Jepun sememangnya dikenali sebagai pendahulu dalam pelbagai sektor ekonomi sehingga menyumbang kepada kedudukannya sebagai antara kuasa ekonomi dunia. Antara sektor ekonomi yang menyumbang kepada kekuatan ekonomi negara itu ialah sektor automotif dan pembuatan elektronik sekaligus mendorong banyak negara termasuk Malaysia mahu mencontohi pencapaian ekonomi mereka. Tetapi dengan pelbagai isu yang melanda negara itu hari ini termasuk masalah ekonomi dan populasinya yang berumur, Jepun harus berevolusi demi menyegarkan semula sektor ekonominya termasuk melibatkan diri dalam sektor industri halal.

Industri halal terutama industri makanan halal dianggap asing bagi kebanyakan negara bukan Islam kerana menyangka konsep ini terpakai kepada umat Islam sahaja. Tetapi nilai pasaran ini amat besar berjumlah $661.6 bilion dan dengan lebih banyak negara sedar potensi pasaran ini, ia akan memberi keuntungan besar kepada mereka.

Tetapi sayang, penglibatan firma-firma Jepun yang dikenali dengan semangat kaizen dan sikap inovatifnya dalam industri ini masih rendah walaupun berhadapan pelbagai cabaran di peringkat domestik. Suka atau tidak, konsep pasaran halal merupakan kunci utama kepada pasaran perdagangan global dan mereka perlu mencari kaedah untuk menembusi pasaran baru yang berharga ini.

Keperluan makanan halal

Satu perkara yang tidak mendorong penglibatan firma-firma Jepun dalam pasaran ialah bilangan populasi umat Islam yang sedikit di Jepun. Berdasarkan bancian yang dibuat pada tahun 2010, Jepun mempunyai populasi umat Islam seramai 190,000 orang dengan pertambahan sebanyak 58% daripada 120,000 orang pada tahun 1990.

Majoriti daripada mereka ialah kelompok imigran dari Indonesia berjumlah 30,000 orang diikuti oleh imigran dari Pakistan, Bangladesh dan Iran. Sementara bilangan orang Jepun yang memeluk Islam masih sedikit dengan kebanyakan mereka ialah wanita Jepun yang memeluk Islam atas sebab perkahwinan (berkahwin dengan imigran beragama Islam). Sementara orang Jepun yang memeluk Islam atas sebab lain amat sedikit.

Bagi memenuhi keperluan makanan halal mereka, umat Islam Jepun memilih memasak di rumah sepanjang masa atau berkunjung ke restoran-restoran makanan etnik jika hendak makan di luar. Di sini, mereka memilih menu makanan laut atau sayur-sayuran semasa makan di luar.

Jika mereka pergi ke pasar raya untuk membeli barangan dapur, sebarang keraguan tentang barangan tempatan yang dibeli dihilangkan dengan menghubungi pusat panggilan pelanggan produk makanan berkenaan. Dengan kebanyakan produk makanan halal diimport dari luar negara, maka sijil halal sesebuah produk juga diambil dari pensijilan halal negara yang menghasilkannya.

Di Jepun, terdapat 55 buah kedai makanan halal di 27 wilayah daripada 48 wilayah di Jepun. Majoriti kedai ini tertumpu di ibu negara Jepun iaitu Tokyo. Selain menyediakan khidmat kepada individu, kedai-kedai ini turut menyediakan perkhidmatan bekalan daging dan ayam halal serta semua bahan diperlukan di restoran-restoran makanan beretika. Dan ini amat menyusahkan umat Islam terutama yang menetap di luar bandar kerana jika mereka memerlukan produk makanan halal, mereka perlu mendapatkannya secara dalam talian atau menerusi panggilan telefon.

Dengan bilangan populasi umat Islam di Jepun semakin bertambah terutama melalui pelajar asing, universiti-universiti cuba memenuhi keperluan mereka dengan meletakkan menu halal di kafetaria mereka. Usaha ini dipelopori oleh Universiti Osaka pada tahun 1995 sebelum disusuli oleh Universiti Kyushu (2005), Universiti Nagoya (2006), Universiti Tokyo dan Universiti Tohoku (2007), Universiti Kyoto (2009) dan Universiti Waseda (2012). Di sesetengah kafetaria universiti, makanan halal dilabel sebagai halal pada menu. Tetapi di sebalik semua ini, makanan halal masih terhad kepada makanan etika sahaja.

