Moving Forward As One

Jam Terhenti 10 Tahun Lepas Selepas Tsunami Jepun Kembali Berdetik

1,549

Selama hampir 10 tahun, jam yang tergantung di Kuil Fumonji kekal sebagai ingatan tentang apa yang berlaku pada 2011. Jam yang berusia seabad itu berhenti berdetik pada 11 Mac 2011 apabila kawasan timur laut Jepun dilanda gempa bumi dan tsunami yang mengo.rb.ankan lebih 18,000 orang.

Kuil Fumonji antara yang turut terkesan akibat bencana tersebut. Kuil yang terletak beberapa ratus meter dari bandar Yamamoto, Miyagi turut terkesan akibat tsunami dengan tiang-tiang dan bumbung kuil saja yang masih tinggal. Penjaga kuil Bunshun Sakano menemui semula jam tersebut, membersihkannya dan cuba membuatkan ia berfungsi semula tetapi tidak berhasil.

Tetapi pada 13 Februari tahun ini, jam tersebut kembali berfungsi selepas wilayah sama dilanda gempa bumi. Peristiwa ini berlaku beberapa minggu sebelum ulang tahun ke-10 tragedi gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 2011. Ia disedari Sakano keesokan harinya semasa sedang memeriksa sama ada wujud kerosakan pada kuil atau tidak. Jam yang kekal senyap bertahun-tahun selepas dicuci kembali bergerak dan masih dalam keadaan baik semasa artikel ini ditulis.

Bila ditanya tentang hal tersebut oleh akhbar Mainichi Shimbun, Sakano, 58, melihat ia sebagai tanda untuk terus maju ke hadapan dengan keazaman baru. Jam tersebut dibelinya beberapa tahun sebelum tragedi 2011 di sebuah kedai antik dilihat kembali bergerak akibat kekuatan gempa pada Februari lepas. Pembuat jam berkenaan, Seiko percaya jam itu kembali bergerak apabila pendulum jam kembali bergerak akibat kekuatan gempa atau habuk yang terkumpul dalam jam berjaya dikeluarkan.

Jam kuil itu menjadi sumber inspirasi senyap Sakano dalam membantu komuniti tempatan yang terjejas akibat tsunami. Ini termasuk mengumpulkan sukarelawan bantuan dan membuka sebuah kafe untuk penduduk yang kehilangan rumah dalam tragedi berkenaan.

Berikutan situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini termasuk Jepun, semua aktiviti perkumpulan komuniti harus ditangguhkan atau dibawa ke dalam talian. Sakano mula berfikir apakah ini masa terbaik untuk menamatkan semua aktiviti komuniti yang dijalankannya. Tetapi bila dia melihat jam kuil itu kembali berdetik, ia seolah-olah mengingatkannya agar tidak menyerah kalah dan mara ke hadapan

RUJUKAN:

McCurry, J. (2021). Second chance: clock stopped after Japan tsunami starts ticking a decade later. The Guardian.

Sumber gambar: Kahoku News.

Ruangan komen telah ditutup.