Bidang kimia merupakan antara teras kepada disiplin ilmu sains moden hari ini. Tanpa ilmu kimia, apa saja aspek kehidupan moden yang dinikmati hari ini tidak akan muncul. Dan walaupun ada yang cuba menafikan elemen saintifik dalam kehidupan hari ini termasuk dakwaan sains itu sihir, ia menjadi disiplin ilmu yang utama terima kasih kepada seorang tokoh cendekiawan Islam era Abbasiyyah. Individu yang dimaksudkan ialah Jabir ibn Hayyan.

Biografi

Jabir atau nama sebenarnya Abdullah Jabir bin Hayyan bin Abdullah al-Azdi dikatakan lahir di Tus, Khurasan pada tahun 721 Masihi. Namun, tidak diketahui beliau berbangsa apa kerana terdapat teori yang berbeza. Ada yang mendakwa Jabir berbangsa Arab dari kabilah Azdi dan ada juga mendakwa beliau merupakan penganut agama Sabian. Dalam sesetengah sumber, bapanya ialah seorang ahli kimia bernama Hayyan al-Azdi.

Semasa pihak Abbasiyyah melancarkan kempen menggulingkan kerajaan Bani Umayyah, Hayyan dihantar ke Khurasan untuk mengumpul sokongan orang ramai. Namun, nasib tidak menyebelahinya apabila dia ditahan pihak berkuasa dan dihukum m4ti kerana kesalahan khianat.

Untuk mengelak nasib sama menimpa mereka, keluarganya berpindah ke Yaman dan mendapat perlindungan kabilah Azdi. Jabir dikatakan membesar di situ dan mempelajari pelbagai disiplin ilmu seperti al-Quran, matematik dan kimia. Tidak mustahil, profesion Hayyan sebagai ahli kimia menarik minat anaknya itu untuk mempelopori bidang sama yang disertai bapanya itu.

Selepas kerajaan Bani Abbasiyyah bertapak menerusi perlantikan khalifah pertama mereka iaitu Abu Abbas al-Saffah, Jabir berhijrah ke Kufah, Iraq. Beliau memulakan kariernya sebagai pakar perubatan di bawah naungan salah sebuah keluarga bangsawan yang paling berpengaruh ketika itu iaitu keluarga al-Barmaki. Ini berlaku semasa era pemerintahan Harun al-Rasyid dengan Yahya bin Khalid al-Barmaki atau Jaafar bin Yahya al-Barmaki memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Namun, nasib keluarga al-Barmaki berubah apabila mereka tidak lagi mendapat kepercayaan Harun al-Rashid pada tahun 803. Walaupun ada cuba mengaitkan kejatuhan mereka dengan satu skandal membabitkan Jaafar dengan kekanda tiri Harun al-Rashid iaitu Abbasa, hakikatnya terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kejatuhan mereka.

Antara punca kejatuhan mereka ialah terlalu bermewah-mewah, insiden seorang ketua pemb3rontak bernama Yahya bin Abdullah al-Talibi yang melepaskan diri dengan bantuan Fadl ibn Yahya dan tindakan Fadl membawa 20,000 t3ntera ke Baghdad.

Akibat daripada semua ini, Harun al-Rashid kemudiannya memerintahkan Jaafar dihukum m4ti dengan semua anggota keluarga al-Barmaki dihukum p3njara dengan semua harta mereka dirampas.

Satu-satunya ahli keluarga Barmaki yang terselamat ialah adik Yahya, Muhammad kerana diberi pengecualian hukuman oleh baginda. Jabir turut menerima nasib sama apabila beliau ditahan oleh pihak berkuasa dan diletakkan dalam tahanan rumah di Kufah sehingga ke akhir hayatnya. Beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 815 semasa era pemerintahan putera Harun al-Rashid, al-Ma’mun.

Sumbangan

Menurut beberapa penulis, Jabir dikatakan seorang penulis yang prolifik dengan menulis 300 buah buku falsafah, 1,300 buah buku berkenaan peralatan mekanikal dan ratusan buah buku dalam bidang kimia. Kebanyakan buku ini ditulis dalam Bahasa Arab dan diletakkan di bawah namanya.

Bagaimanapun, daripada semua jumlah yang dinyatakan, sesetengah cendekiawan dan sejarawan berpandangan 500 buah kitab ini merupakan tambahan yang dibuat sama ada oleh pelajar-pelajarnya atau cendekiawan-cendekiawan yang mengikut aliran kimia yang dibawa oleh Jabir. Antara kitab yang benar-benar dinisbahkan kepada beliau ialah Kitab al-Rahma al-Kabir (Kitab Kasih Sayang), Kitab al-Sabe’en (Kitab 70) dan Kitab al-Kimya (Kitab Kimia).

