Jangan Menghukum Sejarah Uthmaniyah Dengan Kacamata Moden!

0
1072
views

Beberapa hari ni, nampak dekat timeline ada ramai yang menulis pasal Khilafah Uthmaniyah. Ada yang pro, ada yang anti. Perkara yang bagus. Ada perdebatan maksudnya ada kesedaran, lebih elok berbanding tak ambil kisah langsung.

Terbaca kritikan yang mengatakan Uthmaniyah sebagai penjajah, dan orang yang mengenang kejatuhan Uthmaniyah sebagai romantis. Harapnya romantis tu tak termasuk saya lah. Aduh buat apa pun tak kena. Ulas geopolitik kata macai, ulas ekonomi kata dedak, ulas Uthmaniyah pun salah. Aku tak kuat lah ini macam.

Cuma apa yang saya nampak, kesilapan umum yang orang buat semasa mengulas/mengkritik institusi khilafah ialah apa yang dipanggil oleh sejarawan sebagai “anachronistic judgment”, atau “anachronism”. Dalam Bahasa Yunani, “ana” bermaksud melawan manakala “chronos” bermaksud masa/waktu. Jadi secara istilah, ia bermaksud “melawan masa/waktu” atau sesuatu yang tidak sesuai dengan masa/waktu.

Apabila kita kata penguasa Uthmaniyah “kejam”, “zalim”, “penjajah” dan sebagainya, STANDARD siapa yang kita pakai? Memang kalau ikut piawaian hari ini, mereka ini boleh dikategorikan sebagai “warmonger” dan “war criminal”. Tapi ingat, itu kerana pada zaman kita ada Geneva Convention dan UN Charter yang mengutuk peperangan. Kedamaian adalah norma di zaman kita, tapi bukan di zaman sebelum kita.

“Anachronism” merujuk kepada sikap menilai atau menghukum (“judge”) peristiwa dan tokoh sejarah berdasarkan piawaian masa kini. Contoh yang paling ketara ialah tafsiran modenis terhadap nas agama. Orang melakukan kesilapan anachronism apabila melabel rasul dan sahabat sebagai “slave-owner” kerana mereka memiliki hamba. Bagi kita, memiliki hamba itu satu kesalahan besar, sangat tidak berperikemanusiaan. Namun, ia adalah norma bagi masyarakat pada ZAMAN ITU. Kena ingat, ketika itu, Wilberforce dan Lincoln belum lahir lagi, masyarakat dunia belum didedahkan kepada idea “abolition of slavery”.

Bagaimana kita nak menghukum tokoh sejarah pada abad ke-16 sebagai “tak demokratik” sedangkan demokrasi moden hanya lahir selepas Revolusi Perancis tahun 1789? 100 tahun dari sekarang, andai kata cucu cicit kita menemui sistem yang lebih hebat daripada demokrasi, mungkin kita pun akan digelakkan kerana mengamalkan demokrasi. Itulah masalah anachronism, atau dinamakan sebagai “presentism” kerana nilai masa kini (“present-day”) digunakan sebagai kayu ukur dalam semua benda.

Adakah ini cara yang betul untuk membaca dan menilai sejarah? Sebagaimana kita mempunyai beban untuk mematuhi norma di zaman kita, begitu juga dengan tokoh-tokoh sejarah, mereka juga mempunyai beban untuk mematuhi norma di zaman mereka. Ye, Salim dan Sulaiman kejam terhadap musuh mereka, tetapi di zaman mereka, kalau mereka tak kejam, mereka yang akan dikejamkan. Bagaimana kita nak kata Uthmaniyah sebagai “penjajah”, sedangkan kelangsungan hidupnya turut diancam oleh pakatan antara kerajaan Mamluk dan Safawiyah?

