Jalan-Jalan Kuala Lumpur: Sejarah Jalan Bangsar

677
views

Dear Diary…

Aku belari agak pantas. Lama juga aku dating sampai aku tak sedar yang aku kena pulang sebelum pukul 12 tengah Malam. Sekarang sudah pukul 11.40 malam. Dari Jalan TAR (Tuanku Abdul Rahman), aku kena bergegas ke Stesen LRT Bandaraya untuk pulang ke rumah aku kat Subang Jaya.

Tunang aku dah balik dengan budak-budak rumahnya. Kereta semua penuh dengan wanita. 5 orang termasuk tunang aku. Gila aku yang lelaki ni nak masuk sekali? Dah lah bulan puasa, nanti kena tahan dengan Jabatan Agama Islam, habis aku. Jadi aku pun naiklah LRT dengan sendiri. Biar aku susah, asalkan tunang aku selamat sampai ke rumah. Lelaki perlu berkorban untuk wanita, Barulah “gentlemen”.

Sempat juga aku sampai kat stesen LRT Bandaraya ini. Selepas membayar tiket, aku menunggu ketibaan tren seterusnya. Aku perlu turun ke Masjid Jamek dan tukar tren LRT ke arah Subang Jaya.

Pukul 11.50 malam, sampai juga aku dekat stesen Masjid Jamek. Aku tengok dekat papan tanda LED, ketibaan tren ke Putra Heights (yang melalui Stesen Subang Jaya) pukul 11.52 Malam. Tren terakhir. Aku tidak tahu nak terangkan kat kaU orang semua bertapa pantasnya aku lari menuruni eskelator dan tangga. Aku rasakan diri aku seperti Adiwira “The Flash” untuk menaiki tren terakhir ini.

Aku sampai bawah beberapa saat sebelum pintu tren tutup dan aku terus duduk di atas kerusi tren menarik nafas lega. Dalam tren itu tidak ramai orang pun. Kelihatan dua tiga orang. Seorang main handphonenya, seorang lagi membaca buku yang berbahasa Cina, lagi seorang ialah pakcik yang memakai jaket hitam, bertopi leper bewarna kelabu, memegang tongkat kayu yang kelihatan lama, seluar jeans biru cair tenung ke hadapan ke araah pintu tren tanpa melayan gelagat aku.

Aku betulkan badan aku dan duduk seperti biasa. Aku serius mengantuk. Dah la nak sahur, kerja pula. Rasa menyesal pula dating tadi, cari baju kahwin sampai lupa masa. Kalau aku tinggal dekat KL tidak apa juga. Masa aku dah mula nak melayan mata..

Pak cik itu menegur aku. Terkejut aku dibuatnya. Pak cik yang aku kata tadi yang pakai jaket hitam, topi leper kelabu dan pegang tongkat. Aku sememangnya agak janggal nak melayan pak cik itu. Sebab aku ini agak kurang selesa melayan orang yang tidak dikenali. Aku hanya membalas teguran pak cik itu dengan menjawab salam. Pak cik itu beritahu aku yang dahulu Stesen Kuala Lumpur ini (kerana LRT melalui kawasan stesen Kuala Lumpur sebelum ke KL Sentral) adalah perhentian di KL suatu ketika dahulu. Aku menangguk setuju sungguhpun aku tahu tentang sejarah Stesen Kuala Lumpur ini.

Selepas LRT ini melintasi KL Sentral iaitu perhentian KL yang baru, LRT melalui kawasan Bangsar. Masa itu, pak cik itu mula menceritakan tentang sejarah Bangsar. Ini adalah kali pertama aku mengetahui sejarah Bangsar dan mengapa ia dipanggil nama sedemikian. Aku akan ceritakan apa yang pak cik itu bagitahu aku…

Mengikut kata pak cik, pada asalnya jalan ini dibina pada awal abad ke-19. Pengasas jalan ini iaitu Haji Abdullah Hukum yang membina jalan ini dengan tujuan membuat laluan ke Bandar Kuala Lumpur lebih cepat. Dahulu Jalan ini seluas satu basikal sahaja yang boleh melalui jalan ini.

Jalan ini dikatakan bermula di perkampungan Haji Abdullah Hukum dan berakhir di kawasan Stesen Kuala Lumpur. Jalan ini sememangnya agak terkenal kerana perkampungan Melayu di kawasan itu membolehkan penghuninya terus ke pusat bandar dengan lebih mudah. Pembesaran jalan ini giat dijalankan selepas berberapa tahun Haji Abdullah Hukum meninggal dunia.

