Sesiapa yang menonton laporan berita beberapa hari lepas pasti tidak akan melupakan kisah dramatik seorang wartawan Ukraine bernama Arkady Babchenko yang dikatakan dibunuh di Kiev tetapi disahkan hidup sehari selepas itu. Bila ditanya media bagaimana beliau dapat mengelak dari menjadi sasaran pembunuhan, Babchenko memberitahu plot tersebut direncanakan oleh Biro Keselamatan Ukraine (SBU) termasuk menumpahkan darah khinzir ke atas dirinya untuk mematahkan plot pembunuhan ke atas beliau yang dikatakan dirancang pihak perisikan Rusia. Apa yang dilakukan Babchenko bagaimanapun tidak seradikal seorang perisik Sepanyol bernama Juan Pujol Garcia.

Garcia yang juga anak jati Barcelona dikatakan lahir pada 28 Februari 1912 atau 14 Februari 1914 dan merupakan anak ketiga daripada empat adik beradik. Datang dari sebuah keluarga berada dan terdedah kepada pendirian politik liberal bapanya Joan Pujol, Garcia melakukan banyak pekerjaan sebelum dan selepas Perang Saudara Sepanyol serta menguruskan beberapa bisnes termasuk sebuah panggung wayang. Selepas bapanya meninggal dunia pada tahun 1931, keluarganya menikmati kehidupan yang selesa sehinggalah kilang mereka diambil alih para pekerja menjelang Perang Saudara Sepanyol.

Garcia pernah berkhidmat dalam Perang Saudara Sepanyol untuk kedua-dua pihak bertelagah iaitu kelompok Republikan dan Nasionalis tanpa melepaskan sedas tembakan kepada mana-mana pihak. Pengalamannya dalam perang tersebut mewujudkan kebencian yang mendalam terhadap komunisme, Nazisme dan diktator seperti Francesco Franco dan Adolf Hitler. Atas sebab itulah selepas Britain dan Perancis mengisytiharkan perang terhadap Jerman pada tahun 1939, Garcia menawarkan dirinya sebagai perisik untuk merisik rejim Nazi Jerman. Tetapi apabila tawarannya ditolak, beliau mula membuat perancangan sendiri untuk meningkatkan lagi kredibilitinya sambil membantu usaha perang pihak Bersekutu.

Garcia mula berhubung dengan pegawai-pegawai Nazi di Madrid, Sepanyol dan memberitahu mereka niatnya untuk mengintip Britain bagi pihak Nazi Jerman. Hasratnya disambut baik oleh pegawai-pegawai berkenaan dan mereka melatihnya dalam seni perisikan termasuk menyediakan bahan dan dana diperlukan untuk mewujudkan rangkaian pengintip Nazi Jerman di Britain. Sebaliknya, Garcia mula menghantar pelbagai maklumat palsu dari Britain ke Berlin walaupun hakikatnya kebanyakan maklumat tersebut didapati di Lisbon, Portugal dan Madrid. Walaupun kebanyakan laporannya bersifat palsu, beliau menggunakan maklumat sebenar bagi menyakinkan penyelianya di Berlin percaya maklumat yang diberikan itu tepat. Menurut Stephen Talty, penulis buku Agent Garbo: The Brilliant, Eccentric Secret Agent Who Tricked Hitler and Saved D-Day, kebanyakan maklumat yang diambil Garcia datang dari ensiklopedia, papan tanda atau iklan yang berbeza tapi cukup untuk mengaburi mata Abwehr (agensi perisikan Nazi Jerman).

