Jambatan Rom Di Cordoba Yang Dipenuhi Sejarah Pelbagai Tamadun

380

Struktur-struktur purba seringkali menceritakan kepada kita banyak perkara tentang sejarah sesebuah rantau atau negara. Mereka mendedahkan kepada kita apakah bahan-bahan yang terdapat di sana, budaya dan kepercayaan masyarakat setempat, dan jika ada, bangsa manakah yang berpengaruh ke atas bangsa lain dan berdagang dengan masyarakat di kawasan sekitar.

Jambatan Rom di Cordoba, Sepanyol, merupakan contoh utama bagi struktur seumpama ini. Jambatan ini memainkan peranan yang penting dalam sejarah Sepanyol – bermula daripada zaman Dunia Purba, Zaman Pertengahan, hinggalah ke hari ini.

SEJARAH JAMBATAN ROM DAN PERUBAHAN BENTUKNYA

Cordoba pada asalnya merupakan sebuah petempatan Iberia yang sangat dipengaruhi oleh penduduk Carthage. Tentera-tentera Rom, terutama yang berada di bawah kepimpinan panglima merangkap ahli politik yang bernama Metellus, men4kluki kota tersebut pada kurun pertama Sebelum Masihi. Maharaja Augustus menjadikan kota itu sebagai ibu kota wilayah Hispania Ulterior (Sepanyol Jauh) dan ia mengalami perkembangan pesat lantaran kekayaan sumber alamnya.

Tentera-tentera Rom dan panglima mereka

Di bawah arahan Augustus, orang-orang Rom menggantikan jambatan kayu di atas Sungai Guadalquivir yang pada asalnya dibina oleh masyarakat Iberia. Jambatan batu yang baru ini menjadi sebahagian daripada jalan utama yang dikenali sebagai Laluan Augustus (Via Augustus). Struktur ini mempunyai signifikasi strategik dan digunakan oleh pasukan-pasukan legion Rom dalam kebanyakan kempen ketenteraan mereka ke atas penduduk asli Iberia.

Selepas ketumbangan Empayar Rom Barat. Visigoth membangunkan sebuah kerajaan di Iberia. Pada kurun ke-8 Masihi, sebuah pasukan tentera gabungan Arab-Berber menyerang Iberia dan Sepanyol moden diserap menjadi sebahagian daripada Empayar Umayyah. Kemudian, selepas tertubuhnya Empayar Abbasiyah, Cordoba berubah menjadi ibu kota Emiriyah Umayyah dan seterusnya menjadi ibu kota Kekhalifahan Umayyah.

Cordoba berfungsi sebagai ibu kota Muslim-Sepanyol selama beberapa kurun dan kota itu berkembang menjadi kota yang paling besar di Eropah. Ia juga berperanan sebagai pusat kebudayaan yang utama, di mana ilmuwan dan para penulis Muslim mahupun Yahudi lahir dan berkembang di sana.

Menara Calahorra yang bersebelahan dengan Jambatan Rom, Cordoba

Memandangkan jambatan ini tidak diselenggara sepanjang kurun-kurun yang berlalu, maka ia pun menjadi usang. Jambatan ini dibina semula pada 720an oleh Al-Samh ibn Malik al-Khawlani, gabenor Umayyah.

Banyak unsur seni bina Islami ditambahkan ke dalam struktur Rom yang asal. Sama seperti Rom, para pemerintah Muslim seperti Abd al-Rahman III dan Al-Hakam II membawa pasukan tenteranya merentasi jambatan ini dalam kempen-kempen ketenteraan yang dilancarkan ke atas negara-negara Kristian di utara. Malah, musuh-musuh mereka juga sering disalib di jambatan ini.

Tugu Archangel Raphael di Jambatan Rom, Cordoba

Pada kurun ke-17 pula, pihak berkuasa tempatan mendirikan patung St. Raphael, si penaung Cordoba, sebagai usaha memadam kesan-kesan peninggalan Muslim pada jambatan itu. Tugu tersebut diletakkan di tengah-tengah jambatan dan menjadi tempat suci di mana ramai penganut agama Kristian meletakkan lilin dan sembah korban.

Menara Calahorra yang merupakan sebuah gerbang berkubu, kemudiannya ditambahkan oleh Dinasti Berber-Almuwahhidun pada kurun ke-12 demi memperkuatkan lagi pertahanan jambatan.

Tentera Kristian seterusnya menakluki Cordoba dan jambatan tersebut digunakan oleh pasukan tentera mereka dalam kempen-kempen memerangi Muslim. Pada kurun ke-16, masjlis perbandaran tempatan mendirikan sebuah gerbang Renaisans yang dinamakan sebagai Puerta del Puente.

Jambatan ini menjalani pembinaan semula dan pembaikpulihan sebanyak beberapa kali dan pada hari ini, ia menjadi destinasi perlancongan utama. Ia juga pernah digunakan sebagai lokasi penggambaran bagi sebuah episod dalam siri Games of Thrones, Musim ke-5.

SALAH SATU JAMBATAN TERULUNG DUNIA

Jambatan ini berukuran 820 kaki panjang (247m) dan 29 kaki lebar (9m). Daripada 17 buah lengkungan asal yang dibina, hanya 16 buah sahaja yang tinggal lantaran sebuah daripadanya dibuang semasa era Islam. Kebanyakan struktur ini merupakan tinggalan dari era Moor dan kebanyakan rekaan jambatan ini mengambil inspirasi Islami. Pada kurun ke-19, majlis perbandaran tempatan meletakkan batu-batu buntar di sepanjang jambatan.

Menara Calahorra yang telah melindungi jambatan ini bertahun-tahun lamanya, dibina mengikut gaya Islami. Menara ini terdiri daripada dua buah menara yang disambung oleh sebuah menara silinder di tengah-tengahnya, dan ketinggian hampir mencecah 100 kaki (30m). Pada tahun 1369, ia dibaiki oleh Raja Enrique II of Castile demi mempertahankan kota dari s3rangan saudaranya, Pedro I si Kejam.

Puerta del Puente, jambatan Rom pada waktu malam bersama Masjid Katedral Cordoba

Puerta del Puente yang menjadi mercu kebanggaan bandar pula berdiri di penghujung  berlawanan jambatan dan ia menawarkan pemandangan sekitar yang cukup memukau jika pengunjung berdiri di balkoninya.

MENGUNJUNGI JAMBATAN CORDOBA

Mudah untuk diakses, jambatan ini terletak tepat di tengah-tengah bandar bersejarah Cordoba, bandar yang banyak menyimpan bangunan serta monumen orang Moor dan zaman pertengahan. Tiada bayaran dikenakan untuk melalui jambatan tersebut. Namun, sejumlah bayaran dikenakan untuk memasuki muzium yang kini menempatkan Menara Calahorra.

Bayaran kecil juga dikenakan untuk memasuki bilik pameran yang terdapat di dalam Puerta del Puente. Walaupun suasana di jambatan ini mungkin sesak pada musim panas, pengalaman mengunjunginya merupakan suatu perkara yang tidak boleh dilepaskan.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.