Selain pelajar universiti, isu makanan halal ini turut membelenggu ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil. Jika mereka pergi ke tadika atau sekolah, makanan dihidangkan kepada semua orang tanpa sebarang perbezaan. Bagi anak-anak ini, mereka tiada pilihan iaitu makan makanan yang disediakan kantin sekolah kecuali membawa bekalan makanan ke sekolah. Tetapi langkah ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang bimbang langkah sebegini akan mengakibatkan mereka dipinggirkan oleh rakan-rakan sekolah.

Sebab-sebab kelewatan firma Jepun memasuki pasaran halal

Firma-firma Jepun dilihat kurang berminat memasuki pasaran ini atas beberapa sebab:

  • Halal dianggap satu isu sensitif kerana ia dikaitkan dengan agama. Ini ditambah kaitan Jepun dengan Islam tidaklah serapat kaitan negara berkenaan dengan agama Shinto dan Buddha. Selain itu, Jepun memandang halal sebahagian daripada keperluan agama sekaligus dianggap terlalu rumit untuk dikaitkan. Kerumitan sebegini ditambah dengan peraturan halal yang ketat mematikan selera firma-firma Jepun dari menyertai pasaran ini.
  • Kebanyakan firma Jepun masih fokus kepada pasaran makanan dan masih belum bersedia merebut peluang tanpa had pasaran halal global. Selain itu, ketiadaan pengetahuan tentang soal kehalalan makanan menyukarkan lagi cubaan mereka menembusi pasaran kerana sudah biasa menggunakan bahan makanan tidak halal seperti alkohol dan daging khinzir.
  • Konsep halal tidak terpakai kepada produk akhir makanan sahaja tetapi meliputi kepada semua rantaian proses pembuatan produk itu sendiri. Suka atau tidak, firma-firma terpaksa merombak semula rantaian produksi mereka untuk mengurus, menetapkan standard dan kawalan ke atas nilai rantaian. Firma-firma Jepun dikenali dengan budayanya yang suka mengelak risiko dan lebih suka membuat perubahan kecil tetapi berterusan di mana ketidaktentuan sesebuah produk masih boleh dikawal.
  • Kekurangan sifat ingin tahu dalam rakyat Jepun sendiri tentang isu kehalalan makanan. Satu kaji selidik mendedahkan kebanyakan responden tidak pernah mendengar konsep halal dan tidak berminat mempelajari soal halal itu sendiri. Ini juga menyumbang kepada ketiadaan kemahuan dalam kalangan firma-firma Jepun untuk menghasilkan produk halal mereka kepada pengguna.

Impak penyertaan industri halal

Sejak kebelakangan ini, Perdana Menteri Shinzo Abe mahukan penglibatan negara Islam seperti Malaysia untuk membantu mereka menembusi industri halal. Dengan Sukan Olimpik 2020 akan diadakan di Tokyo dan jangkaan pengunjung seramai 40 juta orang mengunjungi Jepun tahun hadapan, Abe sedar ini juga merupakan tiket kepada peluang ekonomi baru negara Matahari Terbit itu. Antara impak penyertaan industri halal ialah:

  • Pengurangan pergantungan kepada sektor-sektor penting seperti automotif dan perindustrian yang hanya menggunakan sumber manusia sebanyak satu peratus. Pengurangan pergantungan ini boleh dicapai dengan mempelbagaikan penyertaan Jepun dalam industri lain termasuk industri halal yang boleh menarik masuk wang asing ke dalam negara. Selain itu, ia turut mengukuhkan lagi pengembangan industri lain seperti pendidikan dan pelancongan.
  • Pengukuhan industri pendidikan di mana ia akan menyaksikan pertambahan bilangan pelajar asing terutama dari negara-negara Islam. Ini berdasarkan program Global 30 yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT) pada tahun 2009 yang dijangka boleh menarik 300,000 pelajar antarabangsa ke Jepun dalam tempoh lima tahun. 13 universiti mengambil bahagian di mana kebanyakan universiti ini terletak di kawasan yang mempunyai populasi umat Islam yang ramai seperti Tokyo, Osaka, Sendai, Kyoto, Tsukuba, Nagoya dan Kyushu. Pertambahan bilangan mereka sudah pasti akan menambah bilangan populasi umat Islam di Jepun dan sekaligus menambah lagi keperluan permintaan makanan halal di sana.
  • Satu sebab mengapa Abe mahukan penglibatan lebih banyak negara Islam untuk membantu industri halal Jepun ialah potensi perbelanjaan pelancong dari negara-negara Islam. Satu kajian dari Crescent Rating, sebuah syarikat pelancongan di Singapura mendedahkan potensi perbelanjaan pelancong beragama Islam sebanyak $100 bilion dengan 80% daripadanya dibelanjakan untuk negara-negara yang mempunyai pelancongan yang bersifat halal. Jepun menjadi tumpuan ramai pelancong kerana pencapaiannya dalam sains dan teknologi, lanskap pemandangan yang indah dan keunikan budayanya. Buktinya, selepas Air Asia X melancarkan penerbangan ke Tokyo pada tahun 2009, mereka sudah membawa lebih 100,000 penumpang ke Tokyo dalam tempoh setahun. Tetapi masalahnya ialah kesukaran pelancong beragama Islam mendapatkan akses kepada makanan halal. Kebanyakan bahan pada label ditulis dalam Bahasa Jepun dan agak sukar difahami sekaligus menyukarkan mereka mengetahui makanan tersebut boleh dimakan atau tidak. Ini mendorong mereka membawa makanan dari negara asal sekaligus mematikan sebarang harapan mencuba makanan Jepun atau membeli makanan tempatan. Keadaan ini bertambah parah sekiranya mereka melawat Jepun semasa bulan Ramadan di mana tiada akses kepada makanan sahur. Selain itu, tempat-tempat penginapan tidak menyediakan kemudahan yang bersifat mesra-Muslim seperti surau, tempat wuduk, perkhidmatan pelancongan agama dan kolam yang memisahkan lelaki dan wanita. Jika semua isu ini dapat diselesaikan, ia bukan saja mendorong pertumbuhan sektor pelancongan Jepun tetapi juga menjana pertumbuhan ekonomi negara tersebut melalui industri halal.

Melihat kepada semua sebab yang dinyatakan ini, maka ini merupakan satu tiket pemulihan ekonomi yang tidak seharusnya diketepikan begitu saja. Dan dengan kesediaan Jepun mengurangkan pergantungan kepada sektor-sektor kritikal dan mempelbagaikan pendapatan ekonominya selaras dengan dasar ekonomi Abe yang dikenali sebagai Abenomics, tiada yang mustahil bagi negara itu mengatasi cabaran ekonomi yang membelenggunya ketika ini. Pada masa sama, kesediaan Tokyo mempelbagaikan pendapatan ekonominya termasuk industri halal seharusnya dijadikan contoh teladan kepada mana-mana negara agar tidak terlalu bergantung kepada sektor tertentu walaupun ia menjanjikan pulangan lumayan. Ini kerana sesebuah sektor boleh saja jatuh atas sebab tertentu seperti bencana alam atau kehabisan sumber alam seperti minyak dan gas asli.

SUMBER

1. Shutto, Noriyuki dan Md Yusof, Shazlinda. (2014). Procedia – Social and Behavioral Sciences 121 (muka surat 253-261). The Development of Halal Food Market in Japan : An Exploratory Study. https://www.researchgate.net/publication/299566541_The_Development_of_Halal_Food_Market_in_Japan_An_Exploratory_Study

2. The Star. (2019). M’sian companies told to expand into Japan’s halal market. https://www.thestar.com.my/business/business-news/2019/01/11/msian-companies-told-to-expand-into-japan-halal-market/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.