Jalan-Jalan Kuala Lumpur: Jalan Raja Bot

0
167
views

Dear Diary…

Aku nak berbuka puasa kat Jalan Raja Bot ni ada sebabnya. Aku nak jumpa salah seorang penduduk di sana nama dia Pak Cik Mael. Dia ni sahabat baik arwah atuk aku. Dia ada buka kedai makan di tepi Jalan Raja Bot ini. Aku nak tanya sikit pasal salah satu sejarah penting di Jalan Raja Bot ini. Ya, kau orang boleh cakap ada internet, tapi aku lebih suka mencari sumber dengan bertanya dengan orang, lepas tu baca buku dan lepas tu aku baca internet. Aku suka buat kerja susah dulu. Sebab bagi aku, susah-susah dulu senang-senang kemudian. Kan?\

Alahai, trafik jam betul tempat ni. Aku dapat naik bas, tapi tersangkut di jalan Yap Kwan Seng. Jauh lagi ni. Sekarang dah pukul 5.30 petang, aku tak tahu lah macam mana aku nak sampai ni. Aku duduk diam sahaja di dalam bas sambil lihat sekeliling, aku lihat banyak betul nama jalan di Kuala Lumpur ini. Selama untuk segmen sejarah Kuala Lumpur ni, aku dah ceritakan 8 jalan di Kuala Lumpur ini. Aku terfikir juga, kalau aku terangkan satu-satu jalan di KL ini, mahu beratus hari aku kena buat, malah aku pun rasa tak larat kot nak buat satu persatu. Tapi itulah, aku belum nak rancang bila aku akan berhenti menulis pasal sejarah jalan ini. Nantilah aku fikir sebab aku tengah fikir macam mana aku nak sampai ni? Nak buka puasa dan nak menemu ramah Pak Mael. Tapi tak apa lah, aku kat Yap Kwan Seng ke Jalan Raja Muda Abdul Aziz tak adalah jauh sangat…

Aku sempat tidur di dalam bas sebelum aku dikejutkan oleh pemandu bas. “Bangun! Bangun! Dah sampai dah” katanya. Aku agak “blur” dan mula lihat sekeliling di tingkap bas. Terkejut juga aku sebab dah ada dekat satu kawasan yang pelik. Memanglah pelik sebab aku ada dekat kawasan ada tiang jambatan tinggi, berdekatan dengan jalan besar dan bangunan seperti stesen keretapi. Aku terus kenal kawasan ini. Aku bergegas keluar dari bas dan aku sekarang ada di kawasan perhentian bas Klang! Alahai. Sedihnya aku. Aku tengok jam, lagi berberapa minit nak berbuka. Terkejut dan kecewa aku pun melutut di atas dan terus buat drama macam cerita “orang putih” dan jerit “tidak!”.

“Aduh, adik sesat ke? Nak balik mana?” Pak cik bas itu menyampuk.

Aku jawab aku nak balik Kampung Bahru, sebab nak buka puasa kat sana. Pak cik bas itu ajak aku untuk pergi makan di warung berdekatan di sana. Aku pun ikut sahaja lah sebab masa pun dah dekat. Sementara tunggu berbuka tu. Pak cik bas itu tanya pasal aku tinggal Kampung Bahru ke? Aku jawab tak, aku duduk Subang Jaya, aku nak pergi Kampung Bahru nak buka puasa di Jalan Raja Bot, nak jumpa orang nak tanya pasal sejarah jalan Raja Bot ini. Pak cik bas itu terus kata yang membuatkan aku ingat sampai bila-bila

“Oh! Pak cik tahu sejarah Jalan Raja Bot!!”

Alangkah terujanya aku, aku bertanyakan pak cik bas itu apa sejarah Jalan Raja Bot ini? Pak cik ni cerita kat aku dan ini semua apa yang dia cerita kat aku, aku siap tulis kat buku supaya aku tidak lupa. Oh, ada ditambah sedikit ayat aku sebab aku lebih suka membuat ayat lebih santai.

Dalam sejarah Melayu dahulu, ada salah seorang nama Raja yang agak terkenal dan kini namanya ada di Kuala Lumpur yang namanya Jalan Raja Bot. Aik? Sapa raja Bot? Dia nakhoda kapal ke? Ke orang pertama cipta motor bot? Ke dia dengan raja Laut (bab yang lepas) ni adik beradik? Jawapannya salah beb.

Namanya ialah Raja Bot bin Raja Jumaat. Dilahirkan di Lukut pada tahun 1849. Sejak kecil lagi, beliau dimasukkan ke sekolah Tahfiz dan menjadi salah satu anak Raja yang menghafal Al Quran dan memahami Tafsiran Al-Quran dengan sempurna. Beliau amat suka membaca dan mempelajari ilmu agama. Kalau kau orang tanya adakah Raja Bot dan Raja Laut tu adik beradik disebabkan Bot dan Laut.. Secara Teknikalnya, ya. Cuma ibunya, Senai adalah puteri Sultan Muhammad, iaitu anak kepada Raja Laut. Haa, Raja Bot dan Raja Laut adalah sepupu dua pupu lah..atau lebih senang, Raja Laut ialah Anak angkat Raja Jumaat.

