Jika membaca akhbar, tak sah jika sekali-sekala ada kisah orang hilang terpapar di situ. Dalam sesetengah kes, individu tersebut memilih sengaja menghilangkan diri tanpa sebarang kesan kerana mahu memulakan kehidupan baru. Kes sebegini digelar jouhatsu di Jepun di mana pelaku bukan saja menghilangkan diri tetapi menyembunyikan kelibat mereka, kadangkala sehingga bertahun-tahun.

Salah seorang yang terlibat ialah Sugimoto (bukan nama sebenar), 42. Di bandar asalnya, keluarganya merupakan pemilik sebuah entiti perniagaan tempatan dan Sugimoto dijangka meneruskan tradisi tersebut. Tetapi label sebegitu membawa tekanan kepadanya sekaligus mendorongnya meninggalkan bandar tersebut selama-lamanya dan tidak memberitahu ke mana dia pergi.

Sebab jouhatsu berbeza-beza mengikut kes. Melarikan diri daripada hutang dan melepaskan diri daripada perkahwinan tanpa cinta merupakan antara sebab utama. Tetapi apabila mereka mahu menjadi jouhatsu, mereka berpaling kepada syarikat-syarikat pemindahan jouhatsu bagi membantu mereka melalui proses tersebut.

Syarikat-syarikat ini diberi jolokan servis pemindahan malam berikutan tanggungjawab mereka menjaga rahsia jouhatsu. Cakaplah apa saja perkhidmatan yang ditawarkan, mereka sedia berbuat demikian termasuk penginapan di tempat rahsia. Mereka turut menawarkan bantuan profesional bagi membantu sesetengah jouhatsu mengatasi tekanan mental yang dihadapi mereka.

Bagi Sho Hatori, salah seorang pemilik entiti perniagaan ini, biasanya perpindahan membawa maksud positif seperti mendapat tempat di universiti atau berkahwin. Namun begitu, selepas menubuhkan syarikat tersebut pada tahun 90-an, beliau mendapati sesetengah orang berpindah atas sebab negatif juga seperti isu kewangan atau sebab sosial. “Apa yang kami lakukan ialah kami membantu orang memulakan kehidupan baru,” katanya.

Ahli sosiologi Hiroki Nakamori sudah mengkaji fenomena jouhatsu ini selama sedekad. Hasil kajiannya mendapati terma jouhatsu mula digunakan pada tahun 60-an sebagai rujukan kepada orang yang hilang ketika itu. Beliau melihat ramai menghilangkan diri kerana merasakan lebih baik mereka hilang daripada mengharungi prosiding perceraian yang formal dan mengambil masa.

Nakamori menambah, “Di Jepun, lebih mudah untuk seseorang itu menghilangkan diri.” Ini kerana undang-undang privasi Jepun amat tegas dalam melindungi identiti pengguna termasuk jouhatsu. Justeru, jouhatsu boleh saja mengambil wang dari ATM dengan bebas tanpa perlu berdepan risiko dikesan pihak bank. Selain itu, keluarga juga tidak boleh mengakses rakaman video yang mengesan jouhatsu.

“Polis tidak akan campur tangan melainkan ada sebab kukuh seperti kes jenayah atau kemalangan. Apa yang boleh dilakukan oleh keluarga jouhatsu ialah mengupah penyiasat persendirian atau hanya menunggu. Itu saja,” ujarnya lagi. Keadaan ini kadangkala mengundang rasa tidak puas hati ahli keluarga jouhatsu sehingga ada merasakan satu-satunya cara mereka mendapat kembali jouhatsu ialah melihat mayat tidak dituntut di rumah mayat.

Bagi sesetengah jouhatsu, bohonglah jika mereka tidak merasa sedih dan menyesal dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi sekiranya mereka sudah berkeluarga. Bagi Sugimoto, dia sentiasa dihantui rasa bersalah dan satu-satunya kekesalannya ialah meninggalkan anak-anaknya.

Sugimoto kini menetap di sebuah kediaman yang diuruskan perkhidmatan jouhatsu di Tokyo. Menariknya, syarikat ini turut diuruskan oleh seorang lagi jouhatsu bernama Saita (bukan nama sebenar). Dia menjadi jouhatsu bagi melepaskan diri daripada pasangannya yang suka naik tangan dan telah menghilangkan diri selama 17 tahun.

“Saya mempunyai ramai klien berbeza. Ada yang mahu melarikan diri daripada pasangan yang suka mendera, ego atau mementingkan diri sendiri. Saya tidak menilai siapa mereka. Saya tidak pernah mengatakan ‘Kes anda tidak serius’. Semua orang ada masalah masing-masing,” ujarnya.

RUJUKAN:

Lufkin, Bryan. (2020). The companies that help people vanish. BBC Worklife. https://www.bbc.com/worklife/article/20200903-the-companies-that-help-people-vanish


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.