Dilahirkan pada 21 Ogos 1961 di Kuching, Sarawak, Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang kini berusia 58 tahun dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia yang ke-21 dan merupakan Panglima Angkatan Tentera ke-2 daripada cabang Tentera Udara Diraja Malaysia selepas Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

Jeneral Affendi mendapatkan pendidikan awal di tempat kelahirannya di ibu negeri Sarawak, Kuching sebelum menyambung pendidikan peringkat menengahnya di Sekolah Menenengah Kebangsaan Tun Abang Haji Openg di Kuching.

Pada tahun 1977, beliau telah berjaya menamatnya peperiksaan Cambridge Lower School Certificate (kini Pentaksiran Tingkatan 3) dengan cemerlang dan kecemerlangannya itu membolehkan beliau melanjutkan pendidikan peringkat menengah atas ke Kuala Lumpur di Maktab Tentera Diraja (RMC) pada tahun berikutnya.

Maktab Tentera Diraja (RMC)

2 tahun menuntut ilmu di RMC, Jeneral Affendi menamatkan persekolahannya apabila beliau berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Malaysian Certificate of Education (kini Sijil Pelajaran Malaysia).

Kerjaya Dalam Tentera Udara

Setelah cemerlang dalam peperiksaan Malaysian Certificate of Education, Jeneral Affendi menjejakkan kakinya ke Sekolah Pegawai Cadet (OCS) di Port Dickson, Negeri Sembilan pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 1980 bagi meneruskan kerjayanya dalam bidang ketenteraan setelah 2 tahun menetap di RMC bagi menuntut ilmu.

Hari demi hari, setahun pun berlalu di OCS di Port Dickson. Tahun 1981 menjadi saksi apabila Jeneral Affendi terpilih bagi mengikuti latihan asas penerbangan di Pangkalan Udara Alor Setar sebelum berjaya menamatkan latihan lalu diatuliahkan sebagai pegawai berpangkat Leftenan Muda di dalam cabang Tentera Udara Diraja Malaysia pada tahun berikutnya.

Sebaik ditauliah sebagai pegawai, Jeneral Affendi telah di Pusat Latihan Terbang No. 3 di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang. Di sana, beliau telah mula ditugaskan untuk menjalani latihan penerbangan bersama jet pejuang dan hal ini telah menjadi titik tolak dalam kemajuan kerjaya beliau sebagai seorang juruterbang pesawat pejuang di dalam cabang tentera udara.

Tidak lama kemudian, beliau telah diarahkan untuk bertugas di Skuadron 9 di Pangkalan Udara Alor Setar, Kedah pula. Seterusnya, bulan Jun 1985 menyaksikan beliau melaksanakan penugasan operasi pertama beliau bersama dengan pesawat pejuang model McDonnell Douglas A-4 Skyhawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia pada ketika itu.

(McDonnell Douglas A4 Skyhawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia)

Kepakaran dan kemahiran Jeneral Affendi dalam mengawal dan menerbangkan pesawat pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia telah menjadi faktor kepada pemilihannya untuk menyertai Latihan Kejurulatihan Penerbangan pada awal tahun 1988 di usianya yang begitu muda iaitu pada usia 26 tahun.

Setelah kira-kira 6 bulan menjalani latihan itu, Jeneral Affendi telah ditugaskan semula di Pangkalan Udara Alor Setar tetapi kali ini sebagai seorang jurulatih penerbangan yang bakal mencurahkan segala ilmu pengetahuan yang tersemat di dada kepada bakal-bakal juruterbang pesawat pejuang di sana.

Pada sekitar tahun 1980-an juga, kemahiran dan kepakaran Jeneral Affendi dalam mengendalikan pesawat pejuang ditonjolkannya dalam penglibatan beliau dalam operasi-operasi penerbangan untuk menentang p3mberontak-p3mberontak dari Parti K0mun1s Malaya (PKM) di semenanjung Malaysia dan juga Parti K0mun1s Kalimantan Utara (NKCP) di sekitar Kepulauan Borneo.

Setelah 12 tahun berkhidmat di dalam Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Affendi telah terpilih sebagai salah seorang perintis dalam pasukan teknikal kepada projek pesawat pejuang baharu, MiG-29 jauh ke utara dunia di Rusia.

Tidak keseorangan, Jeneral Affendi pada ketika itu juga turut disertai oleh Panglima Tentera Udara Ke-16, Jeneral Tan Sri Rodzali dan juga Panglima Tentera Udara yang terkini, Jeneral Dato’ Sri Ackbal menjadikan mereka perintis kepada projek pesawat pejuang baharu negara ini pada ketika itu.

Mereka inilah yang bertanggungjawab dalam mengkaji seluruh aspek keupayaan pesawat pejuang MiG-29 itu sebelum disalurkan dan dibekalkan pula hasil kajian mereka itu kepada Tentera Udara Diraja Malaysia bagi kegunaan operasi pesawat pejuang itu.

(Mikoyan MiG-29 milik Tentera Udara Diraja Malaysia)

Pimpinan Jeneral Affendi

Mulai tahun 1997, Jeneral Affendi telah ditugaskan ke No. 1 Divisyen Udara sebagai seorang Pegawai Staf 2 Piawaian bertanggungjawab dalam hal-hal keselamatan dan kesiagaan sebelum dipertanggungjawabkan pula sebagai Pegawai Staf 1 bertanggungjawab dalam hal-hal operasi pejuang selepas itu.

