Jalan-Jalan Kuala Lumpur: Sejarah Jalan Raja Chulan

467
views

Pukul 12.00 tengah hari, aku bersama kawan aku Leman keluar rehat selama tiga puluh minit. Biasa lah, bulan puasa. Aku malas nak duduk dalam pejabat jadi aku ajak Leman keluar dari pejabat dan lepak di tingkat lima. Sahaja, berborak. Aku tak minat sangat nak melepak dengan rakan sekerja aku kerana mereka ini agak kuat “membawang”(mengumpat).

Aku dan Leman naik lif ke tingkat lima pejabat. Tingkat lima itu adalah kawasan tempat letak kereta paling atas di kawasan pejabat aku. Aku masa bukan bulan puasa, aku sering lepak di sana kerana permandangannya yang cantik menghadap Bukit Nanas dan Menara KL. Aku dan Leman duduk di tepi Koridor yang disediakan tempat duduk dan duduk melihat permandangan Bukit Nenas yang tumbuh menghijau dan dikatakan sebagai satu-satunya hutan di pertengahan Kuala Lumpur.

Aku berdiri dan melihat bawah. Kelihatan berberapa kereta melalui jalan yang ke arah Pavillion dan Petaling Street.

“Kau buat apa tu? Jatuh nanti” Tegur Leman.

Aku hanya menangguk dan duduk semula ketempat duduk itu. Aku beritahu Leman yang aku sebenarnya sedang melihat jalan di hadapan pejabat aku dan dia bekerja. Aku ada juga membuat kajian sejarah tentang Jalan Raja Chulan, iaitu Jalan dihadapan tempat kerjaku. Aku bertanya kepada Leman Kenapa nama Jalan ini Raja Chulan dan siapa Raja Chulan ni? Tak ada pun dalam senarai Raja Kerajaan Negeri? Leman tak dapat menjawab soalan aku dan aku mula berkongsi ilmu dengan dia siapakah Raja Chulan ini.

Yang Amat Mulia Raja Sir Chulan ibni Almarhum Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah II Habibullah (1 Julai 1869 – 10 April 1933) merupakan seorang kerabat diraja negeri Perak.

Dilahirkan di Tanjung Brambang, Raja Chulan merupakan anak kedua Almarhum Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah II Habibullah yang dibuang negeri ke Pulau Seychelles bersama isterinya, Raja Perempuan Ampuan Besar Raja Tipah binti Almarhum Paduka Seri Sultan Shahabuddin Riayat Shah Saifullah. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Tinggi Melaka, dan kemudiannya di Institusi Raffles, Singapura.

Pada tahun 1896, Raja Chulan dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah Selama sehingga tahun 1897. Beliau merupakan tokoh yang bertanggungjawab untuk membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang terdiri daripada negeri Selangor, negeri Perak, Pahang dan Negeri Sembilan pada 1 Julai 1896. Pada tahun 1911, Raja Chulan bersara daripada perkhidmatan awam selepas menyandang beberapa jawatan pentadbiran yang agak penting.

Pada 1 Disember 1920, Raja Chulan dilantik sebagai Raja Di-Hilir Perak yang merupakan tempat ketiga dalam pewarisan takhta Kesultanan Perak. Empat tahun kemudian, pada tahun 1924, beliau dilantik sebagai ketua orang Melayu  yang pertama dalam Majlis Persekutuan. Beliau memainkan peranan yang utama dalam perbincangan-perbincangan Majlis untuk memperdebatkan dengan bersungguh-sungguh terhadap kepentingan orang Melayu, dan menyokong cadang-cadangan untuk membahagikan semula kuasa pentadbiran yang kemudian itu dipusatkan di Kuala Lumpur kepada negeri-negeri persekutuan.

Raja Chulan berkahwin dengan Raja Kecil Puteh Kalsum, anak perempuan Sultan Sir Idris Murshid al-Azzam Shah Rahmatullah. Mereka dikurniakan dua orang anak lelaki Raja Zainal Azman Shah, dan 4 orang anak perempuan. Beliau meninggal dunia pada tahun 1933 atas komplikasi jantung. Beliau berusia 64 tahun.

