Isu Jawi menjadi kecoh sejak akhir-akhir ini  dan mendapat liputan meluas di media massa ekoran penambahan silibus Jawi di dalam pengajian bahasa Melayu Tahun 4. Ramai yang menolak mengatakan bahawa Jawi bukan berkait rapat dengan bahasa Melayu.

Ada yang menganggapnya sebagai Arabisasi dan ada yang menganggapnya sebagai Islamisasi yang sedang menjalar dengan pesat di negara ini. Saya berpendapat ianya bukan Arabisasi. Arabisasi boleh berlaku tanpa Jawi seperti pertukaran perkataan syurga kepada jannah dalam tulisan Rumi itu sendiri menunjukkan proses Arabisasi.

Namun begitu saya tidak menyangkal bahawa Jawi itu adalah hasil Islamisasi. Malah saya ingin meneguhkan lagi dasar Islamisasi yang berlaku bukan hanya pada bahasa malah Syed Naquib Al-Attas sendiri meletakkan Tamadun Melayu sebagai Tamadun Islam yang setara dengan Tamadun-tamadun Islam yang lain.

Jawi tidak datang dan muncul daripada keadaan vakum. Ia muncul hasil usaha pendakwah-pendakwah yang hadir di alam Melayu ini semenjak Islam ditanzilkan ke atas Nabi Muhammad SAW. Jawi melambangkan perubahan ketamadunan Alam Melayu sepertimana kriteria yang disyorkan oleh Henri Pirenne di dalam mencirikan peradaban sejarah suatu bangsa iaitu:

  1. Pemusnahan perpaduan kebudayaan sesuatu daerah
  2. Pemindahan punca atau paksi kehidupan sesuatu bangsa

Jawi telah membuka lembaran yang nyata antara zaman pra-Islam dengan zaman sesudah Islam. Jawi telah memusnahkan kebudayaan Lautan Hindi dan meluaskan lagi unjuran kebudayaan alam Melayu sehingga ke Laut Mediterranean.

Jawi membenarkan pertukaran ilmu yang lebih luas dan membawa kepada perbincangan ilmu falsafah yang kurang dibincangkan sebelum itu. Di sini perpindahan paksi kehidupan alam Melayu telah berpindah daripada benua India kepada semenanjung Arab.

Terdapat pendapat yang meletakkan Jawi sebagai tulisan Arab-Parsi yang mendapat ilham daripada bahasa Parsi namun Al-Attas menegaskan ia mendapat pengaruh dan ilham daripada Arab terutamanya Arab Hadramaut (Yaman).

Malah Al-Attas menegaskan bahawa perintis kerja dakwah di Alam Melayu ini berasal daripada pendakwah Arab Yaman. Beberapa bukti telah dikemukakan oleh Al-Attas bagi membuktikan pendakwah perintis adalah orang Arab Yaman.

Jawi adalah huruf-huruf Arab yang telah ditambah dengan beberapa huruf-huruf bahasa Melayu yang tiada di dalam bahasa Arab iaitu huruf ch (چ ), nga (ڠ), nya (ڽ), pa (ڤ) dan ga (ڬ). Jadi, bagaimanakah kita boleh mengenepikan teori pembentukan huruf-huruf terbitan ini tidak dipengaruhi Arab-Parsi atau India?

Sebagai contoh, Huruf cha merupakan huruf yang unik. Ini kerana walaupun sebutan, bentuk dan pembentukannya sama dengan huruf Cha Parsi namun huruf cha Jawi merupakan gabungan huruf ta dan jim. Manakala, huruf cha Arab-Parsi merupakan gabungan huruf shin dan jim di mana bentuknya berubah antara shin dan jim.

Walaupun nampak kusut, Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) telah memberikan peleraian ke atas kekusutan ini. Di dalam Sejarah Melayu tertulis seorang guru bahasa Arab yang telah diperkenalkan sebagai Maulana atau Makhdum Sardar Jahan. Panggilan tersebut seakan-akan menggambarkan asalnya sebagai orang Parsi namun diceritakan bahawa Maulana itu menyebut perkataan kuching sebagai ‘kushin’.

Jikalau benar pendakwah Parsi yang lebih menonjol, pastinya guru tadi tidak mempunyai masalah untuk membunyikan huruf cha kerana ia memang ada di dalam bahasa Parsi namun huruf cha ini menjadi kesulitan buat penutur Arab untuk membunyikan lalu menyebut huruf cha sebagai ‘sh’.

Selain itu huruf pa juga menunjukkan dengan jelas asal Arab terutamanya Arab Hadrami bukannya Parsi. Huruf pa dalam Arab-Parsi merupakan terbitan gabungan huruf yang sama dengan Jawi iaitu huruf ba (ب) dan huruf dan (ف) tetapi telah ditulis sebagai huruf ba bertitik tiga. Ini kerana selain Arab Hadrami, mereka menyebut huruf pa dengan sebut ba. Contohnya perkatan pukul akan disebut bukul.

