Jantina: “Nature” vs “Nurture”

1,173

Pertengahan tahun 1960-an, terjadinya satu peristiwa yang ‘menggegarkan’ dunia perubatan psikiatri pada waktu itu. Iaitu apabila seorang ahli psikologi dan seksologi yang dikenali sebagai Dr. John Money, bertugas di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat, bertindak memberi ‘nasihat’ dan galakan kepada pasangan Reimer untuk membuat keputusan yang sukar bagi golongan ibubapa. Iaitu, dengan membenarkan anak lelaki mereka David Reimer, membuat pembedahan pertukaran jantina.

Sebelum saya menceritakan peristiwa ini dengan lebih lanjut, anda terlebih dahulu perlu tahu bahawa keputusan membenarkan pembedahan pertukaran jantina tersebut dibuat bukan kerana ia adalah kemahuan ibu bapa David.

Tetapi, prosedur itu terpaksa dilakukan kerana David Reimer yang dilahirkan sebagai seorang lelaki, telah mengalami kecederaan parah yang ‘tidak dapat diperbetulkan lagi’ pada kemaluannya, semasa beliau masih bayi.

Janet bersama anak lelaki kembarnya Bruce & Brian

Bermula dari masalah kesihatan

Dilahirkan sebagai Bruce Peter Reimer pada tanggal 22 Ogos 1965 di Winnipeg, Ontario, Kanada, beliau adalah anak lelaki kepada pasangan Ron dan Janet Reimer.

Sewaktu berumur 6 bulan, kedua-dua Bruce dan kembarnya Brian, telah didiagnos dengan phimosis.

“Apa benda phimosis ni?”

Phimosis adalah satu kondisi perubatan yang mana kulit (kulup) pada bahagian kepala zakar (glans penis) itu tidak dapat ditarik ke belakang.

Perkara ini menyebabkan kedua-dua beradik tersebut mengalami kesukaran dan kesakitan ketika mahu membuang air kecil. Namun tidak lama kemudian, kondisi phimosis Brian telah sembuh dengan sendiri dengan masa. Tetapi tidak bagi Bruce.

Oleh itu, pada 27 April 1966, ibubapa Bruce telah membawa beliau yang masih bayi itu untuk disunat atau dikhatankan.

Khatan ini adalah prosedur perubatan yang biasa dilakukan oleh masyarakat dunia. Terutamanya bagi masyarakat muslim dan yahudi. Ia membabitkan proses membuang kulup atau kulit yang terdapat pada bahagian hujung kemaluan lelaki.

Kebiasaannya, prosedur ini dijalankan dengan menggunakan skalpel atau alatan tajam lain. Walau bagaimanapun, ahli perubatan yang bertugas melaksanakan prosedur itu ke atas Bruce, telah menggunakan teknik yang tidak konvensional dalam prosedur khatan, iaitu dengan menggunakan teknik “cauterization” atau dalam erti kata lain, menggunakan mesin yang mengalirkan arus elektrik bagi membuang kulit tersebut.

Ketika prosedur sedang berlangsung, mesin tersebut dikatakan telah mengalami kerosakan beberapa kali. Semasa percubaan terakhir, kemalangan telah berlaku dan keseluruhan alat kelamin Bruce melecur.

Prosedur tersebut bukan sahaja gagal, malah telah menyebabkan kecederaan parah dan kecacatan kekal pada alat kelamin Bruce yang masih bayi itu, menurut majoriti daripada sumber yang telah disenaraikan di bawah.

Beberapa bulan kemudian, Ron dan isterinya Janet Reimer sedang menonton sebuah program televisyen yang memberikan mereka sinar harapan.

Dr. John Money, seorang ahli psikologi dan seksologi ternama, menjadi tetamu jemputan di dalam program debat tentang pembedahan pertukaran jantina bagi golongan transeksual. Di dalam program itu juga, Dr. Money turut membawa bersama-sama beliau seorang transeksual yang memiliki ciri-ciri feminin dan kelihatan seperti seorang wanita sebenar.

Terlintas dalam fikiran Janet Reimer; “Mungkin ini sahajalah jalan penyelesaian bagi permasalahan yang dihadapi oleh Bruce.” Yakni dengan membuat pembedahan pertukaran jantina Bruce daripada seorang lelaki kepada seorang perempuan.