Leman agak terkejut dengan penerangan aku dan dia berkata ” Jadi Raja Chulan ini ada juga jasa beliau. Tapi sebelum ni nama jalan ini apa? Istimewa ke jalan ini?

Aku menceritakan kepada Leman dahulu jalan ini dikatakan dibina sekitar tahun 1910-an. Jalan ini adalah jalan utama yang menghubungkan KL lama (Petaling Street) dan Kawasan lombong bijih timah di Ampang. Jalan ini dahulu dikatakan hanya satu lorong dan berpasir. Jalan ini mula ditarkan selepas berberapa jalan utama di Kuala Lumpur mula bertar. Jalan ini juga berfungsi sebagai jalan ke rumah-rumah pembesar British di Bukit Ceylon dan juga jalan yang menghubungkan Mahkamah Persekutuan British di Bukit Mahkamah (Sekarang Menara Maybank).

Sebelum nama Jalan ini di namakan Jalan Raja Chulan, ia digelar sebagai Weld Road. Kelebihan jalan ini dahulu ialah ada sebuah Sekolah Inggeris di jalan tersebut (Sekarang sudah didirikan Bangunan Bousted dan Wisma Goldhill), sebuah Gereja Anglican iaitu St. Andrews Church di tepi Weld Drive (Sekarang Persiaran Raja Chulan) kawasan rumah Inggeris dan kawasan kedai di Weld Alley (kini Lorong Raja Chulan) dan pintu masuk bukit rumah-rumah kerajaan Inggeris kerana ia dekat dengan dua bukit di KL iaitu Bukit Nanas dan Bukit Ceylon.

Ia juga adalah tempat pasaraya dan kawasan kolam renang yang dikenali sebagai Weld Supermarket dan Weld Public Pool. Kini, kolam renang dan Supermarket sudah diruntuhkan dan dijadikan tempat bangunan kerja dan Plaza Menara Weld dibina di antara Simpang Raja Chulan dan Jalan P. Ramlee. Nama Jalan Weld diubah menjadi Jalan Raja Chulan pada tahun 1982 untuk mengenangkan jasa beliau.

Kini, Jalan Raja Chulan menjadi kawasan tempat pejabat dan menara yang tinggi khas untuk pejabat dan syarikat menyewa bangunan tersebut. Ada tiga Hotel di tepi jalan tersebut iaitu Holiday Inn, Hotel Istana dan The Lodge resort. Jalan ini juga adalah salah satu jalan utama Kuala Lumpur untuk pengunjung melalui kawasan China Town dan juga Dataran Merdeka. Ia ada 3 Jalan kecil iaitu Weld Alley (Lorong Raja Chulan) Weld Drive (Persiaran Raja Chulan) dan Hicks Road (Changkat Raja Chulan). Jadi, kalau sesiapa nak datang ke KL, nak tengok kawasan sejarah Jalan ini (sebab ada kedai-kedai lama yang sudah ditinggalkan, di hadapan Shell) dan juga ia agak dekat dengan Menara KL dan juga kawasan hijau Kuala Lumpur. Cuba lah ziarah. Tak panjang sangat jalan ni. Lebih kurang 3.5 km.

Jalan ini bermula dari Simpang Jalan Bukit Bintang di Pavillion dan berakhir di Persimpangan Jalan Tun Perak berhampiran Menara Maybank. Jalan ini adalah jalan yang agak sibuk kerana jalan ini adalah kawasan bangunan dan kawasan “business district” di Kuala Lumpur. Malah ia berhampiran dengan Bukit Bintang, KLCC, Menara KL dan Bandar Lama KL (Petaling Street) iaitu kawasan perlancongan utama di Kuala Lumpur ini.

Aku menghabiskan penerangan aku dan Leman kelihatan kagum dengan sejarah Jalan yang dia juga lalui setiap hari tanpa mengetahui mengapakah nama itu terpapar di salah satu jalan utama di Kuala Lumpur. Aku melihat jam dan ia berberapa minit ke setengah jam. Aku mengajak Leman masuk semula ke tempat kerja. Aduh.. Penatnya nak kerja… Tapi kena cari rezeki untuk teruskan hidup…

#SelimThe3rd