Jayavarman II merupakan pengasas Empayar Khmer, sebuah empayar yang memerintah kebanyakan wilayah Asia Tenggara pada kurun ke-9 hingga kurun ke-15 Masehi. Empayar Khmer terlebih dahulu didahului oleh Kerajaan Chenla, justeru hari-hari awal Jayavarman ditandai oleh perseteruan di antara penguasa-penguasa tempatan yang berterusan.

Berikutan kejayaannya menundukkan penguasa-penguasa ini, Jayavarman berhasil menyatukan kerajaan Chenla. Malahan, perluasan sempadan empayar juga dilaksanakan oleh beliau justeru menjadikan Empayar Khmer sebagai sebuah kuasa yang dominan di tanah besar Asia Tenggara. Lebih daripada kesemua ini, Jayavarman menggelarkan dirinya sendiri sebagai ‘deva-raja’ yang bermaksud Dewa Raja sekaligus menjadikan kultus pemerintah sebagai kepercayaan rasmi negara.

PRASASTI TENTANG SEJARAH HIDUP JAYAVARMAN II

Tidak banyak maklumat yang kita ketahui tentang sejarah hidup Jayavarman. Maklumat-maklumat yang kita miliki datang daripada prasasti-prasasti yang kebanyakannya dihasilkan beberapa kurun selepas kemangkatan Jayavarman. Sebahagian daripadanya pula ada yang saling bercanggah.

Misalnya, prasasti Sdok Kak Thom yang ditulis pada tahun  1051 Masehi dianggap sebagai ‘biografi piawai’ Jayavarman. Akan tetapi, peristiwa-peristiwa sejarah berkaitan Jayavarman yang diceritakan dalam prasasti ini tidak dapat ditemukan dalam prasasti-prasasti lain. Selain itu, terdapat juga dua buah prasasti dari lewat kurun ke-8M yang memberikan maklumat tambahan tentang hari-hari awal Jayavarman sebelum beliau menubuhkan Empayar Khmer.

Sdok Kok Thom, Thailand

Menurut prasasti Sdok Kak Thom, Jayavarman berasal dari sebuah tempat yang bernama ‘Java’ (Jawa). Memandangkan beliau dipercayai berketurunan Khmer, keberadaannya di Java seperti yang didakwa oleh prasasti Sdok Kak Thom diperkirakan sama ada sebagai tawanan ataupun buangan. Lokasi Java masih menjadi bahan perdebatan. Secara umum, ia dianggap merujuk kepada pulau Jawa di Indonesia.

LOKASI JAVA

Walau bagaimanapun, penafsiran sebegini membangkitan beberapa persoalan. Misalnya, tidak wujud sebarang kisah penaklukan Indonesia/Jawa di Kemboja pada kurun ke-8M dalam catatan sejarah Indonesia/Jawa.

Justeru, terdapat sejarahwan yang berpendapat bahawa sebutan tentang ‘Java’ dalam prasasti Sdok Kak Thom ini berkemungkinan adalah legenda yang direka pada kurun ke-10 dan kurun ke-11M, zaman yang memperlihatkan kebangkitan pusat perdagangan baru yang penting di Jawa Timur.

Topografi Jawa


Prasasti Sdok Kak Thom kemudiannya mendakwa bahawa Jayavarman kembali ke Kemboja, mungkin sebagai orang bawahan Jawa. Jayavarman dikatakan mula mengumpulkan sokongan dari wilayah tengah Kemboja sebelum bergerak ke kawasan yang kini dikenali sebagai Roluos, berjarak kira-kira 20km (12.42 batu) arah barat daya dari Angkor moden dan menubuhkan ibu kotanya di sana.

PENGISYTIHARAN SEBAGAI DEWA-RAJA

Walaupun sumber ini tidak merekodkan tarikh kepulangan Jayavarman (ke Kemboja), terdapat sumber lain yang memperkirakan bahawa ia berlaku pada tahun 790M. Apapun, menurut naratif ini, Jayavarman bukanlah orang bawahan yang tunduk patuh pada Jawa. Pada tahun 802M (atau lebih lewat daripada itu), beliau membelakangkan pemerintah atasannya, mengisytiharkan kemerdekaan dan menabalkan diri sebagai deva-raja.

Kultus Devaraja membolehkan raja-raja Khmer melakukan projek berskala besar, seperti pembinaan Angkor Wat

Naratif ini dipersetujui oleh kebanyakan sejarahwan, yang berpendapat bahawa Jayavarman bukanlah penguasa bawahan yang dihantar dari tanah yang jauh (Jawa), sebaliknya adalah seorang pemerintah tempatan yang hidup di Kemboja sebelum menubuhkan empayarnya sendiri.

Dua prasasti yang bertarikh lewat kurun ke-8M memberikan naratif yang berbeza. Nama ‘Jayavarman’ boleh ditemukan pada prasasti-prasasti ini. Sejarahwan berpendapat bahawa Jayavarman yang dimaksudkan dalan kedua-dua prasasti ini adalah individu yang sama yang menubuhkan Empayar Khmer. Menurut kedua-dua sumber ini, Jayavarman memulakan kempen ketenteraannya di wilayah tengara Kemboja, sebelum berpindah ke Kratie dan kemudian mendirikan ibu kotanya di Roluos.

Menurut sumber tradisi, Jayavarman mengisytiharkan dirinya sebagai deva-raja di Phnom Kulen pada tahun 802M. Pengisytiharan ini melibatkan sebuah upacara keagamaan yang diambil dari Hinduisme. Dengan menggelarkan dirinya sebagai deva-raja, Jayavarman menegaskan kedudukannya sebagai pemikul mandat dewa dan berautoriti mutlak ke atas rakyat dan seluruh wilayah kekuasaannya.

Runtuhan sebuah kuil Khmer di Phnom Kulen


Malahan, dipercayai bahawa istilah deva-raja hanya disebutkan di dalam prasasti Sdok Kak Thom dan orang yang menulis prasasti berkenaan hanyalah orang-orang yang terlibat dalam upacara keramat tersebut. Justeru, terdapat kemungkinan bahawa mereka berlebih-lebihan dalam menyifatkan kepentingan pengisytiahran gelaran itu.

Sebutan Khmer yang lebih tepat bagi gelaran ini adalah ‘kamrateng jagat ta raja’ yang boleh diterjemahkan sebagai ‘raja segala raja’ atau ‘raja kepada dunia raja’. Upacara pengisytiharan itu juga boleh dikatakan tidak menyeru dewa dari Hinduisme, sebaliknya dewa-dewa dari pantheon Khmer sendiri.

Jayavarman dipercayai mangkat sekitar tahun 835M, dan kedudukannya diambil-alih oleh putera beliau yang bernama Jayavarman III.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (30 April 2016). Jayavarman II: Self-Proclaimed God-King of the Khmer Empire. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/jayavarman-ii-self-proclaimed-god-king-khmer-empire-005803


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.