Ah…musim panas tahun 2018 sudahpun berakhir. Satu musim yang tidak mempunyai kesan dan impak yang signifikan pun pada kita rakyat Malaysia yang hidup di kawasan iklim tropika. Tetapi antara sedar ataupun tidak, bagi penggemar filem, musim panas selalunya ditemani dengan koleksi-koleksi filem hebat dan sangat dinanti-nantikan ditayangkan di pawagam. Bermula dengan Avengers: Infinity War ( 25 April 2018), diikuti oleh Deadpool 2, Solo: A Star Wars Story, Hereditary, Incredibles 2, Jurrasic World: Fallen Kingdom, Ant Man and the Wasp, Mission Impossible: Fallout dan diakhiri oleh Crazy Rich Asians yang ditayangkan pada bulan Ogos.

Filem-filem yang ditayangkan dalam tempoh masa musim panas ini (dari bulan Mei ke bulan Ogos) dipanggil sebagai “summer blockbuster” (ataupun dalam Bahasa Melayu; pecah panggung) dan dihasilkan dan ditayangkan bagi mengaut sebanyak mungkin hasil jualan tiket dan akhirnya merebut takhta box office. Disebabkan itulah jika anda lihat dengan teliti senarai filem yang ditayangkan pada musim panas selalunya merupakan filem yang dihasilkan dengan bajet yang tinggi oleh produksi studio yang besar dan dipromosikan dengan rancak sekali kepada semua orang. Ini sebenarnya satu tradisi Hollywood yang dimulakan oleh sebuah filem yang diarahkan oleh Steven Spielberg dan ditayangkan pada musim panas tahun 1975, Jaws.

Mewujudkan Fenomena “Blockbuster”

Gambar 2: Bruce,Jerung mekanikal yang sering rosak sewaktu penggambaran Jaws Sumber: http://www.wbur.org/npr/127370664/story.php

Bagi mereka yang belum pernah menonton lagi filem yang mencetus fenomena ini, Jaws merupakan filem yang diadaptasi dari novel garapan Peter Benchley. Ia memaparkan kisah tentang seekor jerung putih gergasi yang mengganas di pesisir pantai Amity, dan diburu oleh Sherif pekan tersebut sambil dibantu oleh seorang ahli anthroplogis, dan juga seorang pemburu jerung professional. Jika dipandang sekali lalu, Jaws nampak seperti filem thriller biasa yang tidak ada sebarang keistimewaan pun. Ia cuma meneruskan legasi filem “monster thriller” yang meletakkan protagonis diburu oleh raksasa atau dalam kes filem ini, seekor jerung putih.

Jaws juga bukanlah sebuah filem yang nampak mampu memberi pulangan yang lumayan berdasarkan kepada masalah-masalah yang dihadapi sewaktu penggambaran. Penerbit Universal Pictures, Richard D. Zanuck dan David Brown membeli hak adapatasi filem ini dari Peter Benchley dengan harga $175,000. Zanuck dan Brown akhirnya mengakui yang jika mereka membaca novel Benchley dengan lebih teliti, pasti mereka akan sedar yang filem seperti Jaws sangat sukar untuk dihasilkan (kerana kebanyakan adegan berlaku di laut, kewujudan jerung putih gergasi dan juga sebab-sebab lain).

Zanuck dan Brown pada mulanya ingin mengupah pengarah berpengalaman bagi menggerakkan projek itu, namun selepas dipujuk sendiri oleh Spielberg, peranan pengarah dengan berat hatinya diserahkan kepada Spielberg. Pihak penerbit dan Universal kurang yakin Spielberg yang masih mentah itu mampu menggerakkan projek sebesar itu. Namun Spielberg melihat projek ini sebagai satu peluang untuk menunjukkan bakatnya dalam usaha untuk menjadi pengarah yang berjaya.

Tetapi, jalan menuju kejayaan selalu penuh dengan onak dan duri. Spielberg sendiri apabila membaca novel Benchley, mengalami kesukaran untuk mengadaptasikan novel itu ke dalam skrip. Selepas 2 bulan usahanya tergantung, Spielberg mengupah seorang penulis skrip untuk membantunya menghasilkan skrip yang menepati citarasa beliau. Penggambaran Jaws juga diulit dengan pelbagai masalah. Pihak produksi menetapkan 55 hari sebagai tempoh waktu penggambaran untuk filem ini, namun disebabkan pelbagai masalah, tempoh penggambaran terpaksa dilanjutkan untuk kesekian kalinya.

Ia sesuatu yang amat menakjubkan pada pemerhati dan pihak media apabila mendapat tahu yang filem itu akhirnya selesai penggambaran walaupun lewat hampir 2 bulan dari tarikh yang dijanjikan. Jaws meletakkan tekanan yang tinggi kepada Steven Spielberg, yang masih lagi dikira muda dikalangan pengkritik. Ramai juga yang berpendapat yang Universal sepatutnya memecat sahaja Spielberg kerana menghabiskan banyak masa dan duit untuk menghasilkan filem yang mungkin akhirnya tidak ke mana.

