Joyeuse – Pedang Ajaib Legenda Zaman Pertengahan Eropah

1,083

Pedang Joyeuse, yang kini tersimpan rapi di Muzium Louvre, merupakan salah satu pedang paling masyhur dalam sejarah. Catatan-catatan sejarah mengaitkannya dengan Charlemagne Agung, Raja Franks.

Seandainya benar pedang itu milik raja masyhur yang memerintah kira-kira 1200 tahun lalu, pedang Joyeuse berkemungkinan telah digunakan dengan begitu kerap dalam upacara-upacara pemahkotaan. Selain itu, ia turut dikaitkan dengan mitos dan legenda purba yang mendakwa kononnya ia memiliki kuasa magis.

Kisah bermula pada tahun 802M. Legenda menyebutkan bahawa pedang Joyeuse, yang membawa maksud ‘riang bahagia’ dalam Bahasa Perancis, ditempa oleh seorang tukang besi masyhur bernama Galas dan mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan. Pedang ini kononnya dikatakan memiliki kuasa magis.

Dicatatkan bahawa cahaya pedang itu juga sangat terang hingga mampu menyilaukan sinar matahari dan membutakan musuh-musuh di medan tempur. Sesiapa sahaja yang menggunakan pedang legenda itu dipercayai bebas dari ancaman racun. Sepulang dari Sepanyol, Maharaja Charlemagne mendirikan kem di rantau berkenaan dan pada masa itulah beliau memperoleh pedang ini.

Pedang Joyeuse yang ditempa dengan begitu sempurna

Charlemagne (742-814M), yang juga dikenali sebagai Charles Agung, merupakan raja Franks dan maharaja Kristian di dunia barat. Beliau banyak menyumbang dalam usaha membentuk dan mencirikan zaman pertengahan Eropah di samping mengepalai Kebangkitan Carolingian (Carolingian Renaissance). Sesudah ketumbangan Empayar Rom, beliau adalah orang pertama yang menyatukan semula Eropah Barat.

Baginda memerintah kerajaan yang luas, terdiri dari Perancis, Jerman, Itali, Austria dan Negara-Negara Bawah moden, di samping berperanan dalam memperteguhkan agama Kristian di seluruh empayar kekuasaannya. Kejayaan-kejayaannya pada sudut ketenteraan sering dikaitkan dengan keganasan, seperti memenggal lebih dari 2500 orang pengemuka kampung Franks dan Saxon.

Lukisan Raphael sekitar tahun 1515 berjudul pemahkotaan Charlemagne

Song of Roland, sebuah puisi epik abad ke-11 yang dikarang berdasarkan Pertempuran Roncevaux yang berlangsung pada tahun 778M merincikan bagaimana Charlemagne menunggang kudanya memasuki medan tempur dengan menyandang Joyeuse:“[Charlemagne] mengenakan baju rantai putih dan topi keledarnya bertatahkan batu-batu emas; di sisinya pula tersandar Joyeuse dan tiada pedang mampu menandinginya. Warnanya berubah sebanyak 30 kali dalam sehari.”

Pada suatu hari, semasa berlangsung pertempuran, Charlemagne dikatakan telah kehilangan Joyeuse. Lantaran itu, beliau menawarkan janji untuk memberikan ganjaran kepada sesiapa sahaja yang berjaya menemukannya. Setelah melakukan beberapa percubaab, salah seorang tenteranya membawa pedang tersebut penghadapan beliau. Charlemagne pun menepati janji dengan berkata, “Di sini akan dibinakan sebuah estet di mana kamu akan menjadi tuan tanah. Keturunan kamu dikurniakan nama pedangku ini: Joyeuse.” 

Turut dikisahkan bagaimana Charlemagne membenamkan pedang tersebut ke dalam tanah untuk menandakan titik di mana kota itu bakal dibina. Menurut legenda tersebut, inilah sejarah penubuhan bandar Joyeuse di Ardeche, Perancis yang dinamakan bersempena pedang itu.

Bandar Joyeuse di Ardeche, Perancis

Tiada catatan sejarah yang memberikan maklumat lanjut tentang nasib pedang Joyeuse sesudah kemangkatan Charlemagne. Namun pada tahun 1270M, sebilah pedang yang dikenal pasti sebagai Joyeuse dicatatkan telah digunakan dalam upacara pemahkotaan Raja Perancis, iaitu Philip The Bold yang berlangsung di Reims Cathedral, Perancis. Tradisi itu turut diamalkan oleh kebanyakan raja sesudahnya. Pedang itu disimpan di biara berdekatan yang terletak di Saint-Devis, sebuah tempat pemakaman para raja Perancis di mana ia kekal berada di bawah lindungan pada paderi paling tidak sehingga tahun 1505 Masehi.

Kemudian, Joyeuse dipindahkan ke Louvre pada tanggal 5 Disember 1793 berikutan Revolusi Perancis. Ia digunakan buat kali terakhir oleh seorang raja Perancis pada tahun 1824 dalam upacara pemahkotaan Charles X. Joyeuse adalah satu-satunya pedang yang digunakan sebagai pedang kebesaran dalam upacara pemahkotaan Raja-Raja Perancis.

Lukisan Hyacinthe Rigaud sekitar tahun 1701 menggambarkan Raja Louis XIV bersama Joyeuse

Pada hari ini, keadaan Joyeuse sangat terpelihara memandangkan beberapa bahagian tertentu ditambahkan selama ia digunakan. Bilah ini bercirikan Oakeshott Style XII, dengan bilah lebar, rata dan sekata. Hulu pedang Joyeuse dianggarkan berusia darikurun ke-10 hingga kurun ke-11 sementara bahagian silangnya pula menjangkau separuh kedua kurun ke-12. Pemegang pula berasal dari abad ke-13M.

Bahagian pemegang pedang itu dahulunya pernah memiliki ciri fleur-de-lis. Namun, ianya dibuang semasa pemahkotaan Napoleon I pada tahun 1804. Ukiran dua naga membentuk bahagian silang sementara matanya diperbuat daripada lapis lazuli. Sarung pedang Joyeuse juga diubah-suai – diperbuat daripada baldu yang dihiasi corak fleur-de-lis dan mengalami penambahbaikan lanjut semasa pemahkotaan Charles X pada tahun 1824M.

Kedua-dua belah hulu pedang pula didekorasi dengan motif berciri repouse yang menggambarkan burung-burung affrontee, mirip dengan perhiasan Scandinavia abad ke-10 dan ke-11. Dua pelindung bahagian silang (kiri dan kanan) pula berbentuk sayap bernaga dan usianya menjangkau kurun ke-12M. Gelendong emas, yang diliputi dengan sebuah permata pula, dipercayai berasal dari kurun ke-13 atau ke-14M.

Pedang Joyeuse di Muzium Louvre

Pedang Joyeuse terus hidup sehingga hari ini sebagai bukti kepada regalia luar biasa yang telah pun digunakan selama berabad-abad. Kemunculan dalam upacara pemahkotaan Raja-Raja Perancis menambahkan lagi kemasyhurannya sebagai simbol kuasa dan autoriti. Kondisinya sangat memukau dan pada hari ini, Joyeuse membarisi senarai pedang bersejarah yang paling masyhur di dunia.

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

Bryan Hill. (7 Mei 2015). Joyeuse: The Legendary Sword of Charlemagne. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/joyeuse-legendary-sword-charlemagne-003020

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.