Jawatan Penjaga Tempat Raja Inggeris Berak Ialah Paling Berkuasa!

3,109

Sebut saja penjaga tandas, ramai menjangkakan penjaga tandas setakat mengutip wang kemasukan ke tandas dan menjaga kebersihan tandas. Tetapi siapa sangka pada Zaman Pertengahan England, penjaga tandas diraja atau ‘Groom of the Stool’ merupakan jawatan paling berkuasa dalam istana dan menjadi rebutan para bangsawan ketika itu!

Figure 1: Raja Henry VII

Mengikut fakta sejarah, jawatan Groom of the Stool ini diwujudkan semasa era Raja Henry VII. Tetapi jawatan ini sebenarnya diwujudkan di bawah nama lain iaitu ‘the office off a chamburlayne’ 50 tahun sebelumnya. Malah, keterangan kerja jawatan ini diterangkan menerusi satu lagu berima bagi membantu mana-mana individu yang dilantik mengisi jawatan tersebut:

“See the privy-house for easement be fair, sweet, and clean;
And that the boards thereupon be covered with cloth fair in green;
And the hole himself, look there no board be seen;
Thereon a fair cushion, the ordure no man to vex.
Look there be blanket, cotton, or linen to wipe the nether end,
And ever he calls, wait ready and prompt,
Basin and ewer, and on your shoulder a towel.”

Sekitar tahun 1495, Henry VII yang juga pemerintah pertama England dari Dinasti Tudor mewujudkan satu ruang peribadi baginda yang dikenali sebagai Privy Chamber (apartmen peribadi raja) dan hanya boleh diakses oleh kerabat baginda dan ahli istana yang diberi kebenaran menguruskannya.

Seiring dengan kewujudan Privy Chamber, jawatan penjaga tandas diraja diwujudkan dengan peranan menguruskan keperluan tandas baginda termasuk membuang najis. Pada mata kasar, jawatan sebegini langsung tiada nilai prestij.

Namun begitu, memandangkan Groom of the Stool bertanggungjawab membentuk polisi fiskal negara dan menguruskan hal ehwal kewangan istana, jawatan ini secara tidak langsung mempengaruhi kedudukan kewangan negara. Disebabkan statusnya sebagai penjaga tandas diraja, tandas yang dihasilkan mestilah bersesuaian dengan status baginda.

Misalnya, dalam satu pesanan bertulis yang dibuat Groom of the Stool kedua semasa era Henry VII, Hugh Denys meminta sebuah ‘bangku’ (tandas diraja ialah bangku buatan khas) dihasilkan. Tandas ini hendaklah mempunyai kain baldu hitam yang dilapik dengan kain sutera, dua besen yang diperbuat daripada piuter dan benang panjang berwarna kuning.

Figure 2: Contoh tandas yang digunakan oleh Henry VII

Dalam bahasa mudah, tandas yang digunakan Henry VII terdiri daripada sebuah kotak atau kabinet dengan ketinggian yang boleh diduduki dengan lubang pada bahagian atas. Dalam lubang ini pula ialah mangkuk/besen yang diperbuat daripada piuter atau tanah liat untuk menampung najis dan air kencing. Tandas ini boleh ditutup jika tidak digunakan dan boleh dibawa ke mana-mana saja raja berangkat.

Figure 3: Raja Henry VIII

Semasa era pengganti Henry VII iaitu Raja Henry VIII, peranan Groom of the Stool dikembangkan lagi dengan memantau kesihatan perut baginda. Pemerhatian sebegini ditambah dengan isu kesihatan yang dihadapinya akan dilaporkan kepada tabib diraja untuk pemantauan dan rawatan.

Pemantauan ini turut mempengaruhi hidangan makanan yang dihidangkan kepada baginda kerana perlu mengikut diet yang ditetapkan tabib diraja. Jika tidak sibuk memenuhi keperluan tandas baginda sekalipun, itu bukan bermakna penjaga tandas diraja ini lepas tangan. Ini kerana beliau juga mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan dan menggunakan pengaruhnya sekiranya perlu.

Misalnya, mana-mana individu yang menguruskan keperluan raja ditentukan oleh Groom of the Stool. Beliau juga bertanggungjawab memantau perbelanjaan perbendaharaan raja dan memastikan mana-mana barang berharga dalam Privy Chamber tidak hilang atau dicuri. Sekiranya perkara itu berlaku, maka yang bakal menjadi sasaran kemurkaan baginda ialah Groom of the Stool!

Di samping itu, penjaga tandas diraja juga dianggap sebagai penjaga pintu Privy Chamber. Ini kerana beliau sahaja yang menentukan siapa yang boleh menghadap atau dilarang menghadap raja di Privy Chamber. Justeru, mana-mana bangsawan yang mahu menghadap perlu memastikan kehendak Groom of the Stool dipenuhi atau tiada peluang menghadap baginda.

Tidak diketahui sama ada penjaga tandas ini bertanggungjawab membersihkan punggung atau alat sulit baginda selepas selesai melepaskan hajat. Yang pasti, Groom of the Stool dan penjaga-penjaga tandas lain akan membawa semua sisa najis melalui the Great House of Easement (tandas untuk golongan bangsawan) dan dibuang ke longkang-longkang berlantaikan batu-bata yang mengalir ke Sungai Thames.