Janet kemudian segera mengutuskan sepucuk surat kepada Dr. Money. Setelah menerima surat tersebut, Dr. Money mempelawa mereka sekeluarga untuk melawat beliau di Baltimore, Maryland.

Dr. John Money

Siapa Dr. Money?

Sedikit latar belakang mengenai Dr. Money; seperti yang telah dinyatakan di atas, beliau merupakan seorang ahli psikologi dan seksologi yang ternama sebelum mengenali keluarga Reimer lagi.

Selain itu, beliau merupakan salah seorang daripada pelopor dan penyokong terhadap sebuah idea ‘radikal’ tentang psikologi disebalik identiti dan peranan jantina.

Dalam karya akademik beliau, Dr. Money menyatakan bahawa jantina seseorang individu itu tidak tetap mengikut ciri fizikal ketika dia dilahirkan. Membawa maksud jantina itu boleh diubah mengikut ‘acuan’ masyarakat dan persekitaran serta masih boleh ‘dibentuk’ dari kecil.

Dr. Money menggunakan dapatan daripada kajian kes beliau terhadap individu khunsa (mempunyai ciri fizikal kedua-dua lelaki dan perempuan) untuk menyokong idea itu, seterusnya membuktikan kepada pasangan Reimer bahawa terdapat satu tempoh peluang atau “window of opportunity” yang diberi terma “gender gate”, untuk Bruce menjalani pembedahan pertukaran jantina. Menurut Dr. Money lagi, tempoh masa itu akan tamat apabila seseorang individu itu berumur 2 tahun.

Disebabkan perkara itu, beliau berpendapat, ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab ‘memilih’ jantina anak mereka, selain daripada bagaimana cara anak itu dibesarkan. 2 perkara ini merupakan faktor utama yang menentukan jantina anak tersebut, dan bukannya ciri-ciri fizikal yang terdapat pada anak itu ketika dilahirkan.

Tetapi sehinggalah sampai ke saat beliau berkesempatan untuk bertemu dengan keluarga Reimer, Dr. Money tidak berpeluang menguji teori yang penuh kontroversi itu, lebih-lebih lagi dengan individu yang bukan khunsa.

Oleh itu, bagi beliau, kes Bruce Reimer ini adalah ‘peluang yang tidak boleh dilepaskan’. Yang mana beliau berjaya mendapatkan subjek kajian yang sesuai iaitu pasangan kembar seiras lelaki, dan salah seorang daripada kembar tersebut bakal dibesarkan sebagai seorang perempuan.

Ini kerana, sebagai kembar seiras dan dibesarkan dalam keluarga yang sama, adik-beradik Reimer ini dianggap Dr. Money sebagai subjek kes yang ideal untuk kajian psikologi terhadap jantina.

Bruce bakal menjadi kanak-kanak pertama didokumenkan menjalani proses pertukaran jantina, walaupun telah dilahirkan normal sebagai kanak-kanak lelaki, manakala Brian boleh dijadikan subjek kawalan (“control”), disebabkan Brian berkongsi genetik dan persekitaran yang sama dengan Bruce.

Sehubungan dengan itu, Dr. Money menyatakan untuk Bruce dibesarkan sebagai seorang perempuan adalah yang terbaik untuk dirinya. Selain daripada fakta bahawa, ia lebih mudah untuk membuat pembedahan pertukaran jantina seseorang individu untuk menjadi seorang perempuan, daripada perempuan ke lelaki.

Anda juga perlu sedar ini adalah amalan perubatan yang kebiasaannya dibuat pada waktu itu bagi individu mempunyai alat kelamin yang tidak normal, atau mempunyai kedua-dua alat kelamin (khunsa).

Brian & Brenda

Pembedahan

Selepas mendapatkan konsultasi daripada Dr. Money, pasangan Janet dan Ron Reimer akhirnya berbuat keputusan untuk membesarkan Bruce sebagai seorang perempuan. Bruce telah menjalani pembedahan pertukaran jantina di Hospital John Hopkins.

Pakar perubatan memulakan prosedur tersebut dengan membuang testis (skrotum) dan zakar yang ‘rosak’, seterusnya membuat vulva vestigial dan saluran faraj bagi menggantikan tempat testis dan zakar tersebut. Selain itu, pakar perubatan turut membuat lubang kecil pada bahagian bawah abdomen Bruce bagi membolehkan beliau untuk membuang air kecil.

