1. Nabi Ibrahim menampilkan contoh terbaik dalam kesungguhan mendoakan anak. Sebelum dikurniakan anak lagi, Nabi Ibrahim berdoa agar dikurniakan anak yang soleh. Firman Allah:

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

“(Nabi Ibrahim berdoa): Wahai Tuhanku, kurniakanlah aku anak yang soleh.” (Surah al-Saffat: 100)

2. Mengapa Nabi Ibrahim bersungguh berdoa agar dikurniakan anak yang soleh? Kerana hanya anak yang soleh mampu memberikan bantuan pada kita setelah kita meninggal. Ini difahami dari hadith Rasulullah yang menegaskan:

إذا ماتَ ابن آدم انْقَطَعَ عنه عَمَلُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاَثةٍ: صَدَقَةٍ جارِيَةٍ، أوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أوْ وَلَدٍ صالحٍ يَدْعُو لهُ

“Apabila meninggalnya anak Adam, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: (1) Sedekah jariah, (2) ilmu yang bermanfaat, serta (3) anak yang soleh yang mendoakan mereka.

3. Barangkali atas dasar itulah Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah agar dikurniakan anak yang soleh. Bagi ibubapa yang belum, sedang atau telah mempunyai zuriat, jangan sesekali berhenti berdoa agar dikurniakan anak yang soleh.

4. Setelah dikurniakan anak, Nabi Ibrahim berterusan berdoa agar dikurniakan anak yang sentiasa mendirikan solat. Ini difahami dari doa Baginda yang direkodkan di dalam al-Quran. Firman Allah:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

“Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang sentiasa mendirikan solar, begitu juga dengan anak-anakku, Wahai Tuhan kami, perkenanlah (doa ini).” (Surah Ibrahim: 40)

5. Perhatikan doa ini. Dihujung doa tersebut, terdapat satu ungkapan yang tidak pernah disebutkan di dalam doa Nabi Ibrahim yang lain (sebagai kata penguat) iaitu ungkapannya:

رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء

“Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa ini!”

Ungakapan yang terakhir ini seolah menggambarkan betapa bersungguhnya Nabi Ibrahim dan amat berharap agar dikurniakan anak yang konsisten mendirikan solat. Begitulah juga kita yang sepatutnya sentiasa berdoa agar dikurniakan anak yang sentiasa menjaga solatnya.

6. Nabi Ibrahim turut dilihat mendoakan anaknya yang berada dalam keadaan yang membimbangkan. Ini didapati daripada doa beliau ketika meninggalkan anaknya Nabi Ismail di Mekah. Firman Allah:

رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُواْ الصَّلاَةَ

“Wahai Tuhan kami, aku telah menempatkan zuriatku di lembah yang tidak mempunyai tumbuhan di sisi RumahMu, Wahai Tuhanku, supaya mereka mendirikan solat.” (Surah Ibrahim: 37)

7. Nabi Ibrahim sedar bahawa anak dan isterinya berada dalam keadaan yang sukar sewaktu di Mekah, lalu dipanjatkan doa agar Allah memelihara mereka. Kebergantungan yang tinggi kepada Allah menjanjikan pulangan yang lebih lumayan.

Pada asalnya, Nabi Ibrahim berdoa agar Allah memelihara keluarganya sahaja. Namun anugerah yang diberikan oleh Allah lebih dari itu. Telaga Zamzam yang ditemui mereka sangat diberkati sehingga dinikmati oleh umat manusia pada hari ini.

8. Dalam apa keadaan sekalipun, jangan pernah jemu berdoa. Doa adalah manifestasi kebergantungan seorang hamba kepada Tuhannya. Saat belum dikuniakan anak, ketika dikurniakan anak, malah ketika anak dalam kesusahan, usah jemu berdoa. Moga Allah memelihara hamba-hambaNya yang berharap kepadaNya.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.