Jenis-jenis Pernikahan Melayu Sarawak

0
473
views
Majlis akad nikah Hafiz Suip dan Nureffy oleh Beautiful.nara.com

IKATAN perkahwinan yang sah adalah satu komitmen dan bukan hanya dibuat suka-suka sahaja sebaliknya mempunyai tujuan yang maha besar di dalam fitrah penghidupan seseorang. Dan pernikahan pula memiliki tujuan yang sangat mulia iaitu membentuk satu keluarga yang bahagia, kekal abadi serta dirahmati Tuhan yang Esa. Ianya mempunyai kepentingan sosial di dalam memelihara kelangsungan dan keturunan manusia, menjaga keselamatan agar terhindar dari segala macam penyakit yang membahayakan kehidupan manusia serta menjaga ketenteraman jiwa.

Berbicara dari konteks itu, kaum Melayu misalnya mempunyai adat-adat yang unik di dalam memperkatakan hal nikah kahwin ini. Lain padang lain belalang maka begitulah juga untuk masyarakat Melayu Sarawak yang mempunyai beberapa jenis nikah yang mungkin tidak sama seperti kaum Melayu di nusantara. Walaupun sebegitu, biar ada perbezaannya ia tetap berhubungkait dengan adat dan warisan yang telah dijunjunng selama ini di dalam penghidupan bergelar seorang Melayu.

Jika kita menyelidiki hal nikah kahwin bagi kaum Melayu Sarawak mempunyai lima jenis nikah yang mana setiap satunya mempunyai permulaaan cerita yang berbeza-beza bagi setiap pasangan yang akan dikahwinkan. Jenis nikah itu adalah seperti berikut:

1. Nikah Wena
2. Nikah Gantung
3. Nikah Tanggi’ Salah
4. Nikah Ngekot
5. Nikah Nyerah Dirik

I. Nikah Wena

Nikah Wena atau nikah benar merupakan satu ikatan perkahwinan yang mengikut lunas-lunas adat istiadat perkahwinan secara tertib. Atau untuk lebih mudah satu perkahwinan yang berasaskan suka sama suka. Apabila si uda dan si dara sudah sehati sejiwa ingin menghalalkan perhubungan mereka maka akan diluahkan niat kepada keluarga masing-masing. Mengikut adatnya pihak keluarga lelaki akan bertandang ke rumah keluarga pihak perempuan iaitu bermula dengan adat merisik, bertekol atau bertunang dan akhirnya setelah lengkap segalanya akan diakhiri dengan akad nikah dan persandingan.

II. Nikah Gantung

Nikah gantung serupa dengan ketertiban mengikut nikah wena cuma berbeza dari segi persandingan. Akad nikah dilakukan tanpa ada ada persandingan dan ianya boleh berlaku atas sebab-sebab tertentu sahaja. Jadi hal yang wajib iaitu akad nikah bagi mengesahkan perkahwinan itu menurut ajaran agama akan dibuat dahulu. Tentang soal bersanding itu boleh dikemudiankan pada tempohmasa yang dipersetujui antara dua pihak.

III. Nikah Tanggi’ Salah

Tanggi’ mengikut dialek Melayu Sarawak bermaksud “ditanya” dan ada juga yang mengklasifikasikan jenis nikah seperti ini sebagai “tangkap basah”. Maksudnya satu pernikahan itu terpaksa dilakukan ke atas satu pasangan kerana telah melanggar rona-rona adab sebagai seorang Melayu dan Islam. Baik keluarga sebelah lelaki mahupun wanita boleh memaksa satu pernikahan ini kerana ianya melibatkan maruah sesuatu keluarga.

Antara kesalahan yang membenarkan pernikahan ini boleh terjadi adalah apabila satu pasangan ini berdua-duaan atau terlalu lama berpasangan sehingga ke hulu ke hilir bersama tanpa segan silu. Untuk pernikahan seperti ini terpulang kepada keluarga pasangan tersebut samada untuk mengadakan majlis persandingan ataupun sekadar majlis akad nikah sahaja. Malah tiada hantaran diberikan kepada pengantin perempuan langsung.

