Sentimen membenci Jepun dalam diri orang Cina memuncak pada tahun 1937 apabila meletusnya Perang Cina-Jepun II. Rakyat China sama ada berfahaman Kuomintang mahupun Komunis sanggup bersatu bagi melawan Jepun. Sebahagian imigran Cina yang menjadi buruh di luar Tanah Besar China turut kembali ke negara mereka untuk mempertahankannya. Mereka menumpahkan taat setia kepada Tanah Besar China kerana itulah negara asal mereka, bukannya negara luar tempat mereka menjadi buruh kerana mereka bukannya rakyat bagi negara-negara itu.

Apabila Perang Dunia Kedua meletus, Jepun melebarkan lagi empayar mereka. Pada tahun 1941, Jepun mula masuk menyerang dan menguasai Tanah Melayu tatkala sebahagian penjajah British pulang ke tanah air mereka untuk berjuang dalam Perang Dunia Kedua. Penjajahan Jepun lebih kejam berbanding penjajahan British membuatkan masyarakat setempat cuba bangun melawan.

Sentimen kebencian melalui Perang Cina-Jepun turut terbawa ke Tanah Melayu membuatkan tentera Jepun ingin memburu dan menyeksa orang Cina dimana saja mereka berada termasuklah yang menjadi buruh di Tanah Melayu. Pada tahun 1941 inilah Parti Komunis Malaya yang telah wujud di Tanah Melayu sejak tahun 1930 bertindak menubuhkan organisasi separa ketenteraan iaitu Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) atau lebih dikenali sebagai Bintang Tiga bersempena logo pada bendera dan topi mereka.

Atas dasar “musuh kepada musuh saya adalah kawan saya”, maka British memberi bantuan ketenteraan berbentuk latihan dan persenjataan kepada MPAJA bagi menentang Jepun. Sentimen kebencian dalam Perang Cina-Jepun menjadi faktor utama orang Cina paling berminat untuk menyertai MPAJA. Doktrin Komunisme disebarkan melalui penyusupan ke dalam kesatuan-kesatuan buruh atau perniagaan Cina.

Kemaraan pantas tentera Jepun dari utara menuju ke selatan secara sistematik membuatkan British berundur dan bertahan di Singapura. Ketika inilah berlaku peristiwa terkorbannya Leftenan Adnan dari askar Rejimen Askar Melayu DiRaja iaitu di Bukit Candu yang dibunuh tentera Jepun secara kejam.

Pada tahun 1945, Jepun tewas dalam Perang Dunia Kedua. Jepun terpaksa melepaskan semua wilayah jajahan empayarnya. Oleh itu mereka mula berundur dari Tanah Melayu. Pengunduran Jepun dan kelewatan British untuk kembali ke Tanah Melayu membuatkan kekosongan pentadbiran (power vacuum). Maka, ketika inilah Komunis MPAJA mengambil kesempatan bermaharajalela selama 14 Hari kerana mereka claim bahawa kekalahan Jepun di Tanah Melayu adalah hasil usaha perjuangan mereka semata-mata. Komunis MPAJA hendak menguasai kuasa politik Tanah Melayu pada ketika itu.

Pelbagai kekejaman dilakukan Komunis MPAJA selama 14 hari tersebut. Orang Melayu yang tidak bersetuju dengan ideologi Komunis akan diseksa, dibunuh, harta benda dirampas, kampung dibakar dan wanita dirogol. Semua ini dibuat atas alasan golongan yang tidak menyokong ideologi Komunis adalah talibarut penjajah. Komunis MPAJA membuat onar di masjid-masjid. Beberapa siri keganasan dan rusuhan antara kaum telah berlaku di Tanah Melayu.

Orang Melayu bangkit melawan kekejaman Komunis. Antara yang popular adalah tertiupnya semboyan jihad fisabilillah yang dipimpin Panglima Kiyai Haji Salleh an-Naqshabandi (Selempang Merah). Mereka adalah golongan pesilat yang hanya bersenjata tradisional seperti parang panjang namun dilengkapi ilmu Awrad Khatm Khawjagan serta Hizb Bahr dalam dada mereka.

