Jangan Pandangku Sebelah Mata

0
213
views

Pergigian merupakan salah satu bidang ilmu sains kesihatan yang menjadi anugerah daripada Maha Pencipta yang menggabungkan antara sains dan seni mencegah, mengenal pasti dan merawat penyakit, kecederaan serta malformasi yang terjadi pada gigi, rahang atau mulut.

Bidang pergigian juga merupakan salah satu ilmu yang unik kerana ia merangkumi ruang lingkup muka dan mulut yang termasuk dalam anggota tubuh badan seseorang. Cuba sama-sama kita bayangkan, apabila ada seseorang sedang mengalami sakit gigi yang serius, maka seluruh anggota badannya tidak akan mampu untuk berfungsi dengan baik.

Malah, tugasan seharian tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik dan secara normal. Makan, minum dan tidur pasti akan tergendala dek kerana kesakitan yang dialaminya. Badan mula menjadi lesu, kaki dan tangan menjadi letih, kepala terasa berat yang amat bahkan ada sesetengah juga yang seperti agak emosional apabila gigi mereka ‘meragam’.

Bayangkan, anggota yang sekecil 3-5mm mampu untuk merencatkan perjalanan yang sejauh 3-5km. Ada sesetengah yang terpaksa mendapatkan surat pelepasan atau surat cuti sakit (MC) dan tidak hadir ke kerja kerana terpaksa menahan bahana yang berpunca daripada anggota sekecil gigi. Kecil-kecil cili padi betul gigi ini, bukan?

Orang kata, tidak kenal maka tidak cinta. Tapi, sebelum sampai kepada tahap cinta, haruslah tahu terlebih dahulu. Justeru, untuk lebih mencintai gigi dengan lebih mendalam lagi, kita seharusnya tahu dan kenal beberapa jenis penyakit yang berpotensi untuk menyerang kesihatan dan ‘integriti’ pada gigi. Pada artikel kali ini, saya akan cuba berkongsikan berkenaan beberapa jenis kerosakan yang sering berlaku pada gigi.

PENGENALAN.

Kerosakan atau luka (lesion) yang melibatkan struktur gigi yang sangat keras (calcified) diklasifikasikan kepada dua bahagian iaitu disebabkan oleh karies (carious lesion) dan bukan disebabkan oleh karies (non-carious lesion). Kedua-dua jenis kerosakan atau luka (lesion) ini amatlah memerlukan kepada perawatan operatif (operative intervention). Bidang yang terlibat berkenaan dengan kerosakan-kerosakan gigi ini adalah bidang pergigian restoratif atau lebih dikenali sebagai pergigian operatif (operative dentistry). Bidang ini lebih berfokus kepada pemeliharaan dan pemuliharaan struktur gigi.

KARIES GIGI (DENTAL CARIES) – CARIOUS LESION

Gambar 1: Ilustrasi berkenaan karies gigi.
Sumber: www.medihelp365.com/dental-caries

Karies gigi merupakan penyakit mikrobiologi yang mampu merebak dan menyebabkan demineralisasi pada kawasan setempat (localized demineralization). Malah, karies gigi juga mampu untuk menyebabkan kemusnahan dan kerosakan yang dahsyat pada permukaan gigi yang keras (calcified). Dalam erti kata mudah, karies gigi berpotensi untuk menyebabkan kemusnahan terhadap bentuk gigi yang sedia ada.

Masalah ini juga lebih dikenali sebagai gigi berlubang dalam kalangan masyarakat kita. Penyebab utama masalah ini terjadi adalah bakteria di dalam mulut yang menghasilkan asid hasil daripada sisa-sisa makanan yang tidak dibersihkan.

Asid ini mampu memusnahkan struktur enamel pada gigi. Enamel merupakan struktur yang paling keras dalam tubuh badan manusia, bahkan lebih keras berbanding tulang. Maha Besar Allah yang mencipta kejadian yang sangat baik. Justeru, apabila struktur enamel telah musnah, asid ini akan menembusi kawasan dentin.

Dentin merupakan kawasan yang terletak di bawah enamel dan juga bertindak sebagai ‘jambatan’ yang menghubungkan antara korona gigi dengan kawasan akar gigi (pulp). Jadi, apabila asid telah menembusi kawasan dentin yang kurang keras berbanding enamel, peratusan untuk asid menyerang kawasan akar agak tinggi apabila tiadanya pencegahan awal.

