Jambatan’ Malaysia Merentas ‘Tembok Besar’ China

0
656
views

1. Jika Tun Razak tidak ke Peking (kini Beijing) pada 31 Mei 1974, masakan wujud pertalian akrab Malaysia-China seperti yang dapat kita lihat hari ini.

2. Paling hebat, tindakan pragmatik Tun Razak menghulurkan salam persahabatan dengan China adalah langkah paling ampuh untuk Malaysia melawan keganasan bersenjata Parti Komunis Malaya yang ketika itu. Tun Razak membina ‘jambatan’ pada zamannya.

3. Sekalipun Darurat tamat pada 1960, anggota PKM masih bersembunyi di hutan-hutan Malaysia, mengganggu gugat ketenteraman awam dan mengancam keselamatan rakyat yang dambakan keamanan. Rakyat masih dalam ketakutan dan bimbang akan risiko keselamatan masing-masing dengan adanya ancaman komunis.

4. Corak peperangan gerila yang digunakan oleh PKM ketika itu sekalipun semakin berkurang dan lemah hasil operasi oleh pasukan keselamatan negara, ia masih berpotensi menggagalkan aktiviti harian rakyat dan rakyat yang mahu bangkit, keluar bekerja dengan perasaan selamat dan tidak diganggu kehidupan dan diancam nyawa mereka semasa keluar bekerja siang dan malam.

5. Ia lebih memberi tekanan kepada struktur sosial tanah air, malah mengancam perpaduan yang baru hendak kembali bertaut 5 tahun selepas berlakunya Tragedi 13 Mei 1969.

7. Ia bukanlah sesuatu rahsia apabila semua mengetahui, kebanyakan pengganas Komunis terdiri dari kaum Cina. Keadaan ini menyebabkan masih kuat wujudnya syak wasangka, prejudis serta perasaan skeptikal dan paranoid kaum lain terhadap kaum Cina di Malaysia ketika itu, terutamanya di Semenanjung Malaysia.

8. Sebelum lawatan bersejarah yang membina jambatan persahabatan Malaysia dan China, Malaysia sendiri seakan memandang sinis kerajaan China kerana mengesyaki bahawa mereka membantu dan menyokong pergerakan PKM di Malaysia.

9. Jambatan mula dibina sebaik sahaja Tun Razak menyandang jawatan Perdana Menteri. Palang Merah China menghantar sejumlah USD200,000 kepada Palang Merah Malaysia khusus bagi membantu mangsa banjir sekitar januari 1971. Ia sangat bertepatan kerana Tun Razak sendiri merupakan presiden kepada persatuan itu.

10. Hubungan kemudiannya diperhebat dan menjadi lebih akrab apabila China muncul sebagai negara ketiga terbesar untuk import Malaysia selepas Amerika dan Kesatuan Soviet pada tahun 1972.

11. Kemuncak kepada perhubungan dua hala yang baik ini adalah pada tahun 1974, dimana selepas dua tahun rundingan demi rundingan, Tun Razak merasakan sudah tiba masanya untuk beliau selaku wakil kerajaan Malaysia untuk membuka seluas-luasnya potensi kerjasama diplomatik antara Malaysia dan dan China melalui lawatan rasmi tiga hari ke China.

12. Lawatan rasmi tiga hari tersebut membabitkan rundingan dua hala antara Malaysia dan China, melibatkan lawatan kepada beberapa tempat bersejarah di China selain melihat sendiri perkembangan dan urustadbir sebuah kerajaan Komunis di China.

13. Namun apa yang lebih penting lagi ialah objektif Tun Razak yang mahu melumpuhkan PKM di Malaysia dengan kerjasama China atau lebih tepat lagi Parti Komunis China atau CCP yang diketuai ketika itu oleh Mao Tse Tung.

14. Seperti ditulis sendiri oleh Tunku Tan Sri Shahriman Tunku Sulaiman, Pegawai Khas Tun Razak di dalam artikel dua sirinya bertajuk ‘Razak Drew Back Bamboo Curtain’ dalam slot NST beliau ‘A Page From My Diaries’ (2016); “Ia perkara yang sensitif untuk dibincangkan” selain sarat dengan risiko serta pelbagai kemungkinan.

15. Pada awalnya, Tun Razak mahu mendapatkan persetujuan dan persefahaman dari Mao supaya China dan Parti Komunis China sendiri tidak lagi membantu PKM di tanah air.

16. Ia sebaliknya tidak dipersetujui oleh Mao kerana beliau sendiri memang mengakui pernah membantu PKM di Malaysia dalam apa-apa cara yang mereka mampu.

17. Namun apa yang memberi keyakinan kepada Tun Razak akan kejayaan rundingan itu ialah jaminan Mao yang menyatakan PKM merupakan masalah dalaman Malaysia dan terpulang pada Malaysia sendiri bagaimana untuk menyelesaikannya. China tidak akan campurtangan dengan hal ehwal dan urusan dalaman Malaysia.

18. Berkat kemahiran rundingan dan kemesraan yang Tun Razak tunjukkan terhadap Mao dan China, akhirnya ‘Tembok Besar’ China telah berjaya direntasi dengan ‘Jambatan’ Malaysia.

19. Mao Tse Tung dalam rundingan tersebut ada mengakui berjumpa dan membincangkan kesinambungan komunis serta perkembangan PKM dengan Chin Peng apabila kali terakhir mereka bertemu di Konferens Bandung pada 1955.

20. Terbukti ketegasan dan kejujuran Tun Razak berjaya mendesak China untuk tidak campur tangan urusan PKM dan menyerahkan urusan memusnahkan saki baki komunis Malaysia pada tangan kerajaan Malaysia sendiri.

21. Kerja baik, jambatan yang dibina oleh Tun Razak menghubungkan silaturrahim Malaysia dan China adalah legasi yang ditinggalkan untuk anaknya Najib Razak teruskan.

22. Hari ini, ada pula segelintir yang menyanjung komunis sebagai nasionalis dan wira negara atas dasar perjuangan mereka melawan penjajah Jepun dan British, sedangkan sejak PKM ditubuhkan mereka mahu mewujudkan republik komunis yang pastinya bakal mengenepikan kedudukan Raja-Raja Melayu. Mungkin jenis ini tidak pernah merasa ada ibu bapa dan keluarga sendiri terkorban kerana dibunuh komunis menyebabkan golongan ini begitu yakin mendabik dada menjadi pensimpati komunis.

23. Nasionalis dan wira negara apa benda jika selepas Malaysia Merdeka, lama juga selepas penjajah tiada, Jepun dan British sudah lama berambus, komunis ini masih degil meletakkan senjata malah terus menerus sehingga lewat 80an sekalipun masih bernafsu melakukan angkara hingga mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa?

Rujukan:

1. Razak drew back ‘Bamboo Curtain’;
https://www.pressreader.com/malaysia/new-straits-times/20161106/282063391531294 

2. Mao was well informed about Malaysia;
https://www.nst.com.my/news/2016/11/186490/mao-was-well-informed-about-malaysia