Jang Geum: Doktor Wanita Pertama Dinasti Joseon

596

Namanya telah disebutkan sebanyak 10 kali di dalam Annals of the Joseon Dynasty. Malah, namanya turut tercatat di dalam Yi Dynasty Medical Officer’s Journal. Namun, nama sebenar figura ini hanyalah Jang Geum, dan bukanlah Dae Jang Geum seperti yang dicatatkan.

Gelaran Dae yang dipakai pada hujung namanya membawa maksud ‘Yang Agung’ (The Great) yang mana figura ini merupakan doktor wanita pertama yang berkhidmat untuk Raja Dinasti Joseon pada sekitar awal abad ke-16. Artikel ini membawa anda untuk mengenali siapakah Dae Jang Geum dan sumbangan beliau dalam bidang perubatan Dinasti Joseon.

Sejarah awal

Tiada siapa yang mengetahui akan asal usul sebenar Jang Geum ini. Malah, ada sesetengah ahli sejarah masih memperdebatkan akan kewujudan sebenar wanita bernama Jang Geum ini. Ada yang menyatakannya benar-benar wujud, tetapi ada juga yang menolak kewujudannya.

Namun, disebabkan namanya telah berkali-kali dicatatkan di dalam rekod Annals of the Joseon Dynasty, maka, ahli sejarah berpendapat bahawa wanita ini sebenarnya merupakan salah seorang daripada ahli perubatan istana yang lebih menonjol berbanding ahli perubatan wanita yang lain.

Jang Geum dikatakan lahir pada sekitar abad ke-15 Masehi dan meninggal dunia pada sekitar abad ke-16 Masehi. Peranan yang dimainkan oleh Jang Geum ini sebenarnya adalah sebagai uinyeo (의 녀), iaitu istilah yang digunakan dalam Dinasti Joseon bagi menggambarkan wanita yang telah dilatih untuk menjadi ahli perubatan profesional, sebagai jururawat atau doktor.

Jawatan ini diwujudkan kerana peraturan ketat dalam ajaran Confucian yang melarang lelaki dan perempuan untuk membantu merawat mereka yang berlainan jantina. Ia adalah suatu taboo dalam kalangan masyarakat pada waktu itu, jika seorang ahli perubatan lelaki merawat perempuan dan begitulah sebaliknya. Berkaitan dengan jawatan uinyeo ini, terdapat beberapa peringkat di mana wanita uinyeo ini dikelaskan, bergantung kepada kemahiran yang mereka miliki sewaktu latihan.

Pembentukan jawatan uinyeo

Pembentukan jawatan uinyeo ini sebenarnya adalah idea daripada seorang pegawai kerajaan bernama Heo Do, yang mengetuai sebuah pusat kesihatan bagi rakyat bawahan, iaitu Jesaengwon. Pada tahun 1406, beliau telah mencadangkan kepada Raja Taejong bahawa beberapa perempuan muda yang bijak boleh diberikan latihan sebagai ahli perubatan yang khusus untuk merawat pesakit perempuan.

Pada waktu itu, sistem kasta Joseon terbahagi kepada beberapa peringkat masyarakat. Selain daripada golongan diraja dan kerabatnya, terdapat juga yangban, iaitu golongan terhormat (elit), chungin yang terdiri daripada pedagang, peniaga, penterjemah, sangmin atau rakyat biasa yang membayar cukai (petani, nelayan, buruh) dan chonmin, iaitu kelas paling bawah dalam kasta Joseon yang terdiri daripada hamba, banduan, bomoh dan penghibur. Oleh kerana sistem kasta serta ajaran Confucian yang ketat di Joseon, maka para gadis yang berada dalam kelas chonmin yang biasanya dihantar ke istana untuk menjalani latihan dan ditempatkan di bahagian-bahagian tertentu di istana mengikut kemahiran masing-masing.

Tugas pusat Jesaengwon ini adalah untuk memilih gadis-gadis yang layak untuk menjalani latihan bagi pengajaran akupunktur dan moxibustion (terapi rawatan menggunakan moxa daripada mugwort kering). Hanya pada tahun ke-16 pemerintahan Raja Sejong, bayaran gaji untuk para uinyeo ini telah dinaikkan dengan memasukkan pemberian beras sebanyak dua kali setahun.

Pada tahun 1498, sewaktu pemerintahan Raja Seongjong, sistem uinyeo ini telah dibahagikan kepada tiga kelas berdasarkan kepada gred pendidikan, iaitu “naeuinyeo” (uinyeo bahagian dalaman), “ganbyeong uinyeo” (uinyeo perbidanan) dan “chohak uinyeo” (uinyeo yang baru bermula).

Bagi menarik lebih ramai gadis daripada kasta chonmin untuk menyertai latihan ini, jawatan uinyeo ini telah dibahagikan kepada dua sahaja, sewaktu pemerintahan Raja Yeongjo, sehinggalah berakhirnya Dinasti Joseon pada tahun 1910. Naegukyeoui merupakan ahli perubatan wanita yang bekerja di Naeuiwon di dalam istana, manakala hyeminseo yeoui pula bekerja di Hyeminseo, iaitu klinik kesihatan yang dibiayai oleh pihak kerajaan. Latihan yang mereka jalani sangat intensif dan menyeluruh, dan waktu bekerja juga agak panjang, antara lapan hingga 24 jam sehari.