Rajah 1: Terjemahan Kitab al-Kimya dalam Bahasa Perancis. Kredit: https://muslimheritage.com/alchemy-to-chemistry/

Kebanyakan hasil kerja beliau diterjemah dalam banyak bahasa Eropah termasuk Bahasa Latin, Bahasa Perancis dan Bahasa Jerman. Kitab-kitab Jabir yang telah diterjemahkan ini menjadi rujukan universiti-universiti Eropah selama beberapa abad dan turut mempengaruhi pembangunan ilmu kimia moden hari ini.

Rajah 2: Contoh peralatan dan eksperimen yang dijalankan oleh Jabir.

Salah satu input yang diperkenalkannya dalam bidang kimia ialah pengenalan kaedah eksperimen dalam bidang kimia dan penciptaan beberapa proses kimia yang kini lumrah dalam bidang berkenaan. Proses-proses ini ialah penghabluran, pengkalsinan, pemejalwapan, sintesis asid-asid seperti asid hidroklorik dan asid asetik serta penyulingan.

Menerusi proses penyulingan, Jabir menunjukkan terdapat perbezaan penyulingan langsung dengan penyulingan tidak langsung menggunakan dua bekas berbeza. Dari proses inilah, beliau merupakan orang pertama yang berhipotesis air tulen hanya boleh diperolehi dengan mengaplikasikan proses penyulingan.

Dari segi bahan pula, Jabir membahagikan bahan kepada tiga kategori. Pertama, air iaitu bahan yang mempengaruhi proses penguapan pada proses pemanasan, seperti pada bahan camphor (contoh kapur barus), arsenik, amonium klorida, dan sulfur. Kedua, benda logam iaitu bahan yang dapat ditempa, berkilat, menghasilkan suara seperti pada emas, perak, timah, tembaga dan besi. Ketiga, batuan (bahan campuran) iaitu bahan mineral yang tidak dapat ditempa dan dapat ditukar menjadi serbuk seperti batu dan arang.

Melalui pengalaman eksperimen dan pengetahuannya yang ditimba selama bertahun-tahun, Jabir dapat menggunakan semua elemen berkenaan dalam menerangkan ciri-ciri fizikal bahan kimia. Contohnya, beliau menerangkan ciri fizikal sinabar iaitu sejenis merkurik sulfida semula jadi, berbentuk hablur berwarna merah atau perang kemerahan. Jabir turut menerangkan bagaimana proses penghasilan sinabar dapat dibuat menerusi kenyataan ini:

“Untuk menukar raksa kepada suatu pepejal merah (raksa sulfida), ambil satu kaca bulat dan masukkan raksa ke dalamnya. Kemudian, ambil pasu tanah liat dan masukkan ke dalamnya sedikit debu kuning belerang.

Letakkan bekas kaca ke atas belerang dan tambahkan belerang di tepinya sampai kepada bibir bekas kaca. Letakkan radas ini di dalam relau untuk satu malam, dengan pemanasan yang perlahan, dan selepas menutup mulut pasu itu. Sekarang keluarkannya dan anda akan dapati raksa akan menjadi suatu batu merah berwarna darah. Ia adalah benda yang ahli sains panggil sinabar. ”

Menariknya, terdapat unsur falsafah dalam ilmu kimia iaitu al-mizan. Menurut Jabir, ia merupakan kunci utama bukan saja dalam memahami struktur logam tetapi juga aspek-aspek kehidupan. Konsep keseimbangan ini memainkan peranan penting dalam ilmu kimia yang dipeloporinya.

Keseimbangan bukan sahaja merupakan suatu neraca fizik seperti mengukur berat tetapi juga merupakan keseimbangan dalam kandungan empat sifat itu. Dengan kata lain, keseimbangan di antara prinsip belerang dan prinsip raksa. Jabir menegaskan bahawa seiap logam mempunyai dua aspek iaitu zahir dan batin, dua sifatnya terjelma pada zahir dan dua pada batin. Dengan ini, keseimbangan juga perlu pada dua aspek berkenaan.

Beliau memberi contoh emas, logam yang paling sempurna pada zahirnya ialah panas dan lembap tetapi dari segi batinnya ialah sejuk dan kering. Sifat perak pula bersifat sebaliknya. Oleh kerana nisbah sifat yang betul perlu membawa kepada keseimbangan, Jabir telah membahagikan setiap sifat kepada empat darjah dan setiap darjah kepada tujuh bahagian.