Bagaimanapun itu tidak bermakna Garcia bebas dari melakukan kesilapan. Dalam satu maklumat yang dihantar ke Berlin, beliau menceritakan pernah melawat bandar Glasgow, Scotland dan mendedahkan lelaki di sana sedia melakukan apa saja demi segelas wain. Apa yang tidak diketahui Garcia dan penyelianya dari Abwehr ialah beliau seharusnya menggunakan bir dan bukan wain, satu kesilapan yang gagal dikesan oleh Abwehr. Jika ada pun wain dari negara berkenaan, ia hanya wujud pada tahun 2015 dan dilabel sebagai tidak boleh diminum oleh pakar-pakar wain. Garcia juga gagal memberi jumlah sebenar perbelanjaannya dan memberitahu hanya memberi jumlah sebenar pada masa sesuai, bimbang helahnya itu akan dihidu oleh Abwehr.

Pada Februari 1942, Garcia atau isterinya berhubung dengan pihak Amerika selepas mereka menyertai Perang Dunia Kedua (WWII) dan bertemu dengan atase tentera Laut Amerika Syarikat, Leftenan Patrick Demorest di Lisbon. Demorest mengagumi bakat yang ditampilkan Garcia dan segera menghubungi pihak British. Tanpa pengetahuannya, pihak Perkhidmatan Keselamatan (MI5) sebenarnya mencari perisik yang bertanggungjawab menghantar maklumat palsu ke Berlin dari Madrid dan Lisbon tetapi tidak tahu identiti perisik tersebut.

Apabila Garcia memperkenalkan dirinya, MI5 membawanya ke London dan beliau pada mulanya diberi gelaran BOVRIL sebelum ditukar kepada GARBO sempena nama pelakon legenda Greta Garbo. GARBO dipilih berdasarkan reputasinya yang dapat menyakinkan pihak musuh dan sepanjang WWII, Abwehr masih menyangka Garcia ejen penting setaraf perisik lain seperti Richard Sorge (Kesatuan Soviet) di Jepun. Menurut Talty, pihak Nazi Jerman tidak berbuat demikian kerana menyangka tiada siapa dapat memalsukan maklumat pada skala sedemikian rupa. Dan jika mereka mahu menyingkirkan beliau, mereka bukan saja kehilangan Garcia tetapi juga seluruh rangkaian perisikan yang dibinanya.

Bagaimanapun cabaran kehidupan Garcia ini merupakan sesuatu yang tidak boleh ditanggung isterinya, Araceli. Selepas dipindahkan ke London bersama anak-anak mereka, pergerakannya terbatas kerana tidak mahu rakyat Sepanyol yang menetap di kawasan berkenaan mengenalinya dan sekaligus membocorkan identiti rahsia Garcia. Dan ini mencetuskan rasa tidak puas hati dan kerinduan terhadap kampung halamannya di Sepanyol. Kemuncak kepada isu ini ialah tahun 1943, setahun sebelum peristiwa pendaratan tentera Bersekutu di Normandy. Pada tahun itu, Araceli mengugut akan melaporkan suaminya kepada kedutaan Sepanyol melainkan beliau dibenarkan pulang menziarahi ibunya. Penyelia Garcia di MI5, Tomas Harris memberitahu suaminya sudah dipecat dari perkhidmatan perisikan akibat respon melampau Araceli. Hakikatnya dengan samaran sebagai penterjemah untuk stesen televisyen BBC, Garcia masih meneruskan tugasnya seperti biasa.

Bagaimanapun Garcia melihat ada satu cara lebih drastik demi memastikan Araceli tidak lagi melakukan perkara sedemikian. Pada hari berikutnya, Araceli diberitahu bahawa suaminya ditahan MI5 selepas bergaduh besar dengan pegawai MI5 berkenaan layanan mereka terhadap isterinya. Berang dengan berita tersebut, Araceli mengugut akan membawa anak-anak bersamanya dan menghilangkan diri. Dan apabila Harris datang melawat kediaman Garcia, isterinya sudah menghidupkan paip gas yang dilihat satu cubaan bunuh diri. Untuk mengelak situasi lebih buruk, Harris menghantar isterinya untuk memujuk Araceli membatalkan hasratnya itu.

