‘It’s Okay, That’s Love’: Drama Yang Membuka Mata Masyarakat Mengenai Isu Penyakit Mental

0
1812
views

Saya bukanlah salah seorang daripada peminat besar atau dalam erti kata lain, die hard fans drama korea. Apabila disebut mengenai drama korea, ramai yang akan berkerut dahinya membayangkan watak lelaki yang putih mulus dan cantik seperti seorang perempuan. Namun, tanggapan saya telah banyak berubah setelah saya menonton sebuah drama Korea yang bertajuk, ‘It’s Okay, That’s Love’.

Drama ini berkisarkan mengenai pelbagai watak yang masing-masing mengidap penyakit mental yang berbeza. Secara tidak langsung, drama ini telah berjaya mengubah persepsi serta membuka mata masyarakat ramai mengenai isu penyakit mental.

Watak utama drama ini adalah Hye soo  dan Jang Jae yeol. Hye soo merupakan seorang doktor psikiatri yang bertugas di hospital. Walaupun beliau sendiri adalah doktor, Hye Seo mempunyai trauma kepada hubungan intim oleh kerana beliau pernah menyaksikan hubungan curang ibunya sendiri sewaktu dia kecil. Sejak dari hari itu, semua jenis hubungan romantis atau intim akan menyebabkannya gelisah kerana ia mengingatkannya kepada pengkhianatan yang dilakukan oleh ibunya pada masa lalu.

Jang Jae Yeol pula merupakan seorang penulis buku yang kacak serta popular di Korea. Dari segi luarannya Jae Yeol kelihatan seperti lelaki sempurna yang mempunyai segalanya. Namun begitu, Jae Yeol sebenarnya mempunyai masa silam yang hitam. Sewaktu dia berusia remaja, Jae Yeol dan ibunya sering didera oleh ayah tiri Jae Yeol yang merupakan kaki mabuk. Kesan daripada trauma penderaan yang dilaluinya pada masa lalu menyebabkan Jae Yeol mengidap penyakit Obssesive Compulsive disorder, dimana beliau hanya boleh tidur nyenyak pada waktu malam di tandas. Jika Jae Yeol tidur di tempat lain selain dari tandas akan menyebabkannya mimpi ngeri.

Waqaf Saham

Bagi peminat rancangan Runningman pula, pasti mengenali Lee Kwang Soo yang sering mengundang hilai tawa penonton dengan lagaknya yang lucu. Di dalam drama ini, Lee Kwang Soo memegang watak yang bernama Soo Kwang. Soo Kwang mengidap gangguan neuropsikiatri yang juga dikenali sebagai Tourette Syndrome. Jika berada di dalam keadaan yang tertekan, Soo Kwang akan kena serangan yang menyebabkannya hilang kawalan terhadap tubuh badannya. Jo Dong Min pula merupakan teman serumah Hye Soo dan Soo Kwang yang juga merupakan seorang doktor psikiatri. Dong Min pernah berkahwin namun perkahwinannya gagal. Walaupun sudah bercerai, Dong Min masih mempunyai hubungan yang baik serta rumit bersama bekas isterinya.

Di samping itu, drama ini juga menyentuh mengenai isu yang berbeza di dalam setiap episod. Contoh isu yang diketengahkan adalah mengenai penyakit kemurungan, transgender, schizophrenia dan banyak lagi.Terdapat terlalu banyak pengajaran yang boleh diperolehi melalui drama ini. Antaranya ialah, setiap orang mempunyai kisah duka dan luka di dalam jiwa mereka sendiri. Tiada watak yang jahat sepenuhnya. Contohnya, Jae Yeol mempunyai seorang abang yang bernama Jae Bum yang sering juga menderanya. Namun begitu, di penghujung cerita, drama itu menceritakan pula mengenai salah faham yang berlaku di antara mereka yang menyebabkan Jae Bum bersikap mendera kepada adiknya sendiri.

Watak ibu Hye Soo juga pada awalnya diketengahkan sebagai watak yang menjengkelkan yang sanggup mengkhianati suaminya sendiri dengan berlaku curang. Akan tetapi, setelah masa berlalu, penonton dipersembahkan pula dengan sisi lain kisah itu dan diceritakan pula mengapa ibu Hye Soo sanggup berlaku curang. Antara sebab utamanya adalah kerana, keadaan ayah kandung Hye Soo yang sakit serta lumpuh yang menyebabkan ibunya tertekan ingin mencari sesuap makan buat keluarga mereka. Ibu Hye Soo kemudiannya mencari sumber lain untuk menghilangkan rasa sunyinya,  dengan berlaku curang dengan suaminya sendiri.

Drama ini telah berjaya meninggalkan kesan yang begitu mendalam di dalam jiwa saya berbanding rancangan lain yang saya telah tonton. Tiada unsur fairytales di dalam drama Its Okay, That’s Love dan tiada watak yang sempurna. Sebaliknya, penonton dapat melihat realiti kehidupan masyarakat yang sebenar. Hidup tidak selalunya indah, terdapat pelbagai rintangan dan cabaran yang harus kita lalui di dalam kehidupan.