Waqaf Saham

IV. Nikah Ngekot

Nikah ngekot hanya termaktub kepada pihak wanita sahaja iaitu maksudnya seorang wanita itu pergi ke rumah keluarga teman lelakinya dan tidak mahu kembali ke pangkuan keluarganya sendiri. Kadangkala hal ini boleh terjadi apabila percintaan mereka dihalang oleh keluarga pihak perempuan. Jadi, pihak perempuan telah mengambil keputusan nekad membenarkan segala keputusan dibuat oleh pihak keluarga lelaki.

Apabila hal ini terjadi, pihak keluarga perempuan tidak boleh mengatakan tidak untuk satu pernikahan itu terjadi walaupun tidak menyetujuinya langsung. Pernikahan seperti ini dianggap memalukan keluarga pihak perempuan maka segala hal mengenai seorang perempuan itu diserah bulat-bulat kepada keluarga lelaki. Oleh kerana jenis pernikahan ini umpama kata bidalan “perigi mencari timba” maka keberadaan majlis akad nikah dan persandingan (kalau ada) dilakukan dalam tempoh yang paling singkat.

Sekitar tahun 1960an hingga 1970an, untuk jenis pernikahan ngekot, ramai masyarakat Melayu hanya mengadakan majlisnya di sebelah malam pada hari biasa bukan hujung minggu seperti selalunya. Pihak perempuan juga tidak akan diberikan hantaran langsung dan cukup hanya mahar sahaja dan tiada adat-adat yang seterusnya digunapakai.

V. Nikah Nyerah Dirik

Kebiasaan kita akan mendengar betapa tingginya ego seorang lelaki lebih-lebih lagi apabila berbicara soal nikah kahwin. Untuk jenis nikah nyerah dirik pula termaktub pada si lelaki kerana kala ini si lelaki telah menyerah diri kepada keluarga si perempuan. Maksudnya si lelaki tidak berganjak dari rumah keluarga kekasihnya biarpun diminta pulang oleh pihak keluarga perempuan.

Ada banyak kemungkinan mengapa hal ini berlaku antaranya cinta terhalang ataupun kerana si perempuan tidak mahu menerima cintanya atau mungkin tiada cukup duit untuk mengikut jenis nikah wena. Namun begitu biarpun si lelaki sudah berada di rumah keluarga si perempuan dan sekiranya si perempuan “melarikan diri” iaitu keluar dari rumah keluarganya atas kerelaan hati kerana tidak mahu dikahwinkan dengan lelaki tersebut maka nikah nyerah dirik ini terbatal secara automatik. Sekiranya si perempuan masih di dalam rumah keluarganya dan memberi peluang kerana melihat kesungguhan si lelaki tersebut dan bersetuju maka barulah pernikahan nyerah dirik dapat dilangsungkan.

Dek kerana ianya juga melibatkan maruah seorang lelaki ianya turut dianggap sebagai jenis pernikahan yang tidak digemari oleh masyarakat Melayu. Terpulang kepada pihak keluarga perempuan untuk membuat bagaimana bentuk perkahwinannya ataupun hanya sekadar yang wajib sahaja.

Perlulah diketahui bahawa jenis-jenis nikah seperti ini masih lagi dilestarikan biarpun sekarang zaman sudah berubah. Mungkin di kota-kota besar seperti Kuching dan Miri untuk nikah ngekot dan nikah nyerah dirik sudah hilang dari tradisi masyarakatnya kerana lebih kemodenan namun untuk kawasan populasi Melayu di luar bandar seperti Saribas, Samarahan dan lain-lain ianya tetap masih digunapakai.

Maka jangan pandang sipi-sipi atas jenis-jenis pernikahan seperti ini apabila memasuki tempat orang bagi orang luar kerana ianya termaktub kepada semua kaum mahupun bangsa tidak kira berasal dari mana. Tiada kompromi apabila berbicara soal maruah dan adab sebagai seorang Melayu. Masuk kandang lembu menguak, masuk kandang kambing mengembek.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah

Kredit foto: Majlis akad nikah Hafiz Suip dan Nureffy oleh beautiful.nara.com

Rujukan:

1. Adat Resam Dan Budaya Masyarakat Melayu Sarawak (Perkahwinan) – JKKN (PDF)
2. Tajuk: Adat Perkahwinan Orang Melayu Sarawak – Penulis; Abang Yusuf Puteh