Selepas kemangkatan Raja Jumaat pada tahun 1864, Beliau dilantik menjadi Raja di Lukut. Ketika zaman pemerintahannya, beliau membuka banyak madrasah dan memperkenalkan sistem Undang-undang Islam secara total di Lukut dan banyak sekolah Madrasah dibuka di sana. Namun, berlaku perebutan kuasa pembesar Sungai Ujong dan Sungai Raya.

Perebutan kuasa itu menjadi masalah besar dan mengganggu sistem pentadbiran Lukut menyebabkan bisnes perdagangan Bijih Timah Terenggganu terjejas, ditambah lagi dengan kejatuhan harga Bijih Timah sedunia pada tahun 1876 dan Lukut berada dalam kadar kemiskinan yang tinggi. Disebabkan itu, berlakunya pemberontakan untuk menjatuhkan Raja Bot. Disebabkan itu, British campur tangan dan menyelesaikan masalah itu, dengan syarat, Lukut akan berada di genggaman mereka (Ketika itu Negeri Sembilan dibawah naungan Britsh.)

Waqaf Saham

Disebabkan itu, beliau melepaskan jawatannya dan Lukut jatuh di tangan Britsh pada tahun 1882. Beliau adalah Raja Lukut Terakhir memerintah Lukut. Beliau berpindah ke Selangor dan menjadi Penghulu Selangor dan salah satu dari Ahli Mesyuarat Negeri Selangor dan juga Ahli Kuala Lumpur Sanitary Board bersama Saudaranya, Raja Laut. Beliau meninggal dunia pada usia 67 Tahun pada tahun 1916.

Jalan Raja Bot dinamakan selepas kemangkatannya di Kuala Lumpur. Seperti Jalan Raja Alang, ia adalah kawasan pasar siang dan malam di mana peniaga akan berniaga di sana. Ia menjadi kawasan penduduk Kuala Lumpur, khususnya penduduk Kampung Baru membeli barang keperluan dan baju di sana. Ia juga sebahagian jalan di kawasan Kampung Baru.

Kini, jalan ini masih ada, cuma ia agak kecil jika nak bandingkan dengan Jalan Raja Alang. Pasar siang dan malam masih aktif di sepanjang jalan ini dan ia adalah salah satu jalan yang menghubungkan Jalan Raja Abdullah, Kampung Bahru ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Jadi, nak ziarah? Masuk kawasan Kampung Bahru, korang lepas dari simpang Jalan Raja Alang, lurus je. Selepas itu ada satu jalan kecil yang ditulis Jalan Raja Bot.

Kau oorang boleh parker di situ dan membeli belah. Jalan ini juga adalah salah satu jalan di Kampung Bahru dan sebahagian dari Chow Kit. Jalan ini bermula di Jalan Raja Abdullah dan berakhir di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Jalan ini agak senang nak lihat sebab anda perlu melepasi simpang Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Abdullah sehingga nampak sahaja simpang empat di Jalan Raja Abdullah dan Jalan Raja Uda. Lokasinya adalah di simpang kiri simpang empat adalah Jalan Raja Bot. Macam saya kata, ia kecil sahaja jalanya. Dahulu ada sungai melintasi permulaan jalan ini namun ditutup untuk mengelakkan masalah banjir.

Aku macam biasalah, terus bertanya, macam mana pak cik tahu semua ini? Dia jawab dengan tenang.

“Sebab pak cik dulu memang hidup sezaman dengan Raja Bot dulu.”

Aku sememangnya dah “cuak”. Dalam hati aku berkata sendiri, biar betul aku kena macam kes Bangsar ini lagi. Aku memang dah terpaku duduk, tak tahu nak buat apa, nak lari kaki tak nak bergerak pula. Aku dah mula rasa sedikit menggigil dan terus membisu, pen aku pegang semakin erat tapi tak boleh nak lepas. Mata aku memang pandang ke bawah la.

Lepas tu azan maghrib berkumandang.

” Haha, pak cik bergurau sahaja lah. Jom kita makan” ketawa pak cik itu.

Choi! Aku kena “game”. Nak mencarut takut kena ban dengan editor The Patriots pulak.

#SelimThe3rd

Rujukan Lanjut:

Kota-Kota Melayu oleh Abdul Halim Nasir

A History Of Selangor oleh J.M Gullick

Sejarah Sistem Pendidikan Islam Di Kuala Lumpur oleh Mohd Nizam Sahad dan Che Zarrina binti Sa’a. Universiti Malaya.

Kuala Lumpur Street names oleh Mariana Isa dan Maganjeet Kaut