Tetapi sangkaan pengkritik jauh meleset. Apabila Jaws ditayangkan, ia mendapat sambutan yang luar biasa dari penonton. Jaws berjaya mengutip sebanyak $7 juta dalam hanya 2 hari sahaja selepas ditayangkan. Jaws juga adalah filem Hollywood pertama yang berjaya mengutip $100 juta dalam hanya 2 bulan selepas ditayangkan. Secara keseluruhan, Jaws berjaya mengutip sebanyak $400 juta selepas ia diedar dan ditayangkan di seluruh dunia. Ia satu pencapaian yang julung-julung kalinya bagi sebuah filem Hollywood pada ketika itu.

Oh, sedikit trivia, perkataan blockbuster ataupun pecah panggung itu sendiri tidak wujud sebelum Jaws. Jaws-lah filem yang bertanggungjawab mewujudkan fenomena dan frasa tersebut. Ketika Jaws ditayangkan di pawagam, penonton beratur panjang mengelilingi satu blok pawagam lantas mewujudkan perkataan “blockbuster” yang kita sering dengar digunakan secara meluas sekarang.

Formula Kejayaan Jaws

Sebelum Jaws, kebanyakan filem Hollywood ditayangkan mengikut kesesuaian masa dan atas permintaan studio. Kebanyakan studio berpendapat yang musim sejuk adalah waktu yang terbaik untuk menayangkan filem kerana musim sejuk adalah musim ramai orang bercuti. Namun, tidak semua filem yang ditayangkan pada musim sejuk dapat mengaut keuntungan yang tinggi. Godfather, filem yang berada pada tangga teratas box-office sebelum Jaws, ditayangkan pada bulan Mac.

Kebanyakan studio perfileman tidak lansung menjangkakan yang musim panas adalah waktu yang sesuai untuk filem-filem mereka ditayangkan. Mereka mengjangkakan yang musim panas hanya dipenuhi oleh golongan remaja tidak berduit yang sedang menikmati percutian mereka.Ini menjadikan musim panas penuh dengan lambakan filem-filem yang kurang berkualiti dan tidak menarik perhatian ramai.

Studio perfileman pada ketika itu juga mengambil inisiatif untuk menayangkan filem mereka secara berperingkat, dari beberapa pawagam, sehinggalah mengedarkannya ke seluruh Amerika Syarikat (ataupun dunia) berdasarkan sambutan orang ramai. Kebanyakan studio bertumpu kepada pawagam di sekitar Los Angeles bagi menilai tahap sambutan terhadap filem keluaran mereka.

Universal Studios melancarkan strategi yang berbeza berbanding studio yang lain. Selain menayangkan filem itu pada bulan Jun, Universal menjalankan kempen promosi secara besar-besaran 2 bulan sebelum filem itu menjengah pawagam. Lebih dari $1 juta dibelanjakan untuk mempromosikan filem itu ke seluruh pelusuk Amerika Syarikat. 23 siri televisyen dibeli slot mereka untuk Universal menayangkan iklan promosi filem Jews selama 30 saat. Jaws juga dibuka serentak di seluruh 409 pawagam serata Amerika Syarikat menjadikan filem itu mudah didapati oleh orang ramai.

Langkah dan strategi Universal Studios beserta komitmen Steven Spielberg dalam menghasilkan filem yang berkualiti dan menghiburkan akhirnya membuahkan hasil. Jaws berjaya mencipta fenomena dan menjadi perintis kepada “summer blockbuster” yang kita kenali dan gemari sekarang. Pada tahun 1977, 20th Century Fox, sebuah lagi studio perfileman Hollywood menayangkan filem Star Wars dengan menggunakan formula Jaws. Star Wars berjaya memecah rekod Jaws menjadi filem paling laris pada ketika itu. Ini membuktikan formula kejayaan Jaws berkesan dan akhirnya menjadi satu tradisi Hollywood sehingga sekarang. Kita perlu berterima kasih kepada Jaws, kerana tanpa filem ini, mungkin filem-filem blokbuster seperti Avengers dan juga Star Wars tidak akan wujud.

Rujukan:

Gray,Tim (Jun, 2015), “Jaws’ 40th Anniversary: How Steven Spielberg’s Movie Created the Summer Blockbuster” Variety

Marcus,Dan (Mei, 2015), “Editorial: How the Original ‘Star Wars’ Redefined the Blockbuster” FirstShowing.net

Erbland,Kate (Jun, 2017), “How ‘Jaws’ Forever Changed the Modern Day Blockbuster — And What Today’s Examples Could Learn From It” IndieWire

Caffrey,Dan (Jun, 2015), “Why the Jaws Shark Looks Fake and How That Works to the Film’s Advantage” Consequence Of Sound

C&B (2017), “Jaws: The Groundbreaking Summer Blockbuster that Changed Hollywood, and Our Summer Vacations, Forever” Cinephilia & Beyond

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.