Ini memberikan 28 bahagian kesemuanya dengan setiap bahagian sepadan dengan satu huruf bahasa Arab. Empat sifat ini juga wujud dalam logam menurut siri 1, 3, 5 dan 8 yang mempunyai nilai hasil tambah 17. Angka ini merupakan kunci untuk memahami struktur alam. Sifat hakiki seperti ini mencirikan sesuatu logam, tidak kira apa jenis bentuk dan rupanya. Penukaran ciri ini di dalam sesuatu logam bermakna penukaran logam ini.

Beliau menambah, “Semua logam sebenarnya terciri daipada belerang dan raksa. Mereka berbeza antara satu sama lain kerana perbezaan sifat yang disebabkan oleh perbezaan belerang yang selanjutnya disebabkan oleh perubahan di dalam bumi dan pendedahannya kepada panas matahari yang bergerak dalam bulatannya.

Apabila raksa dan belerang bergabung untuk membentuk satu benda tunggal, wujud hipotesis suatu benda baharu akan terbentuk. Sebenarnya tidak. Kedua-dua raksa dan belerang masih tetap mengekalkan sifat asalnya. Apa yang berlaku ialah bahagian-bahagian unsur itu telah dikecilkan dan menjadi sangat hampir antara satu sama lain sehinggakan pada mata kasar, ia kelihatan seragam.

Sekiranya seorang itu dapat mereka suatu radas yang boleh mengasingkan bahagian belerang dan bahagian raksa, maka akan ternyata bahawa masing-masing adalah kekal dalam bentuk asal dan tidak bertukar atau berubah. Bahkan, kami mengatakan penukaran seperti ini bersifat mustahil boleh dibuat oleh ahli-ahli falsafah.”

Jabir turut memberi banyak sumbangan dalam bidang pemurnian logam, penyediaan baja, campuran kimia tekstil celupan, cecair penyamakan kulit binatang dan kain lapisan penghalang kebocoran air. Keunggulannya sebagai ahli kimia dapat dilihat seperti kegunaan magnesium dioksida dalam industri kaca dan penggunaan tawas dalam membantu menstabilkan warna.

Di samping itu, Jabir juga merupakan arkitek di sebalik pembuatan kertas yang tidak mudah terbakar dan penghasilan satu saduran lapisan yang mengelakkan besi daripada berkarat dan penyelidikan sejenis cecair yang dikenali sebagai soda kaustik Algatron. Kertas tidak mudah terbakar ini berkemungkinan dihasilkan di kilang kertas milik keluarga al-Barmaki memandangkan mereka merupakan orang pertama yang menubuhkan kilang kertas di Timur Tengah.

Legasi

Input besar yang dibawa Jabir merupakan sesuatu yang hebat kepada ilmu kimia. Ini kerana satu masa dahulu, ia dipandang hina oleh masyarakat Arab sebagai sesuatu yang bersifat dongengan semata-mata. Malah, ia menjadi batu asas kepada lebih banyak penemuan dalam bidang kimia yang dibuat oleh cendekiawan-cendekiawan lain seperti al-Kindi dan Abu’l Qasim al-Iraqi. Impaknya dianggap setaraf dengan ahli-ahli kimia lain seperti Robert Boyle dan Antoine Lavoisier.

Selain itu, nama Jabir turut wujud dalam dunia fiksyen. Contohnya dalam komik Marvel Comics berkenaan organisasi perisikan SHIELD, SHIELD pada asalnya dipanggil Brotherhood of the Shield (Persaudaraan Perisai) dengan sejarah yang panjang bermula dari era Mesir Purba.

Antara pemimpin organisasi itu yang dipetik oleh penulis Jonathan Hickman dalam komik berkenaan ialah Nikola Tesla, Leonardo da Vinci, Galileo Galilei, Zhang Heng dan Jabir sendiri. Sementara di sebelah DC pula, watak polymath terkenal abad ke-10 iaitu al-Jabr dikatakan diinspirasi daripada biografi tokoh kimia terkenal itu.

RUJUKAN:

  1. Tbakhi, Abdelghani dan S Amr, Samir. (2007). Jabir ibn Hayyan. Annals of Saudi Medicine. https://www.researchgate.net/publication/45260574_Jabir_ibn_Hayyan
  2. Hazazi, Ahmad. (2010). Jabir Ibnu Hayyan : Bapa Kimia dari Dunia Islam. Majalah Sains. https://www.majalahsains.com/jabir-ibnu-hayyan-bapa-kimia-dari-dunia-islam/
  3. Kumpulan Artikel Agama Islam 2015. (2015). http://azizharjinesei2015oktober.blogspot.com/2015/10/sumbangan-jabir-ibnu-hayyan-dalam.html

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.