Kali ini saya menulis tentang seorang lagi tokoh negara seperti yang biasa saya lakukan pada artikel-artikel saya sebelum ini. Bercakap soal keamanaan, pasti bayangan para tentera dan polis yang bersiap siaga siang dan malam terpancar pada pemikiran semua. Tidak lari juga pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam memimpin pasukan-pasukan keselamatan negara ini.

Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim bin Dato’ Ismail, merupakan bekas Ketua Turus Angkatan Tentera (kini dikenali sebagai Panglima Angkatan Tentera). Beliau merupakan satu-satunya Panglima Angkatan Tentera Malaysia yang pernah menerima anugerah gelaran ‘Tun’ daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Allahyarham merupakan seorang anak jati Johor yang dilahirkan dan dibesarkan di Johor Bahru. Ayah beliau, Dato’ Ismail bin Abu Bakar bekerja sebagai seorang pegawai untuk Kerajaan Johor. Lebih menarik lagi, ayah beliau juga merupakan seorang pegawai yang berkhidmat untuk Pasukan Tentera Sukarela Johor (JVF).

Permulaan Hidup Jeneral Ibrahim                                                                                                                       

Pendidikan awal Jeneral Ibrahim bermula di Sekolah Melayu Air Molek sebelum berpindah ke Sekolah Inggeris Ngee Heng dan Sekolah Inggeris Bukit Zaharah. Kemudiannya, beliau menyambung pelajarannya ke peringkat menengah di English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar) sehinggalah beliau tamat Senior Cambridge Examination.

Pada asalnya, kerjaya tentera bukanlah impian tegarnya. Beliau lebih menunjukkan minat dalam bidang akaun. Namun begitu, peluang yang kurang dalam bidang tersebut pada ketika itu meranapkan cita-citanya itu. Disebabkan hal ini, beliau memilih untuk menyertai tentera memandangkan ayah beliau juga merupakan bekas pegawai di JVF. Malang sekali, beliau merupakan anak jati negeri Johor dan itu membuatkan beliau tidak boleh menyertai pasukan Askar Melayu yang hanya dibuka kepada rakyat-rakyat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Beliau kemudian menyertai Askar Setia Timbalan Negeri Johor (JMF) sebelum diterima dan dihantar ke Dehra Dun, India bersama-sama dua orang lagi Pegawai Kadet iaitu Tun Hussein Onn dan Ungku Ahmad Ungku Abdul Rahman.

Sumbangan Jeneral Ibrahim Terhadap Negara

Jeneral Ibrahim kemudian diserap ke dalam 136 Force setelah menamatkan latihan di Dehra Dun, India. Beliau bersama-sama Kapten Abdul Razak Hussein (Tun Abdul Razak Hussein), Kapten Hussein Onn (Tun Hussein Onn), Kapten Ghazali Shafie dan Mejar Yeop Mahidin Mohamed Shariff berada di dalam Force 136 untuk menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Setelah Jepun menyerah kalah, Jeneral Ibrahim sambung berkhidmat bersama JMF sebelum menyertai Rejimen Askar Melayu (RAMD) pada tahun 1951. Setelah 7 tahun berada di dalam RAMD, beliau berjaya menjadi antara orang Melayu terawal yang memegang jawatan Pegawai Memerintah memimpin Batalion Ke-6 RAMD. 4 tahun kemudian pada 1962, beliau telah dinaikkan pangkat ke Brigedier seiring dengan perlantikan beliau sebagai Pengarah Pentadbiran Tentera Darat. Kemudian, beliau dilantik pula sebagai Pegawai Memerintah Briged Kelima Infantri di Sabah semasa konfrontasi yang berlaku di antara Malaysia dan Indonesia.

Dua tahun berikutnya, beliau menjawat pula jawatan mengetuai Briged Pertama sebelum mengambil alih Briged Kelima tidak lama selepas itu. Pada tahun 1966 pula, beliau telah dilantik menjadi Panglima Divisyen Infantri Pertama serta dinaikkan pangkat ke Mejar Jeneral. Dua tahun berikutnya, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral semasa dilantik menjadi Panglima Divisyen Infantri Kedua pula.

Jeneral Ibrahim juga merupakan sebahagian daripada Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) semasa Parlimen dibubarkan akibat daripada insiden berdarah 13 Mei 1969. Beliau merupakan Ketua Eksekutif MAHENRA dan berkhidmat secara terus di bawah Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu. Dalam ketika memegang jawatan tersebut, beliau juga telah dilantik sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera pada tanggal 1 Julai 1977 dengan pangkat Jeneral.

Setelah 7 tahun menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera, Jeneral Ibrahim pun bersara pada tanggal 30 November 1977 setelah 31 tahun beliau mencurahkan khidmat dan bakti bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia.

Jeneral Ibrahim Setelah Bersara & Penghargaan Terhadapnya

Allahyarham Jeneral Ibrahim jelas merupakan seorang yang komited dalam tugas beliau. Ini dibuktikan dengan penerimaan anugerah semasa perkhidmatan dan selepas persaraan beliau. Semasa perkhidmatan beliau di Tanah Melayu dalam menentang Jepun, beliau telah dianugerahi pingat ‘Member of the Order of the British Empire (M.B.E)’ yang dikurniakan oleh Raja George VI.

Bukan itu sahaja, Jeneral Ibrahim juga telah dikurniakan pingat Panglima Mangku Negara semasa masih dalam perkhidmatan bersama Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 1970. Namun antara itu semua, pengurniaan pingat Seri Setia Mahkota Malaysia yang membawa gelaran ‘Tun’ terhadap beliau jelas merupakan anugerah tertinggi negara yang diterima beliau pada tahun 2000 atas jasa dan baktinya terhadap keselamatan negara. Ini ditambah lagi dengan fakta yang beliau merupakan satu-satunya Panglima Angkatan Tentera yang pernah menerima anugerah tersebut.

Di samping itu, Jeneral Ibrahim juga telah menulis dua buah naskhah buku selepas bersara iaitu ‘Sudahkah Kamu Bertemu Mariam’ dan ‘Ibrahim, Pahlawan Melayu’.

Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim bin Dato’ Ismail menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 4.40 pagi, tanggal 23 Disember 2010 pada usia 88 tahun. Allahyarham dimakamkan di Makam Pahlawan, Masjid Negara. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.

Artikel dikirimkan oleh Sang Taming Marhaen untuk The Patriots.

RUJUKAN:

1. THE “THIRTEEN MILLION PLUS RINGGIT” GUY RAMBLES…. (2010). Tun Ibrahim Ismail:The last of the Malay Force 136. https://bigdogdotcom.wordpress.com/2010/12/23/tun-ibrahim-ismailthe-last-of-the-force-136/

2. IdrisTalu (2010). Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail pahlawan sejati. http://idristalu.blogspot.com/2010/12/jeneral-b-tun-ibrahim-ismail-pahlawan.html

3. The Telegraph (2019). Tun Ibrahim Ismail. https://www.telegraph.co.uk/news/obituaries/military-obituaries/special-forces-obituaries/8284728/Tun-Ibrahim-Ismail.html

4. AsiaOne (2010). Malaysia’s former military chief and WWII spy dies. https://www.asiaone.com/News/AsiaOne+News/Malaysia/Story/A1Story20101223-254449.html

5. Special Forces ROH (2011). Ibrahim bin Ismail. http://www.specialforcesroh.com/showthread.php?40621


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sangat berminat menulis mengenai tokoh-tokoh negara/melayu dalam terutamanya bidang sukan dan keselamatan.

Comments are closed.