Jerung Pemakan Rumput?

295

Secara umumnya, jerung itu dikenali sebagai haiwan yang ganas dan berdiet karnivor. Yakni sejenis haiwan yang memakan hidupan atau haiwan lain untuk terus hidup.

Namun begitu, saintis telah menemui satu spesies jerung yang berdiet omnivor. Atau dalam erti kata lain, jerung tersebut memakan haiwan, tetapi pada masa yang sama, ia turut mampu untuk memakan tumbuh-tumbuhan di dalam laut.

Jerung omnivor yang telah dikenalpasti itu adalah jerung yang dikenali umum dengan nama Bonnethead, atau nama saintifiknya Sphyrna tiburo. Ia adalah salah satu daripada spesies jerung “hammerhead”.(Berdasarkan bentuk kepalanya yang seakan tukul).

Spesies jerung ini kebiasaannya ditemui dengan jumlah yang agak besar di kawasan atau habitat berumput di dalam laut.

Melalui kajian yang dilaksanakan, saintis dapati bahawa kandungan perut dan fisiologi pencernaan makanan jerung itu, menunjukkan yang ia banyak memakan dan mampu untuk mencerna rumput.

Ini kerana, 62% daripada kandungan makanan yang ditemui di dalam perut jerung itu, terdiri daripada rumput laut, manakala kandungan perut selebihnya terdiri dari haiwan.

Selain dari kandungan rumput dalam perut, hasil pemeriksaan dan kajian menunjukkan bahawa jerung ini mempunyai enzim istimewa iaitu β-glucosidase, sejenis enzim yang mampu mencerna selulosa (cellulose) dan karbohidrat lain yang terkandung di dalam rumput.

Teringat aku dialog yang diucapkan jerung bernama “Bruce” di dalam filem Finding Nemo.

“Fish are friend.. not food”
(At least 60% of the time)

RUJUKAN:

Leigh, S.C., Papastamatiou, Y.P. and German, D.P., (2018). Seagrass Digestion by A Notorious ‘Carnivore’. Proceedings of Royal Society B, 285(1886), p.20181583.

Leigh, S.C., Papastamatiou, Y.P. and German, D.P., (2018). Omnivorous Sharks? An Analysis of Bonnethead Shark Digestive Physiology Provides Evidence for Seagrass Digestion and Assimilation

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.