

Lalu pada akhirnya, sebuah perjanjian damai dimeterai antara kedua belah pihak pada tahun 1142. Sempadan antara Dinasti Jin dan Dinasti Song Selatan (secara kasarnya sepanjang Sungai Huai) dipersetujui dan Song dituntut agar membayar ufti kepada Jurchen.

BUDAYA JURCHEN

Setelah menakluki wilayah utara China, suku Jurchen mula menerap dan mengamalkan adat serta budaya China (suatu proses yang dikenali sebagai pencinaan). Misalnya, sebuah bureukrasi gaya China diterapkan dalam pentadbiran ke atas rakyat Jurchen yang berwarga China yang hidup di wilayah selatan empayar mereka. Namun pada masa yang sama, terbit kekhuatiran bahawa pengamalan gaya hidup China sebegini akan menghakis identiti etnik dan menghapuskan nilai-nilai tradisi mereka.

Justeru, bahasa dan sistem penulisan Jurchen terus digunakan, sementara pakaian dan adat-istiadat China diharamkan dari diamalkan oleh golongan tentera. Walaupun kekuatan pasukan tentera Jurchen luntur secara bertahap, mereka masih dianggap sebagai kuasa serantau yang berpengaruh. Hal ini terbukti apabila Dinasti Song mengisytiharkan p3rang terhadap Jurchen pada 1206, dengan matlamat mahu merebut semula wilayah-wilayah mereka yang telah ditakluki.

Jurchen berjaya mematahkan s3rangan tentera Song ini dan melancarkan s3rangan balas. Namun, mereka juga tidak berupaya merebut wilayah daripada Song. Lantas, sebuah perjanjian damai dimeterai pada tahun 1208, di mana Song dituntut agar membayar ufti tahunan yang lebih besar berbanding sebelumnya.

ANCAMAN-ANCAMAN LAIN TERHADAP JURCHEN

Walau bagaimanapun, Dinasti Song Selatan bukanlah satu-satunya musuh yang mengancam kepentingan Dinasti Jin. Di utara, Monggol sedang mengalami kebangkitan. Pada tahun 1206, Genghis Khan berjaya menyatukan suku-suku nomad Monggol-Turki, sekaligus menubuhkan Empayar Monggol. Pada tahun 1211, beliau mengisytiharkan p3rang ke atas Dinasti Jin.

Jurchen kehilangan banyak wilayah ke tangan Monggol, termasuklah ibu kota mereka sendiri, iaitu Zhongdu (kini Daerah Xicheng di Beijing). Justeru pada tahun 1215, Jurchen memindahkan ibu kota ke Kaifeng.


Bangsa Monggol merupakan ancaman buat Jurchen

Pada masa yang sama, dalam suatu usaha untuk menggantikan wilayah-wilayah yang telah ditakluki, Jurchen melancarkan kempen ke atas Dinasti Song. Kempen ini tidak hanya gagal mencapai matlamatnya, malah mereka turut menambahkan lagi permusuhan sedia ada dengan Song.

Pada tahun 1233, Kaifeng tumbang ke tangan Monggol setelah dikepung selama beberapa tempoh. Pemerintah Jin, iaitu Maharaja Aizong bertindak melarikan diri ke Caizhou. Dalam situasi yang getir ini, Jurchen meminta bantuan daripada Song dan memperingatkan kepada mereka bahawa sebaik sahaja Monggol selesai menakluki Jurchen, mereka akan menyasarkan Song pula. Berikutan hubungan renggang antara kedua belah pihak, Song pun menolak untuk membantu Jurchen dan sebaliknya, membentuk pakatan pula dengan Monggol.

Pada tahun 1234, Monggol dan Song melancarkan s3rangan secara bersama ke atas Caizhou. Jurchen tewas, sekaligus pemerintahan Dinasti Jin pun berakhir. Seperti yang sudah dijangka, Song menjadi sasaran Monggol yang seterusnya. Persekutuan antara Monggol dan Song terbubar sejurus selepas kehancuran Dinasti Jin. Dinasti Song juga kemudiannya ditakluk oleh Monggol pada tahun 1279.

Walau bagaimanapun, kejatuhan Dinasti Jin ini tidaklah bererti tamatnya sejarah suku Jurchen. Mereka terus wujud di China. Para penghikayat China dari Dinasti Ming (yang menggantikan Dinasti Yuan) misalnya, merekodkan bahawa terdapat tiga buah kumpulan utama Jurchen – iaitu Jurchen Liar, Jurchen Haixi dan Jurchen Jianzhou.

Jurchen Liar hidup di wilayah paling utara Manchuria. Jurchen Haixi pula di wilayah Heilongjiang moden dan Jurchen Jianzhou menetap di wilayah Jilin moden. Walaupun Jurchen Liar bersifat nomad, dua kumpulan yang lain dicatatkan mengamalkan gaya hidup yang bersifat agak menetap dan terlibat dalam aktiviti perburuan, perikanan dan pertanian terhad.