Selepas pembedahan itu berjaya, Bruce telah ditukar namanya kepada Brenda, dan pasangan Reimer membesarkan beliau sebagai seorang perempuan. Sepanjang zaman kanak-kanak Brenda a.k.a Bruce, beliau tidak mengetahui akan jantina asalnya, iaitu seorang lelaki.

Pemeriksaan berkala oleh Dr. Money.

Tanggungjawab Dr. Money tidak terhenti begitu sahaja selepas pembedahan. Ini kerana, Brenda masih diperlukan untuk kajian dan hadir bagi mendapatkan pemeriksaan tahunan. Selain Brenda, Brian kembar lelakinya juga turut menjadi sebahagian daripada kajian beliau tentang perkembangan seksual dan jantina kanak-kanak. Dan bermulalah sisi gelap dalam peristiwa ini.

Semasa pasangan kembar ini menjalani sesi pemeriksaan psikiatri oleh Dr. Money, Brenda dan Brian yang masih kanak-kanak telah diarahkan untuk memeriksa alat kelamin satu sama lain serta diminta untuk membuat pergerakan yang menyerupai gerakan dalam persetubuhan.

Brenda turut mendakwa bahawa kebanyakan daripada ‘rawatan’ dan pemeriksaan Money, melibatkan paksaan dalam ‘lakonan’ posisi persetubuhan bersama-sama kembarnya Brian.

Dalam satu sesi temubual bersama majalah Rolling Stone, Brenda Reimer teringat akan satu peristiwa yang mana Dr. Money telah mengambil gambar mereka berdua dalam keadaan tanpa seurat benang untuk sekurang-kurangnya sekali.

Brenda turut menyatakan bahawa, pemeriksaan itu sama ada dilakukan oleh Dr. Money secara berseorangan, atau secara berkumpulan bersama 6 rakan sekerjanya yang lain.

Menurut Brenda lagi, sekiranya beliau atau Brian enggan akur kepada arahan yang diberikan, kedua beradik itu akan diherdik Dr. Money. Boleh dikatakan, watak tenang dan professional yang dipamerkan Dr. Money hanya untuk mata ibubapa Brenda dan Brian sahaja.

Selain itu, Dr. Money telah menunjukkan gambar-gambar “explicit” seorang wanita yang sedang melahirkan anak kepada Brenda semasa beliau berumur 7 tahun, sebagai satu cubaan untuk memujuk kanak-kanak itu supaya bersetuju membuat pembedahan menghasilkan vagina.

Kemudian apabila Brenda berumur 12 tahun, Dr. Money berkeras supaya Brenda diberikan tablet hormon estrogen bagi menggalakkan pertumbuhan payudara. Kerana menurut Dr. Money dan saintis-saintis lain yang bersependapat, ini adalah langkah terbaik untuk meyakinkan Brenda akan jantina ‘perempuannya’.

Keluarga Reimer

Penerbitan Kajian

Mengikut pemahaman Dr. Money sendiri, perubahan Bruce-Brenda merupakan satu proses yang berjaya. Seterusnya beliau mendakwa kelakuan Brenda yang ‘seakan’ perempuan itu berlawanan dengan kelakuan Brian yang lebih kelakian.

Tetapi adakah ia benar terjadi seperti yang didakwa?

Semasa Brenda berumur 5 tahun lagi, Dr. Money telah memulakan penerbitan kajian kes “Bruce-Brenda”, namun merahsiakan identiti subjek iaitu Brenda, dengan memperkenalkan kanak-kanak itu sebagai “Joan/John” di dalam kertas kajian dan buku terbitan beliau.

Kes tersebut serta merta menjadi sensasi dan menjadi buah mulut orang ramai pada waktu itu. Dapatan daripada kajian Dr. Money ini telah digunakan sebagai bukti dan hujah oleh “golongan tertentu” (tak boleh sebut nama, sensitif) bagi membuktikan dakwaan mereka bahawa ia adalah “Nuture” (cara dibesarkan) dan bukannya “Nature” (fizikal dilahirkan) yang menentukan sama ada manusia itu akan bersifat feminin atau maskulin. Selain itu, kes ini juga dianggap sebagai penanda aras dan bukti “power of nuture” serta seringkali dipetik di dalam buku.

