Jejak Aceh: Hubungan Sang Peneroka Agung Makhdun Sati Dengan Cut Nyak Dhien

290

Siapa yang tidak kenal Cut Nyak Dhien! Beliau adalah antara nama tersohor di dalam sejarah keperwiraan Republik Indonesia menentang penjajahan Belanda. Artikel ini tidak secara langsung membicarakan tentang beliau, tetapi akan lebih membicarakan asal usul dan sumbangan leluhur beliau kepada Aceh dan kesultanannya.

Cut Nyak Dhien lahir dalam sebuah keluarga yang mempunyai kuasa dan pengaruh yang besar di wilayah VI Mukim, Aceh. Darah yang mengalir di dalam dirinya bukan sembarangan, Ulèëbalang Panglima Nanta atau nama lainnya Teuku Nanta Setia adalah bapanya. Manakala ibunya pula adalah anak kepada Ulèëbalang Lampagar. Ulèëbalang (hulubalang) merupakan gelar oleh raja kepada penguasa sagoë atau daerah di Aceh. Anak lelaki Ulèëbalang digelar Teuku manakala anak perempuan pula digelar pula Cut. Cut Nyak Dhien (sebutan deen) ternyata seorang bangsawan.

Lampadang, sebuah kawasan dalam VI Mukim merupakan tempat kelahiran pahlawan ini. Manakala Rumah Cut Nyak Dhien yang kini menjadi tumpuan pelancong, terletak di Lampisang, di sebelah Jalan Lintas Barat Sumatera adalah rumah beliau dan suaminya Teuku.

Replika Rumah Cut Nyak Dhien di Lampisang. Yang asalnya musnah dibakar Belanda

Wilayah VI Mukim ini amat subur dan Sultan Tajul Alam menganugerah dan memerintah ayah Cut Nyak Dhien, Teuku Nanta Setia untuk mengawasi kegiatan pertanian lada hitam dan memakmurkan daerah ini. Teuku Nanta Setia pula adalah anak kepada Makhdun Sati yang terkenal dalam sejarah Aceh.

Makhdun Sati bukanlah sosok yang biasa-biasa dalam sejarah Aceh. Ini adalah kisah beliau…

Antara koleksi gambar yang disalin daripada Leiden

Makhdun Sati berdarah Minangkabau. Beliau berlayar ke utara Sumatera pada zaman pemerintahan Sultan Jamalul Alam (1703 – 1726). Rombongan beliau yang berjumlah 12 perahu ingin ke utara kerana terdengarnya berita yang mengatakan ada emas di wilayah ini. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa Makhdun Sati meninggalkan ranah Minang kerana tidak mahu terlibat dalam Perang Padri.

Makhdun Sati kemudiannya mendarat di Pasir Karam, Meulaboh, sebuah kawasan yang berjarak sekitar 230 kilometer dari Banda Aceh. Ketika beliau tiba di sini tentera Aceh sedang bertempur dengan puak Mantir yang tidak beragama Islam. Tentera Aceh agak tertekan dengan serangan daripada Mantir. Makhdun Sati kemudiannya mengambil keputusan untuk membantu tentera Aceh atas dasar seagama dan pemuafakatan ini berjaya mengalahkan puak Mantir.

Perigi biasanya dibina tinggi sebegini untuk elak daripada diracun

Atas bantuan tersebut, daerah Pasir Karam telah dihadiahkan kepada Makhdun Sati dan beliau telah memajukan daerah ini dengan pertanian dan perladangan. Namun, Makhdun Sati masih tidak berpuas hati dengan pencapaiannya. Bagi beliau masih banyak lagi yang beliau boleh lakukan.

Oleh itu, Makhdun Sati kembali berpetualang lebih jauh ke utara Sumatera dan tiba di Sungai Wolya. Di sini beliau membuka penempatan baru dan juga membuka tanah pertanian. Nak dijadikan cerita, mereka menemui emas maka bermulalah episod menimba emas.

Suasana bilik sekretari peribadi Cut. Ada dua bilik sekretari, dan mereka bukan pembantu rumah

Sultan Aceh terdengar tentang hal ini dan menitah Makhdun Sati untuk membayar ufti kerana beliau berada di wilayah naungan Kesultanan Aceh. Makhdun Sati berkeras, namun membayar juga ufti dalam bentuk besi-besi buruk. Sultan Aceh merasakan dirinya dihina lalu mengarahkan Panglima Penghulu Penaru membawa sebilangan tentera dan menyerang Makhdun Sati.

Makhdun Sati tewas dan dibawa ke hadapan Sultan Aceh untuk diadili. Hukuman mati telah dijatuhkan, namum Sultan Aceh menjatuhkan hukuman yang lebih ringan setelah Makhdun Sati mengakui kesilapannya. Beliau dijadikan pengawal istana dan diberi wilayah VI Mukim untuk diduduki.

Pada zaman pemerintahan Sultan Alaiddin Muhammad Syah (1787-1795), telah berlaku pemberontakan yang ditunjangi oleh Panglima Sagi XXII Mukim yang mempunyai pertalian darah dengan Sultan Iskandar Muda. Istana Sultan Alaiddin hampir dikepung dan bekalan makanan diputuskan oleh Panglima Sagi, keadaan amat mendesak pada ketika itu.

Salasilah Makhdun Sati

Makhdun Sati berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada kerabat beliau di VI Mukim. Pada suatu malam, segerombolan tentera VI Mukim, dengan menggunakan taktik gerila, menyerang hendap kedudukan Panglima Sagi XXII Mukim dan berjaya mengalahkan mereka. Tentera VI Mukim ini kemudiannya menghilangkan diri sebelum fajar menyingsing.

Sultan Alaiddin yang amat berterima kasih kepada Makhdun Sati telah menganugerahkan pangkat Panglima Sagi dengan gelar tambahan ‘Nanta’. Atas kesetiaannya mempertahankan raja, Makhdun Sati dianugerahkan pula nama kebesaran Ulèëbalang Poteo (bermakna, hulubalang yang bebas daripada Panglima Sagi) dan dikenali juga dengan nama Seutia Raja. Menurut Undang-Undang Mahkota Alam, nama gelar Makhdun Sati yang terlengkap ialah Panglima Nanta Cik Seutia Raja.

Bersama Kak Asiah yang banyak membantu

Gelar Panglima Nanta Cik Seutia Raja ini boleh diwariskan dan ia digunakan juga oleh bapa Cut Nyak Dhien. Begitulah sedikit sebanyak kisah Makhdun Sati, seorang pengembara/peneroka Minang yang berjasa kepada Kesultanan Aceh.

Kita boleh lihat akan pengaruh Minang di gugusan kepulauan Tanah Melayu pada era ini, seperti juga kisah Dato Jenaton Bin Raja Labu yang berhijrah dari Pagar Ruyung, Sumatera dan membuka Batu Uban, Pulau Pinang pada tahun 1749, lebih awal daripada Francis Light (1786).
Kisah Makhdun Sati bukan sahaja ada kena-mengena dengan Cut Nyak Dhien tetapi ia juga memperkuatkan lagi kisah jati diri orang Minang yang merantau dan membuka penempatan baru Melayu.

Rujukan dan bacaan lanjut;

1. Cut Nyak Din, Muchtaruddin Ibrahim, 1981

2. Cut Nyak Dien: Kisah Ratu Perang Aceh, Madelon H Székely-Lulofs, 2007

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.