Moving Forward As One

Jantar Mantar – Bukti Kemajuan India Dalam Ilmu Astronomi

973

Nama Jantar Mantar digunakan bagi merujuk kepada lima bangunan astronomi yang dibina di India pada kurun ke-18 Masehi. Balai cerap paling besar dan paling dikenali antara semua terletak di Jaipur, sebuah kota yang dinamakan bersempena tokoh pengasasnya, Jai Singh II. Jai Singh sememangnya dikenali sebagai seorang pemerintah yang cintakan ilmu astronomi.

Keunggulan bangunan astronomi yang dibina oleh beliau masih dikagumi sehingga hari ini. Pada tahun 2010, ia diwartakan oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Salah satu mercu tanda utamanya ialah jam matahari di Jaipur yang dianggap sebagai jam matahari batu paling besar di dunia.

Asal-usul nama Jantar Mantar boleh dijejak daripada kombinasi dua perkataan Sanskrit, iaitu ‘vantra’ dan ‘mantra’ yang masing-masing membawa maksud ‘alat’ dan ‘menghitung’. Justeru, Jantar Mantar umumnya boleh ditafsirkan sebagai ‘Peralatan untuk membuat hitungan’. Nama ini sememangnya sesuai dengan fungsi Jantar Mantar sebagai balai cerap.

Jantar Mantar di New Delhi, India

Selain di Jaipur, binaan-binaan astronomi Jantar Mantar turut bertempat di Delhi, Ujjain, Varanasi, dan Mathura. Balai yang paling awal dibina antara semua ialah balai cerap di Delhi, iaitu sekitar tahun 1723 Masehi. Empat balai yang lain kemudian dibina untuk tujuan menyemak ketepatan bacaan yang dilakukan di Delhi.

Walaupun semua Jantar Mantar berkongsi beberapa alat astronomi yang sama, seperti jam matahari, namun setiap satunya berbeza dari segi saiz, susun atur, dan seni bina. Pada hari ini, kesemua Jantar Mantar masih berdiri dan boleh dikunjungi, kecuali balai yang berdiri Mathura. Ia dirun-tuhkan sekitar tahun 1857, bersama tembok yang mengelilinginya.

JAI SINGH – PEMERINTAH YANG MEMBINA JANTAR MANTAR

Pembinaan Jantar Mantar dikreditkan kepada Jai Singh II, pemerintah Kerajaan Amber (atau disebut Kerajaan Jaipur). Beliau dilahirkan pada tahun 1688, di Rajasthan moden. Sebelas tahun kemudian, ayahandanya, Bishan Singh, mangkat dan digantikan oleh Jai Singh yang masih belia.

Ketika itu, Kerajaan Amber berada di bawah pengaruh Empayar Mughal yang merupakan kuasa dominan di sub-benua India. Sejak tahun 1658, empayar tersebut diperintah oleh Aurangzeb yang dianggap sebagai pemerintah Mughal yang teragung. Beliau sememangnya terkenal dengan dasar perluasan kuasa yang dijalankan dengan giat, sekali gus membawa Empayar Mughal meniti masa-masa perdana.

Raja-raja Amber yang awal rata-ratanya menangani suasana sedemikian dengan jalan diplomasi, berbanding mengangkat sen-jata dan menghantar bala ten-tera. Sikap sebegini tidaklah begitu menghairankan, memandangkan Kerajaan Amber terletak tidak jauh dari Delhi dan Agra yang menjadi pusat kekuasaan Empayar Mughal.

Jai Singh dengan sokongan maharaja Mughal bertanggungjawab membina Jantar Mantar bagi memacu minatnya dalam bidang astronomi

Selepas mewarisi takhta, Jai Singh meneruskan dasar tunduk kepada Mughal. Beliau merupakan seorang yang bijak, sehingga kebijakannya itu menarik perhatian Aurangzeb. Sejurus selepas dimahkotakan, Jai Singh diperintahkan oleh Aurangzeb untuk menyertainya meme-rangi Maratha di Deccan.

Dek berjaya menak-luki kubu Vishalgarh dari Maratha, Jai Singh dikurniakan gelaran ‘Sawai’ yang bermaksud ‘satu dan satu perempat (satu suku). Gelaran ini memaksudkan yang beliau satu suku lebih hebat berbanding moyangnya, Jai Singh I.

Gelaran tersebut dijadikan sebagai gelaran rasmi beliau pada tahun 1712. Bagi memperingati kurniaan tersebut, Jai Singh mengasaskan satu istiadat mengibarkan dua bendera – satu bendera penuh dan satu bendera suku. Istiadat dan gelaran tersebut kemudian diwarisi oleh raja-raja yang menggantikan beliau.