KESAN KARIES GIGI (DENTAL CARIES)

Gambar 2: Lubang pada oklusal gigi yang disebabkan oleh karies.
Sumber: www.winningsmiletor.com/dental-caries

Apabila masalah ini tidak ditangani dengan segera, ditakuti akan semakin merebak dan membesar. Malah, jika dibiarkan penyakit ini akan menyerang ruang pulpa (pulp chamber) yang mengandungi pembuluh darah (blood vessels) dan jaringan saraf yang begitu banyak. Hal inilah yang menyumbang kepada rasa sakit dan rasa berdenyut pada gigi.

Lebih parah lagi, apabila penyakit ini dibiarkan, infeksi ini akan menyebabkan kematian pada akar atau ruang pulpa (pulp chamber) dan mengundang kepada ‘kematian’ gigi. Gigi yang mati akan berwarna hitam atau lebih gelap berbanding gigi yang lain. Masalah abses (abscess) juga berpotensi untuk berlaku. Dalam bahasa yang lebih mudah, abses bermaksud nanah dan kawasan yang kerap berlaku ialah di kawasan gusi (gingiva).

Bakteria yang bertanggungjawab dalam masalah ini antaranya ialah lactobacillus acidophilus dan streptococcus sobrinus. Adapun bakteria yang biasa menjadi penyebab kepada wujudnya karies gigi ialah streptococcus mutans.

Gambar 3: Kesan karies pada leher (cervical) gigi.
Sumber: www.keekli.in/dental-caries

LELASAN/HAKISAN (ABRASION) – NON-CARIOUS LESION.

Masalah ini merupakan keadaan patologi yang menyebabkan kemusnahan pada struktur gigi disebabkan oleh geseran secara langsung antara gigi dengan objek-objek luar atau geseran antara gigi dengan gigi. Antara keadaan yang paling kerap berlaku adalah hakisan yang berlaku akibat teknik yang tidak betul dan tekanan yang sangat kuat sewaktu menggosok gigi.

Antara contoh lain yang menyumbang kepada masalah ini adalah sikap menghisap rokok paip (pipe smoking). Gigi hadapan (incisor teeth) akan berubah strukturnya mengikut bentuk paip yang dihisap. Pengunaan kayu pencungkil gigi (toothpick) yang kerap dan tidak terkawal juga antara penyumbang kepada masalah ini dan akan menyebabkan hakisan pada kawasan proksimal gigi.

Antara faktor lain yang menyumbang kepada permasalahan ini adalah kebiasaan menggigit kuku menggunakan gigi hadapan (incisor teeth).

Gambar 4: Kesan abrasion yang berlaku pada leher (cervical) gigi.
Sumber: www.juniordentist.com/abrasion-of-teeth

HAKISAN (EROSION) – NON-CARIOUS LESION

Gambar 5: Kesan daripada asid luaran (exogenous) pada permukaan hadapan gigi.
Sumber: https://www.infodentist.com/articles/dental-erosion.php

Keadaan ini masih lagi dikatakan sebagai hakisan tetapi berbeza dengan hakisan yang pertama ini. Penyebab hakisan (erosion) ini berlaku adalah reaksi dan tindak balas bahan kimia dan kebiasaannya ialah asid.

Hakisan ini terbahagi kepada dua iaitu unsur dari luar (exogenous aicd) seperti jus lemon, pengambilan bahan minuman berasid yang berlebihan atau disebabkan oleh pencemaran alam sekitar.

Unsur kedua adalah dari dalam (endogenous acid) tubuh badan seperti keadaan seseorang yang kerap muntah akibat daripada gastrik. Muntah yang dikeluarkan mengandungi asid dan ini akan menyebabkan hakisan pada gigi dari sebelah dalam yang berhampiran dengan lelangit.

Gambar 6: Kesan asid dalaman (endogenous) pada permukaan gigi berhampiran dengan lelangit.
Sumber: www.health2blog.com/am-i-susceptible-to-dental-erosion

HAKISAN/ABFRAKSI (ABFRACTION) – NON-CARIOUS LESION.

Keadaan yang seterusnya adalah merupakan kerosakan pada permukaan gigi pada kawasan leher (cervical) yang terhasil daripada tekanan kompresif dan tensile selama gigi berada pada keadaan melengkung.