Manakala Arab Hadrami akan menyebut fukul. Ini menurut Ibnu Khaldun disebabkan mengikut kesesuaian lidah penutur di mana Arab Hadrami lebih mudah menyebut fa berbanding ba berbanding Arab lain yang lebih mudah menyebut huruf ba daripada fa. Justeru itu, ini menunjukkan pengaruh Arab terutamanya Arab Hadrami kepada pembentukan huruf pa bukannya melalui pengaruh Parsi. 

Jawi adalah hasil daya-usaha pendakwah Arab Hadrami berketurunan Sayyid yang telah hadir di pesisir pantai Sumatra semenjak akhir abad ke 7 Masihi. Kerja dakwah yang perlahan namun efektif walaupun tanpa bantuan ketenteraan mahupun sokongan Kerajaan Islam menunjukkan ketinggian ilmu pendakwah awal ini.

Garis masa yang awal dan hasil dakwah yang cemerlang itu menunjukkan mustahil untuk pendakwah yang hadir itu berbangsa Parsi, Cina mahupun India. Ini kerana ketiga-tiga bangsa itu masih baru menganut agama Islam dan sudah tentu tidak mampu untuk menyebarkan agama Islam dengan ketinggian ilmu. Sudah pasti pendakwah Arablah yang mempunyai nilai ilmu sedemikian.

Kesan Jawi kepada Alam Melayu dapat dilihat kepada perubahan makna Melayu yang sebelum ini lebih bersifat setempat kepada bersifat lebih luas. Bangsa Melayu telah menjadi bangsa yang lebih lentur dan menerima suku-suku kaum lain masuk ke dalam bangsa Melayu.

Sepertimana bangsa-bangsa lain yang menerima Islam, bangsa Melayu lebih menitik-beratkan tradisi bahasa bertulis setelah memeluk Islam sesuai dengan pengaruh Al-Quran. Selain itu, Jawi membawa lembaran baru di dalam alam Melayu apabila penghasilan bahan-bahan berilmiah menjadi pesat terutama pada abad ke 16 hingga abad ke 17. Jawi telah mewujudkan bahasa Melayu berilmu dan sentiasa moden kerana pembentukan awalnya disebabkan Islam dan bahasa Arab Al-Quran.

Malah pengorbanan pendakwah awal di Alam Melayu sepatutnya dihargai dan diletakkan pada tempat yang betul kerana kesabaran mereka berdakwah di alam Melayu ini menjadikan alam ini berjaya diIslamkan tanpa sebarang peperangan. Ketinggian ilmu mereka di dalam menyebarkan dakwah dan kejayaan mereka mengIslamkan alam ini boleh dilihat dengan tiada kejadian murtad besar-besaran walaupun telah digempur oleh penceroboh Barat.

Selain itu, kebijaksanaan pendakwah Arab Hadrami ini dengan memilih bahasa Melayu sebagai bahasa dakwah bukannya bahasa Jawa atau bahasa tempatan yang lain dapat dilihat apabila bahasa Melayu menjadi lingua franca dan kekal sehingga sekarang dengan penuturnya mencecah 300 juta orang. Pemilihan bahasa Melayu ini menjadikan bahasa Melayu sebagai rumpun bahasa Islam.

Proses Islamisasi yang menekankan kepentingan bahasa sebagai prasyarat kepada perubahan pandangan alam telah merubah alam Melayu ini selama-lamanya. Cubaan untuk deIslamisasi pasti akan gagal kerana proses Islamisasi yang lebih perlahan dan mendalam ini tidak akan mudah untuk diundurkan sewenang-wenangnya.

RUJUKAN

  1. Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Risalah Untuk Kaum Muslimin. International Institute of Islamic Thought And Civilisation (ISTAC). 2001
  2. Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Historical Fact & Fiction. Penerbit UTM. 2011.
  3. Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Islam & Secularism. International Institute of Islamic Thought And Civilisation (ISTAC). 2001
  4. Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Islam Dalam Sejarah & Kebudayaan Melayu. Penerbit UKM. 2012.
  5. Wong, Ayman Rashdan, Why We Should Learn The Jawi Script For Bahasa Melayu. The Patriots. Retrieved from: https://thepatriots.asia/why-we-should-learn-jawi-while-studying-bm/
  6. Shah Nizamuddin, Khairul Asraf, Bahasa Melayu Ialah Bahasa Islam. The Patriots. Retrieved from: https://thepatriots.asia/bahasa-melayu-ialah-bahasa-islam/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Dilahirkan di Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan di dalam bidang perubatan di RCSI, Ireland, dan PMC(RUMC), Pulau Pinang. Kini, sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang Kesihatan Awam. Seorang yang meminati hal-ehwal sejarah, falsafah, geopolitik dan bahasa. Cenderung kepada Gagasan Islamisasi Ilmu oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Mempunyai pengalaman dalam menerjemah buku dan sedang mempelajari bahasa Rusia dan Mandarin. Bercita-cita untuk menjadi seorang polymath dan polyglot.

Comments are closed.