Memasuki tahun 1719, hubungan Jai Singh dengan Empayar Mughal semakin akrab. Ketika itu, Mughal diperintah oleh Muhammad Shah (1719-1748). Kemesraan antara dua raja itu bukan sekadar memberi manfaat kepada rakyat Mughal yang beragama Hindhu, di mana mereka dilepaskan dari jizyah.

Akan tetapi, yang lebih utama, ia membantu Jai Singh untuk membumikan minatnya terhadap ilmu astronomi. Dengan sokongan padu daripada Muhammad Shah, Jai Singh membina Jantar Mantar pertama di Delhi pada tahun 1724. Empat tahun kemudian, pembinaan balai cerap di Jaipur pula dimulakan – setahun selepas ibu kota Kerajaan Amber itu ditubuhkan.

ALAT-ALAT ASTRONOMI DI JANTAR MANTAR

Jantar Mantar di Jaipur dibina betul-betul di luar Kota Istana yang dahulunya dikepung oleh tembok. Ia merupakan balai cerap paling besar jika dibandingkan dengan empat balai lain yang dibina oleh Jai Singh. Tambahan, lokasinya yang terletak di kawasan pelancongan utama menjadikannya Jantar Mantar yang paling kerap dikunjungi pada hari ini.


Samrat Yantra atau jam matahari di Jantar Mantar

Lebih penting, ia merupakan balai cerap binaan Jai Singh yang paling lengkap. Secara keseluruhan, ia menempatkan sebanyak 22 peralatan astronomi, dengan 16 daripadanya adalah alatan batu sambil enam yang lain dihasilkan daripada pelbagai jenis logam.

Antara peralatan astronomi paling mengujakan di situ ialah Samrat Yantra dan Rama Yantra yang dipercayai direka sendiri bentuknya oleh Jai Singh. Samrat Yantra ialah jam matahari yang bentuk binaannya sedikit berbeza berbanding mana-mana jam matahari yang dibina pada kurun-kurun sebelumnya. Ketepatannya sukar ditandingi dan ia dibina agak tinggi, kira-kira 27 meter sekali gus dianggap sebagai jam matahari terbesar di runia.

Rama Yantra pula ialah sepasang struktur silinder yang mempunyai sebatang tiang di tengah-tengahnya. Setiap bahagiannya dibina sekata dengan ketinggian yang sama. Lantai dan bahagian dalamnya pula dilengkapi dengan jubin-jubin untuk mengukur sudut altitud dan azimut. Ia digunakan untuk mengukur kedudukan jasad samawi, dengan menjajarkannya dengan kedua-dua puncak tiang dan lantai.

Rama Yantra di Jantar Mantar

HILANGNYA KEFUNGSIAN JANTAR MANTAR

Seiring kemangkatan Jai Singh pada tahun 1743, Kerajaan Amber turut mengalami kemunduran. Semuanya gara-gara pertelingkahan sesama putera. Pada masa yang sama, Empayar Mughal makin melemah sebelum akhirnya punah. Susulannya, India Utara kehilangan pemain utama dan kuasa-kuasa luar pun mengambil kesempatan untuk menebarkan pengaruh.

Antara lokasi yang menjadi sasaran ialah Delhi yang sememangnya kaya dengan hasil bumi. Tahun 1739, ia digem-pur oleh Nader Shah. Sembilan tahun kemudian, sesudah kemangkatan Muhammad Shah, seluruh wilayah di India Utara disapu oleh Maratha. Jantar Mantar di Delhi tidak terkecuali dari menjadi mangsa.

Tidak cukup dirosakkan oleh tangan manusia, alam juga banyak menghakis binaan Jantar Mantar. Namun dek kerana kekacauan politik yang melanda, raja-raja yang menggantikan Jai Singh terpaksa mengenepikan Jantar Mantar dan menumpu pada hal-hal lain. Kesannya, keadaan Jantar Mantar yang dahulunya utuh lama-lama makin run-tuh.

Pemandangan Jantar Manar di Jaipur

Memasuki kurun ke-19, Jantar Mantar di Jaipur ditinggalkan buat seketika. Mujur, kerja-kerja pembaikpulihan sempat dijalankan. Sepanjang dekad-dekad yang menyusul, keadaannya semakin terpelihara.

Pada hari ini, Jantar Mantar di Jaipur berdiri sebagai tarikan pelancong, selain digunakan sebagai taman awam dan muzium terbuka. Apapun, kerosakan akibat cuaca masih tetap menimpa. Ancaman vanda-lisme juga sentiasa ada. Keadaan sebegini cukup membimbangkan, memandangkan nilai sejarah pada Jantar Mantar cukup tinggi harganya.

TERJEMAHAN

Wu Mingren. (9 Februari 2020). Jantar Mantar – The Ancient Astronomical Observatories of India. Ancient Origins.

Ruangan komen telah ditutup.