Petanda berlakunya permasalahan ini adalah kelainan struktur pada permukaan leher (cervical) gigi yang menyebabkan bentuk pada kawasan tersebut seolah-olah tajam seperti mata pisau. Apabila enamel telah rosak dan musnah, dentin akan lebih terdedah kepada pelbagai jenis masalah yang lain.

Hakisan ini boleh melibatkan sama ada satu gigi atau gigi yang mengalami parafungsi (parafunction) dalam proses membuka atau menutup rahang (occlusion).

Sebenarnya, kerosakan yang berlaku pada kawasan leher (cervical) gigi boleh disebabkan oleh pelbagai faktor atau datang dengan pakej. Misalnya, seseorang itu mungkin kerap kali minum minuman yang berasid dan dalam pada masa yang sama, teknik dan tekanan sewaktu dia menggosok gigi tidak betul. Jadi, perkara ini menyebabkan kerosakan teruk pada gigi seterusnya menyebabkan struktur menjadi lemah dan tidak kukuh.

Gambar 7: Kesan hakisan abfraksi (abfraction) pada leher gigi.
Sumber: www.alemanydental.com/abfraction-what-are-they

GESERAN/GOSOKAN (ATTRITION) – NON-CARIOUS LESION.

Masalah ini pula didefinisikan sebagai kerosakan pada permukaan oklusal gigi disebabkan oleh geseran antara gigi sewaktu proses pengunyahan (mastication). Sebenarnya, keadaan ini merupakan satu keadaan yang normal kerana seiring dengan usia yang semakin meningkat, seseorang itu memang akan mengalami keadaan.

Walaubagaimanapun, keadaan ini menjadi sebagai satu keadaan yang luar daripada biasa apabila disertakan dengan keadaan parafungsi dalam pergerakan rahang bawah (mandibular) seperti dalam keadaan bruxism.

Bruxism dimaksudkan dengan keadaan seseorang yang seringkali menggesek, menekan atau mengacip giginya sama ada ke kiri dan ke kanan, atau dari atas ke bawah. Bruxism juga ditakrifkan sebagai kebiasaan buruk berupa menggesek gigi rahang atas dan rahang bawah, bisa timbul pada masa anak-anak mahupun dewasa. Lazimnya, perbuatan ini dilakukan pada saat tidur pada malam hari tanpa penderita itu sedar bahawa dia menghidap kebiasaan buruk tersebut.

Keadaan ini akan menyebabkan anatomi atau permukaan gigi menjadi rata dan mendedahkan dentin gigi seterusnya akan mengundang kepada komplikasi lain.

Gambar 8: Kesan attrition kepada gigi. Gigi kelihatan rata.
Sumber: https://dentagama.com/news.what-is-the-difference-between-dental-attrition-abfraction-erosion-and-abrasion

AMELOGENESIS IMPERFECTA

Gambar 9: Menunjukkan kes amelogenesis imperfecta.
Sumber: https://medicine.academic.ru/77256/amelogenesis_imperfecta

Jika tadi telah dikongsikan beberapa masalah yang disebabkan oleh bakteria atau geseran. Berbeza pula dengan yang satu ini. Keadaan ini adalah satu masalah yang diwariskan (hereditary) dan terjadi pada kawasan enamel gigi. Keadaan ini juga merupakan kelainan pada permukaan enamel gigi dan terbahagi kepada dua :

  • Enamel hypoplasia.
Gambar 10: Penyakit enamel hypoplasia yang ada pada gigi.
Sumber: https://hubpages.com/health/Enamel-Hypoplasia-Causes-Symptoms-and-Treatment

Masalah ini merujuk kepada keadaan enamel yang mempunyai ketebalan yang sangat tipis, tetapi kadar kalsifikasinya (calcification) tidak berkurang. Keadaan ini disebabkan oleh kecederaan ameloblas sewaktu pertumbuhan enamel.

Keadaan ini dapat dilihat biasanya pada gigi kekal (permanent) hadapan (anterior) dan gigi kelima (first molar) dalam keadaan gigi yang berwarna putih kekuningan atau berwarna coklat. Keadaan ini juga berpotensi untuk menjadi lebih parah (severe) dengan ketiadaan lapisan enamel sama sekali pada permukaan gigi.