Ketika orang Melayu bangkit melawan Komunis melalui Pasukan Selempang Merah, orang Cina menjadi terlalu ketakutan. Oleh itu, orang Cina merayu kepada pemimpin Melayu yang dihormati pada ketika itu iaitu Dato Onn Jaafar agar fenomena ini diredakan. Oleh itu, Dato Onn meminta agar Kiyai Salleh menghentikan serangan terhadap Komunis. Peristiwa Pasukan Selempang Merah di Johor pada 1945 ini tiada kaitan secara langsung dengan peristiwa 13 Mei di Selangor yang berlaku pada 1969.

Ketika British telah kembali ke Tanah Melayu, mereka mengarahkan pembubaran pasukan Komunis MPAJA serta menyerahkan semula senjata-senjata yang mereka terima sebelum ini. Namun, Komunis MPAJA enggan berbuat demikian sebaliknya mereka kembali memusuhi British.

Mereka melakukan pemberontakan bersenjata dan terus melakukan serangan-serangan kejam terhadap pentadbiran British dan juga orang awam. Oleh itu, darurat diisytiharkan pada tahun 1948 dan gerakan radikal berhaluan kiri terutamanya Parti Komunis Malaya (PKM) diharamkan. PKM mengangkat senjata dan mula lancarkan perang gerila. Antara peristiwa terkenal adalah penyerbuan Komunis pimpinan Mat Indera terhadap balai polis di Bukit Kepong pada 1950.

Pelbagai strategi dilakukan bagi melemahkan gerakan Komunis sehingga mereka terpaksa bersembunyi di hutan-hutan dan berundur hingga ke sempadan Thailand. Antara tokoh terkenal dalam menentang Komunis ketika zaman darurat ialah Sarjan Hassan dari Kor Rejimen Askar Melayu DiRaja. Sarjan Hassan pernah menulis liku-liku perjuangannya menentang Komunis. Kemudian, P Ramlee membeli skrip tersebut untuk difilemkan. Namun, P Ramlee mengubah sedikit skrip asal kisah ini dari “Sarjan Hassan VS Komunis” menjadi “Sarjan Hassan VS Jepun”.

Pada tahun 1955, pemimpin Komunis iaitu Chin Peng keluar bertemu dengan Tunku Abdul Rahman dalam Rundingan Baling. Tunku Abdul Rahman meminta Chin Peng membubarkan PKM, meletak senjata dan menyerah diri. Namun, Chin Peng mengenakan syarat iaitu PKM perlu diakui sebagai sebuah parti politik yang sah. Tunku enggan menerima syarat Chin Peng lalu pertemuan ini gagal menemukan sebarang kesefahaman.

Tatkala Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, Komunis cuba sabotaj untuk menggagalkan usaha murni ini. Namun, lama kelamaan, pengaruh Komunis semakin melemah setelah Tanah Melayu merdeka. Perintah Darurat tamat pada tahun 1960. Selepas itu, gerila-gerila Komunis berundur masuk ke kawasan Selatan Thailand dan tidak membuat sebarang serangan dan penyusupan ke Malaysia selama beberapa tahun.

Pada 1968, Parti Komunis Malaya sekali lagi memberontak buat kali kedua dengan melancarkan konflik bersenjata terhadap Malaysia. Komunis telah bersiap sedia selama 8 tahun untuk melaksanakan misi merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan Malaysia dengan menggunakan kekerasan bagi mendirikan sebuah kerajaan berfahaman Komunis. Kemuncak keganasan Komunis adalah apabila mereka bertindak membunuh Ketua Polis Negara pada 1974.

Namun pemberontakan Komunis ini berjaya dipadamkan. Akhirnya, pada 1989 termeterainya Perjanjian Damai Hatyai antara Komunis dan kerajaan Malaysia. Perjanjian itu telah menamatkan perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya selama 41 tahun. Namun, usaha menyebar dan mengangkat fahaman Komunisma masih lagi diperjuangkan. Dulu mereka berjuang secara “hard way” dari dalam hutan-hutan, kini mereka berjuang secara “soft way” di bandar-bandar.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.