Apabila kita suruh menelaah sejarah khilafah, bukannya kita suruh pergi merampas kembali bekas jajahan empayar Uthmaniyah dan mengisytiharkan diri sebagai khalifah seperti yang jihadi-takfiri selalu buat, tapi mencari illah disebalik sebuah institusi yang telah dilaksanakan selama 13 abad oleh kaum Muslimin. Takkan semua cendekiawan dan ulama Islam kolot sangat tak boleh nak memikirkan sistem yang lebih baik dari khilafah, ke ada sebab tertentu mereka mempertahankannya, seperti yang dibuat oleh al-Mawardi dan al-Ghazali?

Tapi sekiranya kita berfikir atas landasan anachronism, kita memang akan ada kecenderungan untuk melihat orang zaman dulu-dulu lebih mundur daripada kita, seolah-olah tradisi dan warisan itu tahyul yang wajib dikuburkan (ayat rebel cewah). Hanya dengan membuang sikap anachronism, kita dapat laku adil terhadap sejarah dan dalam kes ini, memperolehi hikmah disebalik institusi khilafah. Dengan kata lain, kita perlu “contextualizing” sejarah, melihat sesuatu pada konteksnya.

Kenapa Imam al-Mawardi mengarang Al-Ahkam Al-Sultaniyya yang bertujuan untuk menerangkan sistem khilafah? Kita perlu melihat pada konteks zamannya di mana umat Islam diancam oleh kerajaan Fatimiyah dan Qarmatian tetapi penguasa Buyid tidak mampu mengatasinya, maka khalifah diketengahkan sebagai simbol perpaduan. Kenapa Salahuddin al-Ayyubi tidak memansuhkan khilafah, sedangkan beliau mampu? Kita perlu melihat pada konteks zamannya di mana umat Islam yang sedang ditekan oleh tentera Kristian Crusade dan Reconquista.

7 tahun sebelum Uthmaniyah menyerang Mamluk, tentera laut Mamluk telah habis dihancurkan oleh Portugis di Diu, India. Kalau Uthmaniyah tak mengorak langkah, kelangsungan hidup umat dah menjadi persoalan. Tiap kali berlakunya fitnah dan fasad, khilafah menjadi simbol perpaduan yang menyatukan kaum Muslimin di bawah panji yang sama.

Ketiadaan simbol perpaduan menyebabkan umat kita tidak dapat mengambil tindakan bersama (“collective action”) dalam isu-isu yang melibatkan maslahat umat seperti pemeliharan tanah suci al-Quds. Kalau tak suka monarki, kita boleh memodenkan khilafah menjadi something better than OIC (OIC pun ditubuhkan pada 1969 sebagai respon kepada perampasan al-Aqsa oleh Zionis). Fungsi institusi khilafah tidak harus dipandang remeh, dan dibakul sampah hanya kerana terdapat beberapa individu yang korup, lemah dan menyalahguna kuasa.

Itu sebabnya, dalam mengulas sejarah, kebanyakan penulis TP mengambil pendekatan “historicism” yang berlawanan dengan anachronism/presentism. Kami cuba sedaya upaya untuk tidak “judge” tokoh sejarah. Tak seperti kebanyakan hamba politik, kami tak suka membanding-bandingkan pemimpin negara kini dan dulu. Ada tindakan pemimpin yang sesuai untuk hari ini, tapi tak sesuai untuk dulu. Ada tindakan pemimpin yang sesuai untuk dulu, tapi tak sesuai untuk hari ini. Pemimpin yang baik ialah mereka yang buat perkara yang betul pada waktu yang betul, yang sesuai pada zamannya.

Balik kepada soal khalifah, kalau kita hanya “judge” para khalifah era Uthmaniyah berdasarkan “individual deeds” bukannya sumbangan mereka terhadap syiar Islam, maka kita akan menghasilkan kesimpulan khilafah adalah korupsi. Pencinta Uthmaniyah bukanlah semua romantis, mereka tak lupa kekurangan tokoh-tokoh masa silam, tapi pada masa yang sama juga tidak menafikan jasa dan sumbangan mereka.

#jargonalert
#bacadenganfokus