  • Enamel hypocalcification.
Gambar 11: Menunjukkan gigi yang terdapat padanya penyakit enamel hypocalcification.
Sumber: https://studiodentaire.com/en/conditions/hypocalcification.php

Masih lagi dalam ruang lingkup permasalahan pada lapisan enamel gigi. Pada keadaan ini, jumlah dan ketebalan enamel adalah normal dan tiada masalah. Namun, enamel yang telah terhasil tidak cukup kuat sehingga menyebabkan ia rapuh dan mudah pecah.

Antara contoh keadaan hipokalsifikasi ini biasa berlaku adalah sewaktu fluorosis. Fluorosis adalah keadaan apabila seseorang mengambil flourida dengan kadar yang berlebihan sewaktu menggosok gigi atau pengambilan dalam air minum. Gigi akan menjadi lemah dan mudah rapuh kerana mengalami porosity dan menampakkan warna seperti bercapuk putih.

PENYAHWARNAAN (DISCOLOURATION).

Keadaan ini didefinisikan sebagai perubahan warna gigi daripada warna yang asal disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor pertama ialah faktor luaran (extrinsic) seperti adanya kalkulus (plak gigi yang mengeras). Faktor kedua ialah faktor dalaman (intrinsic) seperti keadaan yang disebabkan oleh hypoplasia atau hypocalcification seperti yang telah disebutkan sebentar tadi.

Keadaan warna yang berubah adalah dari kelabu kekuningan kepada kelabu kecoklatan atau coklat gelap. Masalah akar yang sudah mati juga boleh menjadi antara salah satu faktor dalaman berlaku kerana terjadinya nekrosis kepada akar dan menyebabkan gigi bertukar warna menjadi gelap.

Nekrosis ialah satu bentuk kecederaan sel yang boleh menyebabkan kematian  pramatang pada tisu hidup melalui proses autolisis. Nekrosis disebabkan oleh faktor luaran seperti jangkitan, toksin atau trauma  yang menyebabkan pencernaan tidak teratur bagi komponen sel.

Gambar 12: Perbezaan gigi yang sihat (cerah) dengan gigi yang ada masalah (gelap).
Sumber: www.freshdentalcare.co.uk/tooth-discolorotaion-causes-and-treatments

KESIMPULAN.

Natijahnya, janganlah kita mengambil enteng tentang masalah gigi ini. Kerana yang disebabkan oleh perkara yang dipandang remeh inilah, aktiviti seharian tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik. Bersyukurlah atas segala nikmat yang telah dicurahkan oleh Allah SWT dengan menjaga anggota badan dengan sebaik mungkin.

Gigi memudahkan kita untuk makan dan berbicara dengan orang lain. Gigi yang baik menghasilkan keyakinan diri yang tinggi dan dapat menyebarkan kebaikan dengan lebih meluas. Apabila ditarik nikmat gigi walau sedikit, pasti kita akan mengeluh, bukan?

Justeru, andai ada sebarang permasalahan yang berkaitan dengan gigi, segeralah dapatkan konsultasi daripada doktor atau pengamal perubatan pergigian yang diiktiraf dan bertauliah. Sediakan payung sebelum hujan kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Wallahu Ta’ala A’lam.

Sumber rujukan:

Operative Dentistry, Preclinical Course For Second Year Students, Faculty of Oral and Dental Medicine, Cairo University, Prof. Dr. Mohamed Riad Farid, Prof. Dr. Mohamed Mahmoud Abdel Mohsen, Prof. Dr. Mohsen Hussein Abi el-Hassan, Prof. Dr. Mai Mahmoud Yousry, Prof. Dr. Inas Hussein Mubarak, Dr. Heba el-Deeb, Dr. Lamina el-Husseiny, Dr. Inas el-Gandour, Dr. Ahmed el-Zoheiry, Dr. Iman el-Sayad, Chapter 2 Carious and Non-Carious Lesions, 2011-2012.

Tanyalah Pakar Tentang Fiqh Dental & Kefahaman Mengenai Isu-isu Rawatan Pergigian Menurut Prinsip Islam dan Kaedah Perubatan Moden, Dr. Wan Noorina, Dr. Nik Suhaila, Dr. Wan Abdul Fattah, Telaga Biru sdn.bhd.

Fiqh Pergigian Menjawab Keraguan Anda & 21 Soal Jawab Mengenai Hukum dan Isu Dalam Rawatan Pergigian, Dr. Aspalilah Alias, Dr. Nurjehan Mohamed Ibrahim, Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar, Cetakan Pertama 2016, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).