Dalam sejarah orang Melayu, wujud satu laluan lama di kawasan pedalaman yang membolehkan mereka bergerak dari pantai barat ke pantai timur Tanah Melayu. Laluan yang dipanggil Jalan Penarikan atau Londar Siam suatu ketika dahulu sibuk dengan pelbagai aktiviti manusia. Ini kerana laluan ini menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa bersejarah semenanjung berkenaan.

Menurut ramai sejarawan, tarikh sebenar pembinaan laluan ini masih lagi tidak diketahui. Tetapi ia dikatakan ada disebut dalam peta-peta yang dihasilkan oleh cendekiawan Yunani terkenal, Ptolemy dalam manuskripnya bertajuk Geography. Bagaimanapun, salinan awal peta beliau yang masih wujud bertarikh akhir abad ke-13. Tetapi pada salinan tersebut, jelas terbukti wujud laluan air merentasi Aurea Chersonesus (terjemahan: Semenanjung Emas), nama lain untuk Semenanjung Tanah Melayu.

Rajah 1: Peta Aurea Chersonesus (Semenanjung Emas) yang disebut Ptolemy dalam bukunya Geography.

Selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugal pada tahun 1511, kerja-kerja membuat carta dan peta terus dipergiatkan oleh pelayar-pelayar Eropah. Menariknya, jika diamati satu peta abad ke-16, Jalan Penarikan turut disertakan dalam peta mereka.

Advertisements

Ini menunjukkan laluan tersebut amat signifikan kepada para pedagang dan menjawab rasa ingin tahu mereka mengapa Tanah Melayu digelar Semenanjung Emas untuk sekian lama. Ini turut menjelaskan mengapa Profesor Paul Wheatley menggelar Jalan Penarikan sebagai Laluan Rentas-Semenanjung dalam bukunya yang berjudul The Golden Khersonese : Studies in the Historical Geography of the Malay Peninsula before A.D. 1500.

Rajah 2: Jalan Penarikan turut disebut dalam peta Melaka semasa era penjajahan Portugal pada abad ke-16.

Jadi, siapa pembina Jalan Penarikan ini? Ada yang berpandangan jalan ini diusahakan oleh pelayar-pelayar Melayu dari Acheh atau Pasai. Ini bagi memudahkan proses pengangkutan barang dagangan dari pantai barat ke pantai timur Tanah Melayu.

Begitupun, ada yang kurang bersetuju dengan pandangan ini. Sebaliknya, ada yang berpandangan jalan ini dibina oleh orang asli suku Semelai atau Proto-Melayu. Kelompok orang asli ini sudah lama menghuni kawasan hutan sepanjang sungai di Pahang dan Negeri Sembilan – sebelum kewujudan Kesultanan Melayu Melaka (KMM).

Tetapi jika ditanya penulis, penulis merasakan ia berkemungkinan dibina oleh Orang Laut. Kelompok ini yang diketahui setia dengan Raja-Raja Melayu telah wujud sejak era Empayar Srivijaya. Mereka dikatakan ‘memandu’ kapal-kapal dagang dari pelabuhan ke Jalan Penarikan sebelum kapal meneruskan perjalanan ke pantai timur. Selain berfungsi sebagai laluan dagang, ia turut berfungsi sebagai laluan logistik dan strategik untuk aktiviti keten.te.raan laut Raja-Raja Melayu ketika itu.

Merangkumi tujuh buah kawasan, laluan ini dikatakan bermula dari Sungai Muar. Dari Sungai Muar, pengguna Jalan Penarikan akan menemui satu lagi sungai iaitu Sungai Jempol. Dari situ, laluan berkenaan akan merentasi sebuah pangkalan yang terletak di Kampung Bukit Laka.

Di sinilah, perahu atau kapal dagang akan ditarik melepasi laluan darat berpaya sehinggalah tiba di satu lagi pangkalan di Sungai Serting. Dari sungai ini, mereka akan melalui dua lagi sungai iaitu Sungai Bera dan Sungai Pahang sebelum tiba di Pekan, Pahang. Selepas itu, para pedagang akan meneruskan perjalanan ke destinasi mereka seterusnya dengan merentasi Laut China Selatan.

Bagi para pedagang, penggunaan Jalan Penarikan dilihat satu tindakan yang bijak. Ini kerana ia memberi mereka akses mudah dan cepat untuk bergerak ke pantai Laut China Selatan. Tetapi paling penting, ia menjamin keselamatan mereka daripada an.ca.man la.n.un yang berleluasa di Selat Melaka, Selat Johor atau Selat Singapura.

