“Orang Jepun …harus memahami masyarakat Melayu. …orang Jepun yang mempunyai keinginan untuk menakluki negara ini perlu melihat dengan lebih luas. Untuk itu, kemahiran berbahasa Melayu/Indonesia merupakan cara dan alat yang paling baik untuk mencapai tujuan besar itu”.

                                     (Hideki Tojo, Ketua Angkatan Tentera Darat Jepun)

Petikan kata di atas merupakan prakata pertama yang terdapat dalam buku Shaishin Marai-Go You Tei,  iaitu sebuah buku berkenaan tatabahasa bahasa Melayu yang diterbitkan pada tahun 1941 oleh penerbit Sibishokaku. Buku setebal 416 halaman ini diterbitkan di Tokyo, Jepun. Prakata tersebut jelas memperlihatkan bahawa penguasaan sesuatu bangsa itu amat penting untuk penaklukan.

Perkara ini diperjelas lagi oleh  Uehara Kunzo dengan menegaskan bahawa Bahasa Melayu / Indonesia perlu dipelajari oleh tentera Jepun yang akan dihantar ke rantau ini untuk menimbulkan rasa kesamaan antara orang Jepun dengan masyarakat Melayu / Indonesia kerana menerusi pengungkapan bahasa yang baik boleh menimbulkan rasa kesamaan dan saling memahami antara kedua-dua bangsa yang berbeza ini. Uehara Kunzo merupakan penulis buku Shaishin Marai-Go You Tei. Penegasan beliau ini terkandung dalam prakata kedua buku ini.

Dicatatkan bahawa masyarakat Jepun telah mula mempelajari bahasa Melayu sejak 100 tahun yang lalu dengan penerbitan buku pertama pada awal tahun 1900-an dan buku yang pertama berjudul Marai-go Dokusyu dengan menggunakan tulisan Jawi telah diterbitkan pada tahun 1912. Jumlah penerbitan buku ini terus meningkat dan bertambah selaras dengan dasar peluasan kuasa Jepun ke negeri-negeri di sebelah timur yang melibatkan kawasan tanah jajahan Inggeris dan Belanda, iaitu Tanah Melayu dan Indonesia. Selain daripada penerbitan buku, bahasa Melayu/Indonesia turut diajarkan secara formal di beberapa buah institusi di Jepun pada ketika itu.

Pada peringkat awal dalam memahami bahasa Melayu, kamus dwibahasa Melayu/Indonesia dan Jepun telah disusun. Menurut Yamaguchi Masao, iaitu seorang sarjana di Universiti Setsunan, Kamus Melayu-Jepun dan buku dialog bahasa Melayu dengan terjemahan bahasa Jepun telah diterbitkan dalam tahun 1908 dan 1910. Pada masa yang sama bahasa Melayu mula diajarkan secara formal di sekolah. Bahasa Melayu/Indonesia untuk kali pertama diajarkan pada peringkat persekolahan di dua buah sekolah di Tokyo pada tahun 1908. Pada tahun yang sama juga Tokyo Gaikokugo Daigaku atau Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) turut memulakan pengajaran bahasa Melayu/Indonesia kepada warga Jepun.

Bagi membolehkan bahasa Melayu/Indonesia diajarkan di Jepun, maka guru-guru Melayu telah dibawa ke Jepun untuk mengajar di sana. Dicatatkan sekurang-kurangnya seramai lima orang guru Melayu dari Tanah Melayu telah didatangkan ke Tokyo untuk tujuan ini, bermula pada tahun 1911 sehingga tahun 1937. Antaranya ialah Ibrahim bin Ahmad (mulai 1911 hingga 1913), Ahmad bin Ambacc (1913), Bachee bin Wan Chik (1914 hingga 1937), Ibrahim bin Pachee (1921 hingga 1924) dan Abdul Rani bin Haji Abdullah (1925 hingga 1937).

