Jalan-Jalan Kuala Lumpur: Asal Usul Nama Persiaran Maybank

1785
views

Persiaran Maybank adalah salah satu jalan kecil di Kuala Lumpur. Lokasinya berdekatan dengan Gereja St. Andrews, Bukit Nanas, Bukit Ceylon dan Masjid Jamek di Jalan Raja Chulan. Persiaran Maybank mendapat nama kerana di penghujung jalan ini terletaknya menara Maybank. Namun pada masa lampau, jalan ini tidak dinamakan Persiaran Maybank.

Ia adalah salah satu bukit di pertengahan Kuala Lumpur (KL) yang dinamakan Weld Hill di mana pada awal 1940-an bukit ini menjadi ladang kopi. Kawasan ladang kopi ini amat berdekatan dengan Java Street (Jalan Tun Perak) dan Petaling Street (Jalan Petaling). Kawasan ladang kopi ini bermula di bukit ini sampai ke Hicks Road (Changkat Raja Chulan) dan Weld Lane (Lorong Raja Chulan). Namun sekitar tahun 1950-an ladang kopi ini ditutup dan bukit ini dijadikan sebagai salah satu pusat pentadbiran perundangan dan jalan mula dibina.

Pada tahun 1960-an, pentadbiran perundangan ini ditukarkan menjadi Mahkhamah Utama di KL dan bukit ini dikenali sebagai Bukit Mahkamah atau Court Hill. Bukit ini menjadi salah satu mercu di Kuala Lumpur kerana pemandangan dari bukit ini menampakkan seluruh kawasan KL lama dan Masjid Jamek. Beberapa tahun selepas itu, Mahkamah itu diruntuhkan kerana dipindah ke Jalan Raja berdekatan dengan Masjid Jamek dan bukit ini menjadi “kosong” untuk beberapa ketika. Pada awal tahun 1980, pelan pembinaan menara tertinggi dibina di atas bukit ini.

Puncak bukit ini dipilih sebagai tapak pembinaan menara ini dan ia siap sepenuhnya pada tahun 1988. Menara ini dinamakan menara Maybank. Menara yang setinggi sekitar 300 meter dan mempunyai 50 tingkat menjadi menara tertinggi di Malaysia pada ketika itu. Jalan ini mula dibesarkan dan dinamakan sebagai Persiaran Maybank. Malah Bangunan Bursa Saham Kuala Lumpur dibina di kaki bukit persiaran ini juga.

Pembinaan menara Maybank dan Bursa Saham ini menjadikan Jalan Raja Chulan dan kawasan lain mula membangun dengan menara-menara pencakar langit dan bangunan pejabat yang baru. Seperti Menara KL yang siap sepenuhnya pada tahun 1995 di Bukit Nanas, banyak kawasan pejabat mula dibina di sekeliling bukit ini seperti bangunan Telekom di lereng bukit dan Menara Olympia di kaki bukit. Mahkamah ini (kini ada sesetengah orang ramai menggelarkan bukit ini Bukit Maybank).

Kini, Persiaran Maybank masih lagi wujud. Ia merupakan pintu masuk untuk pekerja masuk ke menara Maybank, Bursa Saham Kuala Lumpur dan Menara Telekom. Panjang jalan ini berukuran sekitar 150 meter dan jalannya menaik seperti mendaki bukit dan dipuncaknya terletak menara Maybank. Sekitar akhir 2000-an, papan tanda “Court Hill” masih ada dipacakkan di sebelah pintu masuk Maybank namun ia sudah tidak wujud.

Asbab jalan ini digelar sebagai persiaran tidak dapat dipastikan namun pada pendapat aku, jalan ini dipanggil persiaran kerana ramai yang akan melalui jalan ini tanpa berhenti. Dalam bahasa Inggeris, persiaran bermaksud drive dan selalunya perkataan drive yang digunakan di jalan-jalan di luar negara bermaksud “jalan pendek yang digunakan untuk jalan tambahan ke kawasan tertentu atau sebagai jalan pintas baru,” contohnya seseorang pemandu dari jalan Raja Chulan yang ingin ke Jalan Pudu, boleh melalui Persiaran Maybank untuk ke Jalan Pudu untuk melangkah trafik jam. Ini adalah kemungkinan mengapa jalan ini dipanggil persiaran.

Persiaran Maybank ini bermula dari simpang Jalan Raja Chulan berhampiran Menara Olympia dan berakhir di simpang pintu masuk Maybank dan Jalan Pudu Lama. Jalan ini hanya ada tiga bangunan sahaja iaitu pintu masuk Bursa Saham, Maybank dan Telekom dan tempat letak kereta ada disediakan berdekatan dengan puncak bukit.  Di situ juga terdapat kafeteria Maybank yang agak besar dan macam-macam jenis makanan dan minuman dijual di kafeteria ini.