Saya masih dikira sebagai seorang mualaf. Ini adalah kali kelima saya menyambut Ramadan sebagai seorang Muslim. Secara peribadi, Ramadan adalah istimewa bagi saya kerana ia mengingati saya tentang pengalaman disapa hidayah Allah.

Saya berasal dari keluarga Cina yang mengamalkan kepercayaan tradisional, namun sejak kecil saya mempunyai minat yang tinggi terhadap agama. Waktu sekolah rendah, saya seorang Buddhist. Waktu memasuki sekolah menengah, saya mengalih minat kepada agama Kristian. Saya menghadiri gereja selalu dan Bible menjadi bacaan kegemaran saya.

Ada sekali semasa di Tingkatan Dua, saya terjumpa sebuah buku Pendidikan Islam di dalam laci meja. Ditinggal oleh pelajar kelas pagi rasanya. Buku itu ditulis dalam tulisan Rumi. Atas perasaan ingin tahu, saya buka dan baca buku tersebut.

Terus saya tertarik dengan senarai 25 nabi dan rasul dalam Al-Qur’an dan penerangan ringkas mengenai mereka. Saya teruja dengan nama-nama yang terpapar: Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Yakqub, Yusuf. Inikan Abraham, Lot, Ishmael, Isaac, Jacob, Jospeh yang saya baca dalam Bible selama ini?

Dan yang paling menarik perhatian saya ialah kisah tentang Nabi Ismail. Dalam Bible kisah tentang Ishmael dan ibunya Hagar tamat dengan mereka dibuang ke tanah Arab. Kisah Nabi Ismail hampir dikorban, Siti Hajar dan telaga Zam-Zam, pembinaan Kaabah semuanya tiada dalam Bible. Ia membuat saya terfikir: yang mana satu benar?

Saya cuba korek cerita tentang Islam dari kawan-kawan Melayu saya, namun mereka anggap saya main-main. Malah ada sekali saya ditegur kerana mengucap “insya Allah”. Pengalaman membuat saya serik untuk menyebut Islam di hadapan orang Islam buat seketika.

Saya memilih untuk membuat pembacaan sendiri dan dari situ saya membina fahaman asas tentang Islam: Rukun Islam, Rukun Iman, sirah Nabi Muhammad, perkembangan sejarah mazhab dan sebagainya. Cuma bab-bab ibadah seperti cara bersolat tidak begitu faham menerusi pembacaan semata-mata.

Pendedahan kepada Islam buat saya tidak dapat beriman dengan Bible lagi, lalu saya berhenti menghadiri gereja mulai Tingkatan Tiga, belum sempat dibaptiskan. Namun pada masa yang sama saya juga tidak bersedia untuk memeluk Islam. Untuk tempoh masa yang panjang, saya menganggap diri sebagai seorang “theist”: percaya Tuhan wujud tetapi tidak terikat dengan mana-mana agama.

Walaupun saya seakan tahu Islam itu agama yang benar, namun kekuatan dan keyakinan untuk masuk Islam itu tiada.

Itu menjadi masalah ketika saya bercinta dengan seorang gadis Melayu semasa di universiti. Walaupun sudah sampai ke tahap merancang perkahwinan, saya masih tidak mampu melepasi halangan psikologi saya untuk memeluk Islam. Sampai dia pun mengeluh kenapalah hati saya keras sangat. Tapi apakah daya kalau hidayah belum sampai. Saya takut dengan ketidakpastian. Saya tak dapat bayangkan saya menjadi seorang Muslim.

Hampir putus asa, bakal tunang saya itu mengirim doa melalui kawannya yang pergi mengerjakan umrah di Mekah agar saya diberi hidayah. Saya bergurau adakah ia berkesan terhadap kafir seperti saya.

Tanpa disedari, hidayah semakin dekat kepada saya.

Titik baliknya ialah bulan Ramadan 2012. Ketika itu saya ada urusan di Putrajaya di sebuah kementerian yang agak terpencil. Waktu itu tiada kenderaan, telefon bimbit saya mati, tambahan pula dengan keadaan trafik yang sesak di petang Jumaat, maka saya pun nekad untuk berjalan kaki dari situ ke stesen tren.

Cuaca amat panas, saya berpeluh-peluh dan terasa memerlukan tempat untuk menyejukkan badan. Saya lalu depan Masjid Besi, dan tak tahu kenapa saya beranikan diri masuk ke situ. Disebabkan tidak dihalang, maka saya pun pergi ke tempat wudhuk untuk mencuci muka, tangan dan kaki. Bila difikirkan balik, rupa-rupanya masa itu saya mengambil wudhuk tanpa sedar, dan saya sebenarnya tak tahu apa cara mengambil wudhuk pada masa itu.

