Jatuhnya Ryukyu Kerana Kejatuhan Melaka

1
6471
views

Harus ada masjid purba di Naha kerana ia kerap dikunjungi masyarakat Muslim Asia Tenggara baik pedagang mahupun rombongan diplomatik. Semuanya lenyap dalam lipatan sejarah akibat penjajahan Tokugawa pada tahun 1609. Istana Shuri digeledah dan gedung-gedung di sekitar ibu negara dibakar dan dirampok dibawa pulang ke Kagoshima atau Edo.

Arang yang disepuh pada wajah orang Ryukyu yang tinggi harga diri ini berlaku akibat ketidakupayaan Raja Sho Nei menangani isu kedatangan pelayar Barat yang dilihat Jepun sebagai ancaman besar yang bakal melanda mereka melalui Ryukyu. Bahaya yang nyata adalah kegiatan Sepanyol dari Mexico dan Luzon yang kebelakangan mula membuka penempatan di utara Punan(Taiwan); begitu juga Belanda; dan Portugis dari Melaka dan Macao. Ancaman dari arah Sakhalin dan Kamchatka dari pihak Russia berlaku lebih lewat pada abad ke-18 masihi. Pendek kata Edo arif dengan perkembangan politik global yang mula diterjah era imperialisme Barat.

Kejatuhan Ryukyu juga berpunca daripada sikap ekstravaganza raja yang lalu membelanjakan khazanah negara namun mengenyampingkan perbelanjaan pertahanan. Kelemahan sentral Ryukyu mewujudkan dua faksi literati tempatan yang cuba mengisi vakum identiti kebangsaan dengan identiti asing. Satu terdiri daripada alumni dari Beijing dan satu lagi dari akademi Jepun. Pertelagahan ini berakhir dengan kejayaan faksi pro-Jepun.

Kejatuhan Ryukyu turut berpunca daripada terputusnya hubungan dagang yang erat dengan negeri-negeri Asia Tenggara khususnya Melaka yang sentiasa dihubungi selama ratusan tahun. Ralat atau tidak, George menyatakan bahawa ekspedisi ke Melaka sudah bermula seawal tahun 1300an lagi!

Hasil mahsul Ryukyu majoritinya berpunca daripada peranan mereka sebagai orang tengah komoditi Laut Selatan bukannya daripada hasil bumi kepulauan mereka sendiri yang tidak mencukupi. Hasil mentah yang diimport seperti fabrik dan rempah ratus dari Melaka diproses menjadi komoditi tekstil tenun ikat dan pembuatan kipas dan payung yang digemari pasaran China dan Jepun.

HK George menyatakan isu kejatuhan Melaka sebenarnya telah dibincang dengan serius di istana Shuri.

“The reference to the sack of Malacca suggests that this act of violence had deeply impressed Okinawans who witnessed it in 1511 and that it was well known and discussed at Shuri and Naha..”

Lebih serius apabila pelayar Portugis akhirnya tiba di pelabuhan Ryukyu (1542) sendiri dan kerajaan keliru dalam membuat pendirian mereka:

“Shuri’s order were returned at once, directing that the Portuguese be delivered to the Minister of Justice. When they protested that they were merely traders, the Okinawans reminded them that the Portuguese had seized Malacca and had killed many of its inhabitants. This, said the Portuguese was not trade but war, and therefore was justified.”

Apabila raja bertegas untuk mengeksekusi orang-orang Portugis ini bondanya yakni balu Raja Sho Ei (1573-1588) yang lalu memohon pengampunan buat mereka yang mana akhirnya dipersetujui raja. Menariknya dalam hal ini, sentimen anti-Portugis raja berasal daripada sentimen pedagang Ming yang pada waktu yang sama Maharajanya menindas kedatangan Portugis dengan begitu dahsyat kerana enggan memulangkan jajahan Melaka kepada empunya hak.

“But a Chinese trader present on Okinawa accused them of treacherous intent to raise a rebellion and to seize the Ryukyu kingdom..”

Kita maklum bahawa jarak waktu antara 1511 dengan 1521 wakil Johor telah ke Beijing mengadu perihal penganiayaan Portugis dan Maharaja Zhengde memerintahkan agar segala orang gasar “Fa lan ki”(Peringgi) yang berada di China ditangkap, diseksa, dipancung dan dipertontonkan di khalayak ramai. Polisi pro Johor ini berterusan sehingga kemangkatan Maharaja pada 1521. Meskipun maharaja-maharaja terkemudian lebih lunak dengan Portugis tetapi sentimen anti Barat masih menebal dalam kalangan masyarakat Cina.

Pada tahun 1549 pula dari Melaka yang terjajah Francis Xavier masuk ke pelabuhan Kagoshima di Jepun melalui perairan Ryukyu.

Nasib Ryukyu yang terkenal sebagai negeri aman makmur dan utopia Konfusianisme berakhir dengan ketibaan 100 jong Jepun dengan membawa 3000 samurai menakluk. Orang Okinawa cuba mempertahankan maruah mereka di Pertempuran Semenanjung Motobu tapi apakan daya kali terakhir mereka bertempur adalah ratusan tahun lampau. Raja Sho Nei dibawa ke Edo dan menghadapi pelbagai ritual dan sesi menandatangani perjanjian yang sedikit demi sedikit melepaskan haknya sebagai pemerintah sebuah negara berdaulat. Bukan sahaja Ryukyu kini dijajah Jepun bahkan ia terletak di bawah pentadbiran wilayah daimyo Shimazu yang rendah martabat.

Kepulangan baginda ke Shuri 3 tahun kemudian tidak mengubah hakikat bahawa segala perdagangan antarabangsa yang menjadi tunjang kemewahan Ryukyu berakhir di bawah polisi tutup pintu Jepun. Apabila baginda mangkat beliau meminta agar tidak dikebumikan di kompleks makam diraja Shuri tapi disemadikan di sebuah tapak suci biasa di Urasoe. Akibat terlalu malu untuk berhadapan dengan leluhur baginda di alam roh baginda juga meminta agar wajahnya kelak ditutupi oleh sebuah topeng muka.

Allahua’lam

p/s: Bukan setakat Venice, whoever controls Malacca will has his hand at the heart of Ryukyu, thus the throat of China and Japan.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here