Jalan-Jalan Kuala Lumpur: Sejarah Jalan Changkat Raja Chulan

0
242
views

Dear Diary…

Alhamdulillah aku sihat sepenuhnya, selepas aku melalui pengalaman yang mendebarkan aku sampai aku demam . Aku tak akan cerita pasal pengalaman itu lagi cukuplah ia sebagai sejarah. Lampau yang aku ingin lupakan. Aku datang kerja seperti biasa pada awal pagi. Naik LRT seperti biasa dan lalu di jalan Raja Chulan untuk ke pejabat aku, semasa aku dalam perjalanan nak ke pejabat aku terlihat ada seorang yang berdiri di atas kerusi taman di tepi Jalan ini bersebelahan dengan Bukit Nanas, pakaiannya compang-camping dan kotor, baju terkoyak dan berlubang, rambutnya putih kusut-masai, seluar khaki bewarna biru yang kotor dengan kesan tompok-tompok hitam dan berkaki ayam. Dia mempunyai misai bewarna outih dan amat serabut wajahnya.

Reaksi aku, disebabkan trauma aku masa penemuan “pak cik” ketika di Jalan Bangsar, aku terus berjalan tanpa menoleh ke “orang pelik itu”. Berberapa langkah aku berjalan meninggalkan orang itu, dia terus bersuara dengan nada yang kuat sehingga mengejutkan orang sekeliling.

“Tuan-tuan dan puan-puan!

Jalan ini dahulu adalah jalan utama dalam sejarah KL. Dahulu bukit Nanas ini bukan namanya Bukit Nanas, tetapi Bukit Weld! Jalan Changkat Raja Chulan adalah cabang jalan utama kerana ia dibina di lereng  bukit Ceylon! Jalan itu adalah jalan Hicks! Jalan dinamakan sempena nama FB Hicks, seorang Setiausaha pertanian Selangor dahulu!”

Eh, kejap dia kata Changkat Raja Chulan? Aku tak ingat apa lagi dia cakap selepas itu namun aku rasa agak menarik untuk aku melihat sejarah Changkat Raja Chulan, lokasi jalan ini hanya sebelah sahaja dengan pejabat aku dan berhadapan dengan Pejabat KWSP di kawasan itu. Aku sebenarnya tidak tahu dangat pasal sejarah Jalan Changkat Raja Chulan ini. Jadi sebelum aku masuk kerja, aku mencari banyak tentang sejarah Jalan ini dan sememangnya susah nak cari kerana tidak banyak sejarah sangat tentang jalan ini. Namun aku ada pernah membaca berberapa sumber seperti

Kuala Lumpur Street Names (2015) Mariana Isa, Maganjeet Kaur dan
Insider’s Kuala Lumpur (2011) Lam Seng Fatt

Membuatkan aku untuk mengetahui lebih tentang sejarah Jalan ini dan aku terangkan sedikit tentang Sejarah Jalan ini serta apa yang ada kini.

Hicks Road atau nama sekarangnya Changkat Raja Chulan lokasinya berada di pertengahan Kuala Lumpur dan ia adalah salah satu sub-road Jalan Raja Chulan. Jalan ini pendek sahaja. Lebih kurang 375 meter dan ia menjadi pintu masuk jalan Ceylon dan Changkat Bukit Bintang. Ia digelar Changkat kerana jalan ia menaik sedikit seperti mendaki bukit atau lebih spesifik maksud Changkat ialah bahasa Inggeris kepada “Small Hill” atau “Heights” (Macam contoh anda nampak bandar Putera Heights, kalau anda terjemahkan kepada Bahasa Melayu ia bermaksud Changkat Putera).

Mengikut pendapat penduduk tempatan, bukit di atas jalan ini dipanggil Hicks Heights atau Hicks Gate. Bukit ini kecil sahaja. Ia setinggi 15-23 meter atas paras laut. Seperti saya kata tadi, bukit ini ialah pintu masuk dua jalan dan juga dua bukit iaitu Bukit Bintang di kiri dan Bukit Ceylon di kanan.  Puncak bukit ini di penghujung jalan yang ada simpang empat. Kini Bukit kecil ini digelar Bukit Chulan. (Ada sesetengah yang berkata sedemikian untuk memudahkan nama tempat).

Waqaf Saham

Nama lama jalan ini ialah Hicks Road. Siapa Hicks ni? Beliau merupakan pengasas gula-gula Hacks ke? Bukan, nama penuh beliau ialah F.B. Hicks (Bukan Face Book ya) lahir pada tahun 1900. beliau adalah setiausaha Selangor Planters and Assosiation with Skinner and Parry yang membuka ladang kopi di kawasan Selangor. Jalan ini dahulunya ialah kawasan kedai dan kebanyakannya kedai menjual kopi dan di kawasan Hicks/Weld Lane (Lorong Raja Chulan) dahulunya kawasan ladang kopi dibawah syarikat ini.