Tak tahu apa yang mendorong saya untuk naik ke dewan solat. Kali pertama saya berada di dewan solat sebuah masjid. Suasana di situ itu sungguh menenangkan. Saya pandang sekeliling. Sekali pandang ke atas, Subhanallah, kalimah Allah di bawah kubah membuat saya terpegun seketika, waktu seolah-olah terhenti. Di saat itu saya terdengar suara “sujud”, maka saya pun sujud on the spot. Apa yang berlaku adalah di luar kawalan dan jangkaan saya. Surreal.

Pengalaman itu membuat hati saya terpaut dengan masjid. Saya mula mengunjungi masjid, memerhatikan orang bersolat dan meniru gaya solat jemaah masjid. Akhirnya, selepas 4 bulan, saya melafazkan syahadah di Masjid Besi, tempat yang saya menerima hidayah, seusai solat Jumaat terakhir tahun 2012. Ratusan jemaah yang jadi saksi, cuak juga saya nak mengucap. Selesainya syahadah, Allah menganugerahkan hujan, seolah-olah memayungi kehidupan baru saya dengan rahmat-Nya.

Dari tahun 2002 pertama kali saya mengenali nama Allah dan rasul, hingga tahun 2012 saya naik saksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad adalah rasul-Nya, ia mengambil masa 10 tahun untuk saya melengkapi perjalanan kembali ke fitrah.

Saya beritahu mak ayah tentang pemelukan Islam saya. Mereka bukan sahaja tidak marah malah menghormati pilihan saya. Saya tidak mengubah nama Cina saya atas dua sebab: untuk membalas budi mak ayah saya, dan juga untuk memudahkan dakwah kepada kaum Cina suatu hari nanti. “Ayman Rashdan” adalah nama yang dicadangkan oleh tunang saya. Aiman membawa maksud “yang bertuah” manakala Rasydan membawa maksud “yang mendapat petunjuk”.

Atas sebab tertentu saya dan tunang tidak dapat melangsungkan perkahwinan. Agak sedih sebenarnya tidak dapat bersama dengan insan yang mengetuk pintu hati saya hingga ke Jannah. Mungkin ada hikmah yang tersembunyi. Kini saya mempunyai lebih banyak masa untuk berbakti kepada keluarga.

Saya masih tinggal bersama ibu bapa. Setiap kali memasuki bulan Ramadan, mak saya yang akan mengejutkan saya bangun bersahur dan memanaskan makanan sahur. Mak ayah orang pertama yang mengucapkan “Selamat Hari Raya” kepada saya, dalam Bahasa Melayu pula itu. Kini, saya cuma berharap mereka pun akan dikurniakan hidayah untuk memeluk Islam satu hari nanti.

Bagi saya, apa yang menarik mengenai bulan Ramadan adalah suasana spiritual yang tidak terdapat dalam bulan-bulan yang lain. Di bulan Ramadan, otak saya lebih berfokus untuk menghayati ayat suci. Saya akan guna sejam sebelum berbuka puasa di masjid untuk menghafal Quran. Ramadan pertama, saya menghafal surah-surah muqaddam. Ramadan kedua, saya melengkapkan juzuk ke-30. Ramadan ketiga, saya menghafal juzuk ke-29. Ramadan keempat, juzuk ke-28. Masuk ke Ramadan kelima, juzuk ke-27 jadi mencabar, maka tahun ini saya hanya mensasarkan untuk menghafal Surah Ar-Rahman, Al-Waqi’ah dan Al-Hadid.

Bertadarus Al-Quran bersama Dato’ Sri Mustapa ketika Ramadan 2014

Lima tahun cukup membuat saya merasai manis pahit menjadi seorang Muslim. Ada orang Cina yang menganggap saya memeluk Islam hanya untuk memburu habuan. Ada orang Melayu yang meragui niat saya memeluk Islam. Namun semua itu tidak menggugat semangat saya. Saya ingin membuktikan bahawa tiada kontradiksi antara menjadi seorang Cina dan menjadi seorang Muslim. Malah saya berwawasan untuk menjadi jambatan antara dua komuniti. Islam adalah rahmatan lil alamin, ia datang untuk menyatukan manusia.

Bersama Ustaz Don Daniyal dan Syeikh Hussein Yee

Hidayah itu unik, hidayah itu anugerah Allah, hidayah itu di luar jangkaan hamba-Nya. Di bulan Ramadan ini, kalau kita mencari, nescaya kita masing-masing akan menemui hidayah-Nya.

“Allah memberikan hidayah kepada siapa yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus” (Surah Al-Baqarah, ayat ke-213)

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

1 Comment

  1. Rasa macam nak nangis baca.. Susahnya nak dapat hidayah Allah even muslim-born sekali pun perlu sebenarnya perlukan hidayah Allah tu barulah betul2 dapat hidup dalam penghayatan cara hidup Islam.. T_T

Leave A Reply