Sebenarnya, insentif dan fadah paling besar yang diperoleh oleh para gadis chonmin yang menjadi uinyeo ini adalah menaikkan status kelas sosial mereka. Mereka yang bertuah akan berpeluang untuk merawat ahli keluarga kepada golongan elit dan terhormat. Dan, untuk menghargai jasa yang diberikan dalam merawat ahli keluarga ini, mereka akan diberi kenaikan dalam kelas sosial menjadi rakyat biasa (sangmin).

Pada zaman pemerintahan Raja Seongjong, para uinyeo ini dibenarkan untuk menghadiri majlis keramaian di istana. Namun, sewaktu pemerintahan raja seterusnya, iaitu Yeonsangun, baginda telah mengeksploitasi kelebihan yang dimiliki oleh uinyeo untuk melawat rumah golongan elit dengan menggunakan mereka sebagai perisik, dan menghantar mereka ke majlis-majlis perkahwinan golongan elit ini bagi menyiasat sama ada golongan kaya ini mengumpul harta melalui hadiah perkahwinan. Malah, mereka juga diarahkan untuk mempelajari muzik dan membuat persembahan bersama gisaeng bagi menghiburkan tetamu dari luar.

Para uinyeo ini diberikan elaun dan gaji yang tetap, termasuklah pemberian beras sebanyak dua kali setahun. Mereka telah membantu ramai wanita dari pelbagai kelas sosial dalam merawati penyakit dan menyembuhkan mereka. Jang Geum adalah contoh terbaik seorang uinyeo yang memiliki kemahiran dan kebolehan yang tersendiri. Jang Geum bermula dengan latihan sebagai seorang pembantu tukang masak di dapur, dan akhirnya menjadi ahli perubatan wanita diraja yang pertama. Malah, gelaran ‘Dae’ yang diberikan untuknya cukup layak bagi menggambarkan kebijaksanaan dan kecekapannya dalam merawati penyakit raja.

Jang Geum di dalam Annals of the Joseon Dynasty

Nama Jang Geum ini telah disebut dan dicatatkan dalam rekod Annals of the Joseon Dynasty sebagai antara ahli perubatan dan doktor yang membantu merawat penyakit Raja dan Permaisuri sewaktu di istana. Catatan ini adalah sewaktu pemerintahan Raja Jungjong yang mana sebelum Jang Geum, tiada lagi wanita uinyeo yang lain pernah merawat Raja dan Permaisuri secara peribadi.

Di dalam rekod Annals of the Joseon Dynasty, catatan berkaitan Jang Geum ini telah dilakukan mengikut kronologi tarikh di mana berlakunya titah diraja serta peristiwa yang berkaitan dengannya. Catatan rekod Annals of the Joseon Dynasty berkaitan dengan Jang Geum (yang turut disebutkan sebagai uinyeo) ini adalah:

  1. Nama Jang Geum telah disebutkan buat pertama kalinya pada 4 April 1515. Pada waktu ini, sebahagian pegawai istana telah menghantar petisyen kepada Raja Jungjong agar baginda menghukum kesemua uinyeo, termasuklah Jang Geum yang merawat mendiang Permaisuri Janggyeong yang mangkat akibat komplikasi selepas bersalin.
  2. Pada 5 April 1515, bagi menjawab petisyen berkenaan, Raja Jungjong telah bertitah: “Jang Geum layak untuk menerima penghargaan atas peranannya dalam menyambut kelahiran dengan selamat, tetapi beta tidak pernah memberinya apa-apa sehinggalah kini, kerana hal-hal yang lain. Dan sekarang kamu (pegawai istana) mahukan beta untuk menghukumnya kerana Permaisuri telah mangkat, tetapi beta tetap tidak akan melakukannya, sama seperti beta tidak memberinya apa-apa penghargaan.”
  3. Pada 24 September 1522, rekod mencatatkan bahawa Raja Jungjong telah memberi hadiah penghargaan kepada pekerja di bahagian perubatan selepas Bonda (Permaisuri Jeonghyeon) sembuh daripada penyakitnya. Jang Geum (bersama uinyeo yang lain) telah diberikan 10 kampit beras dan 10 kampit kacang.
  4. Pada 8 Januari 1525, selepas sembuh daripada penyakitnya, Raja Jungjong telah bertitah: “Jang Geum ini adalah lebih baik berbanding uinyeo yang lain. Sebagai balasannya, dia diberi kebenaran untuk menjaga Raja.” Rekod catatan ini adalah rekod pertama yang menyebut panggilan ‘Dae’ pada nama Jang Geum.
  5. Pada 6 Mac 1533, Raja Jungjong bertitah mengenai keadaan kesihatan baginda: “Beta telah sembuh daripada penyakit yang menimpa selama berbulan-bulan. Ahli perubatan diraja layak untuk diberi pujian dan hadiah.. Uinyeo Jang Geum dan Kye-Geum masing-masing akan diberikan 15 kampit beras, 15 kampit kacang dan 10 gulung kain.”
  6. Pada 21 Februari 1544, Raja Jungjong telah mengeluarkan perintah: “Beta tidak dapat menjalankan tugas buat waktu yang lama kerana beta mengalami demam. Beberapa hari yang lalu, beta menghadiri seminar bagi membincangkan hal falsafah, namun cuaca sejuk memburukkan lagi keadaan beta. Beta telah mengarahkan ahli perubatan diraja, Park Se-geo dan Hong Chim, juga uinyeo Dae Jang Geum serta yang lain untuk membincangkan mengenai preskripsi ubat bersama pegawai yang bertugas..”
  7. Pada 2 Mac 1544, susulan daripada hal yang sebelumnya, Raja Jungjong yang telah sembuh telah dicatatkan sebagai memberi penghargaan buat ahli perubatan diraja dan kakitangannya. Dae Jang Geum juga telah dikurniakan 5 kampit beras dan kacang. Ini adalah rekod terakhir di mana gelaran ‘Dae’ digabungkan bersama nama Jang Geum di dalam Annals ini.
  8. Pada 9 November 1544, rekod ini telah mencatatkan perbualan di antara menteri atasan istana dengan Jang Geum, berkaitan dengan keadaan kesihatan Raja Jungjong. Jang Geum dicatatkan sebagai berkata: “Tuanku telah tidur pada sekitar tengah malam kelmarin, dan turut tidur sejenak pada waktu subuh. Baginda membuang air kecil, tetapi mengalami sembelit selama lebih kurang tiga hari..”
  9. Pada 10 November 1544, Raja Jungjong telah bertitah (sebagai respons pada saudara mara yang menghantar ucapan selamat secara bertulis kepada baginda): “Beta masih mengalami sembelit. Apa preskripsi ubat yang harus dilakukan masih dibincangkan. Ahli perubatan wanita itu mengetahui semua mengenai keadaan beta,” yang merujuk kepada catatan sebelumnya, yang mana apa yang diberitahu oleh Jang Geum telah dimasukkan sebagai nota tambahan.
  10. Pada 13 November 1544, catatan di dalam Annals of the Joseon Dynasty menyatakan bahawa Raja Jungjong telah beransur sembuh, yang disampaikan buat para menteri yang hadir untuk melawat. Raja Jungjong juga turut memberi penghargaan cuti buat semua pegawai perubatan yang bertugas dengan baginda. Raja Jungjong turut menyatakan bahawa Jang Geum telah melihat keadaan baginda pada waktu pagi, dan memberitahunya bahawa baginda tidak lagi sembelit dan merasa lega. Ini merupakan rekod terakhir yang mencatatkan nama Jang Geum secara terus. 16 hari kemudian, Raja Jungjong akhirnya mangkat.

Catatan-catatan yang tertera di dalam Annals of the Joseon Dynasty ini menunjukkan bahawa Raja Jungjong mengakui akan kebijaksanaan serta kecekapan Jang Geum sebagai satu-satunya ahli perubatan wanita yang merawat baginda bersama ahli perubatan yang lain. Sementara itu, di dalam catatan Yi Dynasty Medical Officer’s Journal pula, Jang Geum digambarkan sebagai seorang ahli perubatan wanita yang sangat dipercayai oleh Raja Jungjong. Malah, baginda juga mempercayai kaedah rawatan oleh Jang Geum yang menggunakan pemilihan makanan tertentu bagi merawat penyakit.

Kesimpulan

Meskipun kehadiran figura bernama Jang Geum ini masih lagi diragui oleh sesetengah ahli sejarah, namun tiada siapa dapat menolak bahawa namanya memang tercatat di dalam rekod Annals of the Joseon Dynasty. Jang Geum adalah simbol seorang wanita yang berdedikasi dan mampu mencapai sehingga tahap ‘Dae’ (Yang Hebat)  hasil usaha serta kesetiaannya terhadap Raja dan Permaisuri.

RUJUKAN

Anonymous. (2010). The “ Real ” Jang Geum. Retrieved October 14, 2019, from https://thekoreanway.wordpress.com/2010/0 4/22/the-real-jang-geum/

Anonymous. (2018). Jang Geum: Mentions in Annals of the Joseon Dynasty. Retrieved October 13, 2019, from https://alchetron.com/Jang-geum

Lee, N. H. (2015). The medical licensing examination (uigwa) and the world of the physician officers (uigwan) in Korea’s Joseon Dynasty. Journal of Educational Evaluation for Health Professions, 12(16), 1–5.

Racoma, B. (2013). Uinyeo, Female Physician in Korea’s Joseon Dynasty. Retrieved October 14, 2019, from https://www.daytranslations.com/blog/uinye o-korean-physician/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.