Seorang lelaki Jurchen memburu dengan menaiki kuda, lukisan kurun ke-15


Maharaja-maharaja Ming menunjukkan minat yang ketara untuk berinteraksi dengan suku Jurchen. Walaupun Dinasti Yuan sudah berjaya ditumbangkan, orang-orang Monggol yang terselamat mengundurkan diri ke Monggolia. Di sana, mereka menubuhkan Dinasti Yuan Utara. Demi menangani ancaman ini, misi-misi diplomatik dihantar bagi menemui suku Jurchen yang kebanyakannya bersetuju untuk menjadi sekutu Ming dan memerangi Monggol.

Tambahan, pasar-pasar kuda turut ditubuhkan bagi memudahkan perniagaan antara Ming dan Jurchen. Alatan pertanian besi, penternakan, bijih benih, beras, garam dan barangan tekstil dari China ditukar dengan kuda, bulu, ginseng dan produk-produk Jurchen yang lain. Interaksi dengan Ming ini mendorong kepada proses pencinaan dalam kalangan suku Jurchen. Direkodkan bahawa kononnya menerusi proses tersebut, suku Jurchen berupaya membentuk struktur yang cukup tersusun bagi membolehkan mereka menakluk China kemudiannya.

PENGARUH JURCHEN KE ATAS DINASTI CHINA

Dinasti diraja terakhir China, iaitu Dinasti Qing ditubuhkan oleh suku Manchu yang dikenali sebagai keturunan suku Jurchen. Hubungan antara Manchu dan Jurchen ini terbukti pada nama awal yang dipilih oleh Jurchen bagi mewakili dinasti mereka. Nama negara tersebut dalam bahasa Manchuria ialah ‘Aisin Gurun’, yang membawa maksud ‘Negara Emas’.

Hal yang sama turut berlaku pada perkataan ‘Jin’ dalam bahasa China, dan dinasti itu turut dikenali sebagai Dinasti Jin Lewat. Hal ini merupakan indikasi yang jelas bahawa suku Manchu menganggap diri mereka sebagai pengganti Dinasti Jin. Pengasas Dinasti Jin Lewat ini ialah Nurhaci, seorang pembesar dari Jurchen Jianzhou.

Pada tahun 1583, Nurhaci memulakan usahanya untuk menyatukan suku-suku Jurchen. Pada mulanya, pihak pemerintah Ming tidak mengendahkan usaha-usaha Nurhaci itu. Malahan, mereka sendiri memberikan jawatan dan gelaran kepadanya.

Nurhaci menyatukan Jurchen


Pada tahun 1582, beliau dilantik sebagai komander sempadan. Manakala pada tahun 1589 pula, beliau dilantik sebagai wakil pemerintah di Heilongjiang. Pada tahun 1595, Nurhaci dianugerahkan gelaran ‘Panglima Harimau-Naga’ oleh istana Ming. Bagi pihak sukunya, Nurhaci membayar ufti kepada Ming dan beberapa kali menghantarnya sendiri ke Beijing sebagai ketua perutusan.

Pada tahun 1608, Nurhaci menghentikan pembayaran ufti kepada Ming lantaran beliau menganggap Jurchen sudah cukup kuat untuk menentang pihak pemerintah. Lapan tahun kemudian, Nurhaci akhirnya berjaya menyatukan suku-suku Jurchen, lalu menggelarkan dirinya sebagai ‘khan’ dan menubuhkan Dinasti Jin Lewat. Pada tahun 1618, Nurhaci mengeluarkan ‘Tujuh Duka Besar’ yakni sebuah dokumen yang meluahkan enam kesedihannya terhadap Ming.

Dokumen ini pada hatinya merupakan alasan buat Nurhaci untuk memberontak dan mengisytiharkan p3rangnya terhadap Ming. Pada tahun-tahun berikutnya, Nurhaci meluaskan kekuasaannya ke wilayah-wilayah Ming. Namun pada tahun 1626, beliau mengalami kekalahan besar pertama dalam hayatnya, di mana beliau ditewaskan oleh panglima Ming yang bernama Yuang Chonghuan di Ningyuan.

Nurhaci menyaksikan tenteranya menggempur tembok Ningyuan

Tahun berikutnya, beliau menubuhkan Dinasti Qing. Beijing tumbang ke tangan Qing pada tahun 1644, yakni beberapa bulan selepas kematian Hong Taiji. Dinasti Qing ini menguasai China sehingga tahun 1911.Nurhaci mengalami kecederaan akibat dibedil meriam Portugis dan meninggal dunia dua hari kemudian. P3rang menentang Ming ini dilanjutkan oleh penggantinya, Hong Taiji. Pada tahun 1635, Hong Taiji menukar nama sukunya daripada Jurchen kepada Manchu.

Walaupun pada hari ini Jurchen tidak lagi wujud sebagai sebuah kumpulan etnik, keturunan mereka masih lagi ada. Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, suku Manchu merupakan keturunan langsung Jurchen Jianzhou.

Keturunan-keturunan Jurchen yang lain merangkumi Hezhe, Ewenke, dan Elunchun. Walaupun suku Jurchen tidaklah begitu dikenali pada hari ini, hakikatnya mereka meninggalkan kesan yang cukup besar terhadap sejarah China lantaran dua buah dinastinya, iaitu Dinasti Jin dan Dinasti Qing diasaskan oleh mereka.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (8 Mei 2020). How the Jurchen Tribes C0nquered China. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/jurchen-tribes-0013681

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.