Pada waktu tengah hari, Araceli dibawa bertemu dengan suaminya di pusat soal siasat Kem 020 yang dikendalikan oleh MI5 di barat London. Apabila Garcia dibawa bertemu dengan isterinya, beliau berada dalam keadaan tidak terurus dan memakai pakaian kem. Ketika inilah, Araceli bersumpah beliau tidak akan melaksanakan sumpahnya dan hanya mahu kemahuannya untuk balik kampung dipandang serius. Sekiranya Garcia dibebaskan dari penjara, Araceli berjanji akan lebih bersungguh-sungguh membantu suaminya berbanding sebelum ini. Dan untuk memastikan ianya tidak berulang lagi, Garcia turut mengaturkan penasihat perundangan MI5, Mejar Edward Cussen untuk bersikap tegas terhadap Araceli dan mengugut akan memenjarakan beliau sekiranya namanya kembali kedengaran di Thames House. Tindakan Garcia dilihat berjaya memastikan tipu helahnya dengan Abwehr tidak terdedah dan memastikan perancangan D-Day pihak Bersekutu tidak terjejas.

Selepas tamat perang di Eropah, Garcia membantu MI5 mengenalpasti apa-apa rancangan yang untuk mewujudkan Reich Keempat. Kenangan pahit dan perang mendorong beliau untuk berhijrah ke Venezuela. Bagaimanapun, memandangkan ramai pegawai dan tentera Nazi yang berjaya melarikan diri ke Amerika Selatan, sudah tentu identitinya sebagai perisik talam dua muka akan diketahui. Untuk mengelak situasi ini, Garcia tahu kematiannya perlu dipalsukan bagi membolehkannya menikmati ketenangan yang dicari selama ini. Pada tahun 1948, beliau berhubung semula dengan Harris dan mengarahkannya menyebarkan berita kematiannya akibat malaria di Angola. Selepas berita tersebut diketahui Araceli dan anak-anaknya di Sepanyol, Garcia mula menyimpan janggut dan memakai cermin mata unik. Semasa di Venezuela, beliau berkahwin dengan Carmen Cilla dan dikurniakan dua anak, Carlos Miguel dan Joan Carlos.

Pada tahun 1971, samaran Garcia akhirnya terbongkar hasil penyelidikan seorang penulis dan ahli politik British, Rupert Allanson yang percaya beliau masih hidup. Pertemuan yang diadakan di New Orleans ini membolehkannya mendedahkan apa yang berlaku termasuk bertemu semula dengan keluarganya di Sepanyol. Garcia akhirnya meninggal dunia di Caracas, Venezuela pada tahun 1988.

Bagi Talty, apa yang dilakukannya itu sebenarnya boleh saja dielak dan boleh diperbaiki pada tahun 1960-an. Beliau turut berhujah Garcia sebenarnya merasa malu kerana gagal mendapat kerjaya pasca-WWII dan berupaya menukar identiti seperti menukar baju. Talty berkata, “Jika anda membaca sejarah perisikan, kebanyakan ejen terperangkap sama ada sebagai ejen talam dua muka atau dibayar oleh pihak berkepentingan. Tetapi bagi Garcia, itu tidak berlaku padanya kerana ini membabitkan unsur nasionalisme dan idealisme yang diamalkannya, menjadikannya sebagai antara spesis unik dalam dunia perisikan.”

SUMBER

  1. Ward, Victoria. (2015). The Telegraph. Scotland’s first wine branded ‘undrinkable’ by critics. https://www.telegraph.co.uk/news/newstopics/howaboutthat/11736496/Scotlands-first-wine-branded-undrinkable-by-critics.html
  2. Morgan, Tom. (2016). The Telegraph. Revealed: How a homesick wife nearly blew it for the British double agent who fooled Hitler. https://www.telegraph.co.uk/news/2016/09/28/revealed-how-a-homesick-wife-nearly-blew-it-for-the-british-doub/
  3. Little, Becky. (2018). History.com. The WWII Spy Who Faked His Death for 36 Years. https://www.history.com/news/spy-double-agent-death-hoax-world-war-2

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.