Jenis-Jenis Air Mata

736

Setiap orang pasti pernah menangis apabila berasa sedih, atau terlalu gembira. Dalam artikel ini, saya akan menulis mengenai jenis air mata dan fungsinya serta betapa uniknya ciptaan tuhan ini terhadap makhluk-makhluk kerdilnya ini. Di kesempatan ini, marilah kita memantapkan lagi pemahaman kita mengenai air mata dari sudut sains.

Disamping itu, saya ingin meletakkan beberapa hasil kerja seorang photographer bertaraf dunia bernama Rose-Lynn Fisher dalam satu portfolionya yang bernama The Topography of Tears. Terdapat lebih 100 gambar didalam portfolionya setakat ini. Amat menakjubkan kerana komposisi air mata (yang telah dikeringkan di atas slide microscope) berbeza-beza mengikut situasi (lihat gambar di bawah).

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai fungsi air mata ini, anda boleh ke artikel saya sebelum ini yang menghuraikan risiko dan komplikasi seseorang yang memakai kanta lekap terlalu lama. Pautannya di bawah ini:

https://www.thepatriots.asia/risiko-memakai-kanta-lekap-pada-waktu-yang-lama/

Secara asasnya, air mata manusia terbahagi kepada tiga kumpulan

  1. Air mata yang asas (Basal Tears)

Basal tears ini merupakan air mata yang sentiasa berada di mata kita, dan berfungsi sebagai memberikan nutrien dan oksigen di bahagian sklera dan conjunctiva. Disebabkan bahagian ini perlu menjadi lutsinar untuk mengekalkan pandangan seseorang manusia, maka ia tidak mempunyai salur darah dan memerlukan air mata secara berterusan. Air mata basal ini juga berfungsi untuk melembabkan bahagian tersebut yang sentiasa terdedah kepada udara luar.

  • Air mata Emosi

Walaupun terdapat beberapa perbalahan di antara ahli sains, namun saya mengambil pandangan majoriti iaitu manusia sahajalah merupakan organisma yang menghasilkan air mata apabila mereka sedih dan gembira. Emotional tears ini berfungis meningkatkan kadar endorfin dalam darah, yang menyebabkan kita berasa lega setelah menangis. Selain itu, menangis ini merupakan satu tanda isyarat untuk memberitahu manusia sekeliling bahawa seseorang itu sedang berasa sedih.

Selain itu, manusia juga mengalirkan air mata apabila mereka gembira atau terharu. Jika anda lihat melalui gambar mikroskop ini, anda akan dapati bahawa terdapat perbezaan yang jelas di antara kedua-dua air mata ini (sedih dan gembira) dan gambar ini amat menakjubkan pada pandangan saya.

  • Air Mata Refleks

Kelenjar lakrimal akan menghasilkan air mata sebagai satu cara untuk men’cuci’ bahagian mata ini daripada sebarang bendasing mahupun bakteria. Selain itu, air mata ini dikatakan mempunyai fungsi bagi menghapuskan bakteria yang terletak di atas mata ini. Dalam gambar di atas, air mata yang dijadikan subjek ini terhasil apabila dia (Fisher) sedang memotong bawang. Amat menarik bukan?

Seterusnya, mari kita lihat mengenai kisah bawang yang dikatakan akan menyebabkan seseorang itu mengalirkan air mata, dan wujudnya beberapa memes seperti ‘ninja cutting onion’ mengenai seseorang yang mengalirkan air mata apabila mterlalu sedih (disalahkan ninja pula yang sedang memotong bawang.

Gambar – Tenor

Bawang merupakan satu bahan yang amat popular dalam masakan, terutama sekali dalam masakan masyarakat di Malaysia ini. Kepopularan bahan ini amatlah terbukti memandangkan di Malaysia ini sendiri, terma mem’bawang’ digunakan dan dianalogikan sebagai perbuatan mengumpat dan cakap belakang, yang juga amat popular dalam masyarakat kita 😛

Banyak persoalan timbul tentang mengapakah apabila seseorang itu memotong bawang, dia akan mengalirkan air matanya. Pokok bawang ini pada asasnya merupakan sejenis tumbuhan yang sangat suka akan satu elemen yang terdapat di dalam tanah, iaitu sulfur. Semasa seseorang itu sedang memotong bawang, mereka akan menmutuskan serta menyebabkan setiap komponen yang berada di dalam sel bawang untuk bercampur.

Gambar – Royal Society of Chemistry

Bahan yang dinamakan alliinase ini yang terdapat di dalam sel bawang tersebut akan bertindak balas dengan satu bahan yang dipanggil sebagai S-1-propenyl-L-cysteine sulfoxide dan air. Tindak balas ini akan menghasilkan satu jenis bahan bernama propanethial-S–oxide atau lebih mudah dikenali sebagai lachrymators (lakrimal adalah nama kelenjar yang menghasilkan air mata).

Gambar – chm.bris.ac.uk

Bahan ini bersifat gas, dan meruap serta akan mengenai bahagian mata kita. Bahan ini akan bertindakbalas dengan air mata kita menukarkannya kepada asid sulfurik. Jangan bimbang, asid yang dihasilkan ini tidaklah sekuat asid sulfurik yang terdapat di dalam bateri kereta (bateri basah). Jadi, sebagai refleks, kelenjar lakrimal akan menghasilkan banyak air mata yang menyebabkan seseorang itu kelihatan tersendu-sendu dan syahdu dibucu katil.

Mengikut satu journal yang diterbitkan pada ACS Chemical Biology yang ditulis oleh seorang saintis bernama Josie Silvaroli, bahan ini merupakan salah satu bahan yang terkandung di dalam gas pemedih mata. Anda perlu tahu bahawa penghasilan bahan ini di dalam bawang sebenarnya adalah sebagai mekanisma pertahanan untuk tidak membenarkannya daripada dimakan, tetapi, samalah macam capsaicin di dalam cili, kita, manusia lebih suka memakannya.

Terdapat banyak tips mengenai cara yang betul untuk bawang tidak memberikan kesyahduan pada para makcik dan pakcik (termasuk saya) yang berada di dapur seperti membekukannya terlebih dahulu, mahupun menggunakan goggle untuk memotongnya. Namun, seperti yang kita tahu, semakin lama kita mendedahkan diri kita dengan memotong bawang ini, semakin kuranglah kesannya terhadap mata kita. Bawang merah, bawang besar, bawang Holand dan bawang putih mempunyai kecednerungan yang sama untuk membuatkan kita sebak di mata, bukan di hati.

Jadi, kini anda sudahpun menjadi lebih bijak dan mempunyai pengetahuan mengenai perkara-perkara kecil ini. Hal ini saya rasakan amat baik kerana dengan pengetahuan yang ada, anda akan dapat melihat perkara-perkara ini daripada sudut pandangan dan perspektif yang berbeza. Pesanan terakhir – ingatlah, ayat pertama makcik dan pakcik bawang yang paling popular adalah “Saya bukan nak membawang, tapi…” Hehehe. Lawak sahaja ya, Jangan marah.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.