Lokasinya juga agak strategik kerana disebelah Jalan ini, ada kawasan rumah pembesar British dan juga kawasan rumah pekerja di bahagian bawah bukit kecil ini. Ia menjadi salah satu pusat menjual dan mengeksport kopi utama di Selangor ketika itu. Selepas Merdeka, syarikat ini ditutup dan ladang kopi diruntuhkan dan menjadi kawasan rumah kedai. Tetapi sekitar zaman 80-an banyak kedai dirobohkan kecuali tinggalan kecil di kawasan tepi Jalan Raja Chulan berhampiran Jalan ini. Nama Jalan ini diubah menjadi Changkat Raja Chulan pada tahun yang sama nama Jalan Raja Chulan di ubah.(1982)

Kini, jalan ini sidah tiada kedai kopi lagi, malah menjadi kawasan bangunan pejabat,hotel dan komdominium. Jalan ini menjadi jalan alternatif pengguna untuk ke Bukit Bintang dan Changkat Bukit Bintang. Ia tidak seaktif seperti Changkat Bukit Bintang yang banyak hiburan, jalan ini lebih kepada kawasan “parking” kereta untuk pengunjung tempatan dan pelancong untuk ke Bukit Bintang. Nak ziarah? Boleh sahaja. Ambil jalan Raja Chulan sampai ke Bangunan Ambank, sebelah Ambank ada Plaza See Hoy Chan sebelah Plaza ini ada sebuah jalan kecil yang naik bukit. Itulah Jalan Changkat Raja Chulan.

Jalan ini bermula dari Plaza See Hoy Chan dan Hotel Maple Suite dan berakhir di Kondo Raja Chulan dan juga Menara VIDA (Aku tak tahulah bangunan itu milik Dato Vida ke tak) dan juga simpang empat. Jika anda ke kiri anda akan ke Changkat Bukit Bintang, jika anda ke kanan anda akan ke Jalan Ceylon, jika anda lurus anda akan ke Jalan Sahabat dan Jika anda ke kiri turun bukit anda akan ke Lorong Ceylon.

Jalan ini juga akan ditempatkan menara atau kondo Pavillion yang akan dibina disebelah KWSP dan kawasan ini juga adalah kawasan tempat letak kereta percuma di jalan ini. Namun ia tidak banyak dan jika waktu bekerja amat mustahil untuk meletak kereta disini melainkan anda datang dan “parking” di jalan ini pukul 6-6.30 pagi. Ia tiada tempat bayar tiket letak kereta jadi ia afa percuma (aku tidak pasti sekarang macam mana) sebab aku dah tak bawa kereta ke tempat kerja aku).

Inilah hasil bacaan aku tentang jalan ini. Sebenarnya baru aku tahu sejarah jalan ini. Lama aku kerja kat sini dan aku selalu juga lalu jalan ini untuk makan, tidak sangka rupanya jalan ini banyak sejarahnya. Selain menjadi kawasan kedai di mana tepi jalan ini sebelum semua kedai diruntuhkan dan dibina bangunan dan menara yang gah dan tinggi di kawasan ini.

Malah jalan ini juga adalah salah satu jalan utama ke rumah pembesar British dan pegawai kerajaan terletak disebelah jalan ini. Aku ingat nak jumpa dengan lelaki tepi jalan tadi nak bertanya lebih pasal sejarah jalan Changkat Raja Chulan ini jadi aku turun sekejap dan pergi ke tempat di mana lelaki itu tadi.

Aku melihat dia dibawa ke dalam lori polis. Siap digari lagi, ramai orang tengok kettika dia digari. Dia kelihatan tenang dan berdiam diri sambil tengok bawah. Aku bertanya salah seorang yang tengok insiden itu, dia kata sebab dia membuat bising dan cuba “menyerang” orang yang berjalan di situ. Oh, patutlah. Mungkin dia adalah orang kurang waras namun aku sendiri agak kagum dengan dia, segila-gila dia, dia tahu jugak sejarah jalan yang kebanyakan yang waras macam kita ni tak tahu.

Tapi disebabkan kelakuannya bagi aku lebih baik dia ditangkap dan diberi rawatan untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Aku hanya melihat sekejap dia dimasukkan dalam lori polis dan aku pulang ke pejabat kerana masa untuk bekerja. Melihat situasi itu, aku sedar bahawa manusia ini sebenarnya ada kelebihan namun banyak kekurangan dia.

Seperti orang itu, walaupun dia kurang waras, tetapi dia tahu tentang sejarah jalan ini yang kita sendiri tidak ramai tahu. Sama juga seperti aku, aku ada kerja yang baik, tetapi aku baru tahu tentang sejarah nama jalan ini sungguhpun lebih dari setahun aku kerja sini. Namun, ia bukan alasan untuk aku melebihkan kekurangan, aku perlu menimba ilmu untuk aku menguraangkan kekurangan aku dan meningkatkan kelebihan aku. Memang benarlah dalam Islam kita diajar untuk menimba ilmu supaya kita boleh mengharungi kehidupan yang fana ini dengan ilmu yang ada ini.