https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Jerung Port Jackson: Jerung Gigi Comel

1,396

Kebanyakan filem-filem Hollywood mengenai ikan jerung, bagi aku secara tidak langsung telah menyebabkan reputasi mengenai haiwan ini terjejas.

Kerana di dalam filem-filem tersebut, haiwan ini dijadikan watak raksasa, dan dianggap sebagai makhluk yang ganas serta nalurinya hanya ingin membunuh sahaja.

Mungkin benar bahawa penampilan kebanyakan jerung itu menakutkan, yang mana rahangnya dibarisi gigi-gigi bergerigi dan sangat tajam membuatkan kita semua berasa gerun melihatnya.

Tetapi disebalik semua itu, tahukah anda bahawa wujudnya satu spesies jerung yang mempunyai barisan gigi sangat unik? Yang mana ia direka spesifik bukanlah untuk menggigit dan mengoyakkan daging, tetapi untuk menghancurkan benda-benda yang keras!

Pengenalan

Jerung Port Jackson atau nama saintifiknya Heterodontus portusjacksoni, merupakan sejenis ikan jerung berkepala ‘tumpul’, tidak seperti jerung lain yang mempunyai bentuk kepala tirus.

Selain daripada bentuk kepalanya, Jerung Port Jackson mempunyai corakan berwarna gelap pada tubuhnya, membuatkan spesies jerung ini sangat mudah untuk dikenalpasti.

Keluarga Heterodontidae jerung ini, terdiri daripada 9 spesies yang berbeza. Senarai berikut adalah spesies jerung dari keluarga Heterodontidae yang lain:

– Heterodontus francisci

– Heterodontus galeatus

– Heterodontus japonicus

– Heterodontus mexicanus

– Heterodontus omanensis

– Heterodontus quoyi

– Heterodontus ramalheira

– Heterodontus zebra

Habitat & Sebaran

Spesies jerung ini kebiasannya dapat ditemui pada kedalaman 100 sehingga 275 meter. Ia mendiami persekitaran berbatu berhampiran, atau pada dasar laut itu sendiri. Kadangkala ia juga dapat ditemui di kawasan berlumpur dan berpasir serta tempat dimana terdapat banyaknya rumput-rumput dasar laut.

Jerung Port Jackson menetap dan dapat ditemui di selatan perairan Australia, dari selatan Queensland sehinggalah ke selatan Tasmania.

Peta sebaran Jerung Port Jackson.

Pemakanan & Diet

Diet Jerung Port Jackson terdiri daripada pelbagai spesies hidupan laut seperti landak laut, moluska (kerang-kerangan), krustasia (ketam / udang) dan juga ikan-ikan kecil lain. Makanan kegemaran jerung ini adalah landak laut dari spesies Centrostephanus rodgersi.

Disebabkan mangsanya bersifat nokturnal, atau dalam erti kata lain hanya aktif pada waktu malam, ini juga membuatkan Jerung Port Jackson turut aktif pada waktu malam sahaja. Manakala pada waktu siang pula, ia menggunakan gua-gua atau celahan batu untuk berlindung.

Landak laut Centrostephanus rodgersi

Barisan gigi yang unik

Dan apabila kita cuba untuk membayangkan tentang bentuk dan penampilan gigi jerung itu, sudah tentu kita akan terbayangkan gigi bersaiz besar dan sangat tajam seperti jerung di dalam filem Jaws.

Walau bagaimanapun, bukan semua daripada spesies jerung memiliki gigi yang menggerunkan seperti itu.

Ini kerana Jerung Port Jackson memiliki gigi yang unik dan tidak bergerigi. Selain itu, gigi yang terdapat pada bahagian hadapan rahang turut berbeza dengan gigi pada bahagian belakang rahang.

Oleh sebab itu juga, genera/genus jerung yang mempunyai gigi berbeza seperti ini, dinamakan Heterodontus. Ia berasal daripada perkataan Greek iaitu “Heteros”, bermaksud ‘berlainan’.

Seperti di dalam gambar yang telah disediakan, gigi pada rahang hadapan Jerung Port Jackson bersaiz kecil dan seakan duri. Manakala gigi pada bahagian belakang rahang berbentuk lebar dan leper.

Fungsi mempunyai gigi seperti ini adalah supaya ia berupaya untuk memegang dan memecahkan (hadapan), dan menghancurkan serta mengisar lapisan cengkerang keras kerang-kerangan yang dimakan (belakang).

Selain itu, anda juga perlu tahu bahawa, diet pemakanan dan bentuk gigi turut berbeza diantara Jerung Port Jackson dewasa dan jerung juvenil (muda).

Jerung juvenil mempunyai lebih banyak gigi hadapan yang seakan duri itu, berbanding jerung dewasa. Ini kerana ketika ia berada dalam fasa muda remaja ini, ia lebih banyak memakan haiwan yang berbadan lembut, contohnya seperti ikan dan krustasia.

Kebolehan & Adaptasi lain Jerung Port Jackson

Sesuatu yang menarik berkenaan cara Jerung Port Jackson ini makan juga, perlu diberikan perhatian.

Cara bagaimana jerung juvenil ini makan juga unik, iaitu dengan menyedut air dan pasir dari dasar laut. Kemudian dengan hanya menyimpan mangsa atau makanannya, ia akan kembali membuang pasir-pasir yang disedut tersebut melalui insangnya.

Mungkin ini juga sebab mengapa rupa atau fizikal bahagian mulut dan kepala Jerung Port Jackson ini mirip dengan sejenis lagi ikan yang kita semua kenali sebagai ‘Ikan Bandaraya’, yang dikenali dengan kemampuannya untuk menyedut lumut-lumut di dalam akuarium.

Seterusnya, tahukah anda bahawa Jerung Port Jackson juga memiliki kebolehan untuk makan dan ‘bernafas’ pada masa yang sama?

Walaupun pada hakikatnya, kebolehan ini merupakan sesuatu yang sangat jarang dimiliki oleh jerung. Ini kerana, majoriti daripada spesies jerung itu perlu berenang dengan mulutnya dalam keadaan terbuka, bagi memaksa air laut itu untuk melalui insang, membolehkan ia memerangkap oksigen dan bernafas.

Oleh sebab itu juga, di dalam rancangan Discovery atau Nat Geo berkenaan kajian terhadap jerung (kalau pernah anda tonton), anda dapat melihat jerung yang ditangkap bagi mengambil sampel darah dan sebagainya, perlu dimasukkan tiub air ke dalam mulutnya bagi menghantarkan bekalan berterusan air laut untuk melalui insang.

Ia sebagai satu cara untuk membuat jerung tersebut kekal bernafas. Bayangkan jika pasukan pengkaji tidak berbuat demikian, sudah tentu jerung tersebut akan mati akibat kekurangan oksigen, disebabkan oleh ia tidak dapat berenang.

Berbalik kepada topik utama yakni Jerung Port Jackson, kebolehannya untuk makan dan bernafas pada masa yang sama ini, adalah kerana ia dengan efisien dapat menggunakan salah satu daripada 5 bukaan insangnya, untuk mengepam air. Bukaan insang pertama yang digunakan itu juga sedikit berbeza, kerana ia lebih besar berbanding bukaan insang lain.

Jadi, dengan kebolehan mengepam air melalui insang yang dimiliki oleh Jerung Port Jackson, membolehkan ia untuk tidak bergerak atau berenang untuk ‘bernafas’. Perkara ini seterusnya membenarkan ia untuk berada dan mencari buruan di dasar laut bagi satu tempoh masa yang agak lama.

Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.