Pada masa yang sama, kedua-dua Brian dan Brenda tidak menyedari akan hakikat berkenaan data-data yang dikumpulkan dari pemerhatian dan kajian Dr. Money ke atas mereka, telah digunakan untuk menguatkan atau menjadi bukti kepada teori “gender fluidity” yang diusulkan beliau, yang seterusnya menjadi justifikasi kepada ribuan prosedur pembedahan pertukaran jantina untuk kanak-kanak yang dilahirkan dengan alat kelamin yang tidak normal.

Berubah menjadi David

Kesan kepada Bruce a.k.a Brenda.

Walau apa yang dilaporkan oleh Dr. Money, keadaan di kediaman keluarga Reimer tidak lah seperti yang disangka. Brenda dikhabarkan mempamerkan kelakuan seperti lelaki berbanding seorang perempuan. Beliau gemar berlari, bergaduh, memanjat atau dalam erti kata lain, melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh budak lelaki.

Malangnya, disebabkan oleh kelakuan dan fizikalnya, Brenda telah dibuli rakan sebaya semasa di sekolah. Beliau mendakwa, walaupun dengan rawatan hormon, memakai pakaian perempuan, dan digalakkan untuk melakukan perkara-perkara dilakukan oleh seorang budak perempuan, ia masih tidak mencukupi kerana jauh di dalam lubuk hati beliau dapat merasakan bahawa beliau sebenarnya seorang budak lelaki.

Lama kelamaan, Brenda dapat merasakan tekanan mula memuncak di dalam diri, dan berasa sunyi oleh kerana Brian kembarnya, enggan bermain bersama di hadapan rakan sebaya lain dek kerana malu. Selain itu, Brenda turut melaporkan bahawa beliau berasa tidak selesa dengan ‘jantina yang baru’ ini, atau terma saintifiknya, “gender dysphoria”. Faktor-faktor seperti yang telah dinyatakan ini akhirnya menjurus kepada rasa benci Brenda untuk melawat dan menjalani pemeriksaan Dr. Money.

David berkahwin dengan Jane Fontane

“The Truth”.

Semasa Brenda berumur 13 tahun, dia pernah mengugut untuk membunuh diri sendiri sekiranya ibubapa beliau berkeras untuk membawanya berjumpa dan menjalani pemeriksaan tahunan Dr.Money. Tidak lama kemudian bapanya Ron Reimer akhirnya mendedahkan semua yang berlaku kepada Brenda dan juga Brian. Mereka berdua berumur 15 tahun pada ketika itu.

Brenda yang menurut beliau “hampir merasakan dirinya gila”, berasa sangat lega akan pendedahan bapanya itu. Pandangannya terhadap dunia, malah dunianya sendiri telah berubah 360 darjah. Brenda mengubah penampilan dan perwatakannya kepada lelaki dan berbuat keputusan untuk menukar namanya kepada David.

Apabila berumur 21 tahun, “David” yang telah menerima wang pampasan daripada kemalangan berkhatan semasa beliau kecil itu, menggunakan wang tersebut untuk membuat pembedahan plastik bagi membuang payudara, mendapatkan zakar serta mendapatkan terapi hormon testosteron. Pada 22 Septermber 1990, David mengahwini Jane Fontane, seorang ibu tunggal anak 3.

Pendedahan David Reimer.

Walaupun kecelaruan identiti telahpun bertahun-tahun berlalu, malangnya kesannya masih dapat dirasai oleh David. Menurut beliau, eksperimen-eksperimen dan pemeriksaan Dr. Money telah memberikan trauma psikologi yang mendalam.

Pertengahan 90-an, David bertemu dengan seorang ahli psikologi dari Universiti Hawaii yang dikenali dengan nama Milton Diamond. Seorang pesaing Money dalam dunia akademik, Dr. Diamond pula membuat kajian balas berkenaan kajian “Joan/John” Dr. Money. Hasil kajian Dr. Diamond tersebut berjaya mendapatkan beberapa kepincangan dalam kajian “Joan/John”.

Bermula tahun 1997, David Reimer mula menceritakan pengalamannya secara terbuka. Temubual pertama beliau dibuat oleh John Colapinto untuk majalah Rolling Stone. Dengan pendedahan David Reimer, ramai pakar mula mempersoalkan keabsahan kajian Dr. Money.

Pengakhiran

Walaupun hidup David Reimer telah berubah, namun hubungan dengan kembarnya Brian, telah mula memburuk sejak daripada pendedahan yang dibuat oleh bapa mereka.