Jalan Penarikan telah menjadi saksi konflik keten.te.raan Melaka-Siam sepanjang era KMM. Sejarah Melayu mencatatkan semasa era Sultan Muzaffar Shah, Melaka cuba dilanggar Siam sebanyak dua kali menggunakan Jalan Penarikan. Bagaimanapun, kedua-dua se.ra.ngan tersebut digagalkan oleh Tun Perak.

Selepas bergelar Bendahara, Tun Perak membantu usaha perluasan kuasa KMM semasa era Sultan Mansur Shah. Menariknya, Jalan Penarikan digunakan oleh angkatan pe.ra.ng Melaka untuk menakluk Pahang. Titah penaklukan dikeluarkan oleh Sultan Mansur berikutan Pahang ketika itu ditadbir oleh Maharaja Dewa Sura, sepupu kepada Raja Siam. Selagi mana Pahang di bawah pengaruh Siam, selagi itu kedudukan Melaka teran.c.am oleh kerajaan berkenaan.

Taktik sama turut digunakan untuk usaha penaklukan Kelantan semasa era Sultan Mahmud Shah. Dan tidak seperti apa yang digambarkan dalam filem Hang Tuah, penulis percaya laluan ini mungkin digunakan Laksamana Hang Tuah semasa melarikan Tun Teja ke Melaka. Laluan ini turut digunakan oleh besan Sultan Mahmud untuk menghantar hadiah istana bergerak kepada baginda.

Rajah 3: Gambaran Istana Bergerak Melaka yang dibawa ke Melaka menerusi Jalan Penarikan sebagai hadiah perkahwinan Sultan Mahmud. Sumber: Malaysia: A Pictorial History 1400-2004

Selepas kejatuhan Melaka pada 1511, Jalan Penarikan digunakan oleh rombongan Sultan Melaka untuk berundur ke Pahang. Laluan ini kemudiannya digunakan oleh pejuang-pejuang Johor dan Pahang dalam kempen membebaskan Melaka dari tangan Portugal dari sebelah darat.

Apabila Melaka jatuh ke tangan Belanda pada 1641, Jalan Penarikan semakin kerap digunakan oleh para pedagang ketika itu. Faktor cuaca tidak menentu dan an.ca.man la.n.un mendorong para pedagang dan pelayar memilih Jalan Penarikan yang menjamin laluan mudah dan selamat kepada penggunanya.

Namun begitu, aktiviti pembangunan di kawasan pinggir laut dan muara sungai mengakibatkan air sungai menjadi cetek. Akibatnya, kapal-kapal besar yang selalunya disaksikan penduduk setiap kali menggunakan Jalan Penarikan sudah tidak boleh mudik ke kawasan hulu sungai. Menjelang abad ke-18 dan abad ke-19, laluan ini semakin dilupakan berikutan kewujudan jalan raya dan kenderaan berenjin.

Walaupun dilupakan dek arus kemajuan, itu tidak bermakna sejarah Jalan Penarikan dilupakan begitu sahaja. Ini kerana pada tahun 2017, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (IKSEP) menemukan kubur seorang panglima Siam yang dikebumikan sekitar 1265 di kawasan berkenaan.

Sementara di Kampung Serdang, Kuala Pilah pula, pengkaji sejarah menemui tapak surau lama yang dikatakan dibina pada abad ke-18. Ini berdasarkan penemuan blok-blok batu yang berperanan sebagai tempat mengambil wuduk dan pelantar tiang surau. Ini menunjukkan selain berperanan sebagai laluan dagang dan aktiviti keten.te.raan, ia turut berperanan menyebarluaskan ajaran Islam sekitar Tanah Melayu.

Di samping itu, laluan ini kembali menggamit perhatian selepas kemunculan semula pejuang Pahang, Mat Kilau pada Disember 1969. Mengikut keterangan beliau, Jalan Penarikan digunakan sebagai cara untuk pulang semula ke kampung halaman di Pahang selepas menjadi buruan British selepas bangkit menentang mereka pada akhir abad ke-19. Disebabkan laluan tersebut tidak diketahui oleh British ketika itu, ini membantu Mat Kilau pulang tanpa dikesan mereka.

RUJUKAN

Mohamad, K. A. (2021, 1 Mei). Jalan Penarikan: Terusan Suez Versi Purba Tamadun Melayu.

Mastika. (2021, 22 November). Jalan Penarikan @ Londar Siam – Laluan darat tertua, dari zaman Hang Tuah sehingga Mat Kilau.

Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.