Prestasinya yang baik semasa berada di No. 1 Divisyen Udara sebagai Pegawai Staf 1 dan Pegawai Staf 2 telah membuatkan beliau terpilih untuk dilantik menjawat jawatan Pegawai Memerintah kepada Skuadron 17 dan Skuadron 19 di Pangkalan Udara Kuantan di Pahang pada tahun 2002.

Dalam tempoh memegang jawatan tersebut, Jeneral Affendi telah menjadi pengasas bersama dalam penubuhan pasukan taktikal aerobatik pesawat pejuang MiG-29 yang telah diberi nama sebagai Smokey Bandits seterusnya menjadi ketua kepada pasukan ini sepanjang menjawat jawatan Pegawai Memerintah kepada Skuadron 17 dan Skuadron 19 itu.

Kira-kira 4 tahun kemudian iaitu pada tahun 2006, beliau telah diamanahkan dengan jawatan yang lebih besar dan penting iaitu sebagai Komander Pangkalan Udara Butterwoth di Pulau Pinang sebelum menjawat jawatan Pengarah J5 (Perancangan dan Kontingensi) di Markas Angkatan Bersama, Wisma Pertahanan pada sekitar tahun 2008.

Bulan Disember 2009 menyaksikan beliau dinaikkan pangkatnya ke pangkat Brigedier Jeneral seiring dengan pelantikannya sebagai Ketua Pengarah Operasi dan Eksesais di Markas Pemerintahan Operasi Udara di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur.

Pada sekitar tahun 2010 pula, Jeneral Affendi telah terbang ke United Kingdom bagi mengikuti sebuah kursus yang tempohnya diadakan selama setahun di Royal College of Defence Studies di London. Setahun berada di perantauan, Jeneral Affendi pun pulang sebelum ditugaskan semula sebagai Ketua Pengarah Operasi dan Eksesais di Markas Pemerintahan Operasi Udara di Wisma Pertahanan pada sekitar bulan September 2011.

Lebih setahun kemudian, beliau dinaikkan pangkatnya ke pangkat Mejar Jeneral sebelum dinaikkan lagi pangkatnya ke pangkat Leftenan Jeneral setelah dilantik untuk menggalas tanggungjawab sebagai Panglima Angkatan Bersama pada tahun 2014 di Markas Angkatan Bersama yang masih bertempat di lokasi yang sama iaitu Wisma Pertahanan.

Setelah beberapa bulan menjawat jawatan tersebut, beliau telah diamanahkan pula dengan jawatan Panglima Operasi Udara pada pengakhiran tahun 2014 sebelum dilantik pula menjawat jawatan kedua tertinggi dalam cabang Tentera Udara Diraja Malaysia iaitu Timbalan Panglima Tentera Udara pada tahun berikutnya.

Lebih setahun menjawat jawatan tersebut, tibalah masanya untuk Jeneral Affendi mengambil alih tugas sebagai Panglima Tentera Udara setelah Jeneral Tan Sri Roslan Saad bersara dari tugasnya sebagai Panglima Tentera Udara. Jeneral Affendi kemudian dilantik sebagai Panglima Tentera Udara yang ke-18 secara rasminya pada tanggal 21 Disember 2016.

Beliau juga merupakan Panglima Tentera Udara yang pertama yang berasal dari Kepulauan Borneo atau negeri Sarawak secara spesifiknya.

Jeneral Tan Sri Hj. Affendi bin Buang

Setelah 3 tahun memegang jawatan Panglima Tentera Udara yang bertanggungjawab memimpin cabang Tentera Udara Diraja Malaysia dalam formasi Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Affendi pun bakal dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang bakal bersara.

Akhirnya, pada tanggal 2 Januari 2020 iaitu pada awal tahun ini, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pun secara rasminya telah dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia yang ke-21 yang bertanggungjawab dalam memimpin barisan pertahanan utama negara dalam menjaga kedaulatan tanah air yang kita cintai ini.

Ulasan Penulis

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Affendi Buang mempunyai pengalaman yang begitu luas dalam bidang ketenteraan dan pengalaman beliau yang begitu luas itu sudah tentu mampu memajukan serta membangunkan lagi tahap kemampuan barisan pertahanan negara kita.

Dalam kesempatan itu, ingin saya ucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-63 dan marilah kita sama-sama memperingati, menghargai serta meraikan para pahlawan negara yang sudah mencurahkan peluh dan keringat dalam memastikan agar kita dapat terus berdiri di atas Bumi Malaysia ini.

Terima kasih para pewiraku!

RUJUKAN :

New Straits Times (4 Januari, 2020). The ‘Top Gun’ from Sarawak.      https://www.nst.com.my/opinion/columnists/2020/01/553295/top-gun-sarawak

Portal Rasmi Markas Angkatan Tentera (7 Januari, 2020). Profil Panglima Angkatan Tentera. https://www.mafhq.mil.my/index.php/my/94-panglima-tertinggi/181-profil-pat


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sangat berminat menulis mengenai tokoh-tokoh negara/melayu dalam terutamanya bidang sukan dan keselamatan.

Comments are closed.