Kerana ketika membesar, “Brenda” atau David menerima perhatian yang lebih daripada ibubapa mereka yakni Janet dan Ron Reimer. Sehubungan itu, dengan mengetahui bahawa dirinya bukan lagi satu-satunya anak lelaki, telah menyebabkan Brian mula mengalami gangguan mental yang akhirnya menjurus kepada skizofrenia. Selepas 2 kali perkahwinannya gagal, Brian ditemui mati akibat pengambilan dadah yang berlebihan.

David Reimer yang tidak berpeluang untuk menamatkan pengajian sekolahnya, terpaksa bekerja sebagai pekerja separuh mahir. Dengan menjual hak perfileman berkenaan dirinya, mendapatkan beliau sejumlah wang. Malangnya, beliau kehilangan wang tersebut selepas ditipu oleh seorang ahli perniagaan yang melarikan wang pelaburannya itu.

Satu demi satu ujian yang diterima David, telah mengakibatkan dirinya murung. Kemurungan tersebut telah menjejaskan perkahwinannya. Tidak lama kemudian, isterinya Jane meminta untuk berpisah sementara waktu (ada sumber mengatakan bercerai).

David kembali ke rumah ibubapanya di Winnipeg. Beberapa hari kemudian, iaitu pada 5 Mei 2004, David pulang ke rumahnya sewaktu Jane bekerja dan tiada di rumah pada waktu itu. David mengambil kesempatan tersebut untuk mengambil senapang patah miliknya, sebelum memandu ke kawasan parkir pasaraya berhampiran. Di dalam kereta di kawasan parkir itu lah, David membunuh diri dengan menembak kepalanya dengan senapang patah tersebut. David Reimer berumur 38 tahun pada hari kematiannya.

Dr. Money bagaimanapun dilaporkan berkata bahawa beliau tidak boleh dipersalahkan atas kejadian (David tidak menerima jantinanya sebagai seorang perempuan) tersebut. Menurut Dr. Money lagi, kelewatan pasangan Reimer membuat keputusan pembedahan pertukaran jantina sehingga menghampiri tempoh “gender gate” telah menjadi faktor yang menyumbang kepada kecelaruan identiti tersebut.

Walaubagaimanapun, saintis lain dan orang ramai berpendapat bahawa “Dr. Money sepatutnya mengaku akan kesilapan dan menghentikan eksperimen setelah ia benar tidak berkesan terhadap perubahan Bruce-Brenda”.

Mungkin kisah ini boleh dijadikan iktibar dan pengajaran apa yang bakal berlaku sekiranya seorang saintis itu ‘jatuh cinta’ dengan sebuah teori yang cantik namun menghiraukan fakta yang buruk.

RUJUKAN:

Carey, Benedict. “John William Money, 84, Sexual Identity Researcher, Dies.” New York Times, 11 July 2016.

Colapinto, John. “The True Story of John/Joan.” Rolling Stone 11 (1997): 54–73.

Colapinto, John. As Nature Made Him: The Boy who was Raised as a Girl. New York: Harper Perennial. (2006).

Colapinto, John. “Gender Gap-What were the Real Reasons behind David Reimer’s Suicide.” Slate (2004).

Dr. Money and the Boy with No Penis, documentary, written by Sanjida O’Connell (BBC, 2004), Film.

Diamond, Milton; Sigmundson, H. Keith (1997). “Sex Reassignment at Birth: Long-Term Review and Clinical Implications”. Archives of Paediatrics and Adolescent Medicine. 151 (3): 298–304

Diamond, Milton. (2004). “Sex, gender, and identity over the years: a changing perspective”, Child and Adolescent Psychiatric Clinics of North America. 13: 591–607

Diamond, Milton. (1997). “Sexual identity and sexual orientation in children with traumatized or ambiguous genitalia” Journal of Sex Research. Vol 34(2), 1997, 199-211.

Goldie, Terry (2014). The Man Who Invented Gender: Engaging the Ideas of John Money. Vancouver: UBC Press.

Karkazis, Katrina (2008). Fixing Sex: Intersex Medical Authority and Lived Experience. Durham, North Carolina; Duke University Press.

Money, John; Ehrhardt, Anke A. Man & Woman, Boy & Girl. Baltimore, Maryland: Johns Hopkins University Press. Cited in Halpern 2012, p. 163. (1972).

The Boy Who Was Turned Into a Girl. Documentary, Directed by Andrew Cohen (BBC, 2000.), Film.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.