Pada sekitar 1930-an, jalan ini mula dibesarkan dan terbinanya Pekan Bangsa (kini Bangsar). Dikatakan pekan ini adalah salah satu pekan pertama di mana tiga Bangsa utama Negara kita( Melayu Cina dan India) tinggal dalam satu kawasan.

Disebabkan itu jalan ini digelar Jalan Bangsa. Menunjukkan simbol sifat kemasyarakatan berlainan bangsa dalam satu kawasan dan dijadikan kawasan perniagaan utama di Kuala Lumpur. Setelah dari itu, Pekan Bangsa dan Jalan Bangsa mula diperbesarkan dan dinamakan Jalan Bangsar sempena tiga bangsa utama (Bangsa+Besar=Bangsar) Besar dalam konteks ini bermaksud bangsa-bangsa yang utama atau besar di negara ini. Panjag Jalan ini lebih kurang 2.6 km dari Jalan Pantai Baharu hingga Jalan Rakyat (Jalan Travers)

Kini, Jalan Bangsar ini menjadi salah satu jalan utama ke Kuala Lumpur (KL) yang agak sesak kerana pekan Bangsar berdekatan dengan bandar KL serta Damansara yang sedang pesat membangun. Jalan ini juga berdekatan dengan KL Sentral dan juga Brickfields dan Jalan Maarof serta Pantai Dalam. Stesen LRT Bangsar dan Abdullah Hukum dibina diatas jalan ini dan pada akhir tahun ini KTM akan ada stesen Eco City yang dibina dibawah LRT Abdullah Hukum.

Pak cik itu menyambung ceritanya, kita patut berterima kasih kepada Allahyarham Abdullah Hukum  kerana bekerja sama membangunkan pekan dan jalan ini serta menyatukan semua bangsa dalam satu pekan di KL ini. Kini, Bangsar menjadi salah satu “pintu gerbang” Kuala Lumpur dan di atas jalan ini ada 2 LRT Bangsar dan LRT Abdullah Hukum serta pada akhir tahun ini, akan ada stesen komuter Eco-City di bawah stesen LRT Abdullah Hukum.

Aku agak terkejut dengan penerangan pak cik itu sebab aku sendiri tidak tahu tentang sejarah Jalan Bangsar ini. Rupa-rupanya Jalan Bangsar ini adalah simbol penyatuan bangsa-bangsa di Malaysia. Aku bertanya pak cik itu “Macam mana pak cik tahu semua ini?”

Pak cik itu menjawab: “Pak Cik tinggal kat kawasan Bangsar ini dah lama. Malah pak cik adalah salah seorang yang melalui jalan Bangsar ketika ia masih besar satu basikal sahaja lorongnya”

Aku mengangguk. Patutlah… Aik? Aku dah pelik, biar betul kata pak cik ni? Bukan ke dia kata jalan Bangsar ini dibina pada awal abad ke 19? Aku baru nak bertanya tiba-tiba pak cik itu terjatuhkan sesuatu. Pak cik itu mahu ambil tetapi aku dengan sukarelanya mengambil barang yang terjatuh di atas lantai tren itu.

Aku melihat barang yang terjatuh itu, ia sebuah loket disalut emas. Aku melihat d itengah loket itu terdapat gambar lama orang muda, seorang wanita dan kanak-kanak kecil. Aku mendongak ke atas untuk bertanya dengan pak cik itu tentang loket….

Dia sudah tiada di sisi aku. Malah loket yang aku pegang tadi juga hilang. Aku pandang kiri dan kanan melihat dua orang tadi yang sibuk main handphone dan membaca buku memandang aku dengan penuh kehairanan. Aku sememangnya kaku. Tak tahu nak kata apa..

Ding! Ding! Stesen berikutnya, Taman Jaya! Next Station, Taman Jaya!

Tren mengumumkan stesen berbunyi. Aku terus bangun dan apabila tren berhenti dan membuka pintu, aku terus langkah seribu terus keluar dari stesen LRT itu. Sampai kat luar aku mencari Grab untuk pulang ke rumah ku. Lantaklah kena bayar mahal. Janji aku sampai ke rumah dan nak tidur.

Badan aku dah mula demam dan panas, peluh sejuk mula menitik, belum pernah aku lalui perkara ghaib sebegini. Nampaknya aku ada alasan yang bagus untuk minta MC untuk esok… Mana Grab ni Arghh… aku nak balik….