Jom Kenali Bahasa Melayu Melaka

1,989

Malaysia ataupun nama rasminya, “Persekutuan Malaysia” adalah sebuah negara khatulistiwa yang terletak di Asia Tenggara. Negara berpenduduk lebih 32 juta orang serta seluas 330 803 km2 ini bersempadan dengan Thailand, Singapura, Vietnam, Indonesia, Brunei dan Filipina.

Antara negeri yang terdapat di Malaysia adalah Melaka. Negeri yang menghadap Selat Melaka itu bersempadan dengan Negeri Sembilan dan Johor. Negeri seluas 1,664 km² ini mempunyai penduduk lebih 800 ribu orang.

Sebagai mana negeri lain, Melaka juga mempunyai variasi Bahasa Melayunya yang tersendiri. Untuk kali ini, kami hendak memperkenalkan kepada anda tentang variasi Bahasa Melayu yang bernama “Loghat Melaka”.

SEMANGAT RUMAH

Antara perkataan yang terdapat dalam Loghat Melaka adalah “semangat rumah”. Perkataan tersebut membawa maksud “upacara yang dilakukan oleh tuan rumah sebelum menduduki rumah yang baru siap dibina”.

Contoh ayat dalam Loghat Melaka bagi perkataan tersebut adalah “Kau nak masok rumah baru tu, dah buat semangat rumah ke belom?”.

Jika diterjemahkan kepada Loghat Johor-Riau yakni Bahasa Melayu Piawai, ayat tersebut berbunyi “Engkau hendak tinggal di rumah baru itu, sudah buat seri rumahkah atau belum?”.

BERANGGAU

Antara perkataan yang terdapat dalam Loghat Melaka adalah “beranggau”. Perkataan tersebut membawa maksud “kerja-kerja persiapan yang dilakukan kira-kira tiga atau empat hari sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan”.

Contoh ayat dalam Loghat Melaka bagi perkataan tersebut adalah “Kau dok rumah, mak nak pegi beranggau rumah Mak Itam.”.

Jika diterjemahkan kepada Loghat Johor-Riau yakni Bahasa Melayu Piawai, ayat tersebut berbunyi “Engkau duduk di rumah, emak hendak pergi beranggau di rumah Emak Hitam.”.

MAJELES GANTONG-GANTONG

Antara perkataan yang terdapat dalam Loghat Melaka adalah “Majeles Gantong-gantong”. Perkataan tersebut membawa maksud “persiapan di dalam rumah sebelum hari perkahwinan oleh keluarga terdekat pengantin”.

Contoh ayat dalam Loghat Melaka bagi perkataan tersebut adalah “Rumah aku petang ni majeles gantong-gantong datang le!”.

Jika diterjemahkan kepada Loghat Johor-Riau yakni Bahasa Melayu Piawai, ayat tersebut berbunyi “Petang ini, rumah saya ada majlis gantung-gantung. Hadirlah!”.

BESENAOK

Antara perkataan yang terdapat dalam Loghat Melaka adalah “besenaok”. Perkataan tersebut membawa maksud “berkenaan tempat yang dipenuhi dengan orang atau haiwan dengan pelbagai ragam”.

Contoh ayat dalam Loghat Melaka bagi perkataan tersebut adalah “Bile raye, rumah ni besenaok dengan cucu-cicet mak”.

Jika diterjemahkan kepada Loghat Johor-Riau yakni Bahasa Melayu Piawai, ayat tersebut berbunyi “Apabila Aidilfitri, rumah ini ramai dengan cucu-cicit emak”.

BERINAI CURI

Antara perkataan yang terdapat dalam Loghat Melaka adalah “berinai curi”. Perkataan tersebut membawa maksud “pengantin lelaki yang lengkap berbaju Melayu datang ke rumah pengantin perempuan tanpa diberi tahu bersama pak andam atau pengapit sebelum bernikah dan biasanya selepas Asar”.

Contoh ayat dalam Loghat Melaka bagi perkataan tersebut adalah “Semalam aku pegi rumah penganten perempuan berinai curi.”

Jika diterjemahkan kepada Loghat Johor-Riau yakni Bahasa Melayu Piawai, ayat tersebut berbunyi “Semalam, saya pergi ke rumah pengantin perempuan untuk berinai curi.”.

BEDERAK

Antara perkataan yang terdapat dalam Loghat Melaka adalah “bederak”. Perkataan tersebut membawa maksud “berkenaan kain yang koyak besar atau rabak”.