Salah seorang daripada pengajar, iaitu Bachee bin Wan Chik telah mengajar selama 19 tahun di Jepun, iaitu di Universiti Takushoku, Tokyo dan Osaka Language University, Osaka. Dalam tempoh itu beliau bersama dengan Hiraoka Junzo turut menyusun kamus dwibahasa Melayu/Indonesia-Jepun pada tahun 1927. Dalam tempoh itu juga beliau bersama-sama dengan Marquis Yoshichika dan Sumitake Asakuri, seorang profesor bahasa Melayu/Indonesia di Universiti Tokyo telah menghasilkan buku pelajaran bahasa Melayu/Indonesia berjudul Marai-go yon shu-kan bermaksud Belajar Bahasa Melayu dalam Ampat Minggu pada tahun 1937. Atas keperluan dalam mempelajari bahasa Melayu/Indonesia, buku ini telah diulang cetak sebanyak 30 kali.

Selepas tahun-tahun 1930-an, penghasilan kamus Melayu/ Indonesia-Jepun dan penulisan buku yang lain terus berkembang pesat. Perkembangan ini adalah sejajar dengan perancangan dan operasi penguasaan Jepun ke Tanah Melayu dan Indonesia yang semakin agresif. Pada tahun 1941 telah diterbitkan di Singapura sebuah Kamus Standard Bahasa Melayu/Indonesia-Jepun hasil susunan Fujino Kamori setebal 702 halaman. Pada tahun 1942 pula, Taketomi Masakazu telah menghasilkan Kamus Besar Bahasa Melayu/Indonesia-Jepun setebal 1,074 halaman dan pada tahun 1944 Kamus Baru Bahasa Jepun-Melayu/Indonesia telah disusun oleh Uehara Kunzo.

Uehara merupakan sarjana Jepun yang berperanan besar dalam menghasilkan sebuah buku yang begitu bermakna kepada pemerintah Jepun dalam hubungannya dengan operasi pentadbiran dan ketenteraan di Tanah Melayu. Dalam buku Shaishin Marai-Go You Tei atau Ringkasan Bahasa Melayu/Indonesia Terbaharu, beliau telah menghuraikan secara padat dan mendalam tentang tatabahasa Bahasa Melayu kerana bagi beliau, Bahasa tanpa tatabahasa diibaratkan seperti istana di padang pasir.

Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu / Indonesia di Jepun telah berlangsung dalam jangka waktu yang sangat panjang, iaitu sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Walaupun tujuan utama Jepun adalah untuk meluaskan jajahannya di Nusantara dan peluasan kuasa ini membolehkan mereka memiliki kekayaan sumber asli yang terdapat di kawasan ini, tetapi secara tidak langsung Jepun telah mengembangkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan warganya. Kemampuan orang Jepun menggunakan bahasa Melayu, telah membantu mereka mendekatkan diri dengan masyarakat Melayu dan dapat memahami budaya Melayu. Apabila kedua-dua strategi ini berjaya dilakukan, maka usaha mereka untuk menakluki Nusantara ini lebih mudah dilaksanakan dan lebih berkesan. Walaupun “niat” sebenar pentadbir Jepun mempelajari bahasa Melayu untuk tujuan peluasan kuasa, tetapi secara tidak langsung peluasan dan penyebaran bahasa Melayu di Jepun telah terlaksana.

Rujukan:

1. Norliza Jamaluddin (2012), Shaishin Marai-Go You Tei Mekar di Bumi Sakura, Universiti Sultan Idris.

2. Norliza Jamaluddin, (2013), Tatabahasa Bahasa Melayu dalam Shaishin Marai-Go You Tei Mekar,  Dewan Bahasa, halaman 26 – 30.  


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah. Berkelulusan Pengajian Melayu (major dalam Linguistik Melayu) di UM. Sejarah, bahasa, sosiobudaya, dan pendidikan merupakan isu yang boleh menarik perhatian mata, hati dan minda. Segala pengetahuan hanya asas dan baru mula mengintai ruang untuk menulis.

Comments are closed.