Moving Forward As One

Ivermectin: Rawatan Ajaib Melawan Jangkitan COVID-19?

2,545

Seperti yang pembaca sudah sedia maklum, setakat ini dunia masih bergelut menentang penyebaran dan jangkitan COVID-19. Walaupun sesetengah bahagian dunia sudah menunjukkan penambah-baikan yang ketara dalam konteks jumlah kes kumulatif dan kadar kematian (terima kasih atas usaha vaksinasi yang tuntas dan terbukti berkesan), situasi yang sama tidak terlihat di blok-blok dunia yang lain.

Sekiranya kita memerhatikan negara dunia ketiga seperti Malaysia, kita kelihatan terkial-kial, diburukkan lagi dengan keranapan struktur sosial dan ekonomi yang hampir menjadi realiti, lantaran kelelahan para petugas kesihatan dan juga perspektif rakyat marhaen melihat keadaan yang tidak bertambah baik walaupun perintah berkurung dan sekatan ekonomi yang berpanjangan telah dikuatkuasakan. Sekadar menambah minyak ke dalam api, sikap sambil lewa ahli politik dan golongan 20 teratas dalam membendung penyebaran COVID-19 juga amatlah mengecewakan.

Walaupun vaksin merupakan cara yang terbaik setakat ini (yang telah dibuktikan oleh ujian klinikal) dalam usaha melawan wabak COVID-19, sebagai langkah pencegahan, fungsi vaksin tampak terhad sekiranya pesakit yang belum sempat divaksin dijangkiti virus tersebut.

Rawatan akut untuk jangkitan COVID-19 yang telah dibuktikan oleh ujian klinikal dilihat sangat terbatas dari segi keberkesanannya, lebih-lebih lagi dalam usaha merawat jangkitan COVID-19 yang bertahap lebih kritikal. Beberapa rawatan, tahniah atas usaha bersama saintis dalam ujian RECOVERY seperti steroid dan juga ubat antivirus Remdesivir merupakan antara hasil kajian yang didapati sedikit sebanyak membantu memendekkan tempoh rawatan pesakit COVID-19 walaupun kadar kematian tidak menunjukkan banyak perbezaan dalam jangka masa panjang.

Ini telah membawa kepada penyebaran usaha merawat jangkitan coronavirus secara rawak, contohnya menggunakan antibodi monoklon (monoclonal antibody) seperti tocilizumab di Ireland dan juga  semestinya, nama rawatan yang paling sensasi sejak kebelakangan ini sehingga ia dipolitikkan di persidangan parlimen; Ivermectin.

Secara ringkas, Ivermectin merupakan ubat anti-parasit spektrum-luas (broad-spectrum antiparasitic agent) yang  kerap digunakan dalam melawat jangkitan parasit seperti scabies dan strongyloidosis. Walaupun dimomokkan oleh kenyataan bahawa Ivermectin merupakan ubat khusus untuk haiwan, ini tidak benar sama sekali kerana Ivermectin acapkali digunakan untuk merawat jangkitan parasit seperti yang telah dijelaskan di atas sehingga ia dimasukkan dalam senarai “Ubat-Ubatan Penting WHO” sejak didaftarkan pada 1981.

Penggunaan Ivermectin dalam rawatan jangkitan akut pneumonia (jangkitan paru-paru) COVID mula mendapat perhatian dunia sejak penerbitan kajian Caly et al (masih dalam tempoh kajian setakat waktu artikel ini ditulis) yang mendakwa bahawa Ivermectin dalam dos yang tinggi mampu untuk menghentikan replikasi SARS-CoV-2 dalam ujian in-vitro (di dalam tabung uji).

Penemuan separa masak ini membuktikan manusia sanggup melakukan apa sahaja apabila terdesak kerana kita boleh melihat tindakan beberapa negara Amerika Latin yang segera meluluskan penggunaan Ivermectin secara membuta tuli, sepertimana yang berlaku di Peru, Bolivia dan Guatemala. Walaupun diberi amaran oleh pakar perubatan sedunia bahawa keberkesanan Ivermectin belum terbukti secara kukuh, lumrah manusia yang lebih gemar akan penyelesaian ajaib melonjakkan lagi populariti Ivermectin sehingga penjualannya berleluasa di dalam pasaran gelap di sekitar kawasan Amerika Latin.

Menariknya, beberapa hari selepas artikel terbitan Caly et al dilancarkan, ia ditarik balik atas alasan kajiannya masih belum sesuai untuk peer review (kajian semula oleh sekumpulan saintis yang lain).

Sementara itu, PAHO (Organisasi Kesihatan Pan-Amerika) turut mengeluarkan terbitan am mereka yang membantah penggunaan ivermectin dalam praktis klinikal atas sebab keselamatan dan keberkasanan ivermectin yang belum sepenuhnya teruji dalam merawat jangkitan COVID-19.8

Laporan awal dalam kajian asal Caly et al turut menimbulkan beberapa persoalan; pertamanya dos yang digunakan di dalam laporan berdasarkan kajian in-vitro iaitu 5µM adalah mustahil untuk dicapai di dalam kajian in-vivo (dalam organisma hidup) memandangkan kepekatan plasma tertinggi yang pernah direkodkan di dalam mana-mana organisma hidup hanyalah 0.28µM.

Ini hanya berjaya dicapai dengan menggunakan dos sebanyak 1700µg/kg (lebih kurang 9 kali lebih tinggi dari dos selamat yang dicadangkan oleh FDA). Secara mudahnya, ini boleh diibaratkan seperti melemaskan bakteria di dalam piring petri dengan sesudu alkohol dalam kepekatan yang tinggi, atau menelan pencuci tangan beralkohol seperti yang dicadangkan oleh Presiden Trump.

Selain itu, persoalan seterusnya ialah berkenaan ujian pembolehubah rawak (randomised-controlled trial, RCT) yang telah dijalankan setakat Februari 2021 menunjukkan bahawa ujian-ujian tersebut kebanyakannya melibatkan kumpulan populasi yang terlalu rambang, di samping penerimaan rawatan eksperimentasi lain dalam ujikaji yang sepatutnya hanya ditumpukan kepada fungsi ivermectin.

Seperti yang kita pelajari dalam asas kelas sains di sekolah rendah, kualiti pembolehubah perlu dijaga sebaik mungkin bagi menghasilkan keputusan kajian yang memuaskan. Terdapat juga RCT yang belum didaftarkan, memburukkan lagi keadaan untuk mengelakkan hasil kajian yang berat sebelah, tambahan lagi, menyukarkan usaha dalam pengumpulan data secara global di kalangan para saintis.10

Kewujudan kajian-kajian yang tidak memberangsangkan ini menunjukkan tidak ada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa Ivermectin lebih berkesan kalau dibandingkan dengan placebo ataupun rawatan mengikut piawaian. Namun begitu, kerosakan yang timbul hasil dari penyebaran maklumat yang dimanipulasikan oleh golongan tidak bertanggungjawab ini tidak dapat diundurkan.

Pembaca mungkin tertanya-tanya mengapakah ahli-ahli sains sangat membantah penggunaan rawatan yang belum cukup terbukti di dalam suasana klinikal? Ini boleh dirujuk dalam kes kesan sampingan thalidomide yang pernah menggemparkan dunia beberapa dekad lepas (mungkin akan ada artikel tentang thalidomide selepas ini sekiranya trivia itu belum pernah disentuh oleh mana-mana penulis The Patriots).

Penggunaan meluas Ivermectin secara sub-piawai menimbulkan beberapa masalah, antaranya; peningkatan kes kesan sampingan buruk hasil dari penggunaan Ivermectin yang tidak bertauliah, kesukaran untuk mencari sukarelawan dalam ujian klinikal fasa III membabitkan Ivermectin kerana tidak dapat ditentukan siapa yang pernah menggunakan Ivermectin atau tidak, dan akhir sekali menyukarkan pakar untuk menentukan fungsi sebenar Ivermectin dalam merawat jangkitan COVID-19.

Akhir kata, setakat ini Ivermectin tidak lebih dari sekadar rawatan populis, yakni hanyalah sekadar rawatan berdasarkan emosi orang ramai dalam melawan jangkitan COVID-19. Sehingga benar-benar dibuktikan oleh mana-mana kajian dan kemudiannya kajian tersebut dihasilkan semula oleh sekelompok pakar yang lain, selagi itulah penggunaan Ivermectin tidak lain tidak bukan, hanyalah sekadar placebo yang mungkin membahayakan nyawa para pengguna, lebih-lebih lagi mereka yang menggunakannya tanpa nasihat pakar yang bertauliah.

RUJUKAN:

Evans Stephen J.W., Jewell Nicholas P.. (2021) Vaccine Effectiveness Studies in the Field. N Engl J Med DOI: 10.1056/NEJMe2110605.

Horby P, Lim WS, RECOVERY Collaborative Group. Dexamethasone in Hospitalized Patients with Covid-19 – Preliminary Report. N Engl J Med.

“WHO Advises That Ivermectin Only Be Used to Treat COVID-19 within Clinical Trials.” World Health Organization, World Health Organization, 31 Mar. 2021, www.who.int/news-room/feature-stories/detail/who-advises-that-ivermectin-only-be-used-to-treat-covid-19-within-clinical-trials. Visited 4th August 2021

J.H. Beigel, K.M. Tomashek, L.E. Dodd, A.K. Mehta, B.S. Zingman, A.C. Kalil, E. Hohmann, H.Y. Chu, A. Luetkemeyer, S. Kline, D. Lopez de Castilla, R.W. Finberg, K. Dierberg, V. Tapson, L. Hsieh, T.F. Patterson, R. Paredes, D.A. Sweeney, W.R. Short, H.C. Lane, Remdesivir for the treatment of Covid-19—final report. N. Engl. J. Med. (2020).  https://doi.org/10.1056/nejmoa2007764

World Health Organization (2019). World Health Organization model list of essential medicines: 21st list 2019. Geneva: World Health Organization. hdl:10665/325771

Leon Caly, Julian D. Druce, Mike G. Catton, David A. Jans, Kylie M. Wagstaff, The FDA-approved drug ivermectin inhibits the replication of SARS-CoV-2 in vitro, Antiviral Research, Volume 178, 2020, 104787, ISSN 0166-3542, https://doi.org/10.1016/j.antiviral.2020.104787.

Mega, E. R. (2020). Latin America’s embrace of an unproven COVID treatment is hindering drug trials. Nature, 586(7830), 481–482. https://doi.org/10.1038/d41586-020-02958-2

Paho.org. Recommendation regarding the use of ivermectin as a treatment for COVID-19. Available: https://www.paho.org/en/documents/recommendation-regarding-use-ivermectin-treatment-covid-19

Peña-Silva R, Duffull SB, Steer AC, et al. Pharmacokinetic considerations on the repurposing of ivermectin for treatment of COVID-19. Br J Clin Pharmacol 2021;87:1589–90.

Garegnani, L. I., Madrid, E., & Meza, N. (2021). Misleading clinical evidence and systematic reviews on ivermectin for COVID-19. BMJ Evidence-Based Medicine, bmjebm-2021. https://doi.org/10.1136/bmjebm-2021-111678

Artikel dikirimkan oleh Harith Kamal untuk The Patriots, tidak semestinya melambangkan pandangan The Patriots sendiri. 

Ruangan komen telah ditutup.