Namun begitu, apabila longkang-longkang ini dipenuhi dengan najis, peranan tersebut digalas oleh pembersih longkang diraja atau Gong Scourer. Kumpulan pembersih ini bukan calang-calang kerana dipilih sendiri oleh Henry VIII untuk membersihkan longkang dan jubah istana diraja dalam radius 20 batu sekitar London.

Kumpulan ini digerakkan selepas raja, kerabat diraja dan golongan bangsawan meninggalkan istana-istana dan jumlah najis dalam longkang sudah penuh.

Selalunya, jawatan Groom of the Stool dianugerahkan kepada anak-anak bangsawan atau ahli golongan atasan. Ini menunjukkan penganugerahan jawatan sebegini tidak dibuat secara semberono sahaja. Semasa era Raja Henry VIII, baginda mempunyai empat penjaga tandas diraja dengan kisah penjaga tandas diraja kedua, Sir Henry Norris yang paling terkenal.

Norris yang dilahirkan pada 1481 merupakan antara sahabat karib Henry VIII dan banyak memegang pelbagai jawatan termasuk Groom of the Stool pada tahun 1526. Selain menjadi sekutu baginda, beliau juga merupakan sekutu kepada isteri keduanya, Anne Boleyn. Pakatan ini yang akhirnya menjadi punca kejatuhannya dan pemergian Norris ke negeri cacing.

Pada tahun 1536, seorang bangsawan bernama Sir Francis Weston memberitahu Boleyn bahawa Norris memberi klu bahawa beliau mencintai baginda. Apabila kedua-duanya bertemu, baginda saja bergurau dengan mengatakan Norris ibarat menunggu masa untuk m4t1. Kenyataan itu nyata mengganggunya dan menganggap jenaka tersebut sebagai tidak kelakar.

Pada akhirnya, Boleyn meminta Norris menghentikan khabar angin berkenaan hubungan mereka itu. Bagaimanapun, campur tangannya dalam banyak hal ehwal istana mengakibatkan beliau mempunyai ramai musuh. Salah seorang daripada mereka ialah Thomas Cromwell yang kemudiannya melaporkan hal itu kepada Henry VIII.

Akibatnya, Norris ditahan atas tuduhan cubaan khianat dengan berpakat bersama Boleyn menggulingkan baginda. Beliau dibawa ke Tower of London dan dis3ks4 sehingga akhirnya mengakui semua tuduhan itu benar. Selepas dibicarakan dan didapati bersalah oleh mahkamah, Norris dihukum m4t1 pada 1536.

Selepas Norris, dua lagi individu diberi kepercayaan menjawat jawatan Groom of the Stool iaitu Sir Thomas Heneage dan Sir Anthony Denny. Dalam kes Denny, beliau diberi tanggungjawab berat iaitu memberitahu Henry VIII bahawa baginda akan mangkat pada 27 Januari 1547. Sehari selepas itu, Henry VIII kembali menemui Penciptanya.

Semasa era Ratu Mary I dan Elizabeth I, jawatan Groom of the Stool digantikan dengan jawatan Lady of the Bedchamber. Nama dan jantina penjawat saja berubah tetapi tugasnya masih sama iaitu sebagai penjaga tandas diraja. Jawatan tersebut dikembalikan semasa raja pertama Dinasti Stuart, Charles II tetapi diubah sedikit kepada Groom of the Stole.

Mengikut logik baginda, perubahan dibuat bagi menunjukkan perubahan tanggungjawab penjaga tandas diraja. Menerusi jawatan ini, Groom of the Stole bukan sekadar menguruskan keperluan tandas baginda tetapi turut bertanggungjawab membantu baginda menyarung pakaian.

Jawatan tersebut terus wujud dan masih mempunyai pengaruh terhadap Raja/Ratu Inggeris/British tetapi tidaklah sehebat seperti semasa era Norris. Misalnya, semasa era Raja George III, salah seorang penjaga tandas diraja baginda kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri Britain iaitu John Stuart. Era ini juga menyaksikan baginda mempunyai Groom of the Stole paling ramai dalam sejarah monarki Inggeris/British.

Figure 4: John Stuart, 3rd Earl of Bute

Bila Raja Edward VII menaiki takhta pada tahun 1901, jawatan Groom of the Stole ini dimansuhkan serta-merta. Ini menjadikan James Hamilton, 2nd Duke of Abercorn sebagai orang terakhir memegang jawatan ini.

Figure 5:  James Hamilton, 2nd Duke of Abercorn

Ada pula menganggap orang terakhir yang memegang jawatan sebagai penjaga tandas diraja ialah Sir Michael Stanhope. Stanhope dikatakan dilantik semasa Edward VII masih muda tetapi kembali ke negeri cacing selepas dihukum gantung kerana melakukan kesalahan j3n4yah.

Yang pasti, penjaga tandas diraja Inggeris/British memberi kesan besar kepada sejarah negara itu. Siapa sangka, si penjaga tandas diraja berupaya mencorak polisi dan meraih pengaruh raja biarpun dipandang sepi oleh masyarakat ketika itu.

RUJUKAN:

DHWTY. (2020). Groom of the Stool: Was The King’s Toilet Guy The Worst Job Ever?. Ancient-Origins.

MacDonald, M. (1995). Historians recreate Henry VIII’s velvet world of lavatorial luxury. The Independent.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.