Contoh ayat dalam Loghat Melaka bagi perkataan tersebut adalah “Kaen pelekat ni baru lagi mak kasi, dah bederak kau pakai.”

https://www.thepatriots.store/store/pra-tempah/

Jika diterjemahkan kepada Loghat Johor-Riau yakni Bahasa Melayu Piawai, ayat tersebut berbunyi “Kain pelikat ini baru sahaja emak berikan, engkau sudah mengoyakkannya.”.

MENCEME

Antara perkataan yang terdapat dalam Loghat Melaka adalah “menceme”. Perkataan tersebut membawa maksud “berbaik-baik dengan orang perempuan dengan niat jahat.”

Contoh ayat dalam Loghat Melaka bagi perkataan tersebut adalah “Die asek pegi rumah jande tu aje, tak laen nak menceme le tu.”

Jika diterjemahkan kepada Loghat Johor-Riau yakni Bahasa Melayu Piawai, ayat tersebut berbunyi “Beliau selalu sahaja pergi ke rumah janda itu, tidak lain tidak bukan berniat jahatlah itu”.

NAEK BUAI

Antara perkataan yang terdapat dalam Loghat Melaka adalah “naek buai”. Perkataan tersebut membawa maksud “suatu upacara yang dilakukan sebelum bayi menggunakan buaian buat kali yang pertama.”.

Contoh ayat dalam Loghat Melaka bagi perkataan tersebut adalah “Kau kena panggel bidan yang pandai naek buai dulu baru anak kau ni boleh naek buaian.”

Jika diterjemahkan kepada Loghat Johor-Riau yakni Bahasa Melayu Piawai, ayat tersebut berbunyi “Anda wajib memanggil bidan yang mahir melaksanakan upacara Naik Buai dahulu. Baru anak anda ini boleh menggunakan buaian”.

LANGKAT

Antara perkataan yang terdapat dalam Loghat Melaka adalah “langkat”. Perkataan tersebut membawa maksud “hari keempat dari hari ini”.

Contoh ayat dalam Loghat Melaka bagi perkataan tersebut adalah “Esok, luse, tulat, langkat, aku tak noreh sebab nak pegi panggel rumah sedare kat Joho.”

Jika diterjemahkan kepada Loghat Johor-Riau yakni Bahasa Melayu Piawai, ayat tersebut berbunyi “Pada hari esok, lusa, tulat dan langkat, saya tidak pergi menoreh sebab hendak pergi menjemput saudaea di Johor.”.

BUAT PEMELAU

Antara perkataan yang terdapat dalam Loghat Melaka adalah “buat pemelau”. Perkataan tersebut membawa maksud “melawak yang tidak kena pada tempatnya”.

Contoh ayat dalam Loghat Melaka bagi perkataan tersebut adalah “Dengan pak sedare kau tu jangan buat pemelau, nanti die naek angen baru tau.”

Jika diterjemahkan kepada Loghat Johor-Riau yakni Bahasa Melayu Piawai, ayat tersebut berbunyi “Jangan nak melawak sembarangan dengan bapa saudara anda itu, nanti beliau marah baru tahu.”

AKHIR KATA

Kesimpulannya, itu adalah contoh perkataan dan penggunaannya dalam Loghat Melaka. Kepada orang Melaka, perkataan apa lagi yang kami lupa dan apakah penggunaanya? Kepada orang luar Melaka, adakah anda dapat memahami loghat ini jika tiada bantuan terjemahan? Harap berikan maklum balas anda kepada kami di dalam ruangan di bawah

RUJUKAN:

Department of Statistics, Malaysia. Dicapai pada 22hb Jun 2020 dari https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=155&bul_id=a1d1UTFZazd5ajJiRWFHNDduOXFFQT09&menu_id=L0pheU43NWJwRWVSZklWdzQ4TlhUUT09

Malaysia Map. Dicapai pada 22hb Jun 2020 dari https://www.google.com/url?sa=i&source=web&cd=&ved=2ahUKEwiPsMTooMTpAhVGwTgGHbDOD_gQ3YkBegQIARAE&url=https%3A%2F%2Fwww.mapsofworld.com%2Fmalaysia%2F&psig=AOvVaw1b797uBl2BW_rr9f96Mj12&ust=1590126457776070

Jabatan Perangkaan Malaysia. Halaman  27. Dicapai pada 22hb Jun 2020.

Dewan Bahasa dan Pustaka: Glosari Dielek Melaka. Dicapai pada 22hb Jun 2020 dari http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=au&d=169476

Dewan Bahasa Dan Pustaka. Dicapai pada 22hb Jun 2020 